Showing posts with label PAS. Show all posts
Showing posts with label PAS. Show all posts

Wednesday, 3 June 2015

Muktamar PAS Ke 61

PAS merupakan sebuah parti Islam yang telah wujud sebelum Malaysia (Tanah Melayu) mencapai kemerdekaan lagi. Sebagai sebuah parti Islam yang tertua dan terbesar di Malaysia, keberadaan PAS dalam politik tanah air begitu signifikan sekali dan mempunyai kemampuan untuk memberikan goncangan kepada politik Malaysia. Walaupun sejak ditubuhkan, PAS telah beberapa kali mengalami peristiwa duka dan telah ramai bekas pimpinan tertinggi PAS yang meninggalkan parti itu, namun PAS tetap utuh sehingga ke hari ini.  Keanggotaannya kini bukan sahaja terdiri daripada mereka yang berpendidikan daripada aliran agama serta orang-orang melayu yang tinggal di kampung-kampung tetapi juga turut dianggotai oleh orang-orang Islam yang tinggal di bandar-bandar malah turut dianggotai oleh ramai golongan profesional.

Secara asasnya, orang Islam yang menyertai PAS tidak kira apa jua latar belakang tentunya adalah kerana PAS adalah sebuah parti Islam yang berjuang untuk mensyariatkan ajaran Islam dalam pemerintahan Malaysia. Bagi mereka yang pernah menyertai usrah PAS atau paling tidak sekurang-kurangnya mendengar ceramah yang disampaikan oleh ustaz-ustaz PAS tentunya faham bagaimana motivasi untuk mensyariatkan ajaran Islam di Malaysia ditanamkan dengan begitu kuat sekali dalam perjuangan PAS. Bahkan tidak dapat dinafikan bahawa sebelum meletusnya media sosial/internet, ramai umat Islam di Malaysia yang mendengar istilah Negara Islam/Darul Islam hasil daripada usaha perjuangan PAS.

Dan sebenarnya, bagi umat Islam tidak kira apa jua latar belakang pendidikan atau pekerjaan, untuk menerima dan memahami tentang kewajipan untuk mensyariatkan hukum-hakam Allah dalam kehidupan khususnya dalam pemerintahan bukanlah perkara yang sukar. Ianya mudah dan sangat masuk akal. Perkara inilah yang menjadi sebab utama ramai umat Islam di Malaysia daripada bermacam-macam jenis latar belakang dan peringkat usia menyerahkan diri untuk berjuang bersama-sama PAS. Demi Islam, mereka yang sanggup mencurahkan segala yang termampu demi untuk melihat syariat Islam dilaksanakan di Malaysia. Hal inilah yang menjadikan PAS berbeza dengan UMNO mahupun PKR.

Sepanjang sejarah perjuangan PAS di Malaysia, laungan untuk mensyariatkan ajaran Islam dalam pemerintahan merupakan satu senjata utama untuk meraih sokongan khususnya daripada umat Islam. Namun, laungan tersebut mula perlahan apabila PAS bergabung dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Nasional (KeADILan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada tahun 1999 membentuk Barisan Alternatif (BA). Namun begitu, hasilnya PAS telah berjaya menawan Negeri Terengganu pada PRU10. Dan apabila PAS bergabung semula bersama DAP dan PKR pada PRU12, ternyata sekali lagi kejayaan diluar jangkaan berjaya dikecapi oleh PAS bersama DAP dan PKR. Lima negeri berjaya ditawan dan Barisan Nasional hilang ⅔ undi di Parlimen.

Kejayaan besar dalam PRU12 ternyata telah memberikan satu motivasi baru dalam perjuangan PAS iaitu MENAWAN PUTRAJAYA! Satu cita-cita yang memerlukan strategi perjuangan yang lebih realistik dan praktikal agar dapat meraih undi daripada rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama. Imej, strategi politik dan isu-isu yang dibawa juga harus sesuai dengan misi MENAWAN PUTRAJAYA. Maka, situasi inilah yang telah menyebabkan golongan profesional dalam PAS lebih menonjol berbanding dengan golongan ulama.

