Showing posts with label Pakatan Rakyat. Show all posts
Showing posts with label Pakatan Rakyat. Show all posts

Thursday, 19 February 2015

Anwar Ibrahim Dipenjara : Perbezaan antara Tahun 1999 dengan Tahun 2015

Terdapat beberapa perbezaan yang sangat jelas diantara hukuman penjara yang dihadapi oleh Anwar Ibrahim ketika zaman Mahathir dengan zaman Najib. Perbezaan tersebut mungkin sekali bakal menghasilkan peristiwa politik yang juga turut berbeza. Perbezaan tersebut boleh dilihat daripada beberapa aspek.



Pertama, ketika Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara pada tahun 1999, ianya berlaku secara mengejut tanpa dapat diduga. Oleh itu, ketika Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara  pada tahun 1999, beliau dan penyokong-penyokonnya lebih tertumpu kepada aktiviti meraih simpati daripada rakyat Malaysia kerana itu sahaja yang termampu untuk dilakukan ketika itu. Walaupun ianya berjaya mendapatkan simpati daripada rakyat Malaysia, namun ianya tidak dapat memberikan tekanan yang berkesan kepada pemerintahan Mahathir ketika itu. Berbeza halnya pada tahun 2015, dimana perbicaraan yang dihadapi oleh Anwar Ibrahim telah memakan masa selama 7 tahun. Maka ianya merupakan satu jangka masa yang cukup panjang bagi Anwar dan para kepimpinan Pakatan Rakyat untuk merangka strategi yang berkesan jika Anwar Ibrahim sekali lagi dijatuhkan hukuman penjara.

Kedua, tahun 2015 Anwar Ibrahim merupakan Ketua Pembangkang yang cukup berpengaruh dan pembangkang juga sedang berada pada prestasi yang lebih kuat berbanding tahun-tahun sebelumnya. Tidak seperti tahun 1998/9, dimana ketika itu Anwar Ibrahim terpaksa menebalkan muka untuk mendapatkan simpati daripada musuh-musuh politiknya sendiri apabila beliau dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.  Anwar Ibrahim tidak punya pilihan lain, melainkan terpaksa mendapatkan simpati dan berbaik-baik dengan DAP dan PAS, walaupun sebelum beliau dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri, DAP dan PAS merupakan musuh politik yang sering beliau serang dan perlekehkan.

Ketiga, kerajaan Barisan Nasional yang ketika ini dikepalai oleh Najib berada dalam keadaan yang paling lemah sepanjang sejarah Barisan Nasional menerajui pemerintahan negara. Ditambah pula terdapat banyak tekanan yang terpaksa dihadapi oleh Najib ketika ini, tekanan sama ada daripada dalam dan luar negara mahupun  tekanan daripada dalam dan luar parti. Maka sebab itu, walaupun Langkah Kajang telah memberikan kesan negatif kepada Pakatan Rakyat terutamanya dari segi mengeruhkan hubungan antara PAS dengan DAP. Namun ianya tidak dapat dimanfaatkan dengan baik oleh Barisan Nasional untuk memberikan pukulan yang mematikan terhadap Pakatan Rakyat. Ini kerana, Barisan Nasional yang diterajui oleh Najib juga sedang berhadapan dengan banyak tekanan dan masalah. Maka, Langkah Kajang umpama bola tanggung yang diberikan oleh Pakatan Rakyat, tetapi BN tidak dapat melompat untuk smash bola tanggung tersebut. Bola tanggung tersebut hanya direturn kepada Pakatan Rakyat sebagai bola yang sedikti menyusahkan tetapi tidak dapat mematikan.

Berbeza ketika zaman Mahathir pada tahun 1999. Ketika itu, Kerajaan Barisan Nasional yang diterajui oleh oleh Mahathir berada dalam keadaan yang kukuh, kukuh dari segi politik dalaman dan juga kukuh dari segi ekonomi mahupun dari segi hubungan antarabangsa. Ianya boleh dilihat daripada keupayaan pemerintahan Mahathir ketika itu mengatasi Krisis Kewangan Asia 1997 dan juga berjaya mengekalkan ⅔ majoriti dalam PRU10 walaupun sedang berhadapan gelombang reformasi oleh penyokong-penyokong Anwar Ibrahim. Oleh itu, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh Anwar Ibrahim dan penyokongnya ketika itu untuk memberi tekanan kepada pemerintahan Mahathir.

