Friday, 18 October 2013

Kebangkitan Rakyat Syria

Konfik Syria yang telah berlangsung hampir tiga tahun telah mengorbankan puluhan ribu nyawa dan ratusan ribu telah menjadi pelarian di negara-negara lain. Pada mulanya, ketika negara-negara arab yang lain seperti Tunisia, Libya dan Mesir sedang dilanda dengan kebangkitan rakyat dipanggil dengan arab spring, Syria pada ketika itu digelar sebagai ‘ Kingdom Of Silent’ kerana seolah-olah tidak terkesan langsung dengan arab spring tersebut. Namun setelah arab spring reda di negara-negara arab yang terlibat, kebangkitan yang luar biasa dan memakan masa yang begitu panjang telah berlaku di negara yang ketika arab spring berlaku dikenali sebagai ‘ Kingdom Of Silent’.

Pada masa yang sama kita menyaksikan betapa kuasa-kuasa besar terutamanya Amerika telah begitu sibuk untuk ‘menguruskan’ kebangkitan rakyat Syria ini. Pelbagai macam penyelesaian politik yang telah dicuba oleh negara-negara besar terutamanya Amerika untuk ‘menyelesaikan’ konfik yang sedang melanda di Syria. Ini bukan kali pertama Amerika bertindak selaku ‘penyelesai’ kepada konfik yang menimpa sesebuah negara, Amerika telah melakukannya di Mesir, Afganistan Iraq dan lain -lain negara. Namun, sehingga kini Amerika masih belum berjaya melakukannya di Syria walaupun pelbagai percaturan politik telah dilakukan oleh Amerika. Kenapa?

Kebangkitan rakyat Syria sebenarnya sangat berbeza dan luar biasa berbanding dengan kebangkitan di negara-negara arab yang lain. Ada perkara penting yang harus kita akui, iaitu 

Kita takkan mampu memahami apa yang sedang dilalui oleh rakyat Syria
Kita takkan mampu memahami bagaimana penderitaan yang telah mereka alami sepanjang pemerintahan rejim Assad…

Kita takkan mampu untuk memehami kesedihan kehilanggan anggota keluarga yang dibunuh oleh rejim Assad….

Kita takkan mampu memahami bagaimana perasaan ketika ibu, isteri dan adik beradik perempuan dirogol didepan mata…..

Kita mampu memahaminya sehingga kita sendiri yang mengalaminya.

Kita takkan mampu untuk merasai nikmat keimanan dan penyerahan mutlak kepada Allah pertolongan Allah seperti umat Islam di Syria pada saat ini... 

Bukan sikit yang mereka korbankan untuk terus berjuang bagi mencapai kemenangan. Pengorbanan mereka demi mencapai kemenangan sunggu luar biasa, sungguh luar biasa. Semoga Allah memerikan balasan yang setimpal diatas segala pengorbanan mereka, dan sudah pasti itu yang mereka harapkan. Hanya keimanan dan penyerahan mutlak kepada Allah SWT sahaja yang mampu memberikan kekuatan sehingga mereka mampu bertahan sehingga kini dan mampu melakukan pengorbanan sedemikian.

Lalu, kemenangan apakah yang diimpikan oleh rakyat Syria?

Kebebasan Demokrasi?!

Negara Sivil Sekular?!

Apakah itu yang diharapakan oleh kebangkitan rakyat Syria? Apakah pengorbanan dan perjuangan serta penyerahan mutlak mereka kepada Allah untuk mencapai kemenangan tersebut?!

Sudah pasti TIDAK! TIDAK SAMA SEKALI.

Tidak dapat dinafikan Amerika telah melakukan percaturan-percaturan politik ‘high-level’ demi merampas dan seterusnya memandu kebangkitan rakyat Syria. Amerika dengan mudah telah berjaya melalukannya di Mesir, tetapi tidak di Syria. Kenapa?

