Thursday, 12 December 2013

Siri 2 : Polemik Hudud Dalam Demokrasi


2. Hudud tidak dapat dijalankan di Malaysia kerana rakyat Malaysia tidak mengetahui tentang hudud.

Pihak yang perlu mengetahui dengan terperinci tentang segala perkara-perkara yang berkaitan dengan pelaksanaan undang-undang hudud ialah para pemerintah dan hakim serta para ulama/ilmuan Islam. Rakyat biasa cukup sekadar mengetahui  bahawa murtad, zina , mencuri, minum arak itu adalah haram. Apa yang dimaksudkan dengan mengetahui bukannya seseorang itu perlu tahu perkara-perkara yang berkaitan rukun dan syarat potong tangan atau sebat, tetapi cukup sekadar tahu keharaman perbuatan tersebut.

Dalam hal ini, sekali lagi kita lihat sikap hipokrasi dan penolakan secara ‘halus dan ilmiah’ oleh golongan yang mempertahankan pemerintah yang tidak menerapkan hudud dengan alasan ramai rakyat Malaysia tidak mengetahui tentang hudud. Apakah mereka tidak menyedari bahawa kebanyakkan rakyat Malaysia sendiri tidak mengetahui dengan terperinci tentang undang-undang berdasarkan Comman Law yang sedang dilaksanakan dalam kehidupan kita? Namun undang-undang berdasarkan Comman Law tersebut tetap juga dilaksanakan. Bahkan hakikatnya tokoh agama yang membawa hujah sedemikan, juga akan memerlukan khidmat peguam jika mereka terbabit dengan sebarang kes sama ada kes sivil ataupun jenayah, ini sesuatu yang normal dalam mana-mana tamadun manusia.
  
Dalam sejarah Islam sendiri jelas menunjukkan undang-undang Islam akan terus diterapkan di wilayah-wilayah yang baru dibuka sama ada melalui jihad atau pun tanpa melalui jihad. Tidak timbul soal rakyat dalam wilayah yang baru dibuka perlu mengetahui terlebih dahulu tentang hudud sebelum boleh diterapkan undang-undang hudud. Dapat diperhatikan bahawa tokoh-tokoh agama yang membawa hujah seperti di atas, berhujah dengan cara asal dapat membela pemerintah yang tidak menerapkan hudud tanpa memahami apa yang mereka sendiri perkatakan. Ini kerana mereka berhujah dalam kerangka ingin mempertahankan kemungkaran yang sedang dilakukan oleh pemerintah bukannya dalam kerangka bagaimana pemerintah harus untuk melaksanakan kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Maka sebab itulah keluar bermacam-macam hujah yang tidak konsisten dan tidak kena pada tempatnya. Sedangkan, Islam datang untuk membimbing atau memandu bagaimana untuk kita bertindak atau bertingkah laku. Dengan kata lain, sebelum melakukan sesuatu perkara perlu difahami terlebih dahulu hukum-hakamnya di dalam Islam dan bukannya menggunakan Islam untuk menjustifikasikan segala tindakan yang telah atau sedang dilakukan.

Bagi pihak yang tengelam timbul - tengelam timbul dalam memperjuangkan hudud, harus memuhasabah diri tentang bagaimana hudud dapat dilaksanakan secara sempurna seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT. Ini kerana, hudud adalah salah satu daripada undang-undang di dalam Islam, undang-undang lain seperti takzir dan qisas juga wajib diperjuangkan sama seperti hudud. Apa yang perlu difikirkan ialah jika diandaikan seperti sebuah tiang, sistem perundangan Islam (hudud, qisas, takzir) adalah salah satu tiang-tiang yang mesti ditegakkan bersama-sama dengan tiang-tiang yang lain seperti sistem ekonomi, sistem pendidikan, sistem pergaulan dan lain-lain lagi.

