Showing posts with label Islam. Show all posts
Showing posts with label Islam. Show all posts

Saturday, 7 March 2015

Perbalahan Yang Hanya Merugikan Umat Islam

Sekali lagi umat Islam di Malaysia disajikan dengan pertelingkahan sesama tokoh agama yang berpunca ‘dakwaan atas dakwaan’.  Pertelingkahan ‘dakwaan atas dakwaan’ tersebut kemudiannya berkembang pula kepada siri penerangan menjawab ‘fitnah atas fitnah’. Umat islam yang disajikan dengan pertelingkahan sebegini secara tidak langsung akan menjadi keliru bahkan boleh menyebabkan berlaku perpecahan sesama umat Islam. Sebenarnya, banyak pertelingkahan sesama umat Islam dapat dielakkan jika tidak menghukum atau menilai seseorang hanya berdasarkan dakwaan yang kurang jelas. Bukankah Islam mengajarkan agar melakukan penelitian terlebih dahulu bagi memastikan apa yang didakwa itu benar-benar berlaku. Jika memang benar ianya berlaku, maka Islam mengajarkan agar dilakukan muhasabah dengan cara yang baik.

Sebenarnya, sikap menghukum seseorang atau kelompok lain tanpa etika seperti yang digariskan oleh ajaran Islam akhirnya membawa kepada ‘perang merebut kelompok yang paling Islam’. Senjata utamanya ialah menyesatkan atau memburuk-burukkan kelompok lain yang tidak sealiran mereka. Perkara ini boleh dilihat dalam realiti di Malaysia, dimana terdapat sesetengah pihak menghasilkan penulisan dan berceramah dari masjid ke masjid semata-mata untuk kononnya menyampaikan kepada umat Islam tentang kesalahan dan kesesatan yang dilakukan oleh kelompok lain.  

Mereka begitu confident dan bersemangat membuktikan pihak lain tersasar daripada ajaran Islam dan mengingatkan kepada umat Islam tentang bahayanya kelompok-kelompok yang tidak sehaluan dengan mereka. Al-Quran, hadis dan kitab-kitab ulama silam dikaji dan disarah secara selective agar digunakan sebagai hujah untuk  membuktikan kebenaran dakwaan mereka terhadap mana-mana kelompok yang mereka inginkan buktikan telah tersasar daripada ajaran Islam.

Walhal apa yang diperhatikan, banyak hujah atau bukti  yang mereka  kemukakan dengan menggunakan Al-Quran, hadis dan kitab-kitab ulama silam sebenarnya, dipengaruhi oleh unsur KECENDERUNGAN untuk membuktikan kesalahan kelompok yang ingin mereka sesatkan. Kitab-kitab atau penulisan daripada kelompok yang ingin mereka sesatkan ditafsir dengan sesuka hati agar selari dengan kecenderungan mereka untuk menyesatkan kelompok tersebut. Penafsiran yang begitu kuat didorongi oleh kecenderungan akhirnya menghasilkan penafsiran yang pelik-pelik dan melampau-lampau yang hakikatnya bukanlah kefahaman atau amalan kelompok yang ingin mereka sesatkan. Tetapi itu adalah penafsiran mereka sendiri yang memandai-mandai.

Jadi, sebenarnya, apa yang mereka lakukan adalah umpama mereka berimaginasi menghasilkan watak jahat seperti yang mereka kehendaki kemudian diterangkan watak jahat yang mereka imaginasikan tersebut sebagai kelompok yang sangat berbahaya kepada umat Islam. Tindakan atau cara sebegini jelas sekali bercanggah dengan disiplin keilmuan di dalam Islam.

Lagi memburukkan keadaan apabila terdapat juga kelompok lain yang ingin menunjukkan bahawa merekalah golongan yang paling benar dan merupakan golongan yang akan masuk surga dengan cara membuktikan kelompok lain yang tidak sealiran mereka merupakan kelompok yang tersasar daripada ajaran Islam. Mereka juga dengan tegas dan bersungguh-sungguh membuktikan kelompok lain termasuk kelompok yang menyesatkan mereka merupakan kelompok yang telah terasar daripada ajaran Islam. Caranya juga tetap sama menghukum kelompok yang tidak sealiran dengan mereka berdasarkan kecenderungan dan penafsiran.