Sudah pasti kerana rakyat kesedaran politik secara keseluruhan rakyat Syria yang begitu tinggi dan rakyat Syria hakikatnya inginkan ‘ The Real Change ’..... ( bersambung… tentang kupasan kesedaran politik dan real change)

Thursday, 10 October 2013

JOHN KERRY WAKIL OBAMA SEDANG BERADA DI MALAYSIA : ADA KUKESAH ?

Amerika merupakan sebuah negara yang dibangunakan berdasarkan ideologi Kapitalis, dengan ideologi Kapitalislah maka terbentuklah sebuah negara Amerika yang ada pada hari ini. Sebagai sebuah negara di mana ideologi kapitalis sudah berakar umbi di dalam sistem kehidupan masyarakatnya ,maka segala bentuk arah tuju/dasar negara Amerika adalah berdasarkan tuntunan ideologi kapitalis.

Benua yang kini menjadi tapak kepada pembentukan negara Amerika, suatu ketika dahulu adalah merupakan sebuah destinasi bagi kebanyakkan masyarakat Eropah yang mengalami penindasan politik dan agama untuk mencari kebebasan dan kehidupan yang lebih baik 'American Dream'. Generasi awal Amerika telah memperjuangkan kebebasan yang mereka dampakan dengan nyawa dan darah mereka. Mereka juga sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan kebebasan dan kemewahan kehidupan yang telah mereka kecapai hasil tuntunan ideologi kapitalis. Ideologi kapitalislah yg menjadi pemandu kepada segala dasar dan halatuju Amerika dalam mempertahankan dan mengembangluaskan kebebasan serta kemewahan hidup yg mereka kecapi.

Motivasi utama dalam ideologi kapitalis ialah manfaat/faedah. Sebarang keputusan yang ingin diambil adalah berdasarkan motivasi manfaat, sanggup melakukan apa sahaja asalkan manfaat yang diinginkan tercapai. Begitulah bagaimana Amerika melaksanakan dasar luar negaranya adalah berdasarkan manfaat. Hak asasi, kemanusiaan, kebebasan, demokrasi dan lain-lain sebagainya hanyalah merupakan bahan justifikasi demi mencapai manfaat yang diinginkan. Umum mengetahui hubungan erat Amerika dengan negara pemerintah Arab Saudi, Husni Mubarak sebelum kejatuhannya, Bassar Assad dan banyak lagi negara-negara arab yang tidak melaksanakan pemerintahan secara demokrasi. Namun tetap mendapat sokongan Amerika kerana negara-negara tersebut dapat memberikan manfaat kepada Amerika. Dalam pada masa yang sama Amerika telah menjarah bumi Iraq atas alasan kononnya ingin melaksanakan demokrasi. Ratusan ribu nyawa telah terkorban dan tanah iraq kini telah menjadi tanah yang beracun kesan penggunaan senjata kimia yang digunakan untuk membunuh rakyat iraq.

Mana slogan hak asasi dan dasar kemanusian? Itulah Amerika, yang tidak pernah mempedulikan berapa ramai yang harus mereka bunuh demi mencapai manfaat yang dicita-citakannya. Slogan hak asasi dan dasar kemanusian hanya akan digunakan apabila diperlukan untuk mencapai manfaat yang diinginkan. Amerika tidak pernah peduli, walau suatu ketika dahulu Saddam Hussein merupakan agen yang begitu setia. Bagi Amerika peranan Saddam Hussein telah berakhir, Saddam Hussein sudah tidak dapat lagi memberikan manfaat kepada Amerika. Muammar Ghadafi juga mengalami nasib yang sama. Tunggulah kamu wahai pemerintah yang menjadi agen kepada Amerika, kamu juga akan mengalami nasib yang sama bila sudah tidak memberikan manfaat kepada Amerika. Bagi Amerika segala-galanya adalah manfaat.

