Saturday 25 March 2017

Isu Pindaan Rang Undang-Undang Akta 355

Pada dasarnya, untuk membuat pindaan terhadap rang undang-undang yang sedia ada merupakan perkara biasa dan sering dilakukan dalam pentadbiran negara demokrasi seperti Malaysia. Secara prinsipnya, rang undang-undang sedia ada perlu dipinda agar ia terus relevan dengan keadaan dan perkembangan semasa. Akta 355 misalnya telah mengalami beberapa kali pindaan sejak mula dikanunkan pada tahun 1965 yang pada ketika itu dikenali sebagai Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965. Hukuman maksimum yang diperuntukkan oleh akta tersebut ketika itu  ialah denda RM1000 dan penjara 6 bulan.

Pindaan pertama terhadap Akta 355 telah dilakukan pada tahun 1984 dengan memberikan kuasa yang lebih tinggi kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman maksimum sehingga 3 tahun penjara, RM5000 denda dan 6 kali sebatan. Akta tersebut kemudiannya dipinda sekali lagi pada tahun 1989 untuk diperluaskan penggunaannya ke Sabah dan Sarawak. Selepas itu, tiada lagi pindaan dilakukan untuk meningkatkan hukuman maksimum yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah. Ini bermakna sudah lebih dari 30 tahun hukuman ‘Formula 356’ menjadi hukuman maksimum bagi ‘jenayah syariah’ di Malaysia.

Oleh itu, satu perkara yang wajar bagi pihak tertentu khususnya golongan akademik dan para pengamal undang-undang Syariah mengorak langkah bagi meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah agar dapat menjatuhkan hukuman yang lebih berat terhadap ‘penjenayah syariah’ di Malaysia.  Hal ini demikian kerana, ramai pihak berpendapat bahawa hukuman ‘356’ terlalu ringan dan  sudah tidak berkesan lagi untuk menakutkan umat Islam di Malaysia daripada melakukan jenayah syariah.  Maka, pindaan terhadap Akta 355 perlu dilakukan bagi meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah yang sedia ada. Usaha ke arah untuk meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah di Malaysia telah pun dilakukan secara serius oleh Jawatankuasa Teknikal yang ditubuhkan pada tahun 2014. Antara langkah awal yang perlu dilakukan oleh Jawatankuasa Teknikal bagi menjayakan usaha tersebut ialah menggesa agar Akta 355 dipinda.

Selari dengan banyak pindaan yang dilakukan terhadap akta-akta yang lain termasuklah pindaan terhadap Akta 355 sebelum ini, Jawatankuasa Teknikal mencadangkan agar usul pindaan terhadap Akta 355 dibawa oleh wakil daripada pihak kerajaan. Hal ini demikian kerana, ia sudah menjadi amalan biasa dalam  pentadbiran di Malaysia bahawa semua pindaan yang ingin dilakukan akan diusulkan oleh pihak kerajaan yang memerintah. Tidak pernah terjadi sebelum ini usul persendirian daripada pihak pembangkang dibenarkan untuk dibentangkan di parlimen, malah jauh sekali untuk diluluskan. Selain itu, sebarang pindaan terhadap akta yang sedia ada sekurang-kurangnya perlu mendapat sokongan/undi majoriti mudah di dewan rakyat sebelum diluluskan. Jadi, secara tidak langsung hanya parti yang menjadi kerajaan sahaja memiliki kelebihan tersebut, tidak pada parti pembangkang. Apatah lagi proses membawa sebarang usul untuk dibentangkan di parlimen bagi meminda mana-mana akta yang sedia ada dikawal sepenuhnya oleh menteri daripada parti yang memerintah.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa perlembagaan Malaysia memberi ruang kepada semua ahli parlimen parti pembangkang untuk membawa private bill (usul persendirian). Namun, ia perlu melalui dua proses di atas, iaitu diberi laluan oleh menteri parti pemerintah yang menyelia perjalanan parlimen dan mendapat sokongan sekurang-kurangnya majoriti mudah daripada ahli-ahli parlimen. Oleh sebab itu, sepanjang sejarah Malaysia belum pernah ada usul persendirian daripada pihak pembangkang dibenarkan untuk dibentangkan apatah lagi untuk diluluskan.