Uniknya sistem-sistem tersebut, ianya tiada yang lebih tinggi atau lebih rendah berbanding dengan yang lain tetapi ianya saling mengukuhkan antara satu dengan yang lain. Mengabaikan salah satu daripadanya akan mencacatkan atau merosakkan keseluruhan sistem Islam. Maka, sistem Islam itu harus ditegakkan secara keseluruhan tanpa memilih-milihnya mengikut kehendak hawa nafsu dengan alasan sistem Islam harus ditegakkan secara bertahap-tahap (taddaruj) Baca : Tadarruj: Dalih untuk menuruti hawa nafsu


Akhir sekali, tiang-tiang tersebut hanya dapat ditegakkan pada tapak yang telah ditetapkan oleh Allah iaitu Negara Islam. Tanpa Negara Islam, hudud dan sistem-sistem Islam yang lain tidak akan dapat ditegakkan secara sempurna. Oleh itu, laksanakanlah kewajipan menegakkan segala sistem yang telah diperintahkan oleh Allah SWT dengan menegakkan semula Negara Islam yang telah diruntuhkan pada 3 Mac 1924.


Thursday, 5 December 2013

Siri 1 : Polemik Hudud Dalam Demokrasi


Melaksanakan hudud dalam perundangan bernegara umat Islam merupakan kewajipan yang telah dijelaskan dengan nas yang qath’ie (muktamad). Kewajipan melaksanakannya adalah sama seperti kewajipan solat, puasa, membayar zakat dan lain-lain lagi. Tidak melaksanakan hudud hukumnya adalah berdosa sama seperti berdosannya meninggalkan kewajipan mendirikan solat, puasa dan membayar zakat.

Namun, perlu difahami bahawa hudud adalah undang-undang yang mesti dilaksanakan dalam bentuk bernegara bukannya secara berkelompok atau per individu. Negaralah yang berkewajipan untuk menerapkannya sebagai sebuah undang-undang negara. Umat Islam pada hari ini harus menyedari bahawa pelaksanaan hukuman hudud secara sempurna seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT tidak  mungkin akan dapat dilaksanakan dalam sebuah pemerintahan yang bukan Islam, hanya dengan sebuah sistem pemerintahan Islam hudud dapat dilaksanakan secara sempurna seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Oleh itu, adalah sesuatu yang tidak menghairankan apabila pada hari in tokoh-tokoh agama termasuk yang berada di Malaysia memberi bermacam-macam justifikasi ‘ilmiah’ mengapa hudud tidak dapat dilaksanakan, kerana asas mereka berfikir atau berhujah adalah bagaimana untuk melaksanakan hudud dalam konteks pemerintahan demokrasi. Sesiapa pun yang mengkaji struktur pemerintahan dan perundangan di Malaysia, sudah pasti akan dapat memahami dengan jelas bahawa, dengan struktur pemerintahan dan perundangan yang sedia ada di Malaysia adalah sesuatu yang mustahil untuk hudud diterapkan secara sempurna sebagai undang-undang negara seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT, sama seperti mereka melihat adalah mustahil untuk menanam buah epal di Dataran Kelantan. Namun, pada masa yang sama, tokoh-tokoh agama tersebut juga mengetahui bahawa melaksanakan hudud adalah merupakan kewajipan yang  sangat jelas di dalam Islam.

Oleh itu, lahirlah bermacam-macam justifikasi ‘licik’ untuk mengkompromikan pelaksanaan hudud yang telah diwajipkan oleh Allah dengan sebuah pemerintahan demokrasi yang tidak memungkinkan terlaksananya penerapan hukuman hudud secara sempurna. Antaranya :

1.     Hudud tidak boleh dibuat kerana keadaan tidak kondusif.

Mereka berhujah bahawa, suasana atau keadaan yang kondusif perlu dipersiapkan sebelum hudud dapat dilaksanakan. Hujahnya adalah berdasarkan ketika tindakan Khalifah Umar Al-Khattab yang tidak menghudud pencuri ketika berlaku musim kemarau. 