Kemudian, masing-masing kelompok pula menjawab setiap tuduhan yang dilemparkan kepada mereka untuk membuktikan tuduhan yang dilemparkan kepada mereka adalah fitnah semata-mata. Akhirnya timbul pula medan yang baru iaitu, medan menjawab fitnah. Dalam medan ini, satu persatu, fitnah yang dilemparkan dijawab dengan teliti dengan hujah-hujah yang ilmiah yang akhirnya meletakkan umat berada dalam keadaan kekeliruan untuk membezakan golongan mana yang benar.

Medan menjawab fitnah yang akhirnya menimbulkan kekeliruan dikalangan umat Islam pada hari ini tidak akan berlaku sekiranya budaya memburuk-burukan kelompok lain tidak dilakukan. Apatah lagi, budaya tersebut didorongi dengan kecenderungan dan penafsiran sesuka hati semata-mata untuk memburukkan atau menyalahkan kelompok lain. Keadaan sebegini hakikatnya telah menyebabkan umat Islam semakin berpecah dan juga menyebabkan sebahagian umat Islam hilang kepercayaan atau keyakinan kepada mana-mana kelompok atau jemaah Islam.

Apa yang lebih merisaukan ialah, perbalahan seperti ini telah menyebabkan banyak permasalahan yang sedang menimpa umat Islam tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Malah umat secara tidak langsung turut sama disibukkan dengan perbalahan tersebut yang akhirnya banyak permasalahan yang sedang berlaku disekeliling seperti gejala sosial,murtad, penularan fahaman liberal dan lain-lain lagi tidak diberikan perhatian yang  serius. Begitu juga dengan kewajipan utama umat Islam ketika ini iaitu mengembalikan semula institusi pemerintahan umat Islam turut terabai.

Anda Mungkin Juga Meminati :

Sunday, 18 January 2015

Pertembungan Islam dengan Barat akan terus berlaku sehingga Kiamat

Pertembungan diantara barat khususnya penganut agama Kristian dengan Islam bukan perkara baru, bahkan ianya telah berlaku sejak zaman Khalifah Umar Al-Khattab lagi. Andalusia (Kini Sepanyol) yang suatu ketika dahulu merupakan sebuah kerajaan Islam yang sangat cemerlang dalam perkembangan ilmu pengetahuan telah hancurkan oleh kerajaan-kerajaan Kristian Eropah yang diketuai oleh Raja Ferdinand V dan Ratu Isabella, manakala umat Islam telah dihalau keluar dan sebahagian besar juga telah dipaksa untuk penganut agama Kristian. Pengalaman mereka mengubah kerajaan Islam di Andalusia menjadi sebuah negara Kristian telah digunakan sepenuhnya apabila Sepanyol berjaya menjajah Filipina. Ini boleh dilihat apabila antara dasar utama penjajahan Sepanyol keatas Kerajaan Filipina ialah mengkristiankan penduduk Islam Filipina. Kejayaan dasar tersebut boleh dilihat pada hari ini, apabila Filipina merupakan satu-satunya negara Kristian yang berada di di Asia Tenggara. 


Begitu juga apabila British berjaya menjajah Tanah Melayu, mereka bukan setakat datang untuk membolot kekayaan hasil bumi yang terdapat di Tanah Melayu tetapi juga berusaha untuk mengubah identiti Islam penduduk Tanah Melayu sama ada dari segi pemerintahan, undang-undang, cara hidup, pendidikan dan lain-lain kepada identiti yang berpaksikan barat. Bahkan, usaha-usaha menyebarkan agama Kristian juga berlaku dengan giat sekali. Para mubaligh kristian telah menggunakan pendidikan dan badan kebajikan sebagai platform untuk menyebarkan agama kristian kepada penduduk Tanah Melayu ketika itu. Dan hakikatnya usaha menyebarkan agama kristian termasuklah kepada umat Islam di Malaysia terus berlaku sehingga ke hari ini. Adalah satu pembohongan yang sangat besar jika penganut Kristian tidak mempunyai agenda untuk mendakyahkan agama mereka kepada umat Islam.