Setelah memahami bahawa Amerika adalah sebuah negara kapitalis di mana manfaat adalah tunjang utama kepada setiap tindakannya, maka secara umumnya dapatlah kita membaca segala dasar yang dilakukan oleh Amerika terhadap sesuatu negara adalah semata-mata berdasarkan manfaat. Perbezaannya hanyalah cara/pendekatan yang digunakan. Ini kerana keadaan/situasi semasa sesebuah negara adalah berbeza. Amerika sebagai sebuah negara superpower sudah pasti mempunyai ramai think tank dari segala bidang yang dapat digemlingkan untuk mencari formula yang terbaik bagi melaksanakan sesuatu pendekatan/cara terhadap sesebuah negara demi mencapai manfaat bagi Amerika. Amerika cukup arif dalam hal ini kerana selain mempunyai think tank yang hebat, Amerika juga mempunyai pengalaman terlibat dalam banyak peperangan. Sudah pasti pengalaman tersebut menambahkan lagi kematangan dan kelicikan Amerika dalam mengatur pendekatan atau strategi.

Maka, apakah John Kerry yang menjadi wakil Presiden Amerika Barack Obama datang ke Malaysia tidak mempunyai sebarang strategi untuk mendapatkan sebarang manfaat bagi negara Amerika??? Apakah para think tank Amerika tidak memikirkan cara/pendekatan bagaimana untuk memperolehi manfaat daripada Malaysia??? Sudah pasti Ya, kerana itulah negara Amerika sebuah negara Kapitalis, manfaat adalah segala-galanya.

Presiden Amerika termasuklah Barack Obama hanyalah salah satu daripada jejari roda yang bergerak dalam roda kapitalis. Terdapat banyak lagi jejari roda yang membantu agar roda kapitalis terus bergerak dengan kukuh dan stabil, jika salah satu jejari roda tercabut, ianya tidak akan dapat menghalang roda itu terus berpusing kerana terdapat banyak lagi jejari roda yang lain akan terus berfungsi untuk memastikan roda tersebut terus berpusing. Begitulah Amerika, tunjang utamanya bukan hanya pada Presidennya tetapi pada semua struktur atau komponen yang membentuk negara Amerika. Oleh itu Barack Obama yang dipilih secara majoriti oleh rakyat Amerika tidak akan dapat bertindak sendirian, tetapi segala tindakannya adalah mewakili aspirasi Amerika, sebuah negara kapitalis. Oleh itu, jangan sesekali terpedaya dengan watak peribadi setiap Presiden Amerika, kerana walau siapa pun Presiden Amerika, dia adalah Amerika, dia membawa aspirasi rakyat Amerika, dia membawa Aspirasi negara kapitalis.

Kejahatan Amerika terhadap umat islam tidak diperlu dibuktikan lagi, semua umat islam termasuk umat islam di Malaysia tahu akan perkara ini. Apabila umat islam dibunuh di Palestin, Iraq, Afganistan maka kita dapat saksikan kemarahan umat islam di Malaysia terhadap Amerika begitu membara. NGO-NGO islam, para penceramah, Iman-imam dan parti politik akan mengadakan demonstrasi, solat hajat, menghantar surat bantahan, mengadakan ceramah dan sebagainya sebagai cara menunjukkan kemarahan umat islam terhadap kejahatan Amerika. Kini, wakil Presiden Amerika iaitu John Kerry sedang berada di Malaysia. Apakah para NGO-NGO islam, para penceramah, imam-imam dan tokoh politik sudah melupakan segala kejahatan yang telah dilakukan oleh Amerika terhadap umat islam? Jika tidak, kenapa tidak melakukan sesuatu yang menunjukkan kemarahan dan kebencian umat islam terhadap negara Amerika dengan kedatangan wakil Presidennya di Malaysia?

Pemilihan Agung UMNO 2013 : Ke Mana Halatuju Malaysia?

Pemilihan Agung UMNO pada kali ini menggunakan format baru di mana seramai 150000 perwakilan diberikan kuasa untuk memilih Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO. Dalam format lama hanya memperuntukkan 2500 perwakilan sahaja. Pengenalan format baru ini bertujuan: 

1. Meremajakan parti
2. Menjadikan UMNO lebih demokratik
3. Membendung gejala politik wang

Sejauh mana keberkesanan format baru ini dapat mencapai objektifnya? Kita boleh nilai selepas pemilihan berlangsung.

Terdapat beberapa cabaran Pemilihan Agung UMNO 2013 pada kali ini antaranya :

1.    Banyak Pihak Berkepentingan

Sebagai sebuah parti politik yang telah menjadi tulang belakang kepada pemerintahan negara sejak mencapai kemerdekaan sudah pasti ramai mereka yang telah bersama UMNO telah mencapai kejayaan dan kesenangan hidup. Mereka yang telah menikmati kejayaan/kesenangan ini sudah pasti akan berusaha untuk terus mengecapinya. Keadaan ini telah menyebabkan lahirnya banyak pihak yang berkepentingan di dalam UMNO, di mana misi utama perjuangan mereka bukan lagi atas perjuangan parti semata-mata tetapi yang lebih utama ialah atas dasar kepentingan masing-masing. Sangat sukar atau boleh dikatakan mustahil untuk kita pada masa kini mendapati perjuangan ahli-ahli UMNO adalah semata-mata kerana perjuangan parti tanpa tercalit dengan perjuangan yang dipengaruhi oleh kepentingan peribadi. Oleh itu, adalah sesuatu yang tidak menghairankan apabila budaya cantas-mencantas, membeli undi, sabotaj dan lain-lain  wujud begitu subur dalam UMNO sehingga budaya tersebut sudah seperti tidak dapat dibuang lagi.

2.    Tidak Melahirkan Pemimpin Pelapis .

Agak sukar untuk UMNO mencari pahlawan yang berkaliber untuk berhadapan dengan pahlawan dari pihak pembangkan. Sehingga UMNO sering dicabar untuk berdebat dengan pahlawan pihak pembangkang, namun kita dapati cabaran tersebut sering tidak disahut oleh UMNO. Kita juga mendapati kebanyakkan pemimpin-pemimpin UMNO tidak dapat berhujah dengan baik seperti yang ditunjukkan oleh para pemimpin dari pihak pembangkang dalam membawa sesuatu isu. Ada penganalisis politik yang mengatakan perkara ini berpunca kerana secara keseluruhannya UMNO tidak melahirkan pemimpin pelapis tetapi hanya melahirkan pemimpin pelapik. Proses melahirkan kepimpinan pelapik ini berlaku kerana mereka yang telah berada di atas sentiasa berusaha untuk terus menerus berada di atas tampuk pemerintahan. Caranya ialah menyekat atau mencantas mana-mana individu yang kelihatan mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang boleh mengugat mereka. Di samping, menaikkan individu-individu yang mereka boleh jadihkan hanya sebagai pemimpin pelapik yang hanya berfungsi untuk membantu ‘mengetatkan’ kedudukan mereka apabila berada dalam keadaan yang longgar.

3.    Budaya Hipokrasi

Oleh kerana misi utama perjuangan kebanyakkan ahli-ahli UMNO adalah atas kepentingan peribadi dan pemimpin-pemimpin yang dinaikkan adalah bertaraf pemimpin pelapik, maka ianya secara langsung telah menyuburkan budaya hipokrasi dalam UMNO.  Budaya hipokrasi ini telah menyebabkan budaya memberikan  pandangan yang kritis dan membina tidak subur dalam UMNO. Namun yang subur ialah budaya ‘angguk-angguk’, ‘betul-betul’ dan  puji-memuji sehinggakan UMNO tidak dapat memahami kehendak rakyat yang sebenar dan akhirnya gagal dalam merangka pendekatan yang tepat untuk mendekati pelbagai golongan rakyat.