Ini kerana disamping mempunyai kebolehan yang lebih baik untuk bekerjasama dengan pimpinan-pimpinan DAP dan PKR, golongan profesional dalam PAS juga ternyata lebih arif tentang hal-hal yang berkaitan dengan urusan kenegaraan. Peranan mereka ketika itu dalam menentukan hala tuju PAS begitu ketara sekali sehinggakan kelihatannya golongan ulama hanya berperanan untuk ‘mengislamkan’ apajua strategi politik yang dicaturkan oleh golongan profesional. Pada awalnya ianya kelihatan seperti tidak ada apa-apa masalah, walaupun banyak pendirian dan tidak-tanduk politik PAS yang sering dipertikaikan oleh umat Islam khususnya.

Namun, setelah misi menawan Putrajaya pada PRU13 tidak berjaya. Langkah Kajang yang dicaturkan oleh pimpinan PKR ternyata telah membentuk keretakan yang sangat besar dalam hubungan PAS-DAP-PKR. Apa yang paling penting, Langkah Kajang telah memperlihatkan kelonggaran kesetiaan ramai pimpinan PAS khususnya daripada golongan profesional terhadap Presiden parti mereka sendiri. Golongan profesional ini, kelihatannya lebih menyakini dan menyokong strategi politik yang dibawa oleh pimpinan DAP dan PKR berbanding dengan strategi politik yang dibawa oleh Presiden parti mereka sendiri.

Sejak itu, keretakan hubungan diantara golongan profesional dengan golongan ulama dalam PAS menjadi semakin parah. Pertembungan sesama mereka sudah tidak dapat dielakkan lagi dan terus berlanjutan sehinggalah ke Muktamar mereka yang  Ke-61. Percaturan oleh kedua-dua pihak khususnya daripada golongan ulamak untuk membersihkan jawatan tertinggi PAS daripada golongan profesional begitu ketara sekali. Pokok persoalannya, kenapa sampai begitu sekali ??? Adakah dengan cara sedemikian akan dapat memperkuatkan PAS sebagai parti Islam??? Perlu disedari bahawa kelemahan dan pepecahan dalam mana-mana gerakan Islam hanya akan merugikan umat Islam, malah akan memberikan ruang kepada golongan sekular-liberal untuk menjayakan agenda mereka.

Oleh itu diharapkan agar pimpinan baru PAS pasca muktamar dapat melakukan sesuatu yang bijak bagi mengelakkan berlakunya pepecahan dalam PAS. Masing-masing pihak sama ada yang kalah mahupun yang menang dalam merebut jawatan tertinggi perlu sama-sama melakukan muhasabah untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada demi untuk memastikan PAS kekal sebagai parti politik Islam yang kuat dan disegani. 


Artikel Berkaitan :

Sunday, 7 September 2014

Disebalik Krisis Pakatan Rakyat : Apakah Formula Politik Yang Terbaik?


Krisis yang sedang menimpa Pakatan Rakyat ekoran daripada kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor menunjukkan tanda-tanda ianya akan berakhir dengan perpecahan Pakatan Rakyat. Ini kerana, jurang ketidak sefahaman dalam Pakatan Rakyat khususnya diantara PAS dan PKR semakin bertambah luas dalam menangani setiap isu yang timbul khususnya berkaitan dengan calon pengganti Menteri Besar Selangor. Jika tiada langkah yang efektif untuk menghentikan jurang tersebut, maka sudah tentu usia Pakatan Rakyat yang ditubuhkan pada 2008 akan berakhir setakat tahun 2014 sahaja. Perkara ini sudah tentunya tidak diingini oleh kepimpinan PKR dan DAP serta pemimpin golongan profesional dalam PAS. Ini kerana Pakatan Rakyat bagi mereka merupakan ‘Formula Politik Yang Terbaik’ untuk merampas pentadbiran Putrajaya daripada Barisan Nasional. 

Satu hakikat yang Pakatan Rakyat harus akui adalah kerjasama politik atau tahaluf siyasi yang wujud diantara mereka adalah kerana mereka mempunyai seteru politik yang sama. PKR, PAS dan DAP bekerjasama atau bertahaluf kerana masing-masing mempunyai seteru politik yang sama iaitu Barisan Nasional. Inilah asas utama yang membentuk Pakatan Rakyat yang ada pada hari ini. Pakatan Rakyat bukan terbentuk kerana mempunyai idealisme dan agenda perjuangan yang sama. Masing-masing mempunyai idealisme dan matlamat politik yang sangat berbeza. PAS merupakan parti Islam yang bermatlamatkan untuk melaksanakan Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara dengan berasaskan rujukan Al-Quran dan As-Sunnah, manakala DAP dan PKR merupakan parti sekular yang mempunyai matlamat yang lebih kurang sama iaitu membentuk masyarakat demokratik sosialis berasaskan prinsip keadilan dan nilai sejagat.

Oleh itu, sudah tentu masing-masing mempunyai sudut pandang yang berbeza terhadap sesuatu perkara/isu. Namun perbezaan tersebut dapat diurus dengan kompromi dan konsensus sesama mereka dalam posisi untuk menumbangkan seteru politik mereka iaitu Barisan Nasional. Kejayaan menguruskan perbezaan yang wujud diantara mereka dapat dilihat pada PRU 13 yang lepas apabila Pakatan Rakyat hampir-hampir berjaya menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional. Pelbagai macam tolak ansur atau kompromi telah mereka lakukan demi mencapai konsensus agar dapat menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional. Segala prinsip yang membezakan mereka ditolak ketepi agar ianya dapat meyakinkan rakyat bahawa Pakatan Rakyat merupakan pilihan yang terbaik untuk mentadbir Malaysia.

Namun, krisis Menteri Besar Selangor yang berlaku dalam tempoh yang sangat panjang akhirnya telah mendedahkan satu persatu pertembungan yang wujud disebalik pautan erat tangan ketiga-tiga pemimpin Pakatan Rakyat. Ketika pemimpin Pakatan Rakyat sering berbangga dengan kaedah konsensus yang mereka laksanakan dalam membuat sesuatu keputusan, hakikatnya dibelakang tabir wujud saling tidak mempercayai dan usaha mengambil advantage untuk kepentingan parti masing-masing. Perkara ini didedahkan sendiri oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dalam usaha mereka untuk membela parti masing-masing. 

Oleh itu harapan yang diberikan oleh Pakatan Rakyat kepada rakyat Malaysia bahawa Pakatan Rakyat mampu memberikan masa depan yang lebih baik berbanding Barisan Nasional sebenarnya adalah harapan yang sangat rapuh. Ini kerana Pakatan Rakyat hanya diikat dengan ikatan yang sangat lemah dan mudah terputus. Ikatan yang berasaskan kompromi dan seteru politik yang sama. Ikatan sedemikian hanya mampu untuk menghadapi atau menyerang seteru politik mereka. Namun, tidak akan mampu untuk membentuk satu pemerintahan yang kuat bagi memberikan kehidupan yang lebih baik apatah lagi untuk membentuk sebuah pemerintahan yang akan menerapkan hukum-hakam Allah SWT secara bernegara.

Hakikat ini, haruslah diamati dengan telus dan jujur oleh gerakan-gerakan Islam agar bukan setakat untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama berulang-ulang kali, tetapi menginsafi akan kewajipan mengikuti tareqah dakwah Rasulullah dalam membina sebuah pemerintahan. Telah banyak kompromi dan justifikasi yang dilakukan sebelum ini ternyata tidak menguntungkan Islam, bahkan telah menyebabkan umat Islam terkeliru dengan banyak perkara yang berkaitan dengan hukum-hakam Islam (Misalnya : Ucapan Selamat Sempena Perayaan Agama Selain Islam) dan juga  hilang keyakinan terhadap gerakan Islam . Usah lagi diulangi kesilapan yang sama.

“Tidak selayaknya seorang mukmin itu dipatuk ular dari lubang yang sama dua kali” [HR Bukhari & Muslim].

Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telah pun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya. (TMQ Surah Ali-Imran ayat 118 ).

Telah nyata dan jelas dalam sirah bahawa tareqah dakwah Rasulullah SAW merupakan Formula Politik yang terbaik untuk membina sebuah negara yang akan menerapkan hukum-hakam Islam berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah. (Baca : SURI TELADAN RASULULLAH S.A.W: PERJUANGAN ISLAM ).

“Sesungguhnya telah ada  pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang-orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Kiamat dan dia banyak menyebut Allah” [TMQ   al-Ahzab (33): 21].

Artikel Berkaitan :





Saturday, 16 August 2014

Krisis Selangor : Mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS

Keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS yang diadakan hari ahad ini (17hb Ogos) bakal menjawab halatuju PAS dalam politik Malaysia. Walaupun isu pertukaran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar (MB) Selangor pada asalnya merupakan isu dalaman yang telah memberikan sedikit kesan negatif kepada Parti PKR. Namun kini, isu pertukaran MB Selangor telah memberikan impak yang sangat besar kepada halatuju parti PAS setelah Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Hj Hadi Awang dan Mursidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan secara terbuka sokongan mereka agar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai MB Selangor.


Akibatnya, kini PAS sedang berhadapan dengan dua cabaran besar iaitu risiko perpecahan dalam PAS sendiri dan juga risiko perpecahan dengan Pakatan Rakyat. Dapatkah PAS menyelesaikan kedua-dua cabaran tersebut ? Ianya bergantung dengan hasil keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS ahad ini.  Bagaimana mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS akan membuat pertimbangan untuk menyelesaikan cabaran yang sedang mereka hadapi? -  Menurut pemerhatian penulis ianya bergantung kepada tiga perkara penting:

i.    Kepentingan

Kepentingan yang sudah pasti akan dipertimbangkan adalah - Keputusan yang bagaimana akan memberikan kebaikan kepada Parti PAS. Adakah kekal bersama Pakatan Rakyat atau membuat keputusan keluar dari Pakatan Rakyat akan memberikan kebaikan kebaikan kepada PAS dalam konteks perjuangan politik mereka di Malaysia?

Jika PAS memilih untuk keluar daripada Pakatan Rakyat, apakah kebaikan yang mereka perolehi? - Membentuk Kerajaan Campuran bersama UMNO ? - Tidak mungkin. Ini kerana Datuk Seri Dr Wan Azizah telah mendapat 30 sokongan anggota DUN daripada 56 kerusi DUN yang ada di Selangor. Sokongan 30 anggota DUN tersebut termasuklah dua anggota DUN daripada PAS sendiri. Apa yang paling penting adalah bergabung atau bekerjasama dengan UMNO merupakan PAS satu ‘Dosa Besar’ bagi kebanyakkan pemimpin dan anggota PAS sendiri. Ini kerana PAS telah mempunyai sejarah hitam yang sangat banyak dengan UMNO dan juga kebanyakkan ahli-ahli PAS mempunyai doktrin yang tersendiri terhadap UMNO.


Berdasarkan situasi politik semasa di Malaysia, tidak ada political mileage yang significant yang akan diperolehi  oleh PAS jika keluar daripada Pakatan Rakyat. Keluar daripada Pakatan Rakyat bermakna PAS memilih untuk kekal menjadi sebagai Pembangkang di Malaysia dan terpaksa membuang cita-cita untuk menawan Putrajaya. Hakikat yang tidak akan dapat diterima oleh kebanyakkan ahli-ahli PAS khususnya oleh golongan Professional.

ii.    Mempertahankan atau Kompromi dengan Prinsip Perjuangan

Didalam politik Islam terdapat perbezaan yang jelas diantara Pentadbiran dan Pemerintahan. Pengetua Sekolah, Ketua Jabatan, Pengarah Syarikat, CEO, COO dalam seumpamanya adalah jawatan dalam Pentadbiran bukan Pemerintahan. Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri merupakan Jawatan dalam Pemerintahan bukan Pentadbiran. Dalam Islam, WANITA dibenarkan untuk memegang jawatan dalam Pentadbiran tetapi tidak dibenarkan dalam Pemerintahan. Hukum tersebut sangat jelas sudah tentu sangat difahami oleh para Ulamak dan Ilmuan yang ada dalam Parti PAS. Bahkan, Ulamak dan Ilmuan Islam yang tidak sehaluan dengan PAS juga memahami hukum tersebut.

Oleh itu, PAS sudah tentu tidak ingin dilihat sebagai parti yang sanggup menggadaikan prinsip Islam semata-mata untuk kepentingan politik Pakatan Rakyat. Jika PAS sanggup menerima WANITA sebagai Menteri Besar, maka rasa hormat umat Islam terhadap PAS sebagai Parti Islam tentunya akan semakin berkurangan.  Seteru politik PAS tentu sahaja akan menggunakan isu tersebut untuk mendiskreditkan kredibiliti PAS sebagai Parti Islam. PAS tentu sekali tidak ingin perkara sedemikian berlaku kerana PAS membawa identiti sebagai Parti Politik Islam.

Namun, harus diingat juga bahawa tidak semua pemimpin PAS yang berpendirian WANITA tidak boleh memegang jawatan Pemerintahan. Suara dan pengaruh mereka juga sangat kuat dalam PAS. Mereka juga turut berpendirian kenapa PAS perlu diheret begitu jauh sekali didalam kemelut MB Selangor sedangkan ianya adalah masalah dalaman PKR dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Menurut mereka PAS tidak seharusnya di pergunakan oleh sorang individu yang bernama Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai benteng sehinggakan PAS merosakkan agenda perjuangannya yang lebih besar.


iii.    Kepercayaan

Berdasarkan sejarah pertembungan dan persahabatan yang pernah dilalui oleh PAS dengan UMNO sangat sukar untuk kebanyakkan ahli dan pemimpin PAS kali ini untuk menerima UMNO sebagai rakan seperjuangan. PAS tidak sudah tidak mempunyai kepercayaan terhadap UMNO, begitu juga UMNO pada hakikatnya. Jika ada sekalipun usaha kearah itu, sikap kecurigaan yang terlalu menebal diantara kedua-dua parti  sentiasa membelenggu usaha tersebut.

Manakala kepercayaan sesama parti dalam Pakatan Rakyat masih utuh walaupun retak sedikit akibat daripada beberapa perbincangan sulit yang didedahkan kepada umum. Keretakan tersebut tidak cukup kuat untuk memecahkan asas kepercayaan yang telah dibina dalam Pakatan Rakyat. Namun jika PAS mengambil keputusan untuk keluar dari Pakatan Rakyat, maka ianya merupakan satu gegaran yang akan meruntuhkan segala kepercayaan yang dibina dalam tahaluf siyasi PAS bersama DAP dan PKR. Jika itu berlaku PAS bukan sahaja tidak akan dipercayai lagi oleh DAP dan PKR malah juga akan turut hilang kepercayaan daripada ahli-ahlinya sendiri khsusnya  ahli-ahli PAS daripada golongan Professional.

Kesimpulan

Berdasarkan perjuangan PAS dalam konteks demokrasi di Malaysia, PAS akan memilih untuk kekal bersama Pakatan Rakyat. Namun, PAS akan tetap bertegas untuk tidak menerima WANITA sebagai Menteri Besar Selangor. Maka sebab itulah PAS perlu memberikan sedikit ‘gertakan’ kepada Pakatan Rakyat khususnya PKR-Anwar Ibrahim agar tidak memandang rendah kepentingan PAS dalam Pakatan Rakyat. Masa yang begitu lama diambil untuk PAS menyatakan pendirian mengenai pertukaran Menteri Besar Selangor telah membuka ruang timbulnya bermacam-macam spekulasi mengenai halatuju PAS dalam Pakatan Rakyat yang ternyata telah membuatkan  PKR-Anwar Ibrahim tidak dapat tidur malam.

Oleh itu, PKR- Anwar Ibrahim harus memandang berat pendirian PAS yang tidak bersetuju dengan pelantikan Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Penulis menjangkakan PKR- Anwar Ibrahim akan tunduk kepada pendirian PAS dengan melantik calon lain -Lelaki- sebagai Menteri Besar Selangor.

Ini kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim pula sudah tentu tidak ingin sama sekali berlaku perpecahan dalam Pakatan Rakyat, kerana jika Pakatan Rakyat berpecah maka bererti berakhirlah perjuangan Reformasi yang diperjuangkan beliau selama ini dan cita-citanya untuk duduk di kerusi Perdana Menteri Malaysia akan berkubur. Perjuangan Reformasi sesuatu yang terlalu mahal untuk digadaikan berbanding berkeras untuk melantik isteri beliau sebagai Menteri Besar Selangor.

Ulasan-ulasan Berkaitan Kemelut Pertukaran Menteri Besar Selangor




Kemelut Pertukaran Menteri Besar Selangor

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan secara rasmi isteri beliau iaitu President PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail akan menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor.

Selain daripada keingkaran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri untuk mematuhi arahan parti beliau, isu pertukaran Besar Besar  Selangor menjadi bertambah 'panas' apabila Presiden PAS, Tuan Guru Haji Hadi Awang dan Mursidul Am PAS, Tuan Guru Nik Nik Aziz tidak bersetuju dengan pertukaran tersebut dan secara terbuka menyokong agar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor.
.
Majlis Syura Ulamak PAS yang telah bersidang pada 6 Ogos 2014 di Kota Bharu, Kelantan telah mengeluarkan keputusan menyokong pendirian Presiden PAS dan Mursyidul AM PAS agar Tan Sri Khalid Ibrahim dikekalkan.

Situasi ini menyebabkan PAS terhimpit diantara prinsip perjuangan dengan tahaluf siyasi bersama PKR dan DAP. Ini kerana melantik Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail merupakan strategi PKR untuk menyelesaikan masalah dalam PKR, sedangkan melantik wanita sebagai pemimpin bercanggah dengan prinsip Islam. Prinsip yang menjadi teras perjuangan PAS. Checkmate!

“Tidak akan berjaya/beruntung suatu kaum yang menyerahkan urusan mereka kepada wanita (mengangkat wanita sebagai pemimpin).” (Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Imam at-Tirmizi, Imam an-Nasaie’).

Adakah PKR akan mengalah dengan melantik orangg lain selain Wan Azizah atau PAS yang akan sekali lagi terpaksa melanggar prinsip perjuangan Islam dengan bersetuju WANITA menjadi Pemimpin Pemerintahan?

Demi Islam, adalah sangat diharapkan PAS tidak akan melanggar prinsip perjuangan mereka

Kemelut Pertukaran MB Selangor : Kesan hybrid Ideologi

Pendedahan demi pendedahan yang dibuat sendiri oleh pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat mengenai masalah dalaman yang mereka alami membuktikan kegagalan hybrid ideologi. Umum mengetahui terdapat perbezaan ideologi yang sangat jelas dalam Pakatan Rakyat khususnya di antara PAS dengan DAP.

Hybrid ideologi hakikatnya dapat bertahan bukan kerana kesatuan prinsip asas yang terdapat dalam ideologi-ideologi yang dihybridkan, tetapi hybrid ideologi dapat bertahan kerana masing-masing mempunyai kepentingan yang sama serta diikat dengan kompromi terhadap prinsip perjuangan masing-masing. Oleh itu, hybrid ideologi sangat lemah dan mudah untuk dimusnahkan.


Keretakan Pakatan Rakyat

Kemelut pertukaran MB Selangor telah menimbulkan krisis yang sangat kritikal kepada Pakatan Rakyat. Krisis yang boleh membawa kepada perpecahan Pakatan Rakyat jika gagal diatasi dengan betul.

Pendedahan printscreen kandungan perbincangan dalam group whatsapp beberapa orang AJK PAS pusat mengenai cadangan halatuju PAS dalam Pakatan Rakyat khususnya di Selangor memburukkan lagi krisis tersebut.

Tidak cukup dengan itu, tindakan Ustaz Nasrudin Tantawi yang merupakan AJK PAS Pusat yang cuba mempertahankan tindakan Tan Sri Khalid Ibrahim dengan cara mempertikaikan kredibiliti Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung Projek Pembinaan Terowong Dasar Laut Pulau Pinang menambahkan lagi kerumitan krisis yang sedang berlaku.