Keempat, Pakatan Rakyat khususnya PKR ketika ini mempunyai ramai pemimpin yang berwibawa dan telah cukup matang dalam perjuangan ‘ Doktrin Anwarisme’ . Mereka bukan sahaja mempunyai semangat juang yang tinggi tetapi juga turut mempunyai keupayaan kepimpinan yang setara bahkan mungkin lebih berbanding dengan para menteri yang ada dalam jentera pemerintahan Najib ketika ini. Banyak yang mampu mereka lakukan ketika ini untuk memberi tekanan kepada pemerintahan Najib. Tidak sama ketika tahun 1999, kebanyakkan penyokong dan pengikut Anwar ketika itu adalah terdiri daripada mereka yang simpati dan tidak dapat menerima pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri. Mereka bukan sahaja belum matang dalam perjuangan ‘Doktrin Anwarisme’ malahan masih terlalu mentah dalam hal-hal yang berkaitan dengan  pemerintahan negara.  

Kesimpulannya, dengan berbezaan tersebut bukanlah perkara yang mustahil bahawa akan berlaku juga berbezaan dari segi pengakhiran hukuman penjara yang dihadapi oleh Anwar Ibrahim pada tahun 1999 dengan tahun 2015. Jika tahun 1999 hukuman penjara Anwar Ibrahim berakhir cukup 6 tahun, maka, mungkin sahaja kelebihan yang lebih banyak dimiliki oleh Anwar Ibrahim ketika ini menyebabkan hukuman penjara yang dihadapinya kali ini tidak akan berakhir sehingga cukup 5 tahun, mungkin setakat dua atau tiga tahun atau mungkin sahaja tidak akan sampai setahun.

Anda Mungkin Juga Meminati :

Wednesday, 11 February 2015

Mampukah Pakatan Rakyat Bertahan Tanpa Anwar Ibrahim ?

Pakatan Rakyat yang terdiri daripada kerjasama politik antara parti PAS, DAP dan PKR telah berjaya dibentuk setelah Anwar Ibrahim bergiat aktif semula dalam politik Malaysia. Sebelum itu, ketiga-tiga parti tersebut pernah bekerjasama sebagai Parti Alternatif namun tidak dapat bertahan lama ekoran pertembungan ideologi dan matlamat perjuangan yang wujud antara PAS dan DAP. Namun, dengan kemampuan yang dimiliki oleh Anwar Ibrahim terutamanya kemampuan untuk berkomunikasi secara politik dengan PAS dan DAP, maka PAS dan DAP dapat disatukan semula bersama-sama dengan PKR dalam Pakatan Rakyat. Oleh itu, sebenarnya tiada siapa yang boleh menafikan bahawa peranan Anwar Ibrahim sangat besar dalam pembentukan Pakatan Rakyat, bahkan juga tidak boleh dinafikan bahawa Pakatan Rakyat dapat bertahan sehingga kini adalah kerana peranan yang dimainkan oleh Anwar Ibrahim dalam menangani setiap konflik yang wujud dalam Pakatan Rakyat.

Antara PAS dan DAP, Anwar Ibrahim sebenarnya mempunyai komunikasi politik yang lebih baik dengan PAS berbanding dengan DAP. Bahkan bukan lagi rahsia bahawa ramai tokoh-tokoh penting dalam PAS yang mempunyai hubungan sangat istimewa dengan Anwar Ibrahim. Berbeza dengan DAP, Anwar Ibrahim hanya dapat berkomunikasi secara politik dengan pemimpin-pemimpin tertentu sahaja, khususnya dengan Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng. Oleh itu, untuk menyelesaikan perbezaan dan konflik yang wujud diantara PAS dan DAP, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh Anwar Ibrahim untuk menundukkan atau mempengaruhi pejuang sosialis seperti Lim Kit Siang. Dalam banyak isu yang timbul dalam Pakatan Rakyat, pejuang sosialis seperti Lim Kit Siang sangat tegas dalam mempertahankan prinsip perjuangan DAP.

