Saturday 16 August 2014

Krisis Selangor : Mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS

Keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS yang diadakan hari ahad ini (17hb Ogos) bakal menjawab halatuju PAS dalam politik Malaysia. Walaupun isu pertukaran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar (MB) Selangor pada asalnya merupakan isu dalaman yang telah memberikan sedikit kesan negatif kepada Parti PKR. Namun kini, isu pertukaran MB Selangor telah memberikan impak yang sangat besar kepada halatuju parti PAS setelah Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Hj Hadi Awang dan Mursidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan secara terbuka sokongan mereka agar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai MB Selangor.


Akibatnya, kini PAS sedang berhadapan dengan dua cabaran besar iaitu risiko perpecahan dalam PAS sendiri dan juga risiko perpecahan dengan Pakatan Rakyat. Dapatkah PAS menyelesaikan kedua-dua cabaran tersebut ? Ianya bergantung dengan hasil keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS ahad ini.  Bagaimana mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS akan membuat pertimbangan untuk menyelesaikan cabaran yang sedang mereka hadapi? -  Menurut pemerhatian penulis ianya bergantung kepada tiga perkara penting:

i.    Kepentingan

Kepentingan yang sudah pasti akan dipertimbangkan adalah - Keputusan yang bagaimana akan memberikan kebaikan kepada Parti PAS. Adakah kekal bersama Pakatan Rakyat atau membuat keputusan keluar dari Pakatan Rakyat akan memberikan kebaikan kebaikan kepada PAS dalam konteks perjuangan politik mereka di Malaysia?

Jika PAS memilih untuk keluar daripada Pakatan Rakyat, apakah kebaikan yang mereka perolehi? - Membentuk Kerajaan Campuran bersama UMNO ? - Tidak mungkin. Ini kerana Datuk Seri Dr Wan Azizah telah mendapat 30 sokongan anggota DUN daripada 56 kerusi DUN yang ada di Selangor. Sokongan 30 anggota DUN tersebut termasuklah dua anggota DUN daripada PAS sendiri. Apa yang paling penting adalah bergabung atau bekerjasama dengan UMNO merupakan PAS satu ‘Dosa Besar’ bagi kebanyakkan pemimpin dan anggota PAS sendiri. Ini kerana PAS telah mempunyai sejarah hitam yang sangat banyak dengan UMNO dan juga kebanyakkan ahli-ahli PAS mempunyai doktrin yang tersendiri terhadap UMNO.


Berdasarkan situasi politik semasa di Malaysia, tidak ada political mileage yang significant yang akan diperolehi  oleh PAS jika keluar daripada Pakatan Rakyat. Keluar daripada Pakatan Rakyat bermakna PAS memilih untuk kekal menjadi sebagai Pembangkang di Malaysia dan terpaksa membuang cita-cita untuk menawan Putrajaya. Hakikat yang tidak akan dapat diterima oleh kebanyakkan ahli-ahli PAS khususnya oleh golongan Professional.

ii.    Mempertahankan atau Kompromi dengan Prinsip Perjuangan

Didalam politik Islam terdapat perbezaan yang jelas diantara Pentadbiran dan Pemerintahan. Pengetua Sekolah, Ketua Jabatan, Pengarah Syarikat, CEO, COO dalam seumpamanya adalah jawatan dalam Pentadbiran bukan Pemerintahan. Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri merupakan Jawatan dalam Pemerintahan bukan Pentadbiran. Dalam Islam, WANITA dibenarkan untuk memegang jawatan dalam Pentadbiran tetapi tidak dibenarkan dalam Pemerintahan. Hukum tersebut sangat jelas sudah tentu sangat difahami oleh para Ulamak dan Ilmuan yang ada dalam Parti PAS. Bahkan, Ulamak dan Ilmuan Islam yang tidak sehaluan dengan PAS juga memahami hukum tersebut.