Ada banyak persoalan yang perlu dibahaskan daripada hujah tersebut, antaranya ialah apakah ukuran yang mereka gunakan untuk mengukur keadaan atau suasana yang kondusif? Kedua, sebenarnya undang-undanglah yang mengubah suasana, sama ada menjadi suasana yang baik atau tidak bergantung kepada keberkesanan undang-undang yang diterapkan. Misalnya jika undang-undang di Malaysia memberi pengiktirafan kepada golongan LGBT seperti yang dituntut oleh COMANGO, maka, semakin berleluasalah aktiviti-aktiviti golongan tersebut di Malaysia. Untuk mencegah dan menghapuskan terus golongan tersebut perlu ada undang-undang yang berkesan. Oleh itu, sebenarnya hujah yang menyatakan perlu ada suasana yang kondusif sebelum diterapkan hudud adalah hujah yang berdasarkan khayalan semata, yang tidak ada asas langsung.

Berbalik kepada peristiwa zaman Khalifah Umar Al-Khattab. Perlu difahami dengan jelas bahawa, pertama, pencuri tidak dihudud dalam peristiwa tersebut bermaksud pencuri tersebut  tidak dihukum dengan apa-apa hukum yang lain. Bukannya oleh kerana keadaan tidak kondusif maka pencuri tidak dihudud dan Khalifah Umar menghukum pencuri tersebut dengan hukuman lain. Pencuri tersebut tidak dihudud bermakna dia tidak dikenakan dengan apa-apa hukuman.

Berbeza dengan realiti pada hari ini, hudud tidak boleh dilaksanakan dengan alasan keadaan tidak kondusif tetapi pencuri dikenakan dengan hukuman yang lain,  iaitu hukuman berdasarkan Common Law. Sepatutnya, jika tokoh agama tersebut benar-benar ingin menggunakan alasan seperti peristiwa zaman Khalifah Umar, maka tokoh agama tersebut perlu menjelaskan kepada pemerintah pada hari ini, jangan dihukum para pencuri kerana keadaan keadaan dan suasana sekarang tidak kondusif.


Kedua, bagaimana dengan kesalahan-kesalahan hudud yang lain seperti zina, minum arak, murtad dan yang lain-lain, apa ukuran kondusif nya ? bersambung……..

Friday, 29 November 2013

Sambungan 1 - Rundingan Geneva 2 Adalah Strategi Amerika Dan Rusia Untuk Merampas Revolusi Umat Islam Syria


Sambungan….. ( Pada 25/11/2013, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon mengumumkan Rundingan Geneva II akan diadakan pada 22/01/2014) Halangan utama yang menjadi punca kepada kegagalan siri konspirasi yang dilakukan oleh Amerika untuk merampas revolusi umat Islam Syria ialah Syrian National Coalition tidak berjaya ditampilkan sebagai pihak yang mewakili umat Islam Syria yang bangkit menentang Rejim Bassar Assad. Sehingga kini, walaupun pelbagai konspirasi dan sandiwara yang telah dilakukan oleh Syrian National Coalition dengan bantuan Amerika untuk menampilkan atau menonjolkan diri sebagai pihak yang mewakili kebangkitan umat Islam Syria, namun ianya tidak berhasil kerana umat Islam Syria dan kumpulan-kumpulan jihad yang menentang Rejim Bassar Assad menyedari bahawa Syrian National Coalition adalah puppet Amerika yang ditubuhkan semata-mata untuk merealisasikan agenda Amerika di bumi Syria.

Oleh itu sudah pasti, apa yang Amerika dan sekutu-sekutunya akan cuba  untuk lakukan ialah pertama mengusahakan agar Syrian National Coalition atau apa jua nama yang diberikan selepas ini dapat ditampilkan sebagai pihak yang mewakili kebangkitan umat Islam Syria.  Apa yang paling penting Coalition tersebut mestilah mendapat kepercayaan daripada umat Islam Syria dan kumpulan-kumpulan jihad. Dengan kata lain, Coalition yang dibentuk dengan bantuan Amerika tidak akan memberi apa-apa makna kepada strategi Amerika,  jika Coalition tersebut tidak mendapat pengiktirafan daripada umat Islam dan kumpulan-kumpulan jihad. Ini kerana, kerajaan sementara yang ingin dibentuk oleh Amerika perlu mempunyai kuasa eksekutif yang penuh termasuklah mempunyai kuasa penuh terhadap ketenteraan dan keselamatan dalam negara.

