Thursday, 30 January 2014

Ucapan Selamat Sempena Perayaan Agama Selain Islam: Umat Islam Tidak Bertolerasi Atau Tidak Tahu Bagaimana Untuk Bertolerasi

Memberikan ucapan sempena perayaan penganut agama selain Islam seperti ‘Merry Krismas’, ‘Happy Deepavali’ Selamat Tahun Baru Cina’ atau Gong Xi Fa Cai oleh umat Islam di Malaysia sudah boleh dianggap sesuatu yang biasa. Apatah lagi individu-individu tertentu yang membawa imej tokoh agama juga melakukannya. Pelbagai macam justifikasi dan alasan yang telah diberikan untuk membolehkan perbuatan tersebut.

Namun harus difahami bahawa dalam kehidupan manusia khususnya pada masa kini terdapat pelbagai macam jenis kepercayaan dan perayaan keagamaan yang dirayakan di seluruh dunia. Walau apapun bentuk kepercayaan dan perayaan yang mereka amalkan, yang pastinya kepercayaan selain daripada ajaran Islam adalah kepercayaan yang mensyirikkan Allah SWT. Tidak kira samaada kepercayaan tersebut adalah kepercayaan yang kita sudah biasa melihatnya atau kepercayaan yang pada kita agak pelik dan menyeramkan kerana tidak biasa melihatnya. Tidak kira ianya merupakan kepercayaan yang berasal daripada agama Samawi seperti Kristian dan agama Yahudi atau kepercayaan yang menyembah manusia, menyembah pokok, menyembah syaitan, menyembah api dan pelbagai macam lagi bentuk-bentuk sembahan. Bahkan pada zaman sekarang terdapat juga kepercayaan yang lahir akibat daripada ketaksuban terhadap muzik, selebriti dan macam-macam lagi.



Setiap kepercayaan yang berbeza sudah pastinya akan melahirkan perbezaan dari segi cara beribadah dan bentuk perayaan. Ada kepercayaan yang melahirkan bentuk beribadah dan cara perayaan yang moden dan ada juga kepercayaan yang melahirkan bentuk beribadah dan perayaan yang primitif dan menyeramkan. Begitulah dengan perayaan Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas dan lain-lain lagi juga adalah bentuk-bentuk perayaan yang lahir daripada kepercayaan tertentu, termasuklah bangsa Yahudi juga mempunyai kepercayaan dan perayaan yang tersendiri.


Apa yang pasti dan yang diajarkan oleh Islam, semua bentuk kepercayaan selain daripada Islam adalah kepercayaan yang mensyirikkan Allah SWT, perayaan-perayaan yang mereka lakukan adalah perayaan yang di murkai oleh Allah SWT. Ini adalah keyakinan yang diajarkan oleh Islam kepada setiap umat Islam.  Cuma apa yang berlaku ialah, umat Islam di Malaysia tidak berasa janggal atau pelik apabila melihat upacara keagamaan yang dilakukan oleh penganut agama Kristian, Hindu atau Buddha kerana sudah biasa melihatnya. Ditambah pula dengan pemimpin-pemimpin politik dan tokoh-tokoh agama umat Islam yang turut sama memberikan ucapan bahkan turut merayakan perayaan-perayaan tersebut, maka akhirnya seperti yang kita lihat dalam kehidupan umat Islam di Malaysia pada hari ini, memberikan ucapan dan turut menghadiri perayaan seperti Krismas, Deepavali dan sambutan Tahun Baru Cina bukan lagi sesuatu yang asing bahkan sudah menjadi kebiasaan.







Berkaitan dengan isu toleransi dan menghormati agama lain. Islam mengajarkan bahawa umat Islam tidak boleh memaksa penganut agama lain untuk masuk Islam. Kepercayaan, perayaan dan ajaran agama mereka mesti dihormati. Hak mereka sebagai manusia harus dipenuhi dan dijaga, Islam juga mengajarkan bagaimana untuk bermuamalah dengan mereka termasuklah Islam mengajarkan hukum memberikan ucapan sempena perayaan mereka. Islam mengajarkan haram hukumnya memberikan ucapan sempena perayaan penganut agama lain. Ini adalah kandungan ajaran Islam yang penganut agama lain mesti hormati. Jangan pula cuba untuk mengajar umat Islam bagaimana untuk mengamalkan ajaran Islam.

Hakikatnya tiada siapa dapat menafikan bahawa isu memberikan ucapan sempena perayaan Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas dan lain-lain lagi adalah kerana the power of undi. Disebabkan the power of undilah yang menyebabkan sesetengah pihak terutamanya tokoh-tokoh politik umat Islam sanggup melakukan perkara yang diharamkan oleh Islam, yang akhirnya turut mengheret kebanyakkan umat Islam melakukan keharaman yang sama. Alasan demi perpaduan, toleransi, memberikan ucapan tapi tidak berniat mengiktiraf dan sebagainya hanyalah alasan yang lahir untuk menyenangkan hati terhadap keharaman yang dilakukan.

Anda Juga Mungkin Meminati

1. Umat Islam Di Malaysia WAJIB Mempertahankan Kalimah Allah  
2. Polemik Kalimah Allah : Apa yang Umat Islam Perlu Lakukan? 
3. Kebongkakan Dan Kejahilan Golongan Anti Hadith

2 comments:

  1. Biasanya para pemimpin dan ulama yang membenarkan menyambut dan mengucapkan ucapan selamat kepada perayaan kufur ini menggunakan alasan perpaduan dan keharmonian kaum. Kenapa perlu mencampuradukkan urusan agama dalam urusan perpaduan. Kesalahan serius.

    ReplyDelete
  2. Ada bezanya antara meredhai kekufuran dan mengiktiraf kewujudan :)

    ReplyDelete