Friday, 25 July 2014

Sistem Ekonomi Islam Mewujudkan Kehidupan Yang Sejahtera

Peningkatan kutu rayau, fakir miskin dan gelandangan di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur merupakan antara output yang dihasilkan oleh pengaturan kehidupan oleh sistem ekonomi sekular-kapitalis. Ini kerana design sistem ekonomi kapitalis yang berasaskan kepada prinsip kebebasan pemilikan telah membentuk agihan kekayaan yang tempang, dimana sebahagian besar kekayaan hanya dikuasai oleh sebilangan kecil manusia dan bakinya terpaksa dikongsi pula oleh sebahagian besar manusia.



Majalah Malaysian Business melaporkan, pada tahun 2002, jumlah kekayaan 40 orang terkaya di Malaysia hanyalah sebanyak RM41.7 bilion. Jumlah tersebut telah melonjak kepada RM194.86 bilion pada tahun 2013 dan pada Januari 2014 gabungan kekayaan 40 individu paling kaya di Malaysia telah melonjak kepada  RM217.82 bilion. Jumlah tersebut hampir mencapai jumlah budget negara pada tahun 2014 iaitu sebanyak RM264.2 bilion. Dengan kata lain, jumlah kekayaan yang dimiliki oleh hanya 40 orang terkaya di Malaysia hampir mencukupi untuk menampung budget negara selama setahun. Kekayaan mereka dijangka akan terus meningkat dengan kepesatan ekonomi yang sedang dinikmati oleh Malaysia. The Economist Intelligence Unit (EIU) melaporkan Malaysia berada dalam kedudukan yang ke 19 daripada 82 negara sebagai  investor-friendly countries - tempat terbaik untuk membuat perniagaan.

Kekuatan modal yang dimiliki hasil daripada kekayaan yang melimpah ruah membolehkan mereka dapat menguasai atau memonopoli sebahagian besar sumber-sumber ekonomi yang strategik. Mereka sesekali tidak akan pernah merasa puas dengan kekayaan yang dimiliki, bahkan akan sentiasa dahagakan untuk menambahkan kekayaan yang dimiliki kerana itulah ‘sumpahan’ kebebasan pemilikan yang dibawa oleh sistem ekonomi sekular-kapitalis. Semakin banyak harta yang dimiliki maka semakin meningkat ketamakan untuk menambahkan kekayaan. Segala peluang yang terhidang dalam kebebasan pemilikan dimanfaatkan semaksimum mungkin untuk menguasai apa sahaja sumber ekonomi yang dapat menjana kekayaan. Sehinggakan pihak pemerintah sendiri tidak akan dapat menahan kerakusan mereka, satu persatu sumber ekonomi yang sebelumnya dikelola oleh pihak pemerintah telah jatuh ketangan mereka dan dijangkakan akan banyak lagi sumber-sumber ekonomi yang akan jatuh ketangan golongan pemodal kapitalis. Ianya merupakan nature yang tidak dapat dihalang dalam perkembagan ekonomi berasaskan system sekular-kapitalis.

Sumber-sumber ekonomi yang telah jatuh ketangan mereka distukturkan berasaskan prinsip bagaimana keuntungan dapat raih dengan semaksimumnya dan kos dikurangkan dengan seminimumnya. Tidak kira apa jua bentuk pembaharuan atau kemajuan yang diberikan, ianya tidak boleh lari daripada matlamat utama yang ingin diraih iaitu keuntungan yang maksimum. Ketika kekayaan segelintir individu semakin bertambah dari tahun ke tahun, kadar kemiskinan dan jumlah gelandangan di ibu kota pula turut semakin meningkat. Bahkan golongan berpendapatan kelas pertengahan juga semakin turut merasa kesempitan hidup akibat daripada ‘kesemakmuran ekonomi’ yang dijana berasaskan ekonomi sekular-kapitalis.

Kesempitan hidup yang melanda kebanyakkan anggota masyarakat akibat daripada ‘kesemakmuran ekonomi’ yang dijana oleh ekonomi sekular-kapitalis turut melahirkan banyak lagi kerosakan hidup dalam masyarakat. Antarannya keruntuhan institusi kemasyarakatan dan kekeluargaan, peningkatan kadar jenayah, peningkatan gejala sosial dan lain-lain lagi. Dunia boleh menyaksikan kerosakan demi kerosakan yang dilahirkan kesan penjanaan ekonomi berasaskan sistem sekular-kapitalis dan dunia juga boleh menyaksikan penyelesaian demi penyelesaian yang dilaksanakan tidak berjaya mengatasi kehebatan kerosakan yang telah dihasilkan oleh sistem ekonomi sekular-kapitalis.


Berbeza dengan sistem ekonomi Islam, sistem ekonomi yang diturunkan oleh Allah SWT menetapkan asas bahawa segala sumber ekonomi dan kekayaan yang terdapat dimuka bumi ini adalah milik mutlak Allah SWT, terserah kepada Allah SWT untuk menentukan pemilikannya. Pemilikan sumber ekonomi dan kekayaan didalam system ekonomi Islam menjamin keadilan kepada semua manusia termasuklah golongan yang lemah dan tidak berkeupayaan untuk mencari nafkah. Pemilikan sumber ekonomi didalam Islam terbahagi kepada tiga jenis iaitu pemilikan individu, pemilikan umum dan pemilikan Negara. Konsep pemilikan didalam Islam dapat memusingkan sumber ekonomi secara adil dan dapat memberikan kemakmuran kepada keseluruhan warganya tanpa mengira golongan. Tiada penguasaan sumber ekonomi yang melimpah ruah dan monopoli terhadap sektor ekonomi kepada golongan tertentu sahaja seperti dalam sistem ekonomi sekular-kapitalis. Dengan kata lain kesemakmuran ekonomi Islam akan memberikan kesejahteraan yang hakiki kepada rakyatnya.

Selain itu, sistem ekonomi Islam yang berasaskan hukum-hakam Islam yang diturunkan oleh Allah SWT menjamin keperluan asas iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal bagi setiap warganya. Jaminan tersebut dapat terlaksana dengan dua mekanisma iaitu mekanisma tidak langsung dan mekanisma secara langsung. Mekanisma langsung terlaksana dengan cara Negara mewujudkan peluang dan kemudahan yang dapat membolehkan setiap wargannya yang berkewajipan untuk bekerja dapat berkerja untuk mendapatkan keperluan-keperluan asas tersebut.

Mekanisma langsung pula adalah jaminan memberikan keperluan asas oleh Negara secara langsung apabila golongan yang tidak mampu untuk memenuhi keperluan asas tersebut.

Ini kerana didalam sistem ekonomi Islam, jika individu yang wajib untuk berkerja telah berusaha untuk mencari pekerjaan, namun tiada peluang pekerjaan untuknya, maka, Negara wajib untuk menyediakan peluang pekerjaan agar golongan yang wajib bekerja dapat menunaikan kewajipan mereka untuk mencari nafkah. Menyediakan peluang pekerjaan adalah tanggunjawab Negara.

“Seorang Imam adalah pemelihara dan pengatur urusan (rakyat), dan ia akan diminta pertanggungjawaban terhadap urusan rakyatnya.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Namun harus difahami bahawa kaum keluarga dan jiran tetangga juga mempunyai kewajipan untuk memenuhi keperluan asas kepada golongan yang tidak berkemampuan, bukannya diserahkan secara bulat-bulat kepada Negara. Dengan kata lain, jika seseorang individu tidak mampu untuk memberikan nafkah kepada dirinya sendiri ataupun orang-orang yang berada dibawah tanggungjawabnya dan dia sendiri tidak mempunyai anggota keluarga yang dapat menanggung keperluannya, maka kewajiban pemberian nafkah itu berpindah kepada baitul mal (Negara). Namun sebelum kewajiban tersebut berpindah kepada Negara, Islam mewajibkan kepada jiran tetangga yang beragama Islam untuk memenuhi keperluan keperluan asas orang-orang tersebut, khususnya berkaitan dengan keperluan makanan. Dalam hal ini Rasulullah saw pernah bersabda :

“Tidak beriman kepadaku, tidak beriman kepadaku, tidak beriman kepadaku, orang yang pada malam hari tidur dalam keadaan kenyang sementara tetangganya kelaparan dan dia mengetahui hal tersebut.” (HR. Al-Bazzar)

Dalam soal melaksanakan kewajipan mencari nafkah, Negara berhak untuk menguatkuasakan undang-undang agar setiap individu yang berkemampuan melaksanakan kewajipan mereka. Bagi yang mampu berkerja dan peluang pekerjaan telah tersedia, maka tiada sebab untuk individu sedemikian untuk tidak berkerja. Jika ada yang mengabaikan kewajiban memberikan nafkah kepada orang-orang yang menjadi tanggungjawabnya, sedangkan dia berkemampuan untuk bekerja mencari nafkah, maka negara berhak menghukumnya agar tidak berlaku kelalain melaksanakan kewajipan bekerja untuk mencari nafkah.

Disamping itu, jaminan terhadap soal keselamatan, kesehatan dan pendidikan bukanya merupakan sektor yang penting seperti didalam sistem ekonomi sekular-kapitalis. Ini kerana keperluan perkhidmatan tersebut merupakan perkhidmatan yang wajib disediakan oleh Negara. Berbeza dengan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal, dimana Islam melalui negara menjamin terpenuhnya keperluan asas tersebut melalui mekanisme yang bertahap. Dimana, menyediakan keperluan perkhidmatan keselamatan, kesihatan dan pendidikan merupakan kewajipan secara langsung terhadap Negara. Ini kerana menyediakan ketiga-tiga perkhidmatan tersebut merupakan masalah ‘keperluan umum’ (ri’ayatu asy syu-uun) dan merupakan keperluan hidup yang sangat penting. Oleh itu, Negara wajib menyediakan ketiga-tiga perkhidmatan tersebut agar dapat dinikmati oleh setiap warganya, baik yang Muslim mahupun yang Non-Muslim. Seluruh pembiayaannya ditanggung oleh Perbendaharaan Negara (Baitul Mal).

Begitulah perbezaan design kehidupan yang dibentuk antara sistem ekonomi Islam dengan sistem ekonomi sekular-kapitalis. Islam sebagai way of life tentu sahaja mempunyai cara yang terbaik untuk mengatur kehidupan manusia. Ini kerana Islam adalah agama wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT untuk mengatur seluruh kehidupan manusia.  


Anda Juga Mungkin Meminati




No comments:

Post a Comment