Kedua, memberi sokongan kepada kumpulan-kumpulan jihad tertentu atau menyusup masuk ke dalam kumpulan-kumpulan jihad untuk menimbulkan perpecahan atau persengketaan dikalangan kumpulan-kumpulan jihad. Dengan itu, ianya akan memudahkan Coalition yang dibentuk oleh Amerika dapat berperanan dengan lebih berkesan untuk mengawal dan seterusnya membimbing kumpulan-kumpulan jihad tersebut.

Jika, kedua-dua strategi tersebut berjaya dilakukan oleh Amerika melalui agen-agen nya, maka kesudahan kebangkitan umat Islam Syria yang telah mengorbankan ratusan ribu umat Islam  akan berakhir seperti kebangkitan Umat Islam di Tunisia, Libya dan Mesir. Di mana, segala pengorbanan yang telah mereka lakukan selama hampir 3 tahun akhirnya dimanfaatkan oleh Amerika dan sekutu-sekutunya untuk meneruskan hegemony mereka di bumi Syria seperti yang telah mereka lakukan di Tunisia, Libya dan Mesir.

Maka disinilah pentingnya segala tindak-tanduk politik Amerika diperhatikan dengan penuh teliti agar segala perancangan dan konspirasi yang sedang atau akan mereka lakukan dapat diketahui dan seterusnya dibongkarkan. Harus diingat bahawa, Amerika akan sentiasa memperhalusi segala strategi mereka dan sentiasa mencari jalan agar percaturan yang mereka rancang di Syria akan berhasil. Segala topeng dan sandiwara akan Amerika gunakan demi tercapainya tujuan tersebut.  Oleh itu, umat Islam dan kumpulan-kumpulan jihad di Syria harus sentiasa diingatkan dengan segala bentuk strategi dan perancangan yang sedang atau akan dilakukan oleh Amerika dan sekutu-sekutunya…… bersambung


Friday, 15 November 2013

Rundingan Geneva 2 Adalah Strategi Amerika Dan Rusia Untuk Merampas Revolusi Umat Islam Syria

Kuasa-kuasa barat terutamanya Amerika dan Rusia sentiasa berusaha untuk merampas revolusi umat Islam Syria demi meneruskan hegemoni mereka ke atas bumi Syria. Kali ini, strategi yang mereka gunakan ialah dengan mengusahakan agar diadakan rundingan antara Rejim Bassar Assad dengan Syrian National Coalition. Rundingan yang sedang mereka usahakan bini dinamakan dengan Geneva 2 atau G -2 dan dijangkakan akan diadakan pada hujung bulan november ini. Matlamat utama yang ingin dicapai dalam rundingan tersebut ialah menamatkan peperangan dengan cara mengadakan rundingan untuk membentuk kerajaan sementara sebelum kerajaan baru dibentuk.

Usaha untuk diadakan rundingan Geneva 2 tersebut yang merupakan inisiatif daripada Amerika dan Rusia sebenarnya telah  dicadangkan untuk diadakan pada bulan Mei yang lalu tetapi kerap kali ditunda atas sebab tidak mendapat kesepakatan terhadap syarat-syarat yang diberikan antara wakil Bassar dengan wakil Syrian National Coalition yang diketuai oleh  Syrian National Council. Wakil Rejim Bassar menegaskan bahawa mereka tidak akan menyertai rundingan sekiranya terdapat syarat yang meminta Bashar al-Assad meletak jawatan sebagai Presiden Syria. Manakala,wakil pembangkang pula juga berkeras untuk tidak menyertai rundingan sekiranya Bassar Assad akan kekal sebagai Presiden Syria. Cadangan penyertaan Iran dalam rundingan tersebut juga menimbulkan banyak polemik samaada rundingan G-2 akan berjaya direalisasikan atau tidak