Justeru itu, apabila para menteri daripada UMNO selaku kerajaan memberi laluan dan sokongan kepada parti PAS selaku parti pembangkang membawa usul persendirian bagi meminda Akta 355 tentunya menimbulkan banyak persoalan. Ditambah pula wujudnya tuntutan percaturan politik yang sangat crucial di antara parti-parti politik di Malaysia menuju ke PRU14. Masing-masing mempunyai agenda dan matlamat politik yang sangat penting untuk dicapai dalam PRU14 nanti.

Dalam hal ini, umat Islam seharusnya melihat persoalan mengenai isu pindaan Akta 355 dengan skop yang lebih luas agar umat Islam tidak diberikan harapan palsu dan turut diheret ke dalam perbalahan yang tidak jelas hujung pangkalnya kerana perbezaan sudut pandang terhadap perkara yang sama iaitu pindaan Akta 355. Ada pihak yang melihat bahawa pindaan terhadap Akta 355 adalah roadmap ke arah terlaksananya hudud, maka siapa yang menentangnya sama seperti menentang hukum hudud. Sebaliknya ada pula pihak yang melihat bahawa Akta 355 tiada kena mengena dengan hukum hudud, ia hanyalah pindaan biasa terhadap akta yang
sedia ada.

Sebenarnya, perbezaan sudut pandang tersebut timbul disebabkan oleh rekaan (design) struktur undang-undang tertinggi Malaysia iaitu Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan yang direka oleh Suruhanjaya Lord Reid telah meletakkan asas-asas yang kukuh dalam Perlembagaan Persekutuan bagi menjamin keluhuran dan kelangsungan undang-undang ciptaan British sebelum Tanah Melayu diberikan kemerdekaan. Oleh itu, sebarang penggubalan undang-undang baharu atau pindaan terhadap undang-undang yang sedia ada, ia tidak boleh keluar daripada asas-asas yang kukuh dalam Perlembagaan Persekutuan bagi menjamin keluhuran dan kelangsungan undang-undang ciptaan British sebelum Tanah Melayu diberikan kemerdekaan.

Dengan kata lain, apa jua niat murni umat Islam seperti ingin menjadikan hukum hudud sebagai undang-undang negara, maka ia perlu mengikuti panduan yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Reid. Sebarang perbezaan pendapat atau pertelingkahan yang timbul dalam usaha untuk menerapkan hudud harus dikembalikan kepada kitab yang telah ditinggalkan oleh Suruhanjaya Reid iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Suruhanjaya Reid juga telah meletakkan asas bahawa mana-mana undang-undang yang ingin digubal atau dipinda, maka ia perlu melalui proses perdebatan di kalangan ahli-ahli parlimen sebelum diluluskan. Setiap ahli parlimen sama ada orang Islam atau non-muslim berhak untuk mempersoalkan atau mempertikaikan mana-mana undang-undang yang ingin digubal atau dipinda. Seterusnya, pindaan tersebut perlu mendapat persetujuan daripada ahli-ahli parlimen sebelum ia diluluskan. Inilah hakikat yang harus disedari dan difahami dengan jelas apabila hukum Allah SWT seperti Hudud ingin diterapkan mengikut manhaj demokrasi.

Jalan yang benar untuk menerapkan hukum Hudud dan juga hukum-hukum Allah SWT yang lain akan dapat dilaksanakan secara sempurna jika dua elemen iaitu Kekuasaan Di Tangan Umat (as-Sulthan li al-Ummat) dan Kedaulatan Di Tangan Syarak (as-Siyadah li asy-Syar’i) berjaya dijadikan teras dalam pentadbiran sesebuah negara. Sesungguhnya, tiada bentuk sistem pemerintahan yang dapat mewujudkan kedua-dua elemen tersebut melainkan Sistem Pemerintahan Khilafah.

 Artikel Ini Diterbitkan Dalam Buletin Khairu Ummah Keluaran Feb 2017.

Anta Mungkin Juga Meminati :