Showing posts with label PRU14. Show all posts
Showing posts with label PRU14. Show all posts

Wednesday, 30 August 2017

Malaysia Menuju PRU14: Bersendirian Atau Bekerjasama ?


Jika pertandingan tiga penjuru terjadi dalam PRU14, ianya sudah pasti akan memberikan sedikit kelebihan kepada Barisan Nasional (BN). Perkara ini merupakan satu hakikat yang memang disedari oleh kedua-dua pihak sama ada pihak Barisan Nasional sebagai parti yang ingin mengekalkan kuasa mahupun pihak pembangkang. Oleh itu, BN yang kini diketuai oleh Dato Seri Najib sudah tentu sangat menginginkan agar pertandingan tiga penjuru benar-benar terjadi dalam PRU14 yang akan datang. Ini kerana, berlakunya pertandingan tiga penjuru merupakan petunjuk bahawa pakatan pembangkang tidak bersatu secara kukuh dan ianya sudah tentu akan memberikan kelebihan kepada BN.


Halangan utama untuk barisan pembangkang membentuk pakatan yang kukuh bagi menghadapi BN dalam PRU14 adalah kerana parti PAS ketika ini tidak berada dalam pakatan yang sama dengan pembangkang. PAS masih lagi mengambil sikap untuk bersendirian, tidak bersama BN dan tidak juga bersama Pakatan Harapan (PH). Namun, PAS juga sedar bahawa bersendirian dalam mengahadapi PRU14 bukanlah strategi yang tepat. Oleh itu, dapat diperhatikan masih ada usaha-usaha yang lakukan oleh kepimpinan PAS untuk menetapkan posisi mereka, sama ada akan bersama BN ataupun PH. Jika PAS berada bersama-sama dengan PH sehingga wujud kesepakatan satu lawan satu di antara  PH dengan BN, maka sudah tentu peluang kemenangan akan berpihak kepada PH.


Oleh itu, Dato Seri Najib dan para pemimpin BN sudah tentu akan berusaha untuk menghalang PAS daripada menyertai atau bekerjasama dengan PH. Namun begitu, BN juga pada hakikatnya tidak ingin PAS bergabung menyertai BN kerana akan menimbulkan masalah besar dari segi pembahagian kerusi dan juga adanya perbezaan ideologi perjuangan. Secara idealnya, BN akan mendapat kelebihan yang besar dalam PRU14 jika PAS kekal dengan pendirian sekarang iaitu bersendirian agar pertembungan tiga penjuru akan terjadi dalam PRU14. Dengan kata lain, BN hanya memerlukan PAS untuk melemahkan barisan pembangkang bukan untuk menguatkan BN.  


Sebelum ini, masih ada usaha yang dilakukan oleh pimpinan PKR untuk mendekati PAS agar kerjasamsa bagi menghadapi PRU14 dapat dilakukan. Namun baru-baru ini, pimpinan PH termasuklah pimpinan PKR akhirnya telah membuat keputusan sebulat suara untuk tidak bekerjasama dengan PAS dan bersedia menghadapi pertandingan tiga penjuru dalamPRU14. Pendirian tersebut terpaksa diambil mungkin kerana pimpinan PH menjangkakan PRU14 sudah semakin hampir dan perlu ada satu halatuju yang jelas bagi mudahkan strategi dapat disusun dengan lebih berkesan. Dengan kata lain, Pakatan Harapan sudah membuat keputusan untuk menghadapi kemungkinan berlakunya pertandingan 3 penjuru diantara 3 pihak yang berpengaruh iaitu BN, PH dan PAS.


Dalam keadaan sedemikian, PAS sudah tentu tidak ingin hanya menjadi pihak yang berperanan sebagai pemecah undi, sebaliknya PAS juga inginkan kemenangan. Namun ianya tentu sahaja  sukar dan mencabar kerana taburan pengundi hampir di setiap kerusi sama ada DUN mahupun Parlimen terdiri daripada pelbagai pengundi yang mempunyai sokongan politik yang berbeza-beza. Maka sebab itu, sejak PRU yang pertama lagi pada tahun 1955, parti yang berjaya meraih menang kebanyakkannya adalah parti yang mengadakan kerjasama dengan parti-parti lain. Berdasarkan rekod sepanjang PRU sebelum ini, PAS  mencapai kemenangan yang lebih baik apabila menjalinkan kerjasama dengan parti-parti lain berbanding bertanding secara bersendirian. Inilah hakikatnya lanskap politik demokrasi di Malaysia yang mesti diakui jika ingin mencapai kemenangan dalam PRU.


