Wednesday, 23 September 2015
Monday, 31 August 2015
Bersih 4.0 Dan Undi Tidak Percaya
Sangat penting bagi pihak pembangkang khususnya DAP, PKR dan GHB mengambil peluang daripada krisis yang sedang melanda pentadbiran Dato’ Sri Najib untuk mengadakan event besar seperti Himpunan Bersih 4.0. Event sebegini bukan sahaja akan dapat menambahkan sokongan rakyat kepada mereka, tetapi juga akan dapat mengukuhkan lagi kerjasama politik yang sedia terjalin sesama mereka. Selain itu, ianya tentu juga akan dapat mengalihkan tumpuan mereka daripada krisis dalaman yang sedang melanda Pakatan Rakyat kepada isu yang membolehkan mereka untuk saling bekerjasama dan berganding bahu. Dengan kata lain, event seperti Bersih 4.0 sedikit sebanyak akan dapat mengelakkan parti-parti pembangkang daripada disibukkan dengan konflik dalaman yang boleh melemahkan lagi kerjasama politik mereka.
Dalam suasana politik dan ekonomi Malaysia ketika ini, serta isu-isu panas yang melibatkan Dato’ Sri Najib sendiri, hakikatnya adalah benar seperti apa yang telah diperkatakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa ‘Kalau esok pilihanraya, BN akan kalah’. Ini kerana kegagalan pentadbiran Dato Sri Najib menguruskan dengan baik banyak isu penting yang wujud di dalam negara seperti isu 1MDB, kenaikan harga barang, kejatuhan nilai ringgit serta isu-isu yang melibatkan diri beliau sendiri seperti kes Altantuya, kehidupan mewah Datin Sri Rosmah dan juga wang derma bernilai RM2.6 billion yang dimasukkan dalam akaun peribadi beliau semakin menimbulkan kemarahan dan kebencian rakyat terhadap Barisan Nasional. Situasi ini tentunya akan memberikan kelebihan serta peluang yang lebih cerah kepada parti-parti Pembangkang untuk memenangi pilihanraya pada PRU14 akan datang.
Oleh itu, tentunya parti-parti pembangkang inginkan agar kemarahan dan kebencian rakyat Malaysia terhadap Barisan Nasional berterusan sehingga ke PRU14 akan datang. Maka, bagi parti-parti pembangkang, jika Dato’ Sri Najib berundur sekarang sudah pasti ianya akan dapat mengurangkan kelebihan mereka untuk menggalahkan BN pada PRU14. Apatah lagi jika pemimpin yang dinaikkan bagi menggantikan Dato’ Sri Najib adalah seorang pemimpin yang dapat bertindak tegas terhadap ‘kesalahan’ yang telah dilakukan oleh pentadbiran Dato’ Sri Najib. Ini kerana, tindakan sedemikian akan dapat meredakan kemarahan dan kebencian rakyat terhadap Barisan Nasional dan seterusnya akan dapat mengembalikan kepercayaan rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional.
Maka dengan itu, usul undi tidak percaya yang disuarakan bagi menurunkan Dato’ Sri Najib sebenarnya adalah satu strategi politik yang boleh dilihat daripada dua perspektif yang berbeza. Pertama, bagi Barisan Nasional khususnya UMNO, sama ada usul undi tidak percaya akan dapat menurunkan Najib atau tidak, kedua-duanya sebenarnya akan merugikan UMNO. Ini kerana usul undi tidak percaya terhadap Dato’ Sri Najib akan menambah parahkan lagi perpecahan dalam UMNO. Bukan mudah untuk mencapai satu kesepakatan ahli-ahli Parlimen UMNO yang mewakili 88 kerusi daripada 133 kerusi Parlimen yang dimenangi oleh Barisan Nasional pada PRU13 yang lepas. Realiti sekarang jelas menunjukkan masih ramai ahli-ahli Parlimen UMNO yang begitu kuat mempertahankan Dato’ Sri Najib. Ditambah pula tiada jaminan yang jelas daripada pihak pembangkang bahawa mereka akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Dato’ Sri Najib.