4.    Tekanan Daripada Perkembangan Perjuangan Transformasi Politik Oleh Pihak Pembangkang.

Walaupun pembangkan tidak berjaya menakluki Putrajaya pada pilihanraya ke 13, namun dapat diperhatikan kematangan dan kewibawaan kebanyakkan ahli-ahli politik pihak pembangkan semakin terserlah. Mereka mampu hadir bukan sahaja dengan mengkritik dasar/formula yang diambil oleh pihak kerajaan terhadap sebarang masalah/isu yang menimpa negara tetapi juga mampu memberikan penyelesaian - penyelesaian alternatif yang semakin meyakinkan dan mudah untuk difahami oleh rakyat.


Oleh kerana sehingga hari ini UMNO merupakan peneraju utama dalam pemerintahan negara, maka apa yang menimpa UMNO secara langsung akan memberikan kesan terhadap masa depan negara. Antaranya :

1.    Kepimpinan Negara Akan Diterajui oleh Kepimpinan Pelapik

Berdasarkan cabaran yang sedang dihadapi oleh UMNO sangat sukar untuk UMNO melahirkan generasi kepimpinan yang benar-benar mantap dan mempunyai kemampuan kepimpinan yang tinggi. Jika memang ada mereka yang benar-benar mempunyai kemampuan kepimpinan yang baik, namun cabaran dan realiti terkini dalam UMNO telah mendesak mereka untuk lebih memikirkan ‘survival politic’ mereka berbanding kepentingan perjuangan parti, di mana akhirnya mereka juga akan terbentuk sebagai menjadi kepimpinan pelapik.

2.    Tidak Dapat Memberikan Perancangan Yang 100 Peratus Demi Kepentingan Negara

Oleh kerana wujudnya budaya cantas-mencantas atau tikam dari belakang, maka, walaupun pemilihan telah dibuat namun mereka yang telah menang pasti tidak akan merasa selamat daripada pesaing mereka. Begitu juga mereka yang telah kalah atau mereka yang tidak boleh menunggu dengan lebih lama lagi untuk menduduki kerusi yang diidamkan, pasti akan sentiasa berusaha mengintai peluang untuk menduduki kerusi yang diidamkan. Hal ini sudah pasti akan menyebabkan tumpuan 100 peratus kepada perancangan negara tidak dapat dilakukan.

3.    Negara Akan Terjerumus Ke dalam 1001 Macam Masalah

Apabila negara dipimpin oleh mereka yang tidak berkemampuan dan tidak 100 peratus menumpuhkan terhadap pentadbiran negara maka sudah pasti 1001 macam masalah akan menimpa. Ibarat menyerahkan sebuah syarikat perniagaan kepada mereka yang tidak mampu dan tidak tahu tentang perniagaan. Kesannya perniagaan bukan sahaja tidak berkembang, malah hutang akan turut bertambah yang boleh membawa kepada kebangkrapan. Bahkan, perniagaan tersebut mungkin akan diambil alih oleh pihak lain. Begitu juga halnya dengan pentadbiran negara. Pihak yang akan terkena secara langsung kesannya sudah pasti adalah rakyat, kehidupan semakin sempit, keselamatan semakin tidak terjamin dan bermacam-macam lagi.

Rumusan

Pada pandangan penulis sangat sukar atau boleh dikatakan tidak mungkin untuk UMNO mampu untuk bangkit semula. Ini kerana, cabaran atau masalah yang sedang menimpa UMNO seolah-olah sudah tidak dapat diselesaikan lagi. Jika ada penyelesaian terbaik yang dapat difikirkan sekali pun, ianya pasti tidak dapat dilaksanakan kerana ianya tentu memerlukan pengorbanan yang sangat tinggi terutamanya daripada pemimpin-pemimpin utama dalam UMNO, pengorbanan terutamanya dari segi kedudukan dan  kepentingan. Sanggupkah pemimpin-pemimpin utama ini lakukan?

Kerajaan perpaduan terutamanya dengan PAS mungkin merupakan satu-satunya alternatif yang dapat dilakukan untuk menjadikan UMNO terus relevant dalam politik Malaysia. Sejauh mana ianya dapat direalisasikan, ianya bergantung sejauh mana keberkesanan sentiment melayu dimainkan.