Apa yang perlu disedari ialah bahawa masyarakat barat khususnya Eropah sebenarnya mempunyai sejarah yang sangat panjang dengan Islam. Mereka sangat kenal dan memahami Islam serta umat Islam. Hanya orang yang lupa atau buta sejarah sahaja yang mengatakan bahawa Barat mempunyai banyak salah faham terhadap Islam, maka umat Islam perlu memberikan kefahaman mengenai Islam kepada mereka. Penaklukan Andalusia oleh Raja Ferdinand V dan isterinya Ratu Isabella, Perebutan Baitulmaqdis, Perang Salib, Penaklukan Konstantinople oleh Sultan Muhammad Al-Fateh, Perang Lepanto dan banyak lagi merupakan antara interaksi secara langsung yang pernah berlaku diantara Islam dengan masyarakat barat. Interaksi sedemikian sudah tentu telah membuka ruang yang sangat luas bagi kedua-dua pihak untuk saling memahami dan mengetahui kekuatan serta kelemahan masing-masing. 



Selain itu, interaksi dan pertembungan masyarakat barat dengan Islam boleh juga difahami daripada penubuhan Liga Negara-negara Kristian. Walaupun ketika Eropah berada dalam kemunduran dan sering berperang sesama mereka, namun mereka mempunyai satu kesedaran yang sama iaitu mereka perlu bersatu untuk berhadapan dengan Daulah Turki Uthmaniyah. Penyatuan negara-negara Eropah yang ketika itu dikenali sebagai Liga Negara-negara Kristian adalah asas kepada pembentukan PBB yang ada pada hari ini.

Demikianlah antara pertembungan yang pernah terjadi diantara masyarakat barat dengan Islam, dan sebenarnya pertembungan tersebut tidak pernah berakhir dan tidak berakhir sehinggalah ke hari kiamat.  Cuma yang berbeza adalah bagaimana pertembungan tersebut terjadi,  ianya bergantung kepada kuasa politik mana yang lebih dominan. Misalnya, ketika Islam menjadi kuasa politik yang dominan, cahaya Islam bukan sahaja telah memberikan kesejahteraan kepada seluruh manusia yang berada di bawah naugannya malahan turut memberikan banyak kebaikan kepada masyarakat barat khususnya dalam bidang keilmuan. Islam juga tidak pernah memaksa masyarakat barat untuk mereka menganut agama Islam, jauh sekali untuk menindas mereka. Hak dan kebajikan mereka sentiasa dipelihara. Namun itu semua tidak pernah menghalang masyarakat barat daripada memusuhi Islam bahkan sentiasa berusaha mencari peluang untuk menghancurkan Islam.

Berbeza halnya ketika masyarakat barat menjajah negeri-negeri umat Islam. Umat Islam bukan sahaja ditindas dengan kejam, bahkan ratusan ribu umat Islam telah dibunuh dan diperlakukan dengan sesuka hati tanpa sedikit pun belas kasihan. Kebencian mereka terhadap Islam dan umat  Islam begitu terserlah sekali ketika mereka menjajah negeri-negeri umat Islam. Ini adalah hakikat yang umat Islam harus sedari dan jangan sesekali terpedaya ataupun tertipu dengan slogan-slogan manis yang dilaungkan oleh barat kerana itu semua hanyalah untuk mengaburi mata umat Islam.  Allah SWT berfirman :

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha kepadamu hingga kamu mengikuti agama mereka". (TMQ Al Baqarah : 120)

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil orang-orang yang di luar kalanganmu menjadi teman kepercayaanmu (kerana) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudharatan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu, telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi.” (TMQ Ali Imrân:118).

 Askar Perancis Ketika Menjajah Algeria


Oleh itu, umat Islam tidak perlu bersikap defensif apologetik dalam berhadapan propaganda yang dilakukan oleh barat untuk memburuk-burukkan Islam atau bersusah payah untuk mengambil hati masyarakat barat bahawa Islam adalah agama peace dan seumpamanya.  Ini kerana, kebencian mereka terhadap Islam bukan kerana faktor itu ini dan sebagainya, tetapi kebencian mereka adalah kerana Islam itu sendiri. Mereka yakni masyarakat barat dan orang kafir secara umumnya memang membenci Islam, ini adalah hakikat yang diingatkan oleh Allah SWT sendiri. Ianya telah pun terbukti daripada sejarah dan dengan apa yang sedang menimpa umat Islam di seluruh dunia ketika ini. Al-Quran dibakar dan dicampak ke dalam tandas, Rasulullah SAW dihina, hukum-hakam Islam dipersendahkan, umat Islam dibunuh, mempertikaikan ibadah korban umat Islam, bahkan turut mempertikaikan isi kandungan khutbah umat Islam  dan pelbagai macam lagi yang merupakan menifestasi kebencian orang-orang kafir terhadap Islam.

