Saturday 9 August 2014

Kesan Perancangan Pertukaran Menteri Besar (MB) Selangor Terhadap Pakatan Rakyat

Kemelut pertukaran MB Selangor telah menimbulkan krisis yang sangat kritikal kepada Pakatan Rakyat. Krisis yang boleh membawa kepada perpecahan Pakatan Rakyat jika gagal diatasi dengan betul. Pendedahan printscreen kandungan perbincangan dalam group wassup beberapa orang AJK PAS Pusat mengenai cadangan halatuju PAS dalam Pakatan Rakyat khususnya di Selangor memburukkan lagi krisis tersebut. Tidak cukup dengan itu, tindakan Ustaz Nasrudin Tantawi yang merupakan AJK PAS Pusat yang cuba mempertahankan  Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan cara mempertikaikan kredibiliti Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung Projek Pembinaan Terowong Dasar Laut Pulau Pinang menambahkan lagi kerumitan krisis yang sedang berlaku.


Bagi tokoh-tokoh politik khususnya dalam PKR dan DAP, pertukaran Menteri Besar  Selangor bukanlah isu yang besar dan sepatutnya tidak menimbulkan krisis kepada Pakatan Rakyat. Ini kerana menurut mereka itu adalah urusan dalaman PKR dan seharusnya tidak dicampuri oleh DAP dan PAS. Sama seperti Pemilihan Ketua Menteri Pulau Pinang dan Menteri Besar Kelantan ianya merupakan keputusan masing-masing daripada pimpinan DAP dan PAS. Namun ianya telah menjadi rumit bahkan telah membawa kepada krisis yang boleh memecahkan Pakatan Rakyat apabila Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bukan setakat ingkar kepada arahan parti beliau tetapi turut melakukan tindakan-tindakan yang secara nyata membelakangkan pimpinan PKR dan merugikan milage politik Pakatan Rakyat. Sokongan secara terbuka oleh dua tokoh penting dalam PAS iaitu Tuan Guru Haji Hadi Awang dan Tuan Guru Nik Aziz kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar dikekalkan sebagai MB Selangor telah menambahkan kekuatan di pihak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk beliau menentang keputusan partinya sendiri.

Sokongan kedua-dua tokoh penting PAS tersebut diperkukuhkan lagi hasil daripada Majlis Syura Ulamak PAS yang telah bersidang pada 6 Ogos 2014 di Kota Bharu, Kelantan menyokong pendirian Presiden PAS dan Mursyidul AM Pas agar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikekalkan.  Situasi ini telah mengundang rasa tidak senang didalam Pakatan Rakyat kerana seolah-olah PAS secara terbuka cuba mencampuri urusan dalam PKR dan tidak menghormati semangat setiakawan dalam Pakatan Rakyat. Oleh itu, situasi ini menyebabkan PAS tidak dapat menggelakkan diri terjebak dalam krisis pertukaran MB Selangor. Terjebaknya PAS bukan sahaja menggoncang Pakatan Rakyat tetapi juga sedikit sebanyak turut menggoncang parti PAS sendiri.

Pendedahan kelemahan masing-masing akhirnya didedahkan satu persatu oleh pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat sendiri.  Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang sebelum ini dipuji melangit oleh para politikus Pakatan Rakyat sebagai tokoh korporat yang cekap dan bersih  telah berjaya mentadbir Selangor dengan begitu berjaya sekali. Kini, para politikus yang sama dari Pakatan Rakyat mendedahkan satu persatu tindakan tidak berintegriti yang dilakukan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim khususnya berhubung pelupusan hutang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang bernilai ratusan juta dengan Bank Islam yang dilakukan melalui persetujuan diluar mahkamah. Kisah hutang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bernilai RM66 juta dengan PNB dan beberapa perjanjian yang meragukan diantara Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mewakili kerajaan Negeri Selangor dengan beberapa syarikat-syarikat korporat juga turut didedahkan.

Disisi lain, beberapa perbincangan rahsia diantara kepimpinan Pakatan Rakyat turut didedahkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat sendiri. Antaranya adalah berhubung isu pelantikan Perdana Menteri. Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat Rafizi Ramli mendedahkan bahawa delegasi Pimpinan PAS yang diketuai oleh Presiden PAS sendiri datang berjumpa dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencadangkan agar Tan Sri Tengku Razaleigh sebagai Perdana Menteri Malaysia jika Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya dalam PRU 13. Pendedahan sebegini tentu sahaja akan mengikis kepercayaan sesama Pakatan Rakyat. Sikap dan tindakan pimpinan tertinggi PAS dalam berapa hal yang didedahkan kepada umum kebelakangan ini bukan sahaja dikritik secara terbuka oleh pemimpin dan ahli politik daripada PKR dan DAP, malahan turut kritik secara terbuka oleh pimpinan PAS sendiri khususnya daripada golongan professional.

Oleh itu, dalam krisis yang genting ini, PAS dilihat menjadi penentu utama bagaimana krisis yang sedang melanda Pakatan Rakyat akan berakhir, sama Pakatan Rakyat akan berpecah atau sebaliknya, ianya bergantung kepada keputusan Mesyuarat PAS Pusat pada 17 Ogos nanti. Maka, keputusan Mesyuarat PAS Pusat bagi membincangkan kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor merupakan keputusan yang akan dinanti dengan penuh debar . Terdapat tiga perkara penting yang akan menentukan keputusan PAS dan Pakatan Rakyat dalam krisis ini. Iaitu

i. Kepentingan Bersama (Sekuat Mana Iltizam Perjuangan Menawan Putrajaya)
ii. Kompromi ( Berkompromi dengan Prinsip dan Maruah)
iii. Kepercayaan

Insyaallah akan dihuraikan dalam tulisan seterusnya….

Anda Juga Mungki Meminati :


No comments:

Post a Comment