Oleh sebab itu, mana-mana parti politik yang bercita-cita untuk memegang tampuk pemerintahan tidak boleh berkeras atau bertegas dengan prinsip perjuangan parti masing-masing, mesti ada sikap tolak ansur dan membuat keputusan bersama-sama secara konsensus. Sikap sedemikianlah yang selama ini diamalkan dalam BN dan begitu jugalah apa yang sedang diamalkan dalam PH ketika ini. Parti Amanah Negara (PAN) walaupun terdiri daripada ramai pemimpinya yang mempunyai latar belakang sebagai pejuang Islam, namun mereka harus mengikut rentak perjuangan yang di persetujui secara bersama-sama oleh PKR, DAP dan PBBM. Oleh itu, mereka tidak mempunyai pilihan lain melainkan perlu mengkompromikan Islam yang ingin mereka perjuangkan dengan perjuangan yang dibawah oleh PKR, DAP dan PBBM.


Maka, bagi PAS, pilihan yang ada adalah sama ada berjuang secara bersendirian atau berkejasama dengan parti-parti yang lain bergantung kepada risiko mana yang ingin diambil. Jika bertanding secara bersendirian, risikonya adalah akan kalah dikebanyakkan kerusi yang telah dimenangi sebelum ini bahkan cengkaman ke atas negeri Kelantan juga berisiko untuk terlepas. Sebaliknya, menjalinkan kerjasama dengan parti-parti politik lain, maka mesti bersedia untuk bertolak ansur dengan prinsip perjuangan. Itu sahajalah pilihan yang ada dalam lanskap politik pilihanraya-demokrasi di Malaysia.


Anda Mungkin Juga Meminati :

Thursday, 13 October 2016

Politik Malaysia Menuju PRU14

Cabaran utama yang sedang dihadapi oleh parti pembangkang sebelum menghadapi PRU14 ialah bagaimana untuk mewujudkan kesepakatan sesama mereka agar satu lawan satu menentang Barisan Nasional dapat direalisasikan pada PRU14 nanti. Para pemimpin parti pembangkang sedar bahawa hanya dengan pertandingan satu lawan satu di semua kerusi Parlimen dan DUN yang dipertandingkan akan dapat menumbangkan kerajaan Barisan Nasional di peringkat persekutuan maupun di peringkat negeri. Mereka juga sedia maklum bahawa pertandingan tiga penjuru atau lebih hanya akan memecahkan undi calon-calon pembangkang dan seterusnya akan memberi kelebihan yang besar kepada calon Barisan Nasional.

Ketika ini terdapat 4 parti politik di pihak pembangkang yang perlu berunding untuk menentukan parti mana yang perlu menentang UMNO di kawasan penggundi majoriti melayu. Empat parti tersebut ialah PAS, AMANAH, PPB (BERSATU) dan PKR. Jika sebelum ini, pertindihan tuntutan kerusi untuk menentang UMNO hanya melibatkan PKR dan PAS sahaja, namun dengan kelahiran parti AMANAH dan BERSATU maka kesepakatan untuk tercapainya pertandingan satu lawan satu menentang UMNO menjadi semakin bertambah rumit untuk diputuskan. PAS mungkin tidak mempunyai masalah untuk berunding dengan PKR dan BERSATU, tetapi tidak dengan parti AMANAH. Harus diakui bahawa PAS dan AMANAH adalah dua parti yang saling bersaing antara satu sama lain, tidak mungkin PAS dan AMANAH akan dapat untuk menjadi parti yang kuat secara bersama-sama.