Oleh itu, PAS sudah tentu tidak ingin dilihat sebagai parti yang sanggup menggadaikan prinsip Islam semata-mata untuk kepentingan politik Pakatan Rakyat. Jika PAS sanggup menerima WANITA sebagai Menteri Besar, maka rasa hormat umat Islam terhadap PAS sebagai Parti Islam tentunya akan semakin berkurangan.  Seteru politik PAS tentu sahaja akan menggunakan isu tersebut untuk mendiskreditkan kredibiliti PAS sebagai Parti Islam. PAS tentu sekali tidak ingin perkara sedemikian berlaku kerana PAS membawa identiti sebagai Parti Politik Islam.

Namun, harus diingat juga bahawa tidak semua pemimpin PAS yang berpendirian WANITA tidak boleh memegang jawatan Pemerintahan. Suara dan pengaruh mereka juga sangat kuat dalam PAS. Mereka juga turut berpendirian kenapa PAS perlu diheret begitu jauh sekali didalam kemelut MB Selangor sedangkan ianya adalah masalah dalaman PKR dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Menurut mereka PAS tidak seharusnya di pergunakan oleh sorang individu yang bernama Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai benteng sehinggakan PAS merosakkan agenda perjuangannya yang lebih besar.


iii.    Kepercayaan

Berdasarkan sejarah pertembungan dan persahabatan yang pernah dilalui oleh PAS dengan UMNO sangat sukar untuk kebanyakkan ahli dan pemimpin PAS kali ini untuk menerima UMNO sebagai rakan seperjuangan. PAS tidak sudah tidak mempunyai kepercayaan terhadap UMNO, begitu juga UMNO pada hakikatnya. Jika ada sekalipun usaha kearah itu, sikap kecurigaan yang terlalu menebal diantara kedua-dua parti  sentiasa membelenggu usaha tersebut.

Manakala kepercayaan sesama parti dalam Pakatan Rakyat masih utuh walaupun retak sedikit akibat daripada beberapa perbincangan sulit yang didedahkan kepada umum. Keretakan tersebut tidak cukup kuat untuk memecahkan asas kepercayaan yang telah dibina dalam Pakatan Rakyat. Namun jika PAS mengambil keputusan untuk keluar dari Pakatan Rakyat, maka ianya merupakan satu gegaran yang akan meruntuhkan segala kepercayaan yang dibina dalam tahaluf siyasi PAS bersama DAP dan PKR. Jika itu berlaku PAS bukan sahaja tidak akan dipercayai lagi oleh DAP dan PKR malah juga akan turut hilang kepercayaan daripada ahli-ahlinya sendiri khsusnya  ahli-ahli PAS daripada golongan Professional.

Kesimpulan

Berdasarkan perjuangan PAS dalam konteks demokrasi di Malaysia, PAS akan memilih untuk kekal bersama Pakatan Rakyat. Namun, PAS akan tetap bertegas untuk tidak menerima WANITA sebagai Menteri Besar Selangor. Maka sebab itulah PAS perlu memberikan sedikit ‘gertakan’ kepada Pakatan Rakyat khususnya PKR-Anwar Ibrahim agar tidak memandang rendah kepentingan PAS dalam Pakatan Rakyat. Masa yang begitu lama diambil untuk PAS menyatakan pendirian mengenai pertukaran Menteri Besar Selangor telah membuka ruang timbulnya bermacam-macam spekulasi mengenai halatuju PAS dalam Pakatan Rakyat yang ternyata telah membuatkan  PKR-Anwar Ibrahim tidak dapat tidur malam.

Oleh itu, PKR- Anwar Ibrahim harus memandang berat pendirian PAS yang tidak bersetuju dengan pelantikan Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Penulis menjangkakan PKR- Anwar Ibrahim akan tunduk kepada pendirian PAS dengan melantik calon lain -Lelaki- sebagai Menteri Besar Selangor.

Ini kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim pula sudah tentu tidak ingin sama sekali berlaku perpecahan dalam Pakatan Rakyat, kerana jika Pakatan Rakyat berpecah maka bererti berakhirlah perjuangan Reformasi yang diperjuangkan beliau selama ini dan cita-citanya untuk duduk di kerusi Perdana Menteri Malaysia akan berkubur. Perjuangan Reformasi sesuatu yang terlalu mahal untuk digadaikan berbanding berkeras untuk melantik isteri beliau sebagai Menteri Besar Selangor.

No comments:

Post a Comment