Pihak yang lebih mudah untuk ditundukkan oleh Anwar Ibrahim bagi menyelesaikan konflik dan meneutralkan perbezaan yang wujud dalam Pakatan Rakyat ialah Parti PAS. Ini kerana, disamping wujudnya hubungan istimewa diantara Anwar Ibrahim dengan pemimpin-pemimpin PAS, pengalaman politik Anwar Ibrahim bersama ABIM membolehkan beliau dengan mudah masuk ke dalam culture PAS sehinggakan ramai anggota-anggota PAS sendiri yang mengagumi beliau. Maka sebab itu, tidak hairan jika konflik dalaman boleh berlaku dalam PAS apabila PAS mengambil pendirian yang berbeza dengan apa yang dirancang oleh Anwar Ibrahim, contohnya Langkah Kajang yang telah membawa kepada Krisis Pertukaran Menteri Besar Selangor. Oleh sebab Presiden PAS tidak menyokong perancangan Anwar Ibrahim dalam projek Langkah Kajang, maka bukan sahaja PAS telah dilanda krisis dalaman yang kritikal sehingga wujudnya PASMA bahkan timbul juga desakan agar Presiden PAS mengundurkan diri kerana didakwa kurang komited dengan agenda bersama dalam Pakatan Rakyat.

Oleh itu, hukuman penjara selama 5 tahun yang dikenakan ke atas Anwar Ibrahim dikala Pakatan Rakyat sedang menghadapi krisis dalaman yang serious sudah tentunya menjadi satu cabaran yang sangat besar kepada Pakatan Rakyat. Ini kerana, peranan yang dimainkan oleh Anwar Ibrahim sebelum ini khsusnya kemampuan berkomunikasi dengan DAP dan PAS sangat diperlukan untuk menuetralkan krisis yang sedang melanda Pakatan Rakyat. Persoalannya apabila Anwar Ibrahim telah dipenjarakan siapakah pemimpin dalam Pakatan Rakyat khususnya dalam parti PKR yang dapat mengambil peranan tersebut ???  Jika ada, maka besar kemungkinan Pakatan Rakyat akan dapat dipertahankan daripada berpecah.

Namun, sebenarnya setakat ini tidak ada  individu dalam Pakatan Rakyat yang memiliki kemampuan tersebut. Maka, tiada jalan lain yang akan dilakukan oleh Pakatan Rakyat dan penyokong-penyokongnya melainkan berusaha dengan sekerasnya untuk membebaskan Anwar Ibrahim daripada hukuman penjara. Membebaskan Anwar Ibrahim daripada hukuman penjara kini merupakan soal Hidup Mati bagi Pakatan Rakyat. Oleh itu, segala ruang yang ada termasuklah ruang yang ada di peringkat antarabangsa akan mereka gunakan semaksimanya untuk tujuan tersebut. Dan apabila itu berlaku, maka kita bakal menyaksikan satu lagi pergolakan politik dalam negara yang kesudahannya masih lagi menjadi tanda tanya.

Artikel - artikel yang berkaitan :




Sunday, 1 February 2015

Barisan Nasional Vs Pakatan Rakyat : What's Next ?

Perkembangan semasa dalam arena politik Malaysia menunjukkan petanda bahawa Malaysia sedang berhadapan dengan pergolakan politik yang sangat mencabar. Ini kerana sama ada di pihak Parti Pemerintah mahupun di pihak Parti Pembangkang, kedua-duanya ketika ini sedang berhadapan dengan krisis dalaman yang sangat serious dan sebarang kemungkinan yang mengejutkan dalam politik Malaysia boleh berlaku. Di pihak Parti Pemerintah, Presiden UMNO yang juga merupakan Perdana Menteri Malaysia sedang struggle untuk mempertahankan jawatan beliau apabila semakin banyak desakan sama ada dari pihak pembangkang mahupun di pihak penyokong kerajaan sendiri yang menginginkan agar beliau melepaskan jawatan. Ditambah pula MIC juga sedang berhadapan krisis dalaman yang melibatkan konflik pemimpin-pemimpin tertinggi parti dengan Presiden Parti sendiri.