Keutuhan Pakatan Rakyat


Pakatan Rakyat yang dibentuk sebelum PRU12 pada awalnya hanya bermatlamatkan untuk menghadapi BN dalam PRU12, bukannya untuk menjadi Kerajaan bagi Malaysia. Maka sebab itu, kemenangan besar Pakatan Rakyat dalam PRU12 bukan hanya mengejutkan ramai pihak, bahkan di pihak Pakatan Rakyat sendiri tidak menyangka dengan kemenangan yang mereka perolehi.

Tekanan hidup akibat kos sara hidup yang semakin meningkat, jenayah yang semakin berleluasa dan ditambah pula dengan kes rasuah dan penyelewengan yang dikaitkan dengan iaitu Parti Pemerintah iaitu Kerajaan Barisan Nasional, banyak telah didedahkan kepada umum. Perkara ini telah memberikan banyak advantage dalam kempen Pakatan Rakyat untuk menghentam kerajaan Barisan Nasional dalam PRU12. Kempen Pakatan Rakyat ternyata berhasil membangkitkan kebencian rakyat terhadap Kerajaan  Barisan Nasional. Ianya terbukti apabila ramai calon daripada Pakatan Rakyat yang tidak dikenali dan tidak mempunyai karisma pemimpin dapat mengalahkan calon-calon besar daripada Barisan Nasional.

Kemenangan mengejut Pakatan Rakyat khususnya di Selangor, menuntut mereka untuk menunaikan segala harapan yang telah mereka berikan rakyat Selangor iaitu kehidupan yang lebih baik berbanding ketika Selangor diperintah oleh Kerajaan Barisan Nasional. Untuk itu, Pakatan Rakyat harus mempunyai sebuah kerajaan yang kuat di Selangor agar ianya dapat memenuhi harapan menggunung yang telah diberikan kepada rakyat Selangor. Apa yang paling utama, Selangor merupakan negeri yang paling kaya dan terpenting di Malaysia.

Kekuatan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor bergantung sepenuhnya kepada keutuhan parti-parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat iaitu PKR, DAP dan PAS. Retaknya keutuhan diantara ketiga-tiga parti tersebut, maka Pakatan Rakyat akan menjadi lemah dan tidak akan dapat membentuk kerajaan yang kuat di Selangor.

Adakah keutuhan Pakatan Rakyat di Selangor dapat dipertahankan daripada sebarang cabaran yang datang ??? - Ianya bergantung apakah bentuk ikatan yg mengikat parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail Sebagai MB Selangor

Golongan liberal dalam PKR tidak akan mampu memahami tekanan yang dihadapi oleh PAS apabila PKR mencalonkan WANITA iaitu Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai MB Selangor untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Lagilah DAP, tidak akan boleh menerima isu gender menjadi perkiraan pokok untuk melantik pemimpin. PAS juga sudah tentu akan berhati-hati untuk tidak membangkitkan isu ini kerana boleh mengundang serang daripada golongan feminist dan liberal yang turut bersarang dengan banyaknya dalam Pakatan Rakyat.

“Tidak akan berjaya/beruntung suatu kaum yang menyerahkan urusan mereka kepada wanita (mengangkat wanita sebagai pemimpin).” (Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Imam at-Tirmizi, Imam an-Nasaie’).

PAS dalam isu ini sudah tentu tidak ingin lagi dilihat sebagai Parti Islam yang sanggup menggadaikan prinsip perjuangan Islam. Datuk Seri Anwar Ibrahim pula sudah tentu tidak ingin sama sekali berlaku perpecahan dalam Pakatan Rakyat, kerana jika Pakatan Rakyat berpecah maka bererti berakhirlah perjuangan Reformasi yang diperjuangkan beliau selama ini. Perjuangan Reformasi sesuatu yang terlalu mahal untuk digadaikan berbanding berkeras untuk melantik isteri beliau sbg MB Selangor.

Maka, saya menjangkakan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bersetuju untuk tidak melantik isterinya sbg MB Selangor sebaliknya akan melantik calon lain - Lelaki - Maka dengan itu PAS akan bersetuju dengan pertukaran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan PAS akan kekal dalam Pakatan Rakyat.

Anda Mungkin Juga Meminati 

1. Kesan Perancangan Pertukaran Menteri Besar (MB) Selangor Terhadap Pakatan Rakyat