Rundingan Geneva 1 telah digerakkan oleh bekas Setiausaha Agung PBB iaitu Kofi Annan,  manakala usaha kearah mengadakan Rundingan G-2 pula pada kali ini gerakkan oleh Lakhdar Brahimi.  Tugas utama Lakhdar Brahimi yang merupakan duta Duta Liga Arab adalah sebagai orang tengah untuk membawa kedua-dua pihak iaitu Rejim Bassar Assad dan pembangkang yang diketuai oleh Syrian National Council ke Rundingan G-2.  Baru-baru ini Lakhdar Brahimi memberi bayangan kemungkinan G-2 akan ditunda lagi, namun beliau memberi harapan bahawa G-2 akan tetap dapat direalisasikan sebelum hujung tahun ini. Persoalannya, kenapa rundingan G-2 sering ditunda? Pembaca akan memahaminya setelah membaca keseluruhan artikel ini.

G-2 sebenarnya adalah konspirasi dan sandiwara terbaru yang dibuat oleh kuasa utama dunia pada saat ini iaitu Amerika dan Rusia untuk merampas revolusi umat Islam Syria. Sebelum, usaha untuk diadakan rundingan G-2, Amerika dan Rusia telah beberapa kali melakukan konspirasi untuk merampas revolusi umat Islam Syria, namun tidak berjaya. Antaranya, ialah melalui usaha damai yang di ketuai oleh Kofi Annan yang kini dikenali sebagai Geneva 1. Pada ketika itu Kofi Annan telah melancarkan Six-point peace plan for Syria sebagai transisi kearah pembentukan kerajaan baru dibentuk. Usaha licik tersebut telah gagal dan Kofi Annan meletakkan Jawatan pada August 2012 yang kemudiannya digantikan dengan seorang lagi agent Amerika iaitu Lakhdar Brahimi.

Untuk memahami konspirasi ini, perkara penting yang mesti difahami ialah siapa sebenarnya yang menjadi penentang kepada Rejim Bassar Assad? Adakah Syrian National Coalition yang diketuai oleh Syrian National Council merupakan pihak yang berperang mempertahankan rakyat Syria daripada kekejaman Rejim Bassar Assad? Adakah Syrian National Coalition merupakan wakil yang membawa aspirasi umat Islam Syria?

Jawapan soalan pertama, penentang sebenar yang beperang dengan Rejim Bassar Assad ialah pada saat ini dikenali sebagai Islamic coalition  yang terdiri daripada 13 kumpulan Jihad antaranya ialah Jubhat an-Nusrah, Ahrar ash-Sham, dan Liwaa at-Tawheed bukannya Syrian National Coalition. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat juga kumpulan-kumpulan penentang yang mendapat bantuan ketenteraan daripada Amerika. Perkara tersebut bukanlah sesuatu yang aneh kerana dalam percaturan perlu ada beberapa strategi yang digerakkan secara bersama demi mencapai agenda yang diinginkan, Amerika sangat mahir dalam hal ini. 

Kedua, Syrian National Coalition sebenarnya adalah pakatan yang diwujudkan atas sokongan Amerika untuk diangkat dan ditunjukkan sebagai mewakili penentangan rakyat Syria terhadap Rejim Bassar Assad. Amerika juga sebenarnya ingin menjadikan Syrian National Coalition sebagai Kerajaan Sementara selepas kejatuhan Rejim Bassar Assad. Syrian National Coalition yang ditubuhkan pada November 2012 di Doha Qatar pada mulanya melantik seorang bekas Imam iaitu Moaz Al-Khatib sebagai Presiden Syrian National Coalition, kemudian pada April 2013 Moaz Al-Khatib digantikan dengan George Sabra yang merupakan penganut Kristian Ortodox. George Sabra mengetuai Syrian National Coalition hanya selama 3 bulan, selepas itu Syrian National Coalition diketuai oleh Ahmed Jarba sehingga kini. Pertukaran demi pertukaran Presiden Syrian National Coalition ini sebenarnya berlaku kerana kegagalan Syrian National Coalition mendapat sokongan dan kepercayaan daripada rakyat Syria dan kumpulan-kumpulan jihad, dengan kata lain Syrian National Coalition hanyalah puppet yang diwujudkan dalam strategi Amerika dan sekutu-sekutunya untuk merampas revolusi rakyat Syria. 