Manakala, di pihak pembangkan krisis yang bermula daripada Langkah Kajang yang dicetuskan oleh pimpinan PKR telah mencetuskan bibit-bibit perselisihan diantara DAP dan PAS. Walaupun Langkah Kajang yang mencetuskan krisis Pertukaran Menteri Besar Selangor telah berjaya diselesaikan, namun keretakan hubungan antara PAS dan DAP semakin bertambah parah. PAS dan DAP kini sudah secara terbuka mengkritik antara satu sama lain. Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang sebelum ini sering dibanggakan kerena pendekatan secara consensus dalam menyelesaikan sebarang pertindihan kepentingan ataupun konflik dalam pakatan rakyat, nampaknya telah gagal membendung perselisihan yang semakin menjadi-jadi diantara DAP dan PAS dalam banyak perkara khususnya dalam perkara yang melibatkan dasar perjuangan parti.

Dalam pada itu, muncul pula kumpulan baru dalam PAS iaitu PASMA yang tidak berpuashati dengan beberapa keputusan Presiden PAS yang dikatakan kurang komited dengan dasar bersama dalam Pakatan Rakyat. Bagi PASMA, PAS perlu untuk terus komited dengan dasar bersama dalam Pakatan Rakyat agar pentadbiran Putrajaya berjaya diambil alih daripada Barisan Nasional. Oleh itu bagi PASMA, Presiden PAS perlu digantikan dengan pemimpin yang lebih komited dengan Pakatan Rakyat demi merealisasikan impian menawan pentadbiran Putrajaya. Apatah lagi, sejak bermulanya krisis yang ditimbulkan oleh Langkah Kajang, terdapat beberapa keputusan penting Presiden PAS yang tidak selari dengan perancangan Pakatan Rakyat. Oleh itu desakan agar Presiden PAS digantikan dengan pemimpin yang lebih komited dengan Pakatan Rakyat juga bertiup dengan kencang dalam parti PAS. Dalam pada itu, walaupun sehingga kini, PKR khususnya Ketua Umumnya masih belum memberikan sebarang respond terhadap konflik diantara PAS dan DAP. Namun sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman luas dan telah menjadi orang penting dalam banyak pergolakan politik dalam negara, beliau sudah tentunya mempunyai pendekatan dan  strateginya yang tersendiri dalam berhadapan konflik tersebut.

Situasi politik seperti yang diterangkan diatas sudah tentunya akan membuka ruang dan peluang kepada pemimpin-pemimpin parti politik yang ada untuk mencongak dan mencatur masa depan politik masing-masing. Perlu diingat bahawa sistem politik yang diamalkan ketika ini merupakan sistem politik yang mempunyai falsafah ‘Tiada musuh yang kekal dan tiada sahabat yang abadi. Yang kekal adalah kepentingan peribadi’. Ada banyak peristiwa-peristiwa politik dalam negara yang membuktikan kebenaran falsafah tersebut. Oleh itu, tidak mustahil pergolakan politik sedang berlaku ketika ini akan menghasilkan keputusan-keputusan politik yang ‘mengejutkan’ dan ‘menjijikkan’ serta aksi ‘menjilat air ludah sendiri’ daripada pemimpin-pemimpin politik. Ini kerana, inilah sebahagian asam-garam dalam politik ketika ini. ‘Bijaknya’ ahli-ahli politik ketika ini, segala keputusan yang mereka ambil semuannya dijustifikasikan kononnya demi kepentingan rakyat, demi negara, demi agama dan macam-macam lagi. Walhal, hakikatnya rakyat dan negara mereka pertaruhkan demi kepentingan peribadi mereka.

Situasi terhimpit dan terdesak yang sedang dialami oleh pemimpin-pemimpin politik ketika ini sudah tentunya akan membuka pintu tawar-menawar diantara mereka demi menyelamatkan masa depan politik masing-masing. Apabila wujud banyak tawar-menawar yang dilakukan ketika dalam keadaan terhimpit dan terdesak, itu menunjukkan bahawa sistem politik atau pemerintahan yang dibina merupakan sistem politik/pemerintahan yang sangat lemah dan mudah untuk diambil kesempatan. Siapa yang akan menjadi mangsa ? Bukan mereka (ahli-ahli politik) tetapi RAKYAT!!!. Keadaan sebegini akan terus berlaku bahkan menjadi semakin parah kerana itulah kekurangan yang ada dalam mana-mana sistem hidup ciptaan manusia termasuklah sistem demokrasi-sekular yang diamalkan di Malaysia ketika ini. Jadi kenapa pilih sistem hidup yang mempunyai banyak kekurangan sedangkan Allah SWT telah menurunkan sistem hidup yang lengkap dan sempurna untuk kehidupan manusia seluruhnya???!

Anda Juga Mungkin Meminati :

  1. Adakah Pakatan Rakyat Akan Berpecah ?

Saturday, 27 December 2014

Adakah Pakatan Rakyat Akan Berpecah ?


Pakatan Rakyat tidak akan berpecah selagi agenda menumbangkan Barisan Nasional dalam PRU kekal menjadi keutamaan berbanding dengan matlamat perjuangan parti masing-masing. Ini kerana PAS, PKR dan DAP dapat duduk bersama dalam satu saf perjuangan kerana ketiga-tiga parti tersebut berkongsi agenda yang sama iaitu menubangkan Barisan Nasional dalam PRU. Tanpa mengenepikan matlamat perjuagan parti dengan memberikan keutamaan kepada agenda menumbangkan Barisan Nasional dalam PRU, agak mustahil Pakatan Rakyat dapat bertahan sehingga kini dan berjaya mencapai kemenangan besar dalam PRU 13. Ini kerana, matlamat perjuangan parti-parti dalam Pakatan Rakyat khususnya PAS dan DAP sangat berbeza dan banyak prinsip yang  saling bertentangan yang boleh membawa kepada pertembungan. Oleh itu, matlamat perjuangan parti masing-masing tidak boleh diletakkan sebagai keutamaan dalam Pakatan Rakyat.

Jika mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat mula menjadikan matlamat perjuangan parti menjadi lebih utama berbanding dengan agenda menumbangkan Barisan Nasional dalam PRU, maka itu akan membentuk retak yang boleh membawa kepada perpecahan Pakatan Rakyat. Ini kerana perbezaan matlamat perjuangan khususnya diantara PAS dan DAP umpama antara magnet kutub utara dengan kutub utara atau magnet kutub selatan dengan kutub selatan yang tidak mungkin untuk dapat dicantumkan. Jurang perbezaan matlamat perjuangan tersebut wujud kerana masing-masing parti dalam Pakatan Rakyat lahir daripada  ideology yang berbeza.

PKR merupakan Parti Sekuler-Pragmatik, DAP ialah parti Sekuler-Sosialis manakala PAS pula adalah Parti Islam. Berdasarkan ideologi tersebut PKR dan DAP mempunyai matlamat yang lebih kurang sama iaiatu untuk membentuk masyarakat demokratik berasaskan prinsip keadilan dan nilai sejagat, manakalah PAS pula mempunyai matlamat untuk mendirikan Negara Islam berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Oleh itu, walau apa sekali pun yang dilakukan oleh para pemimpin atau golongan intelektual dalam Pakatan Rakyat, mereka sesekali tidak akan dapat menyatukan matlamat perjuangan DAP-PKR dengan PAS. Kecuali ada mana-mana parti yang sanggup menggadaikan matlamat perjuangan mereka.

Namun timbul persoalan, kenapa sebelum krisis Menteri Selangor terjadi, tidak timbul pula tentang soal perbezaan matlamat perjuangan parti. Bahkan, Pakatan Rakyat dilihat sebagai sebuah pakatan yang sangat utuh dan mempunyai potensi yang sangat besar untuk merampas Putrajaya daripada Barisan Nasional ???

Jawapan kepada persoalan tersebut ialah kerana ikatan yang membentuk Pakatan Rakyat adalah ikatan yang sangat lemah dan mudah untuk diputuskan. Apatah lagi PAS dan DAP mempunyai ideologi yang saling bertentangan. Oleh itu, apabila tanggungjawab untuk membuat keputusan telah berada diatas bahu mereka terhadap sesuatu isu yang berlaku seperti pertukaran Menteri Besar Selangor, maka keputusan atau pendirian yang ingin diambil tidak boleh lari daripada dipengaruhi oleh prinsip dan matlamat perjuangan parti. Berbeza halnya ketika tanggungjawab untuk membuat keputusan tidak berada diatas bahu mereka. Perbezaan pendirian dan matlamat perjuagan mereka ketika itu tidak teruji dengan isu yang berlaku kerana mereka tidak perlu membuat keputusan atau mengambil tindakan. Maka, mereka boleh terus bersama-sama fokus menyerang segala kelemahan dan keputusan yang dibuat oleh  Kerajaan Barisan Nasional.

Namun ketika ini, selain daripada perbezaan pendirian dan keputusan yang berkaitan dengan isu pertukaran Menteri Besar Selangor yang telah pun meretakkan hubungan parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Isu hudud nampak gayanya bakal menjadikan retak tersebut menjadi bertambah besar dan berpotensi untuk membawa kepada perpecahan. Namun, ianya bergantung bagaimana pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat menghadapi isu tersebut. Jika, mereka dapat menggelakkan daripada pertembungan yang berkaitan dengan matlamat perjuagan parti masing-masing, maka Pakatan Rakyat akan dapat diselamatkan daripada perpecahan. Namun, jika isu ini iaitu isu hudud dijadikan modal untuk mempertikaikan atau mempersoalkan matlamat perjuangan parti-parti dalam Pakatan Rakyat, maka itu pentanda bahawa Pakatan Rakyat akan menuju kepada perpecahan. (Baca : Teras Perjuangan Gerakan Islam )

Anda Mungkin Juga Meminati :

Saturday, 27 September 2014

Masa Depan Pakatan Rakyat Dalam Politik Malaysia



Kerjasama politik diantara Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Nasional (KeADILan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) bermula ketika Pilihan Raya Umum ke 10 (PRU10) diadakan pada tahun 1999, setahun selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Kerjasama politik keempat-empat parti tersebut ketika itu dikenali sebagai Barisan Alternatif (BA) yang bermatlamatkan untuk mengurangkan majoriti Barisan Nasional dalam Pilihanraya.  Hasilnya pada PRU10, BA telah berjaya meningkatkan  jumlah kerusi mereka dalam Parlimen dan Negeri Terengganu berjaya ditawan oleh PAS.

Walaupun BA telah berjaya menempah kejayaan yang memberangsangkan dalam PRU10, namun DAP telah menarik daripada BA ekoran daripada tidak bersetuju dengan Negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Oleh itu, ketika PRU11 diadakan pada tahun 2004, DAP dan BA (PAS dan PKR) berada dalam haluan masing-masing menentang Barisan Nasional. Barisan Nasional yang ketika itu diterajui oleh Perdana Menteri baharu iaitu Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi (Pak Lah) sedang berada dikemuncak kerjaya politiknya setelah lebih kurang setahun menggantikan Tun Dr Mahathir bin Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia. Dua situasi tersebut telah memberikan advantage yang sangat besar kepada kejayaan cemerlang Barisan Nasional dalam PRU11.

Selain berjaya merampas semula negeri Terengganu daripada PAS, Barisan Nasional juga telah telah menempah kejayaan yang sangat besar dengan memenangi 198 kerusi parlimen berbanding hanya 20 kerusi oleh pihak pembangkan dan satu kerusi oleh calon bebas. Kejayaan tersebut merupakan majoriti terbesar yang pernah dimenangi oleh Barisan Nasional sejak PRU5 pada tahun 1978. Namun, kegagalan pentadbiran Pak Lah dalam menguruskan kejayaan yang telah mereka perolehi dalam PRU11, plus bersikap arrogant dalam memperkenalkan dasar baharu dan dalam mengambil pendekatan ketika menangani isu yang timbul, akhirnya telah menimbulkan kemarahan dan kebencian yang sangat mendalam dikalangan rakyat termasuklah pemimpin dan penyokong Barisan Nasional sendiri.

