Tuesday 24 March 2015

Kedudukan Hudud Dalam Politik Malaysia

Pindaan terhadap Undang-undang hudud di Kelantan yang diluluskan secara sebulat suara oleh 44 ADUN Kelantan termasuklah  12 ADUN daripada UMNO dalam sidang DUN Kelantan baru-baru ini telah mendapat respon yang pelbagai. Ramai yang menyokong dan ramai juga yang menentang. Bahkan ada juga yang sampai mempersendakan cadangan pelaksanaan undang-undang tersebut dan tidak kurang juga ada yang menolak secara baik pelaksanaan hudud dengan alasan ianya tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia. Apa yang pasti hudud ketika ini telah menjadi isu yang diperbincangkan secara meluas oleh rakyat Malaysia. Hampir setiap hari ada sahaja liputan mengenai isu hudud dan ianya disemarakkan lagi apabila ramai pihak khususnya daripada ahli-ahli politik telah tampil menyatakan pendirian mereka terhadap isu tersebut.


Isu hudud menjadi bertambah hangat apabila Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah menghantar notis kepada Setiausaha Parlimen untuk membentangkan usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian berkenaan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah 11 1993 (Pindaan) 2015 di Dewan Rakyat. Hasrat Presiden PAS itu mendapat tentangan serta merta daripada rakan tahaluf mereka iaitu DAP dan PKR. Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyifatkan tindakan tersebut sebagai pengkhianatan PAS yang akan dapat merealisasikan impian UMNO untuk melihat  gabungan PAS, DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat musnah. Sebaliknya Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli pula menyatakan bahawa isu hudud juga boleh memecahkan Barisan Nasional. Ini kerana banyak komponen parti dalam BN secara terbuka akan meninggalkan BN jika UMNO memberikan sokongan terhadap usul mengenai hudud yang ingin dibawa oleh PAS.


Begitulah kuatnya impak isu hudud kali ini dalam politik Malaysia sehingga boleh menjadi ancaman perpecahan kepada Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional. Persoalannya kenapa sampai begitu sekali, adakah kerana hudud ketika ini benar-benar mempunyai peluang dan landasan yang jelas untuk dilaksanakan ? Atau hanya kerana parti politik cuba menggunakan dan mengambil kesempatan diatas isu hudud sebagai alat untuk agenda politik masing-masing ???


Isu hudud menjadi hangat diperbincangkan ketika ini sebenarnya bermula apabila Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Bahrom menyatakan bahawa kerajaan pusat akan membantu mana-mana kerajaan negeri yang ingin melaksanakan hudud. Sebagai reaksi terhadap janji yang diberikan oleh Datuk Jamil Khir, Menteri Besar Kelantan iaitu Ustaz Datuk Ahmad Yakob memberikan respon bahawa Kerajaan Kelantan akan membawa satu rang undang-undang persendirian (private bill) berkaitan dengan isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 ke Parlimen. Manakala pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang lain termasuklah beberapa orang pimpinan tertinggi PAS secara terbuka menyifatkan tawaran Datuk Jamil Khir Bahrom tersebut merupakan perangkap UMNO untuk memecahkan Pakatan Rakyat.


Perlu disedari bahawa Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan ramai lagi pemimpin-pemimpin PAS yang menyambut tawaran Datuk Jamil Khir Bahrom adalah orang-orang yang amat mengenali UMNO. Tidak  perlu diperjelaskan kepada mereka mengenai agenda disebalik tawaran hudud oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO tersebut. Mereka sangat faham tetapi mereka mempunyai ‘sifir’ tersendiri dalam membaca tawaran hudud oleh pimpinan UMNO itu. Sebagai ahli politik yang berpengalaman mereka tentunya tahu sejauhmana keikhlasan UMNO dalam membantu PAS untuk menerapkan hudud dan tentunya mereka juga tahu apakah implikasinya kepada Pakatan Rakyat jika mereka menerima tawaran tersebut. Persoalannya kenapa mereka memilih untuk menerima tawaran tersebut ???


Jawapannya adalah kerana PAS perlu diselamatkan daripada cengkaman golongan Profesional dalam PAS yang kelihatannya lebih menyanjungi dan mentaati pemimpin Pakatan Rakyat yang lain terutamanya Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng berbanding Haji Hadi sendiri sebagai Presiden PAS. Ini kerana sejak PAS menyertai Pakatan Rakyat, golongan Profesional begitu dominan sekali dalam menentukan halatuju PAS yang kebanyakkannya cenderung kepada aspirasi perjuangan yang dibawa oleh  pemimpin PKR dan DAP. Ini menyebabkan satu persatu aspirasi perjuangan PAS seperti Negara Islam terpaksa direbranding agar selari dengan perjuangan PKR dan DAP.  Dan banyak isu diperingkat nasional sebelum ini PAS kelihatannya hanya menurut pendirian dan percaturan oleh pemimpin PKR dan DAP. Hal ini telah menyebabkan ramai ahli PAS diperingkat akar umbi mula kecewa dan hilang keyakinan terhadap kredibiliti PAS sebagai Parti Islam.


Oleh itu sesuatu perlu dilakukan oleh golongan Ulamak dalam PAS agar kredibiliti PAS sebagai parti politik Islam dapat dipulihkan. Menaikkan semula dan bertegas dengan pendirian perjuangan hudud merupakan antara tindakan yang perlu mereka  lakukan. Walaupun sedar akan risiko perpecahan boleh berlaku dalam PAS dan juga risiko berpecahnya Pakatan Rakyat. Walaubagaimanapun,  usaha golongan Ulamak PAS tersebut hanya akan berjaya jika perwakilan terus memberikan sokongan kepada Haji Hadi dan kepimpinan Ulamak untuk menerajui PAS      dalam muktamar PAS Ke-61 yang dijangka akan diadakan pada  awal Jun tahun ini.


Artikel Berkaitan :

No comments:

Post a Comment