Ini kerana, AMANAH hanya akan menjadi kuat jika berjaya melemahkan PAS agar ahli-ahli PAS berpindah ke parti AMANAH. Tiada pilihan lain bagi parti AMANAH untuk kekal relevan dalam politik Malaysia selain daripada perlu mengalahkan atau mengantikan peranan PAS. Oleh itu, PAS sudah tentu tidak akan membiarkan perkara tersebut berlaku. Sebarang usaha yang akan menguatkan parti AMANAH bermakna ianya merupakan usaha untuk melemahkan PAS. Dengan kata lain, tiada formula politik yang boleh mendamaikan atau mewujudkan kerjasama politik antara PAS dan AMANAH. Pilihannya adalah sama ada PAS yang kekal bertahan dan AMANAH berkubur atau sebaliknya, tiada pilihan yang lain. Berbeza dengan DAP dan juga PKR, mereka mempunyai segmen pengundi yang tersendiri yakni dikawasan pengundi yang majoritinya adalah pengundi bukan melayu. Walaupun parti pelbagai kaum iaitu PKR juga menghadapi masalah pertindihan tuntutan kerusi dengan PAS di beberapa kawasan majoriti melayu dan juga perlu berunding dengan DAP untuk meletakkan calon dikawasan-kawasan majoriti bukan melayu, namun ianya merupakan pertindihan biasa yang boleh diselesaikan. BERSATU pula, secara dasarnya tidak mempunyai masalah untuk berunding dengan PAS dan PKR bagi meletakkan calon BERSATU dikawasan-kawasan yang menjadi kubu kuat UMNO. Ini kerana, BERSATU mempunyai halatuju politik yang jelas iaitu untuk merampas kerusi-kerusi Parlimen dan DUN yang kini dimiliki oleh UMNO.

Oleh itu sebenarnya, AMANAH berada dalam keadaan yang sangat tersepit jika BERSATU, PAS dan PKR berjaya membuat satu kesepakatan dalam pembahagian kerusi. Berdasarkan realiti politik ketika ini, BERSATU, PAS dan PKR boleh membentuk satu pakatan pembangkang yang kuat tanpa parti AMANAH. Namun, BERSATU dan PKR tidak akan dapat membentuk Pakatan Pembangkang yang kuat dengan AMANAH dengan cara menyisihkan PAS. Selain itu, terdapat satu lagi halangan yang cukup besar untuk membentuk pakatan pembangkan yang kuat, halangan tersebuat ialah, bagaimana untuk menamatkan pertelingkahan diantara PAS dengan DAP. Jika PAS dapat didamaikan dengan DAP dan seterusnya membentuk pakatan BERSATU-PAS-PKR-DAP, sudah tentu pakatan tersebut mempunyai peluang yang sangat cerah untuk menjadi kerajaan selepas PRU14. Sejauh mana ianya dapat direalisasikan, sehingga kini tiada tanda-tanda positif yang menunjukkan bahawa PAS akan dapat berbaik semula dengan DAP, apatah lagi umum mengetahui bahawa DAP mempunyai hubungan yang sangat baik dengan AMANAH.  Berdasarkan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh para pemimpin PAS, besar kemungkinan PAS tidak akan menjalinkan sebarang kerjasama politik dengan DAP sehingga PRU14 diadakan. Perkara inilah yang menjadikan usaha membentuk kerjasama dikalangan parti pembangkang berada dalam keadaan yang tidak menentu.

Manakala di pihak Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh UMNO, peluang untuk mereka mengekalkan kuasa sangat bergantung kepada keutuhan kerjasama parti-parti pembangkang. Jika parti pembangkang dapat membentuk kerjasama yang utuh sehingga dapat bersepakat untuk meletakkan calon satu lawan satu menentang calon BN, maka berkemungkinan besar BN akan kehilangan banyak kerusi dalam PRU14. Namun sebaliknya, jika pembangkang gagal untuk bersatu menentang BN, maka BN mempunyai peluang yang cerah untuk meneruskan legasi kepimpinan negara yang telah mereka terajui sejak merdeka lagi. Ini kerana, BN khususnya UMNO ketika ini sedang dihambat dengan isu besar seperti isu 1MDB tidak dapat melakukan banyak perkara untuk membina kekuatan bagi menghadapi PRU14. Selain daripada perlu terus memfokuskan kepada kumpulan pengundi yang masih boleh dipengaruhi dengan projek-projek pembangunan serta bantuan kewangan, percaturan penting yang perlu dilakukan oleh UMNO dan BN ialah  melemahkan dan memporak-porandakan kerjasama politik antara parti-parti pembangkang.

Kesimpulannya, kematangan demokrasi yang sedang dilalui oleh negara Malaysia telah menjadikan  keadaan politik negara menjadi semakin bercelaru. Keadaan politik yang bercelaru tentunya akan memberikan kesan yang negatif kepada kestabilan pentadbiran negara. Seterusnya pelbagai masalah kehidupan yang sedang menghimpit kehidupan rakyat ketika ini tidak akan dapat diselesaikan secara konkrit, bahkan akan menjadi semakin bertambah parah.

Anda Mungkin Juga Meminati