Saturday, 1 February 2014

Politik Malaysia : Kenapa Begitu Dan Begini ?

 
Sebarang tindak tanduk yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu khususnya para politikus dalam negara kita Malaysia akan dapat difahami jika pembaca memahami idelologi yang mereka amalkan serta pada masa yang memahami situasi politik misalnya kedudukan semasa Barisan Nasional sebagai parti yang memerintah. Barisan Nasional walaupun telah berjaya membentuk kerajaan selepas PRU 12 dan PRU 13, namun dengan mandat yang lemah. Mereka sangat terdesak untuk membentuk sebuah kerajaan yang kuat agar agenda perjuangan komponen parti dalam BN serta kepentingan pihak-pihak tertentu dalam negara akan dapat diteruskan dan dijaga. Segala tindak tanduk yang mereka lakukan sudah pasti akan dituntun oleh ideologi yang mereka pegang.

Di sebelah pihak pembangkang pula, kemenangan besar dalam dua pilihanraya umum yang lepas telah menyebabkan ‘nafsu’ mereka untuk menerajui tampuk pemerintahan negara seperti sudah tidak dapat dikekang lagi. Mereka menjadi tidak tentu arah oleh nafsu yang membuak-buak untuk memegang tampuk pemerintahan. Nafsu yang membuak-buak tersebut sesekali telah menyebabkan mereka begitu kelihatan sangat desperate  dalam keputusan dan tindakkannya. Pada masa yang sama, harus diingat bahawa segala tindak tanduk mereka juga akan dituntun oleh ideologi yang mereka pegang.

Pelbagai macam kejadian dan isu yang dimainkan oleh kedua-dua belah pihak dalam mainan politik masing-masing demi mengukuhkan kedudukan dan pada masa yang sama agar dapat melemahkan kedudukan politik di pihak lawan. Semuanya itu mereka perlu dilakukan untuk mendapat sokongan  daripada rakyat. Rakyat akan diheret sekali dalam mainan politik mereka. Rakyat akan dipergula-gulakan dan jadikan sebagai askar serta banteng dalam percaturan politik mereka. Sama ada rakyat Malaysia ini sedar atau tidak itulah hakikatnya dalam mainan politik  Malaysia pada hari ini. Kerana apa? Kerana ideologi yang dipegang oleh kedua-dua pihak menuntut mereka untuk melakukan tindakan tersebut jika ingin berjaya dalam mainan politik mereka.

Tidak kira apa jua ideologi politik yang diamalkan oleh kebanyakkan negara pada hari ini termasuklah Malaysia, sama ada  kapitalis, sosialis, liberalisme, sosialisme demokrat dan lain-lain lagi ianya tidak akan dapat lari daripada hakikat bahawa ideologi-ideologi tersebut merupakan ciptaan manusia. Manusia yang menciptakan dan mendesignnya dengan meletakkan prinsip-prinsip asas serta methodologi untuk ideologi tersebut diamalkan dan dikembangkan.  Semua ideologi tersebut berasal dari akal manusia yang tidak akan dapat lari daripada hakikat ianya didesign untuk memberikan kebaikan atau manfaat kepada golongan-golongan tertentu dan pada masa yang sama akan memberikan keburukan atau kerugian kepada pihak yang lain. Walau sebijak mana atau ‘sucinya’ manusia yang melahirkan ideologi tersebut, dia sama sekali tidak akan dapat lari daripada keterbatasannya sebagai manusia yang mempunyai banyak kekurangan dan kelemahan. Tidak mungkin, dia sebagai manusia dapat melahirkan ideologi yang dapat memberikan kebaikan dan keadilan kepada keseluruhan manusia.

Maka sebab itu, akan dapat difahami bahawa walau apa jua yang dilakukan oleh kedua-dua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang mereka tidak boleh lari daripada dua perkara dalam keputusan dan tindakan mereka, iaitu kepentingan dan ketidakadilan. Mereka sama sekali tidak akan dapat membuang pertimbangan kepentingan dalam keputusan dan tindakan mereka. Mereka sama sekali juga tidak akan dapat menghasilkan keputusan yang akan memberikan keadilan dan kebