Saturday, 11 January 2014

Politik Ekonomi : Pengenalan (Siri sambungan)

Sambungan.


Islam sebagai sebuah cara hidup yang merangkumi seluruh aspek kehidupan mempunyai sistem yang lengkap untuk mengatur kehidupan manusia termasuklah untuk mengatur kehidupan yang berkaitan dengan ekonomi. Sama seperti sistem kehidupan yang lain, sistem ekonomi Islam dibangunkan berdasarkan kepada kepercayaan (aqidah) Islam serta ditunjukkan tatacara pelaksanaannya berdasarkan Syariah Islam.


Oleh itu, melaksanakan sistem ekonomi Islam dalam kehidupan merupakan sebahagian daripada kewajipan yang diperintahkan oleh Allah SWT dalam mengatur kehidupan manusia. Melaksanakannya bukan hanya bermatlamatkan untuk menikmati kebahagiaan hidup di dunia tetapi yang lebih penting lagi adalah untuk mencapai kehidupan yang bahagia di akhirat kelak. Inilah prinsip asas yang mesti difahami oleh setiap umat Islam bahawa melaksanakan sistem ekonomi Islam merupakan satu kewajipan yang diperintahkan oleh Allah kerana sebagai seorang muslim setiap apa yang dilakukan semuanya terkait dengan perhitungan dosa dan pahala.


Berekonomi terkait dengan perhitungan dosa dan pahala, melakukan aktiviti ekonomi sesuai dengan aturan Allah SWT maka pahala ganjarannya. Namun jika melakukan aktiviti ekonomi tidak bersesuaian dengan perintah dan larangan  Allah SWT, maka sudah pasti dosalah balasannya. Kedua, ekonomi termasuk di dalam perkara berkaitan dengan muamalat dimana prisipnya adalah ‘asal di dalam perkara muamalat adalah harus’. Ini bermaksud, di dalam urusan perekonomian Islam membenarkan manusia untuk menjadi kreatif dalam menghasilkan perkara-perkara baharu selagi tidak ada nas syarak yang mengharamkannya.


Islam membahagikan perbincangan ekonomi ekonomi kepada dua bahagian iaitu Sains Ekonomi (Ilmu Ekonomi) dan Sistem Ekonomi (Politik Ekonomi). Sains ekonomi merupakan perkara-perkara yang berkaitan dengan bagaimana pengeluaran barang dan perkhidmatan dilakukan seperti teknik pengeluaran dan pengurusan untuk mengembangkan sumber daya baharu. Dalam sains ekonomi, Islam tidak mengatur secara khusus dan membuka ruang kepada manusia untuk menjadi kreatif selagi tidak melakukan perkara-perkara yang diharamkan.


Oleh itu penghasilan ciptaan-ciptaan moden yang berlaku sesuai dengan tuntutan zaman merupakan sesuatu yang akan  berlaku dalam pelaksanaan Sistem Ekonomi Islam. Ini dapat dibuktikan ketika pada masa era kegemilangan Islam sebagai kuasa yang mentadbir dunia. Segala macam penciptaan baharu dalam pelbagai bidang seperti peperangan, pertanian, sains dan teknologi, astronomi, seni bina dan pelbagai lagi diterajui oleh umat Islam. R & D berkembang dengan begitu pesat sekali dan bermacam-macam cabang ilmu telah terhasil yang sehingga ke hari ini banyak digunakan.


Dalam bahagian yang kedua iaitu Sistem ekonomi; Sistem Ekonomi Islam merupakan pengurusan berkaitan tentang bagaimana untuk memenuhi keperluan asas serta upaya untuk mewujudkan kemakmuran kehidupan setiap individu dalam masyarakat. Bagi mencapai matlamat tersebut terdapat tiga asas utama yang membentuk Sistem Ekonomi Islam iaitu :


  1. Konsep Kepemilikan
  2. Pengelolaan Kepemilikan
  3. Pengagihan kekayaan di antara individu.

No comments:

Post a Comment