Monday 2 August 2021

Keupayaan Teknologi Maklumat Menawan Pemikiran

Ketidaktentuan politik yang sedang dihadapi oleh Malaysia ketika ini hakikatnya telah bermula  sejak Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti 2/3 kerusi parlimen pada PRU12 tahun 2008.  Walaupun BN yang ketika itu dipimpin oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dapat mengekalkan  teraju pimpinan kerajaan persekutuan, namun dengan hanya majoriti mudah, malah 5 buah  negeri telah jatuh ke tangan pembangkang. Tsunami politik tersebut ternyata telah mengubah  landskap politik Malaysia. Apatah lagi kerusi parlimen dan dewan undangan negeri di pusat  utama kegiatan ekonomi Malaysia iaitu greater Klang Valley majoritinya telah dikuasai oleh  parti pembangkang.  Sejak itu, tiada lagi dominasi dan kawalan yang kukuh oleh pihak kerajaan  terhadap pergolakan politik tanahair. Masing-masing, sama ada kerajaan mahupun pihak  pembangkang mempunyai pengaruh dan keupayaan yang hampir setara. Keadaan sedemikian  berterusan dan kemuncaknya ialah apabila parti (Perikatan/Barisan National) yang telah  memerintah sejak negara mencapai kemerdekaan akhirnya tumbang dalam PRU14 pada tahun  2018.

Ketidakstabilan politik terus berlanjutan sehinggalah berlaku sekali lagi perubahan kerajaan setelah dua tahun PRU14 diadakan dengan terbentuknya kerajaan Perikatan National (PN) hasil daripada kerjasama politik beberapa parti yang membentuk gabungan dengan majoriti kerusi parlimen yang sangat kecil. Pertukaran kerajaan tersebut dengan cara ‘political game’ telah memburukkan lagi ketidaktentuan politik yang telah sedia terjadi. Ini kerana kerajaan PN bukan sahaja hanya memiliki majoriti yang sangat kecil, tetapi stuktur kepimpinannya sangat rapuh kerana parti Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Bersatu mempunyai bilangan kerusi yang jauh lebih kecil berbanding dengan parti-parti lain khususnya UMNO. Struktur sedemikian tentu sahaja meletakkan kerusi Perdana Menteri yang diduduki oleh Tan Sri Muhyidin Yasin sentiasa bergoyang dan sering diancam untuk dijatuhkan. Keadaan sedemikian menyebabkan percaturan politik sentiasa menghambat kerajaan PN yang bila-bila masa sahaja boleh ditumpang jika beberapa ahli parlimen menarik sokongan mereka terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jika ditelusuri kepada titik mula berlakunya perubahan lanskap politik Malaysia pada PRU12, didapati bahawa antara faktor penting yang membantu parti pembangkang (Pakatan Rakyat) berjaya menafikan penguasaan majoriti 2/3 BN di parlimen dan berjaya menawan 5 buah negeri ialah peranan yang disumbangkan oleh media alternatif. Media alternatif seperti blog, laman web, forum siber ketika itu merupakan sumber maklumat baharu yang memberikan kebebasan kepada penyampainya menyalurkan maklumat berdasarkan naratif yang mereka ingin sampaikan. Jentera parti pembangkang ternyata telah berjaya memanfaatkan dengan baik media alternatif semasa kempen PRU12. Manakala pihak kerajaan masih selesa mengunakan media arus perdana yang didominasi oleh mereka sebagai medium menyampaikan maklumat kepada masyarakat umum.

Sebelum adanya media alternatif, medium yang menjadi sumber maklumat utama rakyat ialah media arus perdana yang terdiri daripada media cetak seperti akhbar, majalah dan buku; dan media elektronik khususnya radio dan televisyen. Sejak sekian lama, BN selaku parti pemerintah mempunyai kelebihan yang sangat basar untuk mengawal dan membentuk persepsi rakyat terhadap sesuatu isu. Bagi pihak pembangkang, sebelum adanya media alternatif tentunya sangat sukar bagi mereka untuk menyaingi propanganda daripada pihak kerajaan.