Sebenarnya barat dan orang-orang kafir menjadi semakin berani untuk menindas umat Islam adalah kerana keadaan umat Islam yang lemah dan berpecah belah. Selagi umat Islam di seluruh dunia tidak kembali bersatu berjaya memperkuatkan kembali keadaan umat Islam, maka selama itulah kita akan sentiasa dihidangkan dengan berita-berita sedih yang menimpa umat Islam di seluruh dunia akibat penindasan oleh barat dan juga orang-orang kafir.  Islam hanya akan menjadi kuat dan dapat menyatukan umat Islam di seluruh dunia apabila segala peraturan atau sistem hidup serta hukum hakam Allah yang terkandung di dalam Al-Quran dan As-Sunnah kembali diterapkan dalam Institusi Pemerintahan Khilafah sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah dan Khulafaur Rasyidin. Sama seperti ketika Islam menjadi kuasa politik yang dominan, apabila Islam kembali menjadi kuasa politik yang kuat, cahaya Islam bukan sahaja akan memberikan kebaikan dan kesejahteraan hidup kepada umat Islam tetapi juga kepada semua manusia termasuklah masyarakat barat itu sendiri kerana Islam merupakan rahmat kepada sekalian alam.


Anda Mungkin Juga Meminati :



Saturday, 30 August 2014

Kemerdekaan Hakiki Yang Mesti Diperjuangkan

Walaupun setelah lebih daripada 50 tahun Malaysia mengecapi kemerdekaan daripada penjajahan British, namun ramai pihak khususnya umat Islam masih tercari-cari erti kemerdekaan yang sebenar. Pencarian tersebut ada asasnya yang sangat kukuh memandangkan disebalik kemerdekaan yang telah dikecapi, hakikat kehidupan sebenar tidak menunjukkan rakyat negara ini merupakan bangsa yang benar-benar merdeka. Kemerdekaan apa yang ingin dirayakan apabila hari demi hari kehidupan rakyat di negara ini semakin jauh daripada kehidupan yang manusiawi. Bermacam-macam masalah yang sedang melanda dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan berakhir bahkan semakin lama menjadi semakin bertambah parah.



Golongan muda-mudi misalnya yang menjadi tunjang masa depan negara sedang parah dilanda dengan pelbagai masalah sosial seperti penzinaan, pembuangan bayi, penagihan dadah dan lain-lain lagi. Berdasarkan statistik pendaftaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara, dalam tempoh 2006 hingga 2010 daripada 2,481,276 jumlah kelahiran yang didaftarkan, sebanyak 234,647 atau 9 peratus merupakan anak luar nikah (80,979 atau 34.5 peratus adalah ibu kandung yang beragama Islam). Secara puratanya dalam tempoh tersebut seramai 129 anak luar nikah yang didaftarkan dalam sehari. Daripada angka-angka tersebut dapat dibayangkan betapa parahnya amalan penzinaan yang sedang berlaku di negara ‘Merdeka’ ini.

Selain itu, rakyat di bumi yang ‘Merdeka’ ini turut bergelut dengan kepayahan kehidupan yang semakin hari semakin menekan akibat kos hidup yang semakin tinggi dan hutang di sana, hutang di sini. Berbagai-bagai masalah lain seperti peningkatan kadar jenayah, keruntuhan institusi kekeluargaan, kerapuhan semangat kemasyarakatan, pecah amanah, rasuah dan seumpamanya turut mengundang akibat daripada tuntutan hidup yang semakin menekan. Ditambah pula, akibat daripada sistem hidup yang mendorong budaya hidenisme dan materialisme, maka  terbentuklah keinginan yang sangat kuat untuk mengejar keindahan dan kemewahan dunia. Keindahan dan kemewahan dunia dikejar dengan bersungguh-sungguh seolah-olah akan hidup kekal selama-lamanya di dunia ini.  Inilah antara bahana apabila kehidupan manusia dijajah dengan aturan hidup ciptaan manusia sendiri.