Ketiga, Syrian National Coalition  yang ketika ini diketuai oleh Ahmed Jarba bukannya mewakili aspirasi rakyat Syria, tetapi mereka hanyalah puppet yang diwujudkan semata-mata untuk merampas revolusi rakyat Syria. Umat Islam Syria hakikatnya tidak mengiktiraf Syrian National Coalition dan memandang Syrian National Coalition  sebagai orang luar yang membawa agenda Amerika di Syria.

Atas sebab-sebab tersebut ramai pihak yang skeptical dengan keberhasilan untuk mengadakan rundingan G-2. Jika G-2 berjaya diadakan sekalipun, ianya tidak akan memberi apa-apa makna selagi tidak mendapat sokongan dan kepercayaan daripada rakyat Syria dan kumpulan-kumpulan jihad yang menentang rejim Bassad Assad. Namun, perlu diinsafi bahawa Amerika dan sekutu-sekutunya tidak akan berhenti berusaha dan mencari jalan untuk merampas revolusi umat Islam Syria…… bersambung


Tuesday, 5 November 2013

Ancaman COMANGO Terhadap Islam Di Sebalik Perjuangan Hak Asasi Manusia

Penilaian Penggalan Sejagat (Universal Periodic Review, UPR) di Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merupakan proses semakan berkala terhadap rekod Hak Asasi Manusia negara-negara anggota PBB. Semakan pertama terhadap laporan hak asasi di Malaysia telah dilakukan pada tahun 2009. Manakala, semakan pusingan kedua pula telah dilakukan pada 24 Oktober 2013 yang lalu. Pihak yang bertanggungjawab menyediakan laporan rekod hak asasi di Malaysia untuk dibentangkan di Majlis Hak Asasi Manusia PBB ialah Gabungan NGO-NGO Malaysia dalam Proses UPR atau lebih dikenali dengan COMANGO (Coalition of Malaysian NGOs in the UPR Process).

Tuntutan COMANGO terhadap pengiktirafan hak-hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan tuntutan agar murtad diiktiraf sebagai kebebasan beragama adalah bukti terkini bahawa umat Islam dan agama Islam di Malaysia semakin terancam. COMANGO menuntut agar dihapuskan peruntukan-peruntukan sedia ada yang melarang perlakuan LGBT supaya golongan tersebut diberikan hak dan kebebasan sama rata. Manakala, tuntutan agar murtad diitiraf di negara kita dilakukan dengan menuntut agar Malaysia  menandatangani International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR). Di mana, dalam Artikel 18 ICCPR mengandungi klausa the rights of religious freedom (hak kebebasan beragama) yang memberikan seseorang kebebasan untuk memilih agama atau kepercayaan termasuk hak seseorang untuk menukar agama yang dianuti. Tuntutan-tuntutan tersebut sebenarnya adalah manifestasi yang sangat jelas bahawa idea liberalisme dan pluralisme yang berselindung atas nama Hak Asasi Manusia, demokrasi dan kebebasan semakin berkembang di negara kita.