Manakala, dari perspektif pembangkang pula asasnya ialah perpecahan yang berlaku dalam Barisan Nasional serta kekalnya Dato’ Sri Najib sebagai Perdana Menteri sehingga ke PRU14 adalah satu kelebihan kepada mereka. Oleh itu, dari segi strategi politik pihak pembangkang tentunya lebih mengharapkan agar Dato’ Sri Najib akan terus kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia sehingga PRU14. Ini kerana, tanpa perlu menyokong undi tidak percaya tetapi hanya membiarkan orang-orang penting dalam UMNO terus menerus mendesak agar Dato’ Sri Najib berundur sudah cukup untuk menyebabkan UMNO semakin berpecah.
Sebenarnya bagi pihak UMNO cara yang paling ideal untuk menyelesaikan masalah mereka ialah dengan cara Dato’ Sri Najib meletakkan jawatan secara ‘paksa-rela’ tanpa perlu melakukan undi tidak percaya di parlimen. Cara ini bukan sahaja dapat menggelakkan perpecahan menjadi semakin bertambah parah dalam UMNO tetapi juga akan memudahkan penganti Dato’ Sri Najib merangka strategi bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada Barisan Nasional. Inilah sebenarnya yang sedang dilakukan oleh Tun Mahathir dan pemimpin-pemimpin UMNO sependapat dengan beliau. Cadangan undi tidak percaya yang turut disuarakan oleh Tun Mahathir hanyalah merupakan antara cara yang dilakukan oleh beliau untuk terus memberikan tekanan kepada Dato’ Sri Najib agar meletakkan jawatan secara ‘paksa-rela’.
Anda Mungkin Juga Meminati :
Tuesday, 4 August 2015
Kabinet Baru Dato' Sri Najib
Walaupun rombakan kabinet bukan perkara yang asing dalam politik Malaysia dan merupakan hak Perdana Menteri yang dijamin oleh perlembagaan, namun rombakan kali ini tidak dapat lari daripada hakikat bahawa ianya dilakukan ketika kedudukan Dato' Sri Najib sebagai Perdana Menteri berada dalam keadaan yang sangat goyah. Ini ekoran daripada tekanan yang beliau hadapi daripada beberapa isu khususnya yang berkaitan dengan isu 1MDB dan dakwaan penyaluran wang sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi beliau. Dan sama ada ianya berlaku secara kebetulan atau dirancang, pelantikan 4 orang ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) termasuk Pengerusinya iaitu Datuk Nur Jazlan Mohamed ke dalam kabinet yang baru secara tidak langsung telah menyebabkan siasatan yang sedang rancak dijalankan ke atas 1MDB berada dalam keadaan yang tidak menentu.
Menurut Nur Jazlan semua prosiding yang telah diatur termasuk memanggil orang penting dalam isu 1MDB iaitu Bekas CEO 1MDB Datuk Shahrol Halmi dan Presiden 1MDB ketika ini iaitu Arul Kanda Kandasamy untuk menghadap PAC yang dijadualkan pada Ogos akan ditangguhkan sehingga barisan PAC baharu dilantik pada sidang Dewan Rakyat akan datang. Plot cerita isu 1MDB ini mungkin menjadi semakin bertambah rumit untuk didigest oleh pihak atau rakyat biasa yang menyokong atau sekurang-kurangnya berpendirian bahawa isu 1MDB hanyalah satu propaganda atau usaha pihak-pihak tertentu untuk menjatuhkan Dato' Sri Najib. Ini kerana, isu RM2.6 billion dimasukkan ke dalam akaun peribadi Dato' Sri Najib sudah ada beberapa penafian tidak konsisten daripada menteri-menteri Dato' Sri Najib sendiri. Apabila isu itu timbul, dikatakan ianya adalah fitnah, tidak munasabah Dato' Sri Najib berbuat demikian dan macam-macam lagi. Kini, beberapa orang menteri dalam kabinet baru Najib menyatakan pula bahawa tidak salah untuk mana-mana parti politik menerima dana daripada luar dan terdapat peruntukan dalam perlembagaan UMNO yang membenarkan presiden parti mempunyai akaun amanah bagi pihak parti.