Sebenarnya manusia yang Merdeka adalah manusia yang menghambakan dirinya hanya kepada Allah SWT. Seluruh aspek kehidupannya diatur berdasarkan kepada perintah dan larangan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Ini kerana, itulah tujuan Allah SWT menciptakan manusia di muka bumi ini. Allah SWT menciptakan manusia beserta dengan aturan/sistem hidup yang dapat membimbing manusia agar dapat memperolehi kejayaan dan kebahagiaan yang hakiki di dunia ini, yang paling utama adalah memperolehi kejayaan di akhirat kelak.


Oleh itu, untuk mendapatkan kemerdekaan yang hakiki, kehidupan manusia khususnya umat Islam pada hari ini mesti dibebaskan daripada penjajahan pemikiran dan aturan/sistem hidup ciptaan manusia sendiri. Demokrasi, kapitalis, sosialis, kebebasan, hak asasi manusia dan lain-lain seumpamanya merupakan pemikiran dan aturan/sistem hidup yang sedang menjajah kehidupan umat Islam di seluruh dunia. Allah SWT telah memerintahkan atau mewajibkan umat Islam agar menerapkan segala hukum-hakam dan aturan/sistem hidup dalam mengatur kehidupan manusia. Namun, akibat daripada penjajahan pemikiran dan aturan/sistem hidup ciptaan manusia sendiri, maka, bermacam-macam alasan dan helah diberikan untuk tidak melaksanakan perintah Allah SWT tersebut.

Ketika Rabi’ bin Amir ditanyakan oleh panglima perang Parsi yang bernama Rustum tentang tujuan kedatangan pasukan Islam ke wilayahnya. Dengan lantang Rabi’ menjawab:
Kami datang untuk membebaskan manusia daripada penghambaan terhadap sesama manusia kepada penghambaan kepada Allah Yang Maha Esa, daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat, serta dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam”.

Maka, umat Islam yang inginkan kemerdekaan yang hakiki mestilah berjuang terlebih dahulu untuk membebaskan segala bentuk pemikiran dan aturan/sistem hidup yang sedang menjajah kehidupan umat Islam ketika ini. Kemudian, berjuang untuk menerapkan segala aturan/sistem hidup yang diturunkan oleh Allah SWT kepada manusia dengan berusaha untuk menegakkan semula Daulah Khilafah ala minhaj nubuwwah.  

Anda Juga Mungkin Meminati :

Friday, 25 July 2014

Sistem Ekonomi Islam Mewujudkan Kehidupan Yang Sejahtera

Peningkatan kutu rayau, fakir miskin dan gelandangan di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur merupakan antara output yang dihasilkan oleh pengaturan kehidupan oleh sistem ekonomi sekular-kapitalis. Ini kerana design sistem ekonomi kapitalis yang berasaskan kepada prinsip kebebasan pemilikan telah membentuk agihan kekayaan yang tempang, dimana sebahagian besar kekayaan hanya dikuasai oleh sebilangan kecil manusia dan bakinya terpaksa dikongsi pula oleh sebahagian besar manusia.



Majalah Malaysian Business melaporkan, pada tahun 2002, jumlah kekayaan 40 orang terkaya di Malaysia hanyalah sebanyak RM41.7 bilion. Jumlah tersebut telah melonjak kepada RM194.86 bilion pada tahun 2013 dan pada Januari 2014 gabungan kekayaan 40 individu paling kaya di Malaysia telah melonjak kepada  RM217.82 bilion. Jumlah tersebut hampir mencapai jumlah budget negara pada tahun 2014 iaitu sebanyak RM264.2 bilion. Dengan kata lain, jumlah kekayaan yang dimiliki oleh hanya 40 orang terkaya di Malaysia hampir mencukupi untuk menampung budget negara selama setahun. Kekayaan mereka dijangka akan terus meningkat dengan kepesatan ekonomi yang sedang dinikmati oleh Malaysia. The Economist Intelligence Unit (EIU) melaporkan Malaysia berada dalam kedudukan yang ke 19 daripada 82 negara sebagai  investor-friendly countries - tempat terbaik untuk membuat perniagaan.