Namun, setelah internet ataupun teknologi maklumat berkembang maju, persaingan penyebaran maklumat telah berubah dengan sangat drastik. Perkembangan internet telah membuka ruang yang sangat luas kepada pihak pembangkang untuk menyaingi sebaran maklumat oleh pihak kerajaan kepada masyarakat umum khususnya yang tinggal dikawasan bandar. Tambahan pula, defisit keyakinan rakyat terhadap media arus perdana menyebabkan informasi yang disampaikan melalui media alternatif menjadi seolah-olah maklumat rahsia yang tepat dan benar. Maka dengan itu, informasi yang disampaikan oleh media alternatif dengan mudah mempegaruhi pemikiran rakyat yang menerimanya. Antara kajian kes yang boleh digunakan untuk menunjukkan keberkesanan maklumat/berita/infomasi yang disampaikan melalui media alternatif dalam menawan pemikiran masyarakat umum semasa PRU12 ialah kemenangan kerusi parlimen oleh seorang calon muda yang tidak dikenali.

Kemenangannya adalah dengan bermodalkan kempen tentang rakaman video perbualan seorang peguam kanan dengan orang penting kerajaan yang dirakamnya. Begitu juga dengan beberapa orang calon muda pihak pembangkang yang telah menang dengan memanfaatkan media alternatif khususnya blog dan forum siber untuk menjalurkan maklumat kepada para pengundi. Bukan itu sahaja, mereka turut berjaya menggunakan media alternatif bagi mendapatkan dana pilihanraya daripada orang ramai.

Ledakan industri teknologi maklumat yang sangat pesat telah menyebabkan perang propaganda, perang pemikiran, perang persepsi dan semisalnya menjadi sangat dominan dalam mempengaruhi pandangan atau cara berfikir masyarakat umum ketika ini. Kuasa viral misalnya telah menjadi satu faktor yang sangat berkesan mempengaruhi persepsi orang ramai terhadap isu yang diviralkan bahkan sampai ke tahap mampu mempengaruhi polisi negara. Jika diamati secara rasional, sering berlaku isu yang diviralkan hakikatnya adalah isu kecil, namun sering kali elemen emosi disampaikan secara berlebih-lebihan sehingga isu yang kecil dilihat sebagai isu yang sangat besar dan memerlukan perhatian yang tinggi daripada pihak-pihak tertentu.

Akhirnya, banyak resources telah dibazirkan kerana terpaksa melayan perkara sedemikian. Apa yang paling membimbangkan ialah metodologi dalam menentukan kebenaran dan keutamaan kini banyak dipengaruhi oleh persepsi atau propaganda yang dibina oleh teknologi maklumat. Dengan kata lain, pihak mana yang lebih kehadapan dan bijak memanfaatkan teknologi maklumat, maka merekalah yang mempunyai kelebihan untuk memimpin emosi dan pemikiran masyarakat umum.

Cara berfikir masyarakat kini yang sangat mudah dipengaruhi oleh maklumat atau berita yang mereka perolehi khususnya daripada sosial media menambahkan lagi kesengitan perang menawan emosi dan pemikiran rakyat yang boleh berubah-ubah berdasarkan maklumat atau berita yang mereka terima. Dengan kecanggihan teknologi maklumat, bermacam-macam cara boleh dilakukan ketika ini untuk menawan pemikiran orang ramai agar dapat dipimpin berdasarkan narratif yang diinginkan. Seperti yang telah dijelaskan diatas, kebenaran atau pendustaan boleh ditentukan oleh pihak yang lebih kehadapan dan berjaya menanfaatkan kelebihan yang ada pada teknologi maklumat. Dengan kata lain, pihak tertentu dapat menentukan kebenaran atau pendustaan sesuatu isu dengan kuasa yang ada pada teknologi maklumat dengan membina naratif yang mereka inginkan. Apatah lagi jika pihak tersebut adalah sesebuah negara yang mempuyai resources yang banyak serta memiliki kepakaran yang tinggi dalam teknologi maklumat. Tentu sekali mereka mempunyai kelebihan dalam mengawal dan menawan pemikiran masyarakat umum seperti yang mereka kehendaki.

Inilah realiti hari ini yang mesti disedari, khususnya oleh umat Islam agar tidak menjadi mangsa yang mudah ditawan pemikirannya. Islam mendidik umatnya agar mempunyai sikap yang tidak suka pada khabar angin, mengata orang lain, membuka aib, adu domba dan sebagainya. Sikap sedemikian merupakan benteng penting yang dapat menjadi pelindung agar pemikiran tidak mudah ditawan berdasarkan naratif yang dibina oleh pihak-pihak tertentu. Selain itu, jati diri sebagai seorang muslim yang sentiasa berwaspada terhadap maklumat atau berita yang disebarkan dapat menjahuhinya daripada terjerumus dalam kancah fitnah yang sangat berleluasa ketika ini.