Faktor tersebut dan kemunculan semula Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam barisan parti pembangkang serta keberkesanan media alternatif ketika itu dalam menyebarluaskan pandangan dan idelisme pihak pembangkan telah memberikan kejayaan yang sangat luar biasa kepada parti pembangkang dalam PRU12. Barisan Nasional bukan hanya kehilangan ⅔ majoriti di Parlimen tetapi turut kehilangan 4 buah negeri termasuklah negeri yang paling kaya di Malaysia iaitu Negeri Selangor. Kejayaan luar biasa dalam PRU12 telah memberikan semangat dan harapan baru kepada parti pembangkang khususnya PKR, DAP dan PAS untuk memulakan misi menawan Putrajaya. Bagi menjayakan misi tersebut, maka, dibentuklah satu kerjasama politik diantara PKR-PAS-DAP dengan nama baharu iaitu Pakatan Rakyat. Bagi PAS kerjasama politik atau tahaluf siyasi tersebut merupakan satu pendekatan Siyasah syar’iyyah untuk mencapai cita-cita politik mereka.

Umum mengetahui bahawa ketiga-tiga parti yang berada dalam Pakatan Rakyat mempunyai ideologi dan matlamat perjuangan yang berbeza-beza. PAS adalah sebuah Parti Islam, PKR (Gabungan Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia/Parti Sosialis Rakyat Malaysia)  pula merupakan Parti Sekular-Pragmatik dan DAP adalah parti Sekular-Sosialis (Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Muktamar PAS KE-60). Bahkan, PAS-PKR-DAP lebih tahu dan sangat faham tentang perbezaan yang wujud semasa mereka.

Walaupun berbeza ideologi, namun mereka dapat bekerjasama sebagai satu pasukan kerana musuh politik mereka adalah sama iaitu Barisan Nasional. Inilah kekuatan utama yang mengikat PAS, DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat. Bagi PAS, PKR dan DAP, kerjasama politik/tahaluf siyasi yang membentuk Pakatan Rakyat, merupakan formula politik terbaik yang mesti dijaga dan dipertahankan dengan sebaik mungkin agar kerajaan Barisan Nasional dapat ditumbangkan dalam Pilihanraya. 

Anda Juga Mungkin Meminati
1. Politik Malaysia : What’s Next?  
2. Ancaman COMANGO Terhadap Islam Di Sebalik Perjuangan Hak Asasi Manusia 
3. Apakah Perancangan Amerika di Syria selepas Kegagalan Rundingan Geneva II ?

Sunday, 7 September 2014

Disebalik Krisis Pakatan Rakyat : Apakah Formula Politik Yang Terbaik?


Krisis yang sedang menimpa Pakatan Rakyat ekoran daripada kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor menunjukkan tanda-tanda ianya akan berakhir dengan perpecahan Pakatan Rakyat. Ini kerana, jurang ketidak sefahaman dalam Pakatan Rakyat khususnya diantara PAS dan PKR semakin bertambah luas dalam menangani setiap isu yang timbul khususnya berkaitan dengan calon pengganti Menteri Besar Selangor. Jika tiada langkah yang efektif untuk menghentikan jurang tersebut, maka sudah tentu usia Pakatan Rakyat yang ditubuhkan pada 2008 akan berakhir setakat tahun 2014 sahaja. Perkara ini sudah tentunya tidak diingini oleh kepimpinan PKR dan DAP serta pemimpin golongan profesional dalam PAS. Ini kerana Pakatan Rakyat bagi mereka merupakan ‘Formula Politik Yang Terbaik’ untuk merampas pentadbiran Putrajaya daripada Barisan Nasional. 

Satu hakikat yang Pakatan Rakyat harus akui adalah kerjasama politik atau tahaluf siyasi yang wujud diantara mereka adalah kerana mereka mempunyai seteru politik yang sama. PKR, PAS dan DAP bekerjasama atau bertahaluf kerana masing-masing mempunyai seteru politik yang sama iaitu Barisan Nasional. Inilah asas utama yang membentuk Pakatan Rakyat yang ada pada hari ini. Pakatan Rakyat bukan terbentuk kerana mempunyai idealisme dan agenda perjuangan yang sama. Masing-masing mempunyai idealisme dan matlamat politik yang sangat berbeza. PAS merupakan parti Islam yang bermatlamatkan untuk melaksanakan Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara dengan berasaskan rujukan Al-Quran dan As-Sunnah, manakala DAP dan PKR merupakan parti sekular yang mempunyai matlamat yang lebih kurang sama iaitu membentuk masyarakat demokratik sosialis berasaskan prinsip keadilan dan nilai sejagat.