COMANGO yang merupakan gabungan daripada  kira-kira 54 NGO-NGO Hak Asasi yang terdapat di Malaysia termasuklah Sisters In Islam, SUARAM dan  Majlis Peguam berperanan merangka kandungan laporan mengenai hak asasi manusia untuk dikemukakan kepada UPR. Proses semakan oleh UPR ini boleh dijadikan sebagai satu tekanan kepada pihak kerajaan untuk meminda undang-undang yang sedia ada terhadap golongan LGBT dan murtad. Jika tuntutan COMANGO dipenuhi, ianya memberikan impikasi terhadap pengiktirafan orentasi seksual golongan LGBT serta membenarkan perkahwinan sejenis sama ada lelaki dengan lelaki atau perempuan dengan perempuan. Seterusnya jika Malaysia bersetuju menandatangani ICCPR, bermakna gelaja murtad dan penyebaran ajaran sesat diizinkan dari segi undang-undang berlaku secara berleluasa.

Pada proses UPR pusingan kedua bagi negara Malaysia, Pertubuhan-pertubuhan Islam dalam Proses UPR atau dikenali sebagai MuslimUPRo telah hadir sebagai pemerhati bagi pertubuhan masyarakat sivil (NGO) untuk meneliti setiap saranan atau tuntutan di dalam laporan COMANGO. Disamping itu MuslimUPRo juga melakukan penelitian terhadap respons dan persoalan-persoalan yang dikemukakan negara-negara anggota berkaitan rekod HAM Malaysia berdasarkan laporan yang dibentangkan oleh COMANGO. Hasilnya, banyak pendedahan yang telah dilakukan oleh MuslimUPRo terhadap usaha-usaha terancang yang dilakukan oleh COMANGO. Segala pendedahan yang telah dilakukan oleh MuslimUPro mengenai situasi terkini ancaman liberalisme dan pluralisme yang berlaku secara halus dan sistematik terhadap umat Islam di Malaysia haruslah diberikan kredit dan pujian. Pendedahan yang telah dilakukan oleh MuslimUPRo seharusnya membuka mata umat Islam di Malaysia khususnya Parti Politik Islam, NGO-NGO Islam dan pemimpin-pemimpan umat Islam tentang usaha berterusan yang sedang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu untuk menjauhkan ajaran Islam daripada kehidupan umat Islam di Malaysia.

Walaupun pendedahan ini dapat memberikan tekanan terhadap usaha dan matlamat COMANGO, namun harus disedari bahawa mereka sesekali tidak akan berhenti begitu sahaja. Apa yang pasti mereka sentiasa bersikap proaktif untuk mencari jalan bagi merelisasikan matlamat mereka dengan cara yang lebih sistematik dan halus serta menggunakan segala ruang undang-undang yang ada di dalam negara atau undang-undang di peringkat antarabangsa untuk menentang pihak-pihak terutamanya umat Islam yang cuba untuk menghalang matlamat mereka. Pada masa yang sama, harus disedari bahawa usaha memberikan tekanan kepada tuntutan COMANGO tidak dapat menghalang gelaja LGBT dan murtad terus berkembang di Malaysia. Misalnya pada tahun 2009 Expert Group Opinion on Estimation of Most at Risk Populations (MARPs) menganggarkan terdapat seramai 173,000 gay, 50,000 pekerja seks perempuan, 5,000 pekerja seks lelaki dan 5,000 transeksual di Malaysia. Berdasarkan anggaran yang dibuat oleh sebuah NGO yang dikenali sebagai Pink Triangle Foundation terdapat 10,000 Mak Nyah di Malaysia di mana 50.7% adalah Melayu, 27.5% Cina, 7.8% India dan 14% adalah daripada lain-lain kumpulan etnik minoriti.

Angka-angka seperti ini sudah pasti sungguh menakutkan bagi umat Islam. Jika tiada tindakan yang efektif dan konkrit daripada umat Islam tentu angka-angka tersebut akan terus meningkat dan tidak mustahil usaha yang diperjuangkan oleh COMANGO akhirnya akan terealisasi.
Oleh itu, beberapa langkah proaktif harus dilakukan oleh seluruh NGO-NGO dan Parti Politik yang ada di Malaysia khususnya yang bergabung di dalam MuslimUPRo. Antaranya:

Pertama, membentuk kesedaran secara intektual bukannya secara emosional kepada keseluruhan umat Islam mengenai isu ini. Ini boleh dilakukan dengan beberapa cara terutamanya melalui siri ceramah atau dialog dengan cara yang lebih menyeluruh dengan penglibatan lebih ramai wakil-wakil daripada NGO-NGO Islam serta wakil-wakil daripada pemimpin-pemimpin politik Islam.  Maka, untuk itu disarankan agar MuslimUPRo bertindak proaktif sebagai penganjur untuk mengerakkan usaha tersebut
.
Kedua, melakukan kajian secara menyeluruh dan terperinci terhadap gelaja LGBT dan murtad yang sedang berlaku di Malaysia. Kajian haruslah merangkumi:
  1. Statistik LGBT dan murtad di Malaysia
  2. Punca kepada gejala LGBT dan Murtad
  3. Keberkesanan Undang-undang yang sedia ada untuk mencegah berlakunya LGBT dan Murtad.

Kajian tersebut boleh dilakukan secara berasingan atau bersama-sama antara NGO-NGO Islam. Oleh itu, penyertaan daripada NGO-NGO Islam haruslah digalakkan dan dialu-alukan. Kemudian hasil kajian tersebut perlu dibentangkan dalam satu majlis yang dihadiri oleh NGO-NGO Islam yang terlibat.

Ketiga, menyedari hakikat bahawa Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR) adalah senjata halus yang digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk memerangi umat Islam. Antara Intelektual yang terlibat membuat draf UDHR ialah seorang Kristian Katolik Lebanon yang bernama Charles Habib Malik. Beliau juga merupakan intelektual penting disebalik penubuhan Miltia Kristian Phalangist yang telah melakukan pembunuhan kejam secara beramai-ramai umat Islam Palestin di Sabra dan Chatila pada tahun 1982. Umat Islam sama sekali tidak boleh meletakkan harapan walau sedikit pun bahawa UDHR merupakan platform yang dapat digunakan untuk menjaga dan membela hak umat Islam. 

Musuh-musuh Islam di Barat sering menggunakan UDHR sebagai senjata untuk menyerang dan menghina agama Islam. Lebih menyedihkan dan membimbangkan apabila terdapat juga sebilangan umat Islam termasuklah di Malaysia menggunakan definasi Hak Asasi Manusia Barat dan UDHR untuk menyerang dan menyelewengkan kefahaman ajaran Islam. Ternyata idea dan hujah yang mereka bawa selari dengan tuntutan yang diperjungakan oleh COMANGO. Sebenarnya, apa yang paling utama ialah umat Islam mestilah meyakini dengan sepenuh hati dan memanifestasikannya dalam perbuatan tentang peringatan Allah SWT mengenai hati budi orang-orang kafir terhadap umat Islam. Allah SWT berfirman.

"Sekali-kali tidak akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehinggalah kamu mengikut jalan-jalan hidup mereka." (TMQ : Al Baqarah: 120)

Keempat, menginsafi bahawa segala musibah serta serangan secara fizikal dan pemikiran yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam terhadap umat Islam adalah kerana umat Islam di Malaysia dan umat Islam di seluruh dunia umumnya tidak menjadikan wahyu Allah SWT yang diturunkan melalui Al-Quran dan As Sunnah sebagai aturan hidup secara keseluruhannya. Oleh itu, NGO-NGO Islam perlu ada Misi dan Visi yang jelas untuk memperjuangkan pelaksanaan secara keseluruhan perintah dan larangan Allah yang terdapat di dalam Al-Quran dan As Sunnah seperti yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah dan Khalifah-khalifah sesudah baginda.


Umat Islam harus memandang dengan sangat serius tentang usaha penyebaran idea liberalisme dan pluralisme yang semakin menular di negara kita. NGO-NGO atau Jemaah-jemaah Islam harus berperanan seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT sebagai penjaga urusan umat Islam, bukannya hidup dan berjuang di dalam dunianya sendiri tanpa mengambil tahu dan berperanan aktif dalam menyelesaikan dan mengurusi masalah umat Islam seperti yang diperintah oleh Allah SWT.