Sunday 5 January 2020

Tafsir Surah Al-Fatihah (Pengenalan)


1. Menurut riwayat surah Al-Fatihah merupakan surah ke lima yang diturunkan selepas surah Al-'Alaq, Al-Qalam, Al Mudaddsir dan Al-Muzzammil . Namun ada perbezaan pendapat dikalangan ulamak tentang surah Al-Qalam, Al Mudaddsir dan Al-Muzzammil, tentang surah mana yang turun terlebih dahulu, tiada berbezaan bahawa surah Al-'Alaq ada surah yang pertama diturunkan dan surah Al-Fatihah  adalah surah yang ke lima. Berbeza dengan 4 surah yang awal,ayat-ayat dalam surah tersebut diturunkan dalam waktu yang berbeza, tetapi surah Al-Fatihah diturunkan secara lengkap dalam satu masa dari ayat pertama hingga ayat yang terakhir.

2. Namu terdepat juga berbezaan pendapat dikalangan mufassirin tentang ayat Basmallah                بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحيمِ   adakah ianya sebahagian dari surah Al-Fatihah atau ianya hanya sebagai permulaan sesuatu surah seperti surah-surah yang lain. Kebanyakkan mufassirin berpendapat bahawa ayat بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحيمِ   bukan sebahagian dari surah Al-Fatihah, tetapi ianya adalah ayat yang terdapat dalam Al-Quran, ditulis dalam surat yang dikirim oleh Nabi Sulaiman kepada Ratu Saba’ dan ada hadis nabi yang menyebutkan bahawa tidak sempurna sesuatu perbuatan tanpa di mulakan dengan ayat   بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحيمِ. Bagi yang menerima Basmallah adalah sebahagian dari surah Al-Fatihah, maka imam akan membacanya dengan dengan suara yang kuat beserta dengan surah Al-Fatihah, bagi yang berpegang Basmallah bukan sebahagian dari surah Al-Fatihah maka mereka membacanya secara perlahan.

3. Surah AL-Fatihah bermaksud pembukaan kepada kitab sebab itu diletakkan dihadapan sekali sebagai pembukaan kepada Al-Quran. Dalam surah Al-Fatihah terdapat satu permintaan yang besar/doa yang kita minta daripada Allah SWT  اهدِنَا الصِّراطَ المُستَقيمَ  Tunjukilah kami jalan yang lurus”. Allah terus menjawab dalam surah Al-Baqarah, Al-Quran adalah petunjuk
ذٰلِكَ الكِتابُ لا رَيبَ ۛ فيهِ ۛ هُدًى لِلمُتَّقينَ  “Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa”.

4. Terdapat hadis yang menerangkan bahawa Allah SWT menerangkan surah AL-Fatihah dalam tiga bahagian. Bahagian pertama, tentang mengenali Allah SWT, ayat

الحَمدُ لِلَّهِ رَبِّ العالَمينَ
Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam
الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ
Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
مالِكِ يَومِ الدّينِ
Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat)
menerangkan tentang Allah SWT iaitu aqidah yang menjadi asas kepada keimanan atau kepercayaan. Bahagian kedua tentang pengakuan tentang kita akan menyembah Allah SWT
إِيّاكَ نَعبُدُ وَإِيّاكَ نَستَعينُ
Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
Selepas kita mengakui bahawa Allah SWT adalah tuhan kita, kemudian kita mengakui untuk menyembah Allah SWT dan mohon pertolongan daripadanNya. Bahagian yang ketiga
اهدِنَا الصِّراطَ المُستَقيمَ
Tunjukilah kami jalan yang lurus.

Kita meminta petunjuk daripada Allah SWT. Berdasarkan hadis daripada Rasulullah SAW, setiap kali kita membaca bahagian pertama, Allah menyatakan hambanya memujiNYA, hambaNYA, menggenaliNYA, hambaNYA bersyukur padaNYA. Kemudian bahagian kedua, Allah menyatakan hambaNYA komited untuk menyembahNYA, hambaNYA mengiktiraf untuk menyembahNya.
Apabila kita membaca اهدِنَا الصِّراطَ المُستَقيمَ, Allah menyatakan hambaNYA meminta dariNYA petunjuk dan pertolongan. Ini merupakan hak kepada Allah untuk memenuhi janjiNYA.

Umat Islam membaca surah Al-Fatihah 17 kali minimum sehari semasa menunaikan solat wajib. Jika ditambah dengan menunaikan solat-solat sunat, sudah pasti bilanganya jauh lebih banyak. Jadi kita perlu memahami maksud dan implikasi surah Al-Fatihah yang kita baca. Maka, apabila kita membaca surah Al-Fatihah dengan memahami maksudnya dan mengaitknya dengan diri kita semasa kita membacanya, maka kita akan faham banyak perkara tentang Islam, banyak petunjuk yang kita perolehi daripada surah Al-Fatihah. Membaca surah Al-Fatihah dengan memahami maksudnya dan dapat mengaitkan apa yang diterangkan dalam surah Al-Fatihah dengan kehidupan kita, tentu ianya akan memberikan pemahaman yang baik kepada kita mengenai Islam dan erti keimanan kita pada Allah SWT.  Wallahu a’lam.