Sunday 22 November 2015

Serangan Paris + ISIS = Serang Syria ???

Konflik di Syria akan berakhir seperti yang dikehendaki oleh kuasa-kuasa barat khususnya  Amerika Syarikat jika satu rundingan antara  pihak pembangkang/penentang dengan kerajaan rejim Bashar Assad kearah kerajaan baharu di Syria berjaya diadakan. Rundingan sedemikianlah yang telah usahakan oleh Amerika mahupun Russia serta sekutu-sekutu mereka sejak meletusnya kebangkitan rakyat Syria menentang rejim Bashar Assad.  Beberapa individu seperti Moaz Al-Khatib dan Ahmed Jarba telah  diangkat sebagai tokoh yang mengetuai pakatan pembangkang/penentang Syr­ian National Coun­cil, kemudiannya dikenali sebagai Syrian National Coalition untuk berunding dengan kerajaan rejim Bashar Assad.

Namun rundingan demi rundingan yang diusahakan dengan bersungguh-sungguh oleh Amerika Syarikat dan Russia serta dibantu oleh sekutu-sekutu mereka daripada negara-negara umat Islam sendiri seperti Arab Saudi, Qatar dan Turki tetapi tetap sahaja tidak berhasil. Ini kerana Syrian National Coalition hakikatnya tidak mempunyai pengaruh terhadap umat Islam dan bridget-bridget jihad yang berperang menentang kerajaan rejim Bashar Assad.   Individu seperti Moaz Al-Khatib dan Ahmed Jarba hanyalah boneka yang dipopularkan untuk melengkapkan ‘skrip drama’ yang dirancang oleh Amerika Syarikat dan Russia bagi menentukan halatuju kebangkitan rakyat Syria.  

Walaupun Amerika Syarikat dan Russia sependapat perlunya diadakan rundingan untuk membentuk kerajaan transisi atau kerajaan sementara sebelum kerajaan baharu dibentuk di Syria pasca rejim Bashar Assad. Namun mereka tidak sependapat dalam hal menentukan peranan yang dimainkan oleh Bashar Assad dalam proses tersebut. Bagi Amerika Syarikat, Bashar Assad tidak perlu diberikan apa-apa peranan. Sebaliknya Russia menginginkan agar Bashar Assad diberikan peranan yang penting dalam proses pembentukan kerajaan sementara dan juga kerajaan baharu Syria yang ingin dibentuk. Perbezaan inilah yang digembar-gemburkan sebagai punca utama kepada kegagalan beberapa rundingan untuk menamatkan konflik di Syria. Walhal sebenarnya, kegagalan rundingan demi rundingan yang dirancang oleh Amerika Syarikat dan juga Russia adalah berpunca kerana Syrian National Coalition hanyalah boneka yang tidak mewakili rakyat Syria khususnya bridget-bridget jihad yang berperang menentang rejim Bashar Assad.

Perbezaan pendapat di antara Amerika Syarikat dan Russia dalam menentukan peranan Bashar Assad terhadap proses pembentukan kerajaan sementara dan kerajaan baharu di Syria sebenarnya bukalah masalah besar, ianya hanyalah masalah biasa yang boleh diselesaikan sesama mereka. Namun masalah utama yang Amerika Syarikat dan Russia tidak berjaya selesaikan sehingga rundingan kali terakhir iaitu Rundingan Geneva II diadakan ialah membentuk pakatan pembangkang yang mendapat pengiktirafan dan sokongan daripada briged-briged jihad yang berperang di lapangan menentang rejim Bashar. Maka Rundingan Geneva II yang telah berlangsung sebenarnya tidak mempunyai apa-apa makna terhadap political solution yang diinginkan oleh Amerika Syarikat mahupun Russia.

Bagi memastikan Syria tidak jatuh ke tangan briged-briged jihad yang mempunyai cita-cita untuk menegakkan Daulah Khilafah, maka Amerika Syarikat dan Russia telah melancarkan beberapa siri serangan udara bagi mempertahankan kedudukan kerajaan Bashar Assad yang semakin lemah. Beberapa serangan udara Russia yang dilancarkan di sekitar Idib dan Hama hampir kesemuanya mensasarkan kawasan-kawasan yang dikuasai oleh briged-briged jihad yang menentang rejim Bashar Assad, bukan mensasarkan kawasan-kawasan yang dikuasai oleh ISIS walaupun serangan udara yang dilancarkan adalah atas alasan untuk memerangi ISIS.