Kekuatan modal yang dimiliki hasil daripada kekayaan yang melimpah ruah membolehkan mereka dapat menguasai atau memonopoli sebahagian besar sumber-sumber ekonomi yang strategik. Mereka sesekali tidak akan pernah merasa puas dengan kekayaan yang dimiliki, bahkan akan sentiasa dahagakan untuk menambahkan kekayaan yang dimiliki kerana itulah ‘sumpahan’ kebebasan pemilikan yang dibawa oleh sistem ekonomi sekular-kapitalis. Semakin banyak harta yang dimiliki maka semakin meningkat ketamakan untuk menambahkan kekayaan. Segala peluang yang terhidang dalam kebebasan pemilikan dimanfaatkan semaksimum mungkin untuk menguasai apa sahaja sumber ekonomi yang dapat menjana kekayaan. Sehinggakan pihak pemerintah sendiri tidak akan dapat menahan kerakusan mereka, satu persatu sumber ekonomi yang sebelumnya dikelola oleh pihak pemerintah telah jatuh ketangan mereka dan dijangkakan akan banyak lagi sumber-sumber ekonomi yang akan jatuh ketangan golongan pemodal kapitalis. Ianya merupakan nature yang tidak dapat dihalang dalam perkembagan ekonomi berasaskan system sekular-kapitalis.

Sumber-sumber ekonomi yang telah jatuh ketangan mereka distukturkan berasaskan prinsip bagaimana keuntungan dapat raih dengan semaksimumnya dan kos dikurangkan dengan seminimumnya. Tidak kira apa jua bentuk pembaharuan atau kemajuan yang diberikan, ianya tidak boleh lari daripada matlamat utama yang ingin diraih iaitu keuntungan yang maksimum. Ketika kekayaan segelintir individu semakin bertambah dari tahun ke tahun, kadar kemiskinan dan jumlah gelandangan di ibu kota pula turut semakin meningkat. Bahkan golongan berpendapatan kelas pertengahan juga semakin turut merasa kesempitan hidup akibat daripada ‘kesemakmuran ekonomi’ yang dijana berasaskan ekonomi sekular-kapitalis.

Kesempitan hidup yang melanda kebanyakkan anggota masyarakat akibat daripada ‘kesemakmuran ekonomi’ yang dijana oleh ekonomi sekular-kapitalis turut melahirkan banyak lagi kerosakan hidup dalam masyarakat. Antarannya keruntuhan institusi kemasyarakatan dan kekeluargaan, peningkatan kadar jenayah, peningkatan gejala sosial dan lain-lain lagi. Dunia boleh menyaksikan kerosakan demi kerosakan yang dilahirkan kesan penjanaan ekonomi berasaskan sistem sekular-kapitalis dan dunia juga boleh menyaksikan penyelesaian demi penyelesaian yang dilaksanakan tidak berjaya mengatasi kehebatan kerosakan yang telah dihasilkan oleh sistem ekonomi sekular-kapitalis.


Berbeza dengan sistem ekonomi Islam, sistem ekonomi yang diturunkan oleh Allah SWT menetapkan asas bahawa segala sumber ekonomi dan kekayaan yang terdapat dimuka bumi ini adalah milik mutlak Allah SWT, terserah kepada Allah SWT untuk menentukan pemilikannya. Pemilikan sumber ekonomi dan kekayaan didalam system ekonomi Islam menjamin keadilan kepada semua manusia termasuklah golongan yang lemah dan tidak berkeupayaan untuk mencari nafkah. Pemilikan sumber ekonomi didalam Islam terbahagi kepada tiga jenis iaitu pemilikan individu, pemilikan umum dan pemilikan Negara. Konsep pemilikan didalam Islam dapat memusingkan sumber ekonomi secara adil dan dapat memberikan kemakmuran kepada keseluruhan warganya tanpa mengira golongan. Tiada penguasaan sumber ekonomi yang melimpah ruah dan monopoli terhadap sektor ekonomi kepada golongan tertentu sahaja seperti dalam sistem ekonomi sekular-kapitalis. Dengan kata lain kesemakmuran ekonomi Islam akan memberikan kesejahteraan yang hakiki kepada rakyatnya.

Selain itu, sistem ekonomi Islam yang berasaskan hukum-hakam Islam yang diturunkan oleh Allah SWT menjamin keperluan asas iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal bagi setiap warganya. Jaminan tersebut dapat terlaksana dengan dua mekanisma iaitu mekanisma tidak langsung dan mekanisma secara langsung. Mekanisma langsung terlaksana dengan cara Negara mewujudkan peluang dan kemudahan yang dapat membolehkan setiap wargannya yang berkewajipan untuk bekerja dapat berkerja untuk mendapatkan keperluan-keperluan asas tersebut.

Mekanisma langsung pula adalah jaminan memberikan keperluan asas oleh Negara secara langsung apabila golongan yang tidak mampu untuk memenuhi keperluan asas tersebut.

Ini kerana didalam sistem ekonomi Islam, jika individu yang wajib untuk berkerja telah berusaha untuk mencari pekerjaan, namun tiada peluang pekerjaan untuknya, maka, Negara wajib untuk menyediakan peluang pekerjaan agar golongan yang wajib bekerja dapat menunaikan kewajipan mereka untuk mencari nafkah. Menyediakan peluang pekerjaan adalah tanggunjawab Negara.

“Seorang Imam adalah pemelihara dan pengatur urusan (rakyat), dan ia akan diminta pertanggungjawaban terhadap urusan rakyatnya.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Namun harus difahami bahawa kaum keluarga dan jiran tetangga juga mempunyai kewajipan untuk memenuhi keperluan asas kepada golongan yang tidak berkemampuan, bukannya diserahkan secara bulat-bulat kepada Negara. Dengan kata lain, jika seseorang individu tidak mampu untuk memberikan nafkah kepada dirinya sendiri ataupun orang-orang yang berada dibawah tanggungjawabnya dan dia sendiri tidak mempunyai anggota keluarga yang dapat menanggung keperluannya, maka kewajiban pemberian nafkah itu berpindah kepada baitul mal (Negara). Namun sebelum kewajiban tersebut berpindah kepada Negara, Islam mewajibkan kepada jiran tetangga yang beragama Islam untuk memenuhi keperluan keperluan asas orang-orang tersebut, khususnya berkaitan dengan keperluan makanan. Dalam hal ini Rasulullah saw pernah bersabda :

“Tidak beriman kepadaku, tidak beriman kepadaku, tidak beriman kepadaku, orang yang pada malam hari tidur dalam keadaan kenyang sementara tetangganya kelaparan dan dia mengetahui hal tersebut.” (HR. Al-Bazzar)

Dalam soal melaksanakan kewajipan mencari nafkah, Negara berhak untuk menguatkuasakan undang-undang agar setiap individu yang berkemampuan melaksanakan kewajipan mereka. Bagi yang mampu berkerja dan peluang pekerjaan telah tersedia, maka tiada sebab untuk individu sedemikian untuk tidak berkerja. Jika ada yang mengabaikan kewajiban memberikan nafkah kepada orang-orang yang menjadi tanggungjawabnya, sedangkan dia berkemampuan untuk bekerja mencari nafkah, maka negara berhak menghukumnya agar tidak berlaku kelalain melaksanakan kewajipan bekerja untuk mencari nafkah.

Disamping itu, jaminan terhadap soal keselamatan, kesehatan dan pendidikan bukanya merupakan sektor yang penting seperti didalam sistem ekonomi sekular-kapitalis. Ini kerana keperluan perkhidmatan tersebut merupakan perkhidmatan yang wajib disediakan oleh Negara. Berbeza dengan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal, dimana Islam melalui negara menjamin terpenuhnya keperluan asas tersebut melalui mekanisme yang bertahap. Dimana, menyediakan keperluan perkhidmatan keselamatan, kesihatan dan pendidikan merupakan kewajipan secara langsung terhadap Negara. Ini kerana menyediakan ketiga-tiga perkhidmatan tersebut merupakan masalah ‘keperluan umum’ (ri’ayatu asy syu-uun) dan merupakan keperluan hidup yang sangat penting. Oleh itu, Negara wajib menyediakan ketiga-tiga perkhidmatan tersebut agar dapat dinikmati oleh setiap warganya, baik yang Muslim mahupun yang Non-Muslim. Seluruh pembiayaannya ditanggung oleh Perbendaharaan Negara (Baitul Mal).

Begitulah perbezaan design kehidupan yang dibentuk antara sistem ekonomi Islam dengan sistem ekonomi sekular-kapitalis. Islam sebagai way of life tentu sahaja mempunyai cara yang terbaik untuk mengatur kehidupan manusia. Ini kerana Islam adalah agama wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT untuk mengatur seluruh kehidupan manusia.  


Anda Juga Mungkin Meminati