Sunday 1 February 2015

Barisan Nasional Vs Pakatan Rakyat : What's Next ?

Perkembangan semasa dalam arena politik Malaysia menunjukkan petanda bahawa Malaysia sedang berhadapan dengan pergolakan politik yang sangat mencabar. Ini kerana sama ada di pihak Parti Pemerintah mahupun di pihak Parti Pembangkang, kedua-duanya ketika ini sedang berhadapan dengan krisis dalaman yang sangat serious dan sebarang kemungkinan yang mengejutkan dalam politik Malaysia boleh berlaku. Di pihak Parti Pemerintah, Presiden UMNO yang juga merupakan Perdana Menteri Malaysia sedang struggle untuk mempertahankan jawatan beliau apabila semakin banyak desakan sama ada dari pihak pembangkang mahupun di pihak penyokong kerajaan sendiri yang menginginkan agar beliau melepaskan jawatan. Ditambah pula MIC juga sedang berhadapan krisis dalaman yang melibatkan konflik pemimpin-pemimpin tertinggi parti dengan Presiden Parti sendiri.

Manakala, di pihak pembangkan krisis yang bermula daripada Langkah Kajang yang dicetuskan oleh pimpinan PKR telah mencetuskan bibit-bibit perselisihan diantara DAP dan PAS. Walaupun Langkah Kajang yang mencetuskan krisis Pertukaran Menteri Besar Selangor telah berjaya diselesaikan, namun keretakan hubungan antara PAS dan DAP semakin bertambah parah. PAS dan DAP kini sudah secara terbuka mengkritik antara satu sama lain. Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang sebelum ini sering dibanggakan kerena pendekatan secara consensus dalam menyelesaikan sebarang pertindihan kepentingan ataupun konflik dalam pakatan rakyat, nampaknya telah gagal membendung perselisihan yang semakin menjadi-jadi diantara DAP dan PAS dalam banyak perkara khususnya dalam perkara yang melibatkan dasar perjuangan parti.

Dalam pada itu, muncul pula kumpulan baru dalam PAS iaitu PASMA yang tidak berpuashati dengan beberapa keputusan Presiden PAS yang dikatakan kurang komited dengan dasar bersama dalam Pakatan Rakyat. Bagi PASMA, PAS perlu untuk terus komited dengan dasar bersama dalam Pakatan Rakyat agar pentadbiran Putrajaya berjaya diambil alih daripada Barisan Nasional. Oleh itu bagi PASMA, Presiden PAS perlu digantikan dengan pemimpin yang lebih komited dengan Pakatan Rakyat demi merealisasikan impian menawan pentadbiran Putrajaya. Apatah lagi, sejak bermulanya krisis yang ditimbulkan oleh Langkah Kajang, terdapat beberapa keputusan penting Presiden PAS yang tidak selari dengan perancangan Pakatan Rakyat. Oleh itu desakan agar Presiden PAS digantikan dengan pemimpin yang lebih komited dengan Pakatan Rakyat juga bertiup dengan kencang dalam parti PAS. Dalam pada itu, walaupun sehingga kini, PKR khususnya Ketua Umumnya masih belum memberikan sebarang respond terhadap konflik diantara PAS dan DAP. Namun sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman luas dan telah menjadi orang penting dalam banyak pergolakan politik dalam negara, beliau sudah tentunya mempunyai pendekatan dan  strateginya yang tersendiri dalam berhadapan konflik tersebut.

Situasi politik seperti yang diterangkan diatas sudah tentunya akan membuka ruang dan peluang kepada pemimpin-pemimpin parti politik yang ada untuk mencongak dan mencatur masa depan politik masing-masing. Perlu diingat bahawa sistem politik yang diamalkan ketika ini merupakan sistem politik yang mempunyai falsafah ‘Tiada musuh yang kekal dan tiada sahabat yang abadi. Yang kekal adalah kepentingan peribadi’. Ada banyak peristiwa-peristiwa politik dalam negara yang membuktikan kebenaran falsafah tersebut. Oleh itu, tidak mustahil pergolakan politik sedang berlaku ketika ini akan menghasilkan keputusan-keputusan politik yang ‘mengejutkan’ dan ‘menjijikkan’ serta aksi ‘menjilat air ludah sendiri’ daripada pemimpin-pemimpin politik. Ini kerana, inilah sebahagian asam-garam dalam politik ketika ini. ‘Bijaknya’ ahli-ahli politik ketika ini, segala keputusan yang mereka ambil semuannya dijustifikasikan kononnya demi kepentingan rakyat, demi negara, demi agama dan macam-macam lagi. Walhal, hakikatnya rakyat dan negara mereka pertaruhkan demi kepentingan peribadi mereka.

Situasi terhimpit dan terdesak yang sedang dialami oleh pemimpin-pemimpin politik ketika ini sudah tentunya akan membuka pintu tawar-menawar diantara mereka demi menyelamatkan masa depan politik masing-masing. Apabila wujud banyak tawar-menawar yang dilakukan ketika dalam keadaan terhimpit dan terdesak, itu menunjukkan bahawa sistem politik atau pemerintahan yang dibina merupakan sistem politik/pemerintahan yang sangat lemah dan mudah untuk diambil kesempatan. Siapa yang akan menjadi mangsa ? Bukan mereka (ahli-ahli politik) tetapi RAKYAT!!!. Keadaan sebegini akan terus berlaku bahkan menjadi semakin parah kerana itulah kekurangan yang ada dalam mana-mana sistem hidup ciptaan manusia termasuklah sistem demokrasi-sekular yang diamalkan di Malaysia ketika ini. Jadi kenapa pilih sistem hidup yang mempunyai banyak kekurangan sedangkan Allah SWT telah menurunkan sistem hidup yang lengkap dan sempurna untuk kehidupan manusia seluruhnya???!

Anda Juga Mungkin Meminati :

  1. Adakah Pakatan Rakyat Akan Berpecah ?

No comments:

Post a Comment