Wednesday, 11 February 2015

Mampukah Pakatan Rakyat Bertahan Tanpa Anwar Ibrahim ?

Pakatan Rakyat yang terdiri daripada kerjasama politik antara parti PAS, DAP dan PKR telah berjaya dibentuk setelah Anwar Ibrahim bergiat aktif semula dalam politik Malaysia. Sebelum itu, ketiga-tiga parti tersebut pernah bekerjasama sebagai Parti Alternatif namun tidak dapat bertahan lama ekoran pertembungan ideologi dan matlamat perjuangan yang wujud antara PAS dan DAP. Namun, dengan kemampuan yang dimiliki oleh Anwar Ibrahim terutamanya kemampuan untuk berkomunikasi secara politik dengan PAS dan DAP, maka PAS dan DAP dapat disatukan semula bersama-sama dengan PKR dalam Pakatan Rakyat. Oleh itu, sebenarnya tiada siapa yang boleh menafikan bahawa peranan Anwar Ibrahim sangat besar dalam pembentukan Pakatan Rakyat, bahkan juga tidak boleh dinafikan bahawa Pakatan Rakyat dapat bertahan sehingga kini adalah kerana peranan yang dimainkan oleh Anwar Ibrahim dalam menangani setiap konflik yang wujud dalam Pakatan Rakyat.

Antara PAS dan DAP, Anwar Ibrahim sebenarnya mempunyai komunikasi politik yang lebih baik dengan PAS berbanding dengan DAP. Bahkan bukan lagi rahsia bahawa ramai tokoh-tokoh penting dalam PAS yang mempunyai hubungan sangat istimewa dengan Anwar Ibrahim. Berbeza dengan DAP, Anwar Ibrahim hanya dapat berkomunikasi secara politik dengan pemimpin-pemimpin tertentu sahaja, khususnya dengan Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng. Oleh itu, untuk menyelesaikan perbezaan dan konflik yang wujud diantara PAS dan DAP, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh Anwar Ibrahim untuk menundukkan atau mempengaruhi pejuang sosialis seperti Lim Kit Siang. Dalam banyak isu yang timbul dalam Pakatan Rakyat, pejuang sosialis seperti Lim Kit Siang sangat tegas dalam mempertahankan prinsip perjuangan DAP.

Pihak yang lebih mudah untuk ditundukkan oleh Anwar Ibrahim bagi menyelesaikan konflik dan meneutralkan perbezaan yang wujud dalam Pakatan Rakyat ialah Parti PAS. Ini kerana, disamping wujudnya hubungan istimewa diantara Anwar Ibrahim dengan pemimpin-pemimpin PAS, pengalaman politik Anwar Ibrahim bersama ABIM membolehkan beliau dengan mudah masuk ke dalam culture PAS sehinggakan ramai anggota-anggota PAS sendiri yang mengagumi beliau. Maka sebab itu, tidak hairan jika konflik dalaman boleh berlaku dalam PAS apabila PAS mengambil pendirian yang berbeza dengan apa yang dirancang oleh Anwar Ibrahim, contohnya Langkah Kajang yang telah membawa kepada Krisis Pertukaran Menteri Besar Selangor. Oleh sebab Presiden PAS tidak menyokong perancangan Anwar Ibrahim dalam projek Langkah Kajang, maka bukan sahaja PAS telah dilanda krisis dalaman yang kritikal sehingga wujudnya PASMA bahkan timbul juga desakan agar Presiden PAS mengundurkan diri kerana didakwa kurang komited dengan agenda bersama dalam Pakatan Rakyat.

Oleh itu, hukuman penjara selama 5 tahun yang dikenakan ke atas Anwar Ibrahim dikala Pakatan Rakyat sedang menghadapi krisis dalaman yang serious sudah tentunya menjadi satu cabaran yang sangat besar kepada Pakatan Rakyat. Ini kerana, peranan yang dimainkan oleh Anwar Ibrahim sebelum ini khsusnya kemampuan berkomunikasi dengan DAP dan PAS sangat diperlukan untuk menuetralkan krisis yang sedang melanda Pakatan Rakyat. Persoalannya apabila Anwar Ibrahim telah dipenjarakan siapakah pemimpin dalam Pakatan Rakyat khususnya dalam parti PKR yang dapat mengambil peranan tersebut ???  Jika ada, maka besar kemungkinan Pakatan Rakyat akan dapat dipertahankan daripada berpecah.

Namun, sebenarnya setakat ini tidak ada  individu dalam Pakatan Rakyat yang memiliki kemampuan tersebut. Maka, tiada jalan lain yang akan dilakukan oleh Pakatan Rakyat dan penyokong-penyokongnya melainkan berusaha dengan sekerasnya untuk membebaskan Anwar Ibrahim daripada hukuman penjara. Membebaskan Anwar Ibrahim daripada hukuman penjara kini merupakan soal Hidup Mati bagi Pakatan Rakyat. Oleh itu, segala ruang yang ada termasuklah ruang yang ada di peringkat antarabangsa akan mereka gunakan semaksimanya untuk tujuan tersebut. Dan apabila itu berlaku, maka kita bakal menyaksikan satu lagi pergolakan politik dalam negara yang kesudahannya masih lagi menjadi tanda tanya.

Artikel - artikel yang berkaitan :




No comments:

Post a Comment