Mempertahankan kedudukan kerajaan Bashar Assad ketika ini merupakan perkara yang sangat penting bagi Amerika Syarikat dan Russia serta negara-negara barat yang lain. Walaupun mereka menyedari bahkan seluruh dunia turut mengetahui akan kekejaman rejim Bashar Assad yang telah membunuh ratusan ribu serta memusnahkan kediaman yang telah menyebabkan jutaan rakyat Syria hidup sebagai pelarian. Namun Amerika Syarikat dan Russia serta sekutu-sekutu mereka daripada negara-negara barat dan juga negara-negara Islam yang dipimpin oleh para pemimpin yang kianat seperti Arab Saudi, Qatar, Turki, Iran dan Jordan akan terus melakukan sandiwara demi sandiwara agar kerajaan rejim Bashar Assad tidak jatuh ke tangan bridged-bridged jihad. Kejatuhan kerajaan rejim Bashar Assad ke tangan bridged-bridged jihad akan menjadi satu mimpi ngeri bagi Amerika Syarikat dan Russia serta sekutu-sekutu mereka. Oleh itu, mereka akan melakukan apa sahaja percaturan, sandiwara dan sebagainya bagi memastikan mimpi tersebut tidak akan menjadi kenyataan.

Amerika Syarikat dan Russia sama-sama tidak ingin kerajaan rejim Bashar Assad jatuh dan kemudiannya pemerintahan Syria diambil alih oleh bridged-bridged jihad adalah kerana kebanyakkan bridged-bridged jihad yang sedang berjuang menentang rejim Bashar Assad bebas daripada dipengaruhi oleh mana-mana kuasa asing termasuklah Amerika Syarikat dan Russia. Bahkan mereka yakni bridged-bridged jihad di Syria mempunyai keinginan yang kuat untuk menentukan sendiri masa depan Syria pasca kejatuhan rejim Bashar Assad. Berbeza halnya dengan kumpulan-kumpulan penentang di Libya yang berperang untuk menjatuhkan kerajaan rejim Gaddafi. Kumpulan-kumpulan penentang di Libya hakikatnya sangat dipengaruhi oleh kuasa-kuasa asing kerana mereka mendapat sokongan dan bantuan daripada  Amerika Syarikat dan juga NATO bagi menjatuhkan kerajaan rejim Gaddafi.


Maka kesimpulannya, walaupun tidak mudah untuk membuktikan satu persatu dengan bukti yang jelas akan percaturan dan sandiwara kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat yang memiliki agensi-agensi perisikan dengan keupayaan yang sangat canggih serta terlatih dalam banyak bidang. Namun dengan hanya melihat apa yang sedang dilakukan oleh Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya di bumi Syria serta negeri-negeri umat Islam yang lain, sebenarnya sudah cukup bagi umat Islam yang menggunakan akal fikirannya untuk memahami dengan jelas bahawa Amerika Syarikat, Russia, Perancis, Britain adalah musuh umat Islam ! Mereka akan melakukan apa sahaja termasuk membunuh umat Islam dengan kejam demi untuk mencapai agenda mereka.

Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya. (TQS Ali Imran [3]: 118)

Anda Mungkin Juga Meminati:

Monday 9 November 2015

Politik Dan Ekonomi Malaysia Yang Bercelaru

Sejak merdeka pada tahun 1957, pasca PRU13 merupakan fasa yang sangat bercelaru dalam politik Malaysia. Kecelaruan politik ini telah diburukkan lagi dengan keadaan ekonomi Malaysia yang berada dalam prestasi yang tidak memberangsangkan ekoran daripada kejatuhan nilai ringgit dan kejatuhan harga minyak dunia. Rakyat marhaen tentunya tidak mempunyai pilihan selain daripada terpaksa menanggung kesempitan hidup akibat daripada kecelaruan politik dan kelembapan ekonomi yang sedang dihadapi oleh negara. Harus diingat juga bahawa rakyat marhaen turut terpaksa menanggung kegusaran dan ancaman keselamatan kesan berantai ekoran daripada politik dan ekonomi yang tidak stabil seperti peningkatan kadar jenayah, isu perkauman, masalah sosial dan lain-lain lagi.

Kecelaruan politik Malaysia ekoran daripada masalah dalaman yang dihadapi oleh parti pemerintah mahupun parti pembangkang sehingga kini kedua-duanya masih belum menunjukkan tanda-tanda ianya akan berakhir dalam masa yang terdekat. Malahan, masalah yang dihadapi oleh kedua-duanya nampaknya menjadi semakin tenat dan bertambah rumit. Jika masalah dalaman yang dihadapi oleh pembangkan membawa kepada berkuburnya Pakatan Rakyat serta berpecahnya parti PAS ekoran daripada penubuhan Parti Amanah Negara oleh bekas tokoh-tokoh penting dalam PAS. Barisan Nasional khususnya UMNO juga tidak dapat mengelak daripada menghadapi perpecahan ekoran daripada beberapa pimpinan tertinggi dan bekas-bekas veteran UMNO yang bukan sahaja tidak lagi menyokong Dato’ Najib selaku Presiden UMNO malah turut menyerang pentadbiran beliau.

Kecelaruan politik  Malaysia dapat juga dilihat daripada situasi politik yang sedang dihadapi oleh kerajaan negeri yang paling kaya dan paling penting di Malaysia iaitu Kerajaan Negeri Selangor yang kini diterajui oleh Azmin Ali selaku Menteri Besar. Selepas PAS memutuskan hubungan dengan DAP serta tidak lagi menyertai Pakatan Harapan, Kerajaan Negeri Selangor yang dibentuk daripada kerjasama politik di antara PKR (14 Kerusi - 1),  DAP (15 Kerusi) dan PAS (15 Kerusi - 2) kini berada dalam keadaan yang tidak menentu. Ini kerana, walaupun DAP dan PAS menjadi seteru politik namun kedua-duanya masih sama-sama berada dalam exco yang diketuai oleh Azmin Ali. Situasi ini sebenarnya menyebabkan Azmin Ali berada dalam keadaan yang sangat sukar untuk mempertahankan kedudukannya sebagai Menteri Besar Selangor. Apatah lagi, beliau dapat menjadi Menteri Besar bukan atas kehendak PKR dan DAP, tetapi atas pendirian PAS yang tidak bersungguh-sungguh secara konsisten menyokong Datuk Seri Datin Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Di peringkat pimpinan pusat, PKR mempunyai hubungan dan kerjasama politik yang sangat baik dengan DAP berbanding dengan PAS. Namun di Selangor, PAS masih mempunyai kerjasama politik dengan PKR kerana Azmin Ali yang mempertahankannya. Azmin Ali memerlukan sokongan PAS untuk mempertahankan Kerajaan Negeri yang kini diterajuinya. Pimpinan PKR dan DAP sebenarnya tidak dapat membuat banyak perkara untuk menekan Azmin Ali agar memutuskan hubungan dengan PAS kerana bimbang ianya boleh menyebabkan berlakunya percaturan lain yang boleh menyebabkan Kerajaan Pakatan di Selangor jatuh kepada Kerajaan Barisan Nasional. Ditambah pula, PKR sebenarnya masih banyak bergantung dengan undi penyokong-penyokong PAS di kawasan Parlimen dan DUN yang mereka tandingi, termasuklah di Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa yang telah dimenangi oleh Azmin Ali sendiri.

Dari segi prestasi ekonomi Malaysia ketika ini, kejatuhan harga minyak dunia ternyata memberikan kesan negatif kepada pengurusan kewangan negara. Ini kerana hasil yang berkaitan dengan petroleum merupakan antara sumber terpenting dalam pendapatan negara. Oleh itu, apabila harga minyak dunia terus berada dalam keadaan yang tidak stabil, maka ianya akan menyebabkan kantung kewangan negara akan menjadi tipis untuk menampung perbelanjaan pengurusan dan pembangunan yang semakin meningkat. Kejatuhan nilai ringgit dikala negara sedang menanggung kesan negatif akibat daripada kejatuhan harga minyak dunia ternyata telah menambahkan lagi beban kewangan negara. Negara bukan sahaja terpaksa menanggung kerugian akibat daripada penurunan hasil eksport komoditi utama negara seperti getah dan kelapa sawit tetapi juga turut menyebabkan kos import menjadi semakin mahal. Perkara ini sudah pasti akan menyebabkan industri-industri yang bergantung kepada bekalan import akan menanggung peningkatan kos pengeluaran/operasi.  Situasi ini tentunya secara tidak langsung memberikan impak yang tidak sihat kepada ekonomi negara.

Oleh itu, rakyat marhaen secara keseluruhannya tentu sekali ingin agar Malaysia dapat keluar daripada belenggu politik dan ekonomi yang tidak stabil seperti yang sedang dihadapi ketika ini, supaya Malaysia menjadi sebuah negara yang makmur dan harmoni serta dapat memberikan kesejahteraan hidup kepada rakyatnya. Ingin menikmati kesejahteraan hidup merupakan fitrah bagi semua manusia tidak kira latarbelakang bangsa mahupun agama. Namun persoalan utama dalam kontek Malaysia ialah mampukah Pakatan Harapan merealisasikan impian tersebut ? Berdasarkan petunjuk prestasi pentadbiran mereka di beberapa buah negeri yang pernah dan sedang mereka tadbir, ternyata Pakatan Harapan hakikatnya lebih kurang sama sahaja dengan Kerajaan Barisan Nasional. Bezanya Pakatan Harapan masih ‘kurang dosanya’ berbanding dengan Kerajaan Barisan Nasional kerana mereka masih belum diberikan peluang untuk mentadbir kerajaan Pusat.

Ini adalah hakikat yang tidak boleh dinafikan kerana jika diperhalusi nescaya akan didapati bahawa punca utama yang menyebabkan kecelaruan politik dan ekonomi yang sedang melanda Malaysia ketika ini adalah berpunca daripada sistem demokrasi-kapitalism yang digunakan untuk mengurus dan mentadbir Malaysia. Maka, jika sekalipun para pemimpin Pakatan Harapan mempunyai niat yang murni untuk menjadikan Malaysia menjadi sebuah negara yang makmur dan harmoni nescaya mereka tidak akan dapat menangani kerosakan secara sistematik yang dihasilkan oleh sistem demokrasi-kapitalism.

Penyelesaian yang paling ideal dan telah terbukti keberhasilannya dalam memberikan kehidupan yang sejahtera kepada seluruh manusia ialah mentadbir dan menguruskan negara dengan sistem Khilafah.

Anda Mungkin Juga Meminati :