Tuesday, 24 February 2015

Indeks Syariah Malaysia




Indeks Syariah Malaysia merupakan sebuah indikator atau kayu ukur yang dibangunkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim).  Indeks tersebut dibangunkan dengan tujuan untuk mengukur tahap keseriusan usaha (BUKAN tahap pencapaian ) sesebuah negara dalam mengimarahkan prinsip, nilai dan sistem Islam berdasarkan lima prinsip Maqasid Syariah yang utama iaitu memelihara agama, nyawa, aqal, keturunan dan harta. Terdapat lapan bidang utama yang telah ditetapkan bagi mengukur usaha sesebuah kerajaan berdasarkan Indeks Syariah yang telah dibangunkan. Bidang-bidang yang dinilai ialah Perundangan Islam, Politik, Ekonomi, Pendidikan, Kesihatan,Prasarana dan Persekitaran, Budaya, dan sosial.

Data yang dianalisa untuk tujuan pengukuran Indeks Syariah adalah berdasarkan maklum balas atau response daripada tiga kompenen dalam sesebuah negara iaitu Pemerintah (pembuat dasar), Agensi-agensi Pelaksana dan Masyarakat. Oleh itu, tinggi atau rendahnya indeks yang diperolehi salah satunya adalah berdasarkan persepsi masyarakat yang terlibat dalam memberikan response atau maklumbalas terhadap elemen-elemen yang dinilai. Jika tinggi bacaan indeksnya, maka itu bererti semakin baiklah persepsi masyarakat terhadap pencapaian Maqasid Syariahnya. Harus difahami bahawa, boleh sahaja kelompok masyarakat yang dipilih untuk memberikan maklumbalas adalah terdiri kepada kumpulan-kumpulan yang mempunyai kecenderungan kepada pemerintahan Dato Najib. Dan boleh juga mereka yang dipilih terdiri daripada mereka yang jahil tentang Islam ataupun mereka yang hidupnya bergelumang dengan maksiat. Jadi berapa bacaan Indeksnya, ianya sangat dipengaruhi oleh siapa yang memberikan maklumbalas atau response.
Walaupun isu tentang Indeks Maqasid Syariah mula diperkatankan sejak bulan April tahun lepas, namun, Idea kearah membangunkan Indeks Syariah Malaysia secara serius telah dicetuskan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib Razak di Majlis Perdana Ulama Umara pada 28 Ogos 2014 yang lalu dan telah dirasmikan pelancarannya oleh beliau sendiri pada 10 Feb 2015 bertempat di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antrabangsa, Putrajaya. Menurut Dato Seri Najib Razak, pembangunan Indeks Syariah Malaysia yang ukurannya berdasarkan Maqasid Syariah adalah untuk memperlihatkan atau membuktikan bahawa banyak dasar dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan menepati tuntutan Islam walaupun tidak dijenamakan dengan Islam.

Misalnya sekolah rendah kebangsaan kerajaan, walaupun tidak menggunakan label sekolah rendah kebangsaan Islam, namun terdapat silibus seperti Jawi, Quran, Arab dan Fardhu Ain (j-QAF) dan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) yang sama sepertimana yang diajar di sekolah rendah agama. Begitu juga, menurut beliau dengan Bank Rakyat kerana seluruh sistemnya adalah berteraskan prinsip kewangan dan perbankan yang patuh syariah sama seperti Bank Islam walaupun namanya adalah Bank Rakyat.

Oleh itu sebenarnya pembangunan Indeks Maqasid Syariah adalah sebuah projek yang mempunyai matlamat utama bagi membuktikan bahawa kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh Dato Seri Najib Razak ketika ini adalah sebuah kerajaan yang mengikut prinsip-prinsip Islam. Prinsip-prinsip Islam yang berteraskan kepada Maqasid Syariah, tidak lebih daripada itu walaupun dicanang dengan bermacam-macam harapan yang positif. Nasibnya akan sama seperti Projek Islam Hadari yang diperkenalkan oleh Pak Lah sewaktu menjadi Perdana Menteri. Pak Lah letak jawatan, maka berakhirlah juga riwayat Projek Islam Hadari. Ini kerana projek-projek sedemikian hakikatnya adalah bermotifkan untuk mendapat political mileage.

Secara umumnya, sesiapa sahaja umat Islam yang sentiasa mengikuti apa yang berlaku di Malaysia dari masa ke semasa sama ada dari segi politik, ekonomi, sosial dan sebagainya tentunya akan dapat memahami bagaimana tahap sebenar penghayatan kehidupan Islam di Malaysia.  Tidak ada apa yang perlu dibanggakan sangat, malahan ada banyak perkara yang sangat membimbangkan kerana secara keseluruhannya kehidupan umat Islam di Malaysia khususnya semakin lama semakin jauh daripada tuntutan ajaran Islam. Undang-undang ciptaan Lord Reid yang digunakan sebagai peraturan tertinggi untuk mengatur kehidupan umat Islam di Malaysia telah menyebabkan bukan sahaja hukum hakam Allah yang  terkandung di dalam Al-Quran dan hadis dicampak ke tepi,  malahan telah membentuk masyarakat Islam yang seolah-olah sudah tidak lagi dapat membezakan antara yang halal dengan haram. Hampir setiap hari, ada sahaja berita-berita yang menunjukkan tentang kerosakan kehidupan umat Islam hari ini yang semakin parah dan membimbangkan.

Maka, secara rationalnya jika nilai Indeks Syariah Malaysia yang diperolehi menunjukkan bacaan yang baik atau tinggi, bagaimana kesimpulan harus dinyatakan dalam keadaan hukum -hakam Allah yang tidak diterapkan dan kehidupan umat Islam yang semakin jauh daripada tuntutan ajaran Islam ??? Apa yang lebih utama untuk difkirkan ialah, apakah nilai Indeks Syariah tersebut bernilai di sisi Allah SWT? Jika tinggi nilai indeksnya, ianya mungkin berguna untuk dijadikan propaganda politik, namun hakikatnya indeks tersebut tidak memberikan apa-apa makna di sisi Allah SWT kerana Indeks Syariah Malaysia adalah kayu ukur yang dicipta oleh manusia sendiri. Allah SWT menilai berdasarkan kepatuhan manusia terhadap segala perintah dan larangan yang diturunkkanNya melalui wahyu kepada Rasulullah SAW. Sepatutnya para ulama dan intelektual Islam membantu Perdana Menteri untuk memahami kewajipan beliau sebagai seorang pemimpin. Paling tidak, berikan senarai kewajipan yang paling utama untuk beliau laksanakan selaku pemimpin umat Islam ketika ini. Bukannya membantu beliau untuk menghasilkan justifikasi-justifikasi yang ‘Islami’ terhadap kelalaian dan kerosakan yang beliau lakukan sebagai seorang pemimpin Islam.

Anda Mungkin Juga Meminati :

2 comments:

  1. Salam tuan,
    Di mana saya boleh dapatkan Index Syariah Malaysia tersebut? Apa yang saya faham bila dikatakan Index atau Kayu Pengukur, ia sepatutnya adalah seperti satu standard yang boleh diikut atau diukur. Saya masih mencari dan harap tuan boleh membantu. terima kasih

    ReplyDelete
    Replies
    1. Boleh dapatkan daripada link berikut

      http://www.islam.gov.my/en/majlis-pembentangan-dapatan-kajian-indeks-syariah-malaysia

      Delete