Penamatan perkhidmatan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail atas ‘sebab-sebab kesihatan’ ketika beliau sedang mengetuai pasukan petugas khas pelbagai agensi dalam siasatan berkaitan isu penyalahgunaan dana dan 1MDB tentunya menambahkan lagi kerumitan untuk menyimpulkan bahawa isu 1MDB hanya satu propaganda atau mainan persepsi. Setelah bermacam-macam penafian dan pembelaan dilakukan oleh menteri-menteri Dato' Sri Najib, terbaru, pihak SPRM telah mengeluarkan kenyataan bahawa dana sebanyak RM2.6 billion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah sumbangan penderma, bukannya dari dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB). Ketika berita tersebut hangat diperkatakan, dilaporkan pula bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM iaitu Tan Sri Abu Kassim Mohamed diarahkan untuk bercuti. Berita ini tentunya akan menambahkan lagi kepeningan dan kerisauan rakyat Malaysia memikirkan masa depan negara yang diurus oleh Dato' Sri Najib bersama-sama dengan para menterinya.
Sama ada Dato' Sri Najib dan para menterinya sedar atau tidak, secara keseluruhannya rakyat daripada pelbagai lapisan golongan sebenarnya sudah semakin hilang keyakinan dan mula memandang rendah terhadap keupayaan dan kredibiliti mereka dalam menguruskan pentadbiran negara. Keadaan ini tentunya boleh sahaja menimbulkan ketidakpercayaan dan rasa tidak hormat rakyat terhadap institusi-institusi kerajaan yang berperanan menjaga ketenteraman dan kestabilan pentadbiran negara. Apabila keadaan ini menjadi semakin bertambah parah dan tidak terkawal, maka ianya boleh mengundang rasa tidak puas hati rakyat terhadap apa sahaja keputusan dan tindak-tanduk yang dilakukan oleh Dato' Sri Najib dan para menterinya. Rasa tidak puas hati rakyat yang tidak terkawal tentunya boleh mencetuskan keadaan negara yang tidak stabil seperti yang pernah berlaku di negara-negara lain seperti Indonesia, Thailand dan di beberapa buah negara Timur Tengah. Rasa tidak tidak puas hati rakyat terhadap pemerintah di negara-negara tersebut akhirnya diterjemahkan dengan kebangkitan menjatuhkan kerajaan dan digantikan dengan kerajaan yang lain.
Namun, setelah beberapa tahun kerajaan baru mentadbir, tiada perubahan yang mengarah kepada kehidupan yang lebih baik di negara-negara tersebut. Ini kerana perkara utama yang menimbulkan telah menimbulkan pelbagai masalah dalam kehidupan tetap tidak berubah walaupun pemerintah/kerajaannya telah berubah. Perkara utama yang dimaksudkan ialah sistem pemerintahan. Perubahan hakiki yang dapat menjamin kehidupan yang lebih baik adalah dengan cara mengantikan segala sistem pemerintahan ciptaan manusia kepada sistem pemerintahan yang diturunkan oleh Allah SWT. (Baca :Perubahan Hakiki Perlu Dilakukan Jika Inginkan Kehidupan Yang Lebih Baik ).
Anda Mungkin Juga Meminati
Wednesday, 22 July 2015
Gerakan Harapan Baru (GHB)
Secara teknikalnya Gerakan Harapan Baru (GHB) memerlukan sokongan daripada ahli-ahli PAS untuk menjadi sebuah parti politik yang kuat. Tanpa sokongan yang kuat daripada ahli-ahli PAS sendiri, nescaya perjuangan GHB sebagai sebuah parti politik tidak akan kemana dan akan berkubur dalam masa yang singkat. Dengan kata lain, demi untuk menjadi sebuah parti politik yang kuat, GHB tidak punya pilihan selain perlu menarik keluar ahli-ahli PAS untuk menyertai mereka. Ini kerana walaupun GHB boleh menarik sokongan pengundi-pengundi atas pagar, namun hakikatnya mereka tetap memerlukan ahli-ahli yang berjiwa haraki untuk menjadi tulang belakang kepada gerak kerja perjuangan mereka. Sudah tentu, ahli-ahli PAS adalah merupakan golongan yang paling mereka harapkan dan bukannya ahli-ahli PKR mahupun DAP. Malahan PKR dan DAP sudah tentu tidak akan membenarkan ahli-ahli mereka untuk menyertai GHB, walaupun secara zahirnya PKR dan DAP menyokong perjuangan GHB.
