Thursday, 11 December 2014

Keberadaan ISIS dalam Revolusi Umat Islam Syria

Sebelum kemunculan ISIS dalam revolusi umat Islam Syria, Amerika dan sekutu-sekutunya telah melakukan bermacam-macam konspirasi dan percaturan untuk menentukan hala tuju revolusi umat Islam Syria. Amerika dan sekutu-sekutunya menginginkan agar revolusi umat Islam Syria juga akan berakhir sama seperti revolusi yang berlaku di Tunisia, Libya dan Mesir, iaitu berakhir dengan tertubuhnya sebuah negara Sivil Demokratik. Namun, segala muslihat Amerika dan negara-negara barat yang dibantu oleh agen-agennya yang setia khususnya daripada pemimpin-pemimpin negara seperti Arab Saudi, Qatar, UAE dan Turki tetap tidak berjaya merampas revolusi umat Islam Syria.

Hampir setiap hari media-media antarabangsa termasuklah media di Malaysia membuat liputan mengenai persidangan-persidangan yang diadakan oleh wakil-wakil PBB dan agen-agen Amerika yang setia bagi merencanakan  penyelesaian terhadap revolusi umat Islam Syria. Ketika itu, wakil PBB iaitu Kofi Annan dan Lakhdar Brahimi serta talibarut-talibarut Amerika yang lain begitu sibuk memberikan kenyataan media terhadap setiap perkembangan persidangan yang telah  diadakan. Harapan demi harapan diberikan bahawa mereka sedang berada pada landasan yang betul untuk menyelesaikan revolusi umat Islam Syria. Walhal hakikatnya mereka juga sedar bahawa umat Islam khususnya kumpulan-kumpulan mujahidin yang berperang menentang rejim Bashar Assad tidak pernah memberikan kepercayaan atau mengiktiraf mereka sebagai pihak yang mewakili umat Islam Syria.

Oleh itu, walaupun usaha mereka berjaya untuk menaikkan SNC dan FSA sebagai pihak yang mewakili kebangkitan umat Islam Syria, namun ianya tidak memberikan apa-apa makna kerana SNC dan FSA tetap tidak mendapat sokongan mahupun pengiktirafan daripada kumpulan-kumpulan mujahidin dan umat Islam Syria. Maka sebab itu, sebelum Rundingan Geneva II pusingan kedua diadakan pada bulan Februari 2014,  telah banyak pihak yang  menjangkakan bahawa Rundingan Geneva II pusingan kedua tidak akan berjaya menghasilkan apa-apa kejayaan untuk menyelesaikan revolusi umat Islam Syria. Kegagalan Rundingan Geneva II tidak bererti Amerika dan sekutu-sekutunya akan berhenti berusaha untuk merampas revolusi umat Islam Syria. Amerika dan sekutu-sekutunya sudah tentu akan beralih kepada perancangan yang lain. Apa sekali pun, bagi Amerika revolusi umat Islam Syria tidak boleh berakhir dengan tertegaknya semula Daulah Khilafah seperti yang diinginkan oleh umat Islam Syria.

Sama ada ianya berlaku secara kebetulan atau dirancang, apa yang pasti ketika konspirasi Amerika gagal merampas revolusi umat Islam Syria dengan siri rundingan dan persidangan yang diadakan. ISIS tiba-tiba muncul dengan begitu menggemparkan khususnya di media-media sosial. Bukan hanya di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Walaupun ISIS telah lama wujud di Iraq, namun kewujudannya begitu menyerlah sekali setelah mereka berjaya menguasai Bandar Raqqah. Bandar Raqqah adalah sebuah bandar di Syrian yang berjaya dibebaskan oleh umat Islam Syria daripada Rejim Bashar, bukan ISIS yang membebaskannya. Namun, ketika kumpulan-kumpulan mujahidin lain sedang bertungkus-lumus berperang menentang kekejaman Rejim Bashar bandar-bandar lain, ISIS pula sibuk mempropagandakan ‘Daulah Khilafah’ versi ISIS di bandar Raqqah yang mereka ambil alih daripada umat Islam Syria. Bermacam-macam bentuk propaganda telah dilancarkan di media sosial khsusnya facebook untuk menunjukkan bahawa ISIS telah berjaya menubuhkan Daulah Khilafah di Raqqah.

Jika diperhalusi dari setiap sudut gerak kerja propaganda ISIS di media-media sosial, ianya sungguh mengkagumkan. Cepat, efektif, konsisten dan terancang. Walaupun dalam keadaan struktur  kepimpinan ISIS yang sangat kabur dan disertai dengan mudah oleh ahli daripada bermacam-macam latarbelakang, namun ISIS mempunyai cyber army yang sangat hebat dan pakar. Bila masa mereka bertlatih, di mana mereka beroperasi dan siapa yang mengkordinasi peperangan mereka di alam cyber, tidak diketahui. Apa yang pasti ISIS sangat berjaya dalam cyber war sehinggakan dalam masa yang singkat ISIS telah menjadi sebutan diseluruh dunia dan dapat mempengaruhi ramai umat Islam untuk menyokong dan menyertai mereka.

Sekali lagi, sama ada ianya kebetulan atau dirancang, fokus utama cyber war ISIS ialah  mempropagandakan Daulah Khilafah versi mereka dan  sibuk melabelkan kumpulan mujahidin-mujahidin yang tidak menyokong mereka sebagai pihak yang tersasar daripada ajaran Islam. Keadaan ini telah menyebabkan penentangan kumpulan-kumpulan mujahidin terhadap rejim Bashar menjadi perlahan dan dilanda dengan pertelingkahan sesama kumpulan-kumpulan mujahdin. Bahkan, dalam masa yang sama banyak kejadian di mana ISIS mensasarkan serangan mereka terhadap kumpulan-kumpulan mujahidin yang menentang Rejim Bashar atas alasan-alasan yang tidak munasabah langsung.

Hari demi hari, ISIS menjadi semakin terkenal dan menjadi sebutan di seluruh dunia. Apatah lagi, apabila cyber army ISIS telah berjaya menghebahkan kepada seluruh dunia tindakan mereka menyembelih dan membunuh orang-orang awan dengan dengan alasan-alasan yang kurang jelas. Sama ada kebetulan atau dirancang ISIS sebenarnya sedang cuba menonjolkan kezaliman dan kebrutalan sebuah negara di bawah pemerintahan Daulah Khilafah yang telah mereka istiharkan.

Walauapapun justifikasi dan pujian yang diberikan oleh anggota-anggota ISIS serta orang-orang yang menyokong perjuangan mereka, apa yang pasti keberadaan ISIS dalam revolusi umat Islam Syria sehingga kini sedikit pun tidak membantu perjuangan umat Islam Syria menjatuhkan rejim Bashar Assad. Sebaliknya keberadaan ISIS telah merumitkan lagi perjuangan menjatuhkan rejim Bashar Assad.

Artikel-artikel Berkaitan :



1 comment:

  1. lantas siapa yg berhak mengetuai perjuangan tentera mujahiddin?

    ReplyDelete