Saturday, 27 December 2014

Adakah Pakatan Rakyat Akan Berpecah ?


Pakatan Rakyat tidak akan berpecah selagi agenda menumbangkan Barisan Nasional dalam PRU kekal menjadi keutamaan berbanding dengan matlamat perjuangan parti masing-masing. Ini kerana PAS, PKR dan DAP dapat duduk bersama dalam satu saf perjuangan kerana ketiga-tiga parti tersebut berkongsi agenda yang sama iaitu menubangkan Barisan Nasional dalam PRU. Tanpa mengenepikan matlamat perjuagan parti dengan memberikan keutamaan kepada agenda menumbangkan Barisan Nasional dalam PRU, agak mustahil Pakatan Rakyat dapat bertahan sehingga kini dan berjaya mencapai kemenangan besar dalam PRU 13. Ini kerana, matlamat perjuangan parti-parti dalam Pakatan Rakyat khususnya PAS dan DAP sangat berbeza dan banyak prinsip yang  saling bertentangan yang boleh membawa kepada pertembungan. Oleh itu, matlamat perjuangan parti masing-masing tidak boleh diletakkan sebagai keutamaan dalam Pakatan Rakyat.

Jika mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat mula menjadikan matlamat perjuangan parti menjadi lebih utama berbanding dengan agenda menumbangkan Barisan Nasional dalam PRU, maka itu akan membentuk retak yang boleh membawa kepada perpecahan Pakatan Rakyat. Ini kerana perbezaan matlamat perjuangan khususnya diantara PAS dan DAP umpama antara magnet kutub utara dengan kutub utara atau magnet kutub selatan dengan kutub selatan yang tidak mungkin untuk dapat dicantumkan. Jurang perbezaan matlamat perjuangan tersebut wujud kerana masing-masing parti dalam Pakatan Rakyat lahir daripada  ideology yang berbeza.

PKR merupakan Parti Sekuler-Pragmatik, DAP ialah parti Sekuler-Sosialis manakala PAS pula adalah Parti Islam. Berdasarkan ideologi tersebut PKR dan DAP mempunyai matlamat yang lebih kurang sama iaiatu untuk membentuk masyarakat demokratik berasaskan prinsip keadilan dan nilai sejagat, manakalah PAS pula mempunyai matlamat untuk mendirikan Negara Islam berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Oleh itu, walau apa sekali pun yang dilakukan oleh para pemimpin atau golongan intelektual dalam Pakatan Rakyat, mereka sesekali tidak akan dapat menyatukan matlamat perjuangan DAP-PKR dengan PAS. Kecuali ada mana-mana parti yang sanggup menggadaikan matlamat perjuangan mereka.

Namun timbul persoalan, kenapa sebelum krisis Menteri Selangor terjadi, tidak timbul pula tentang soal perbezaan matlamat perjuangan parti. Bahkan, Pakatan Rakyat dilihat sebagai sebuah pakatan yang sangat utuh dan mempunyai potensi yang sangat besar untuk merampas Putrajaya daripada Barisan Nasional ???

Jawapan kepada persoalan tersebut ialah kerana ikatan yang membentuk Pakatan Rakyat adalah ikatan yang sangat lemah dan mudah untuk diputuskan. Apatah lagi PAS dan DAP mempunyai ideologi yang saling bertentangan. Oleh itu, apabila tanggungjawab untuk membuat keputusan telah berada diatas bahu mereka terhadap sesuatu isu yang berlaku seperti pertukaran Menteri Besar Selangor, maka keputusan atau pendirian yang ingin diambil tidak boleh lari daripada dipengaruhi oleh prinsip dan matlamat perjuangan parti. Berbeza halnya ketika tanggungjawab untuk membuat keputusan tidak berada diatas bahu mereka. Perbezaan pendirian dan matlamat perjuagan mereka ketika itu tidak teruji dengan isu yang berlaku kerana mereka tidak perlu membuat keputusan atau mengambil tindakan. Maka, mereka boleh terus bersama-sama fokus menyerang segala kelemahan dan keputusan yang dibuat oleh  Kerajaan Barisan Nasional.

Namun ketika ini, selain daripada perbezaan pendirian dan keputusan yang berkaitan dengan isu pertukaran Menteri Besar Selangor yang telah pun meretakkan hubungan parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Isu hudud nampak gayanya bakal menjadikan retak tersebut menjadi bertambah besar dan berpotensi untuk membawa kepada perpecahan. Namun, ianya bergantung bagaimana pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat menghadapi isu tersebut. Jika, mereka dapat menggelakkan daripada pertembungan yang berkaitan dengan matlamat perjuagan parti masing-masing, maka Pakatan Rakyat akan dapat diselamatkan daripada perpecahan. Namun, jika isu ini iaitu isu hudud dijadikan modal untuk mempertikaikan atau mempersoalkan matlamat perjuangan parti-parti dalam Pakatan Rakyat, maka itu pentanda bahawa Pakatan Rakyat akan menuju kepada perpecahan. (Baca : Teras Perjuangan Gerakan Islam )

Anda Mungkin Juga Meminati :

No comments:

Post a Comment