Maka untuk menarik ahli-ahli PAS agar menyertai GHB, para penggerak GHB perlu berusaha untuk membuktikan bahawa pendekatan perjuangan yang dibawa oleh GHB adalah lebih cerah untuk memperolehi kemenangan berbanding dengan pendekatan yang dibawa oleh PAS ketika ini. Kemenangan apa ??? Tentunya tidak lain tidak bukan melainkan kemenangan menawan pentadbiran Putrajaya daripada Barisan Nasional. Kemenangan menawan pentadbiran Putrajaya merupakan satu cita-cita agung Pakatan Rakyat yang sudah terlalu hampir untuk dikecapi pada PRU13 yang lepas, dan kini peluang tersebut semakin terbuka luas apabila komponen utama parti Barisan Nasional iaitu UMNO dan MIC kini sedang dilanda masalah dalaman yang sangat serious. Ditambah pula, banyak isu semasa seperti isu 1MDB, kejatuhan nilai ringgit dan lain-lain lagi telah memberikan banyak disadvantage kepada kerajaan Barisan Nasional.
Oleh itu, bagi DAP, PKR dan GHB peluang tersebut tidak boleh dipersia-siakan dan sebarang isu yang boleh menimbulkan konflik antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat perlu dihindari walaupun ianya merupakan isu yang menyentuh tentang soal prinsip dan matlamat perjuangan parti masing-masing. Bagi GHB keutuhan Pakatan Rakyat untuk menghapuskan kezaliman kerajaan Barisan Nasional adalah yang lebih aula dan perlu diberikan keutamaan berbanding dengan isu-isu lain khususnya tentang isu pelaksanaan hukum hudud. Tindakan PAS yang mengangkat semula isu hudud tanpa berunding terlebih dahulu dengan pimpinan Pakatan Rakyat yang lain dianggap sebagai tindakan yang tidak progresif dan satu pengkhianatan kepada agenda bersama Pakatan Rakyat.
Sehingga kini, walaupun kebanyakkan penggerak utama GHB adalah bekas-bekas pemimpin kanan dalam parti PAS dan telah berjuang bersama PAS selama lebih kurang 30 tahun, namun mereka sendiri masih tidak begitu pasti sejauh mana agenda perjuangan yang mereka bawa dapat menarik sokongan yang kuat daripada ahli-ahli PAS. Maka sebab itu, walaupun sudah terdapat rundingan dan juga pengumuman mengenai pembentukan Pakatan 2.0, namun status GHB sama ada akan bergerak sebagai parti politik atau sekadar bergerak sebagai NGO masih belum jelas. Hal ini sebenarnya merupakan antara petunjuk bahawa Gerakan Harapan Baru adalah sebuah gerakan yang tercetus daripada momentum yang dihasilkan oleh rasa kekecewaan ataupun PUTUS HARAPAN terhadap PAS. Dan momentum tersebut turut dipanaskan lagi dengan sokongan yang diberikan oleh DAP, PKR dan beberapa NGO yang lain.
Tanpa adanya momentum tambahan yang diberikan oleh DAP, PKR dan NGO-NGO lain, nescaya GHB tidak akan mampu untuk mara sehingga ke tahap hari ini. Ini kerana walaupun kebanyakkan penggerak-penggerak GHB adalah terdiri daripada orang-orang yang hebat dalam arena politik Malaysia, namun dalam situasi mereka yang baru sahaja dikecewakan oleh para perwakilan PAS, mereka hakikatnya memerlukan sokongan dan dorongan daripada pihak lain khususnya daripada DAP dan PKR untuk bertindak sejauh apa yang telah mereka lakukan sehingga ke tahap hari ini. Oleh itu, penafian yang keluar daripada mulut-mulut mereka tidak akan dapat menutup hakikat bahawa PKR dan khususnya DAP mempunyai peranan serta pengaruh dalam menentukan ke arah mana kiblat perjuangan GHB.