Oleh itu, sudah tentu masing-masing mempunyai sudut pandang yang berbeza terhadap sesuatu perkara/isu. Namun perbezaan tersebut dapat diurus dengan kompromi dan konsensus sesama mereka dalam posisi untuk menumbangkan seteru politik mereka iaitu Barisan Nasional. Kejayaan menguruskan perbezaan yang wujud diantara mereka dapat dilihat pada PRU 13 yang lepas apabila Pakatan Rakyat hampir-hampir berjaya menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional. Pelbagai macam tolak ansur atau kompromi telah mereka lakukan demi mencapai konsensus agar dapat menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional. Segala prinsip yang membezakan mereka ditolak ketepi agar ianya dapat meyakinkan rakyat bahawa Pakatan Rakyat merupakan pilihan yang terbaik untuk mentadbir Malaysia.

Namun, krisis Menteri Besar Selangor yang berlaku dalam tempoh yang sangat panjang akhirnya telah mendedahkan satu persatu pertembungan yang wujud disebalik pautan erat tangan ketiga-tiga pemimpin Pakatan Rakyat. Ketika pemimpin Pakatan Rakyat sering berbangga dengan kaedah konsensus yang mereka laksanakan dalam membuat sesuatu keputusan, hakikatnya dibelakang tabir wujud saling tidak mempercayai dan usaha mengambil advantage untuk kepentingan parti masing-masing. Perkara ini didedahkan sendiri oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dalam usaha mereka untuk membela parti masing-masing. 

Oleh itu harapan yang diberikan oleh Pakatan Rakyat kepada rakyat Malaysia bahawa Pakatan Rakyat mampu memberikan masa depan yang lebih baik berbanding Barisan Nasional sebenarnya adalah harapan yang sangat rapuh. Ini kerana Pakatan Rakyat hanya diikat dengan ikatan yang sangat lemah dan mudah terputus. Ikatan yang berasaskan kompromi dan seteru politik yang sama. Ikatan sedemikian hanya mampu untuk menghadapi atau menyerang seteru politik mereka. Namun, tidak akan mampu untuk membentuk satu pemerintahan yang kuat bagi memberikan kehidupan yang lebih baik apatah lagi untuk membentuk sebuah pemerintahan yang akan menerapkan hukum-hakam Allah SWT secara bernegara.

Hakikat ini, haruslah diamati dengan telus dan jujur oleh gerakan-gerakan Islam agar bukan setakat untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama berulang-ulang kali, tetapi menginsafi akan kewajipan mengikuti tareqah dakwah Rasulullah dalam membina sebuah pemerintahan. Telah banyak kompromi dan justifikasi yang dilakukan sebelum ini ternyata tidak menguntungkan Islam, bahkan telah menyebabkan umat Islam terkeliru dengan banyak perkara yang berkaitan dengan hukum-hakam Islam (Misalnya : Ucapan Selamat Sempena Perayaan Agama Selain Islam) dan juga  hilang keyakinan terhadap gerakan Islam . Usah lagi diulangi kesilapan yang sama.

“Tidak selayaknya seorang mukmin itu dipatuk ular dari lubang yang sama dua kali” [HR Bukhari & Muslim].

Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telah pun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya. (TMQ Surah Ali-Imran ayat 118 ).

Telah nyata dan jelas dalam sirah bahawa tareqah dakwah Rasulullah SAW merupakan Formula Politik yang terbaik untuk membina sebuah negara yang akan menerapkan hukum-hakam Islam berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah. (Baca : SURI TELADAN RASULULLAH S.A.W: PERJUANGAN ISLAM ).

“Sesungguhnya telah ada  pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang-orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Kiamat dan dia banyak menyebut Allah” [TMQ   al-Ahzab (33): 21].

Artikel Berkaitan :