Saturday 30 January 2021

Virus COVID-19


Tiada siapa yang menyangka bahawa dalam era di mana dunia sedang mengecapi perkembangan sains dan teknologi yang begitu canggih, terdapat sejenis virus yang diberi nama COVID-19 telah menyebabkan jutaan manusia terkorban dan ratusan juta telah dijangkiti. Ironinya, Amerika Syarikat sebagai negara paling maju, menjadi negara yang paling tinggi jumlah jangkitan dan turut menjadi negara paling tinggi dengan jumlah kematian akibat jangkitan virus COVID-19. Begitu juga dengan negara-negara maju di eropah seperti Britain, Perancis, Jerman, Itali dan Sepanyol turut tersenarai sebagai negara yang mempunyai jumlah jangkitan dan kematian yang tinggi. Setelah lebih setahun virus COVID-19 mula dikesan, masih belum ada petunjuk yang jelas bahawa virus COVID-19 dapat dihentikan sepenuhnya meskipun vaksin telah berjaya dihasilkan oleh beberapa buah negara. 


Ternyata virus COVID-19 telah memberikan impak yang sangat besar terhadap kehidupan manusia, impak yang tidak pernah terbayang akan berlaku. Tiada siapa yang menyangka, hanya kerana dengan sejenis virus, jutaan manusia terpaksa dikurung di rumah masing-masing selama berhari-hari bahkan ada yang sampai berbulan-bulan. Hanya kerana sejenis virus, ekonomi negara di seluruh dunia hampir lumpuh, ribuan perniagaan telah gulung tikar, jutaan manusia hilang pekerjaan dan sumber pendapatan. Hanya kerana sejenis virus, rutin kehidupan manusia berubah dengan sangat drastik, seperti tiada lagi kehidupan sosial. Hanya kerana sejenis virus, manusia hidup dalam penantian dengan persoalan apakah masih ada harapan pada hari esok. 


Impak pandemik COVID-19 yang sangat besar telah menyebabkan dunia seolah-olah berhenti berputar, kehidupan manusia menjadi suram dan hingar-bingar dunia menjadi sepi. Setiap hari kita dihidangkan dengan berita-berita yang menakutkan seperti kadar kematian semakin meningkat, ekonomi dunia merudum, semakin ramai yang hilang pekerjaan, sistem kesihatan hampir lumpuh, semakin ramai menghadapi masalah kesihatan mental dan banyak lagi. Pada awal penularan, negara-negara maju seperti terkedu dan tidak pasti bagaimana untuk memberikan reaksi terhadap virus COVID-19. Mereka seperti tidak dapat menerima hakikat bahawa kecanggihan teknologi sistem kesihatan yang mereka miliki tidak dapat menghalang virus COVID-19 daripada menimbulkan masalah kesihatan yang serius dalam negara mereka. Ditambah pula dengan rakyat mereka yang sudah sebati dengan idea kebebasan serta tahap kepercayaan pada kerajaan yang rendah menyebabkan langkah lockdown (kawalan pergerakan) yang di laksanakan oleh kerajaan mereka tidak dipatuhi dengan baik. Ini menyebabkan virus COVID-19 turut tersebar dengan sangat pantas dan tidak terkawal di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah.


Jepun sebuah lagi negara yang sangat maju dengan perkembangan sains dan teknologi juga sedang bergelut untuk membebaskan negara mereka daripada virus COVID-19. Sangat terdesak dengan tekanan sebagai tuan rumah sukan Olimpik Tokyo 2020 (telah ditangguh ke Julai  2021), kerajaan Jepun telah berusaha semaksima yang boleh untuk merelisasikan penganjuran sukan Olimpik Tokyo. Mana tidaknya RM83 bilion telah dilaburkan untuk persiapan penganjuran sukan tersebut. Namun,  peperangan menentang virus COVID-19 di bumi Ultraman masih belum ada tanda-tanda akan reda sepenuhnya dalam masa terdekat ini walaupun komitmen yang sangat tinggi telah dicurahkan oleh kerajaan Jepun.


Di sebalik apa yang berlaku kesan daripada virus COVID-19, menunjukkan keterbatasan dan kelemahan yang ada pada diri manusia. Sejauh mana kehebatan teknologi yang berjaya dihasilkan oleh manusia, hakikatnya ia jauh terlalu kecil jika ingin di bandingkan dengan  alam semesta yang dicipta oleh Allah SWT, bahkan manusia itu sendiri adalah ciptaan Allah SWT. Tetapi manusia sering menjadi sombong dan alpa dengan apa jua kelebihan yang dimilikinya, seoalah-olah dapat mengawal dan menentukan segala-galanya. Pandemik COVID-19, memperlihatkan kekayaan yang dimiliki oleh manusia boleh hilang dengan sekelip mata sahaja, hanya kerana sejenis virus. Begitu juga dengan kegembiraan dan keseronokan yang dikecapi dengan bermacam-mana aktiviti sosial, hiburan dan sebagainya, boleh terhenti secara tiba-tiba tanpa diduga.


Begitulah juga dengan hidup manusia, setiap yang bernyawa pasti akan mati, kematian datang tanpa diduga kerana ianya diluar dari kawalan manusia. Apabila ianya tiba, maka segala-gala yang dinikmati di dunia ini akan terhenti selama-lamanya, tidak ada jalan pulang atau peluang untuk kali kedua. Oleh itu, selain daripada perlu berikhtiar bersungguh-sungguh menangani pandemik COVID-19 agar kehidupan kembali normal seperti sedia kala, manusia harus sedar bahawa terdapat banyak perkara dalam kehidupan ini yang jelas menunjukkan manusia adalah makhluk yang lemah dan terbatas sifatnya. Hanya dengan sejenis virus, kehidupan manusia menjadi tidak tentu arah. Adakah manusia yang lemah dan terbatas sifatnya  layak untuk menghasilkan sistem kehidupan yang baik? Sudah tentu tidak. Sedarkah kita bahawa sistem demokrasi, kapatalis yang berasaskan kepada akidah sekular merupakan sistem kehidupan ciptaan manusia? 


Belenggu pemikiran barat bukan sahaja telah menyebabkan umat Islam memilih untuk diatur dengan sistem kehidupan ciptaan manusia. Tetapi, turut merasakan bahawa Islam tidak menunjukkan secara khusus dan terperinci sistem untuk mengatur kehidupan manusia sehingga berpandangan bahawa tidak salah untuk memilih apa jua sistem yang ada seperti sistem demokrasi dan sistem kapitalis. Jauh lebih parah, ada merasakan bahawa sistem Islam yang di amalkan oleh Rasulullah SAW dan para Khalifah sesudah baginda sudah tidak relevan untuk diamalkan ketika ini. Tidakkah mereka sedar bahawa Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah lengkap dengan sistem kehidupannya sekali. Hanya dengan sejenis virus sahaja, kehidupan di seluruh  manusia sudah seperti tidak keruan, sangat bongkak dan tidak sedar diri jika merasakan manusia layak untuk menghasilkan sistem kehidupan yang lebih baik daripada sistem kehidupan yang diturunkan Allah SWT.


Anda Mungkin Meminati


1. The influence of global economy on the path of Malaysian economic recovery

2. Campur Tangan Amerika Syarikat Dan Kuasa-kuasa Barat Ke atas Negara Umat Islam