Oleh itu, bekas-bekas pimpinan kanan PAS yang tewas dalam pemilihan parti baru-baru ini seharusnya tidak bertindak terburu-buru sehingga perlu menubuhkan GHB. Penolakan perwakilan PAS terhadap mereka seharusnya dijadikan iktibar untuk memuhasabah diri bagi melihat kekurangan dan kelemahan diri. Tidak salah sekiranya mereka mengambil sedikit masa untuk bertenang dan membina semula kekuatan diri berbanding terburu-buru untuk menyelamatkan ‘ikatan persaudaraan’ yang sedia terjalin dengan DAP dan PKR. Walau apa pun masih belum terlambat bagi semua pengerak-pengerak GHB untuk mengkoreksi dan menilai semula apa yang sedang mereka lakukan.
Anda Mungkin Juga Meminati :
Wednesday, 15 July 2015
Perubahan Hakiki Perlu Dilakukan Jika Inginkan Kehidupan Yang Lebih Baik
Bagaimanalah agaknya keadaan kehidupan di Malaysia pada masa akan datang??? Adakah menjadi semakin bertambah baik atau pun sebaliknya??? Secara fitrah semua manusia pastinya mengharapkan kehidupan yang lebih baik. Baik dari segi mudah untuk mencari rezeki, keadaan sekeliling yang selamat, anak-anak dapat membesar dalam persekitaran yang baik, memiliki keluarga yang bahagia dan macam-macam lagi. Dan pastinya tiada manusia yang sihat akal fikirannya yang menginginkan kehidupan yang sentiasa dihimpit dengan pelbagai masalah kehidupan yang tidak berpenghujung. Hari-hari terpaksa berfikir dan bekerja keras untuk mencari duit bagi memenuhi keperluan kehidupan yang semakin menghimpit, pada masa yang sama sentiasa dibayangi dengan keadaan sekeliling yang tidak selamat, pening memikirkan anak-anak membesar dalam persekitaran yang sangat mencabar dan macam-macam lagi tekanan hidup.
Bagi mereka yang sudah dewasa dan faham serta turut mengambil tahu bagaimana keadaan kehidupan yang terpaksa dilalui oleh kebanyakkan rakyat Malaysia ketika ini, tentunya mereka mempunyai jawapan terhadap persoalan tersebut. Kehidupan yang sedang dilalui ketika ini sahaja sudah cukup mencabar sehingga ramai umat Islam khususnya yang tertewas dengan pelbagai macam masalah dan tekanan hidup yang terpaksa dihadapi. Tertewas sehingga bukan sahaja tidak mempunyai masa untuk memikirkan dan mengumpul bekalan untuk dibawa ke alam akhirat, malah turut tertewas dalam struggle memenuhi tuntutan hidup sehingga merasakan kehidupan amat sempit dan tidak bermakna. Jika begitulah keadaan kehidupan ketika ini, maka tidak dapat digambarkan bagaimanalah kehidupan yang bakal dilalui pada masa hadapan jika tiada perubahan yang berkesan dilakukan.
Perubahan?! Perubahan yang bagaimana? Adakah perubahan dengan menggantikan pemimpin negara yang sedia ada dengan pemimpin yang lain? Ataupun membuat perubahan dengan menukar Barisan Nasional yang telah lama memerintah dengan parti pembangkang? Jika itulah bentuk perubahan yang ingin dilakukan, nescaya sebenarnya ia bukanlah perubahan yang berkesan dan hakiki. Tetapi ianya hanyalah perubahan yang bersifat sementara dan tidak akan dapat mengubah kehidupan yang sedia ada kepada kehidupan yang lebih baik seperti yang diharapkan.
