Sunday, 7 September 2014

Disebalik Krisis Pakatan Rakyat : Apakah Formula Politik Yang Terbaik?


Krisis yang sedang menimpa Pakatan Rakyat ekoran daripada kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor menunjukkan tanda-tanda ianya akan berakhir dengan perpecahan Pakatan Rakyat. Ini kerana, jurang ketidak sefahaman dalam Pakatan Rakyat khususnya diantara PAS dan PKR semakin bertambah luas dalam menangani setiap isu yang timbul khususnya berkaitan dengan calon pengganti Menteri Besar Selangor. Jika tiada langkah yang efektif untuk menghentikan jurang tersebut, maka sudah tentu usia Pakatan Rakyat yang ditubuhkan pada 2008 akan berakhir setakat tahun 2014 sahaja. Perkara ini sudah tentunya tidak diingini oleh kepimpinan PKR dan DAP serta pemimpin golongan profesional dalam PAS. Ini kerana Pakatan Rakyat bagi mereka merupakan ‘Formula Politik Yang Terbaik’ untuk merampas pentadbiran Putrajaya daripada Barisan Nasional. 

Satu hakikat yang Pakatan Rakyat harus akui adalah kerjasama politik atau tahaluf siyasi yang wujud diantara mereka adalah kerana mereka mempunyai seteru politik yang sama. PKR, PAS dan DAP bekerjasama atau bertahaluf kerana masing-masing mempunyai seteru politik yang sama iaitu Barisan Nasional. Inilah asas utama yang membentuk Pakatan Rakyat yang ada pada hari ini. Pakatan Rakyat bukan terbentuk kerana mempunyai idealisme dan agenda perjuangan yang sama. Masing-masing mempunyai idealisme dan matlamat politik yang sangat berbeza. PAS merupakan parti Islam yang bermatlamatkan untuk melaksanakan Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara dengan berasaskan rujukan Al-Quran dan As-Sunnah, manakala DAP dan PKR merupakan parti sekular yang mempunyai matlamat yang lebih kurang sama iaitu membentuk masyarakat demokratik sosialis berasaskan prinsip keadilan dan nilai sejagat.

Oleh itu, sudah tentu masing-masing mempunyai sudut pandang yang berbeza terhadap sesuatu perkara/isu. Namun perbezaan tersebut dapat diurus dengan kompromi dan konsensus sesama mereka dalam posisi untuk menumbangkan seteru politik mereka iaitu Barisan Nasional. Kejayaan menguruskan perbezaan yang wujud diantara mereka dapat dilihat pada PRU 13 yang lepas apabila Pakatan Rakyat hampir-hampir berjaya menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional. Pelbagai macam tolak ansur atau kompromi telah mereka lakukan demi mencapai konsensus agar dapat menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional. Segala prinsip yang membezakan mereka ditolak ketepi agar ianya dapat meyakinkan rakyat bahawa Pakatan Rakyat merupakan pilihan yang terbaik untuk mentadbir Malaysia.

Namun, krisis Menteri Besar Selangor yang berlaku dalam tempoh yang sangat panjang akhirnya telah mendedahkan satu persatu pertembungan yang wujud disebalik pautan erat tangan ketiga-tiga pemimpin Pakatan Rakyat. Ketika pemimpin Pakatan Rakyat sering berbangga dengan kaedah konsensus yang mereka laksanakan dalam membuat sesuatu keputusan, hakikatnya dibelakang tabir wujud saling tidak mempercayai dan usaha mengambil advantage untuk kepentingan parti masing-masing. Perkara ini didedahkan sendiri oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dalam usaha mereka untuk membela parti masing-masing. 

Oleh itu harapan yang diberikan oleh Pakatan Rakyat kepada rakyat Malaysia bahawa Pakatan Rakyat mampu memberikan masa depan yang lebih baik berbanding Barisan Nasional sebenarnya adalah harapan yang sangat rapuh. Ini kerana Pakatan Rakyat hanya diikat dengan ikatan yang sangat lemah dan mudah terputus. Ikatan yang berasaskan kompromi dan seteru politik yang sama. Ikatan sedemikian hanya mampu untuk menghadapi atau menyerang seteru politik mereka. Namun, tidak akan mampu untuk membentuk satu pemerintahan yang kuat bagi memberikan kehidupan yang lebih baik apatah lagi untuk membentuk sebuah pemerintahan yang akan menerapkan hukum-hakam Allah SWT secara bernegara.

Hakikat ini, haruslah diamati dengan telus dan jujur oleh gerakan-gerakan Islam agar bukan setakat untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama berulang-ulang kali, tetapi menginsafi akan kewajipan mengikuti tareqah dakwah Rasulullah dalam membina sebuah pemerintahan. Telah banyak kompromi dan justifikasi yang dilakukan sebelum ini ternyata tidak menguntungkan Islam, bahkan telah menyebabkan umat Islam terkeliru dengan banyak perkara yang berkaitan dengan hukum-hakam Islam (Misalnya : Ucapan Selamat Sempena Perayaan Agama Selain Islam) dan juga  hilang keyakinan terhadap gerakan Islam . Usah lagi diulangi kesilapan yang sama.

“Tidak selayaknya seorang mukmin itu dipatuk ular dari lubang yang sama dua kali” [HR Bukhari & Muslim].

Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telah pun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya. (TMQ Surah Ali-Imran ayat 118 ).

Telah nyata dan jelas dalam sirah bahawa tareqah dakwah Rasulullah SAW merupakan Formula Politik yang terbaik untuk membina sebuah negara yang akan menerapkan hukum-hakam Islam berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah. (Baca : SURI TELADAN RASULULLAH S.A.W: PERJUANGAN ISLAM ).

“Sesungguhnya telah ada  pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang-orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Kiamat dan dia banyak menyebut Allah” [TMQ   al-Ahzab (33): 21].

Artikel Berkaitan :





No comments:

Post a Comment