Ini kerana, hakikatnya permasalahan kehidupan yang menimpa rakyat Malaysia ketika ini, bahkan sebenarnya turut menimpa keatas keseluruhan umat manusia di muka bumi adalah disebabkan oleh kepincangan sistem yang mengatur kehidupan manusia. Secara umumnya semua negara di dunia ketika ini termasuklah Malaysia diatur dengan sistem hidup yang lahir daripada ideologi yang dihasilkan oleh buah pemikiran manusia sendiri.Tidak kira apa jua ideologi sama ada kapitalis, sosialis, liberalisme, sosialisme demokrat dan lain-lain lagi ianya tidak akan dapat lari daripada hakikat bahawa ideologi-ideologi tersebut merupakan hasil ciptaan buah pemikiran manusia.
Manusia yang menciptakan dan mendesignnya dengan meletakkan prinsip-prinsip asas serta methodologi untuk ideologi tersebut diamalkan dan dikembangkan. Semua ideologi tersebut berasal dari akal manusia yang tidak akan dapat lari daripada hakikat ianya didesign untuk memberikan kebaikan atau manfaat kepada golongan-golongan tertentu dan pada masa yang sama akan memberikan keburukan atau kerugian kepada pihak yang lain. Walau sebijak mana manusia yang melahirkan ideologi tersebut, dia sama sekali tidak akan dapat lari daripada keterbatasannya sebagai manusia yang mempunyai banyak kekurangan dan kelemahan. Oleh itu, semakin lama sistem hidup ciptaan manusia dilaksanakan untuk menguruskan kehidupan manusia, maka semakin banyaklah kerosakan yang akan dihasilkan.
Maka sebab itu, walaupun telah berlaku perubahan pemimpin atau parti pemerintah di beberapa buah negara tetapi kehidupan rakyatnya tetap sahaja semakin hari semakin menghimpit. Indonesia misalnya, pasca Reformasi 1998 menjatuhkan Presiden Suharto tetap sahaja masih gagal memberikan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat Indonesia. Walaupun memiliki sumber alam sangat banyak, namun berjuta-juta rakyatnya terpaksa berhijrah ke negara-negara lain untuk mencari rezeki. Begitu juga dengan perubahan kerajaan di negara kuasa ekonomi nombor satu di Asia, iaitu Jepun. Setelah memerintah selama 54 tahun, Parti Liberal Demokrat akhirnya tumpas kepada parti pembangkang iaitu Parti Demokrat dalam Pilihanraya Umum Jepun tahun 2009. Namun, Parti Liberal Demokrat berjaya menjadi kerajaan semula selepas kemenangan dalam Pilihanraya Umum tahun 2012. Kerajaan telah bertukar ganti, namun Jepun tetap sahaja kekal sebagai antara negara yang mempunyai kos hidup dan kadar bunuh diri yang tertinggi di dunia. Contoh perubahan kerajaan yang masih baru dan mendapat liputan yang sangat luas ialah Arab Spring. Setelah para diktator berjaya dijatuhkan dan digantikan dengan pemerintah yang lain, negara-negara arab yang terlibat dalam Arab Spring tetap sahaja sama, tiada perubahan yang lebih baik berlaku.
Ini kerana punca utama bukanlah pada parti dan orang yang memerintah, tetapi punca utama yang menyebabkan kehidupan manusia semakin lama menjadi semakin sengsara adalah disebabkan oleh sistem hidup yang digunakan dalam mengatur kehidupan manusia. Oleh itu, perubahan hakiki yang akan dapat memberikan kehidupan yang lebih baik kepada manusia adalah dengan cara menukar sistem kehidupan yang digunakan ketika ini kepada sistem kehidupan yang diturunkan oleh Allah SWT kepada manusia iaitu Sistem Khilafah. Ketika Sistem Khilafah dilaksanakan dalam pemerintahan umat Islam, ianya bukan sahaja telah memberikan kesejahteraan kepada umat Islam tetapi juga kepada keseluruhan umat manusia.
Anda Mungkin Juga Meminati:
Subscribe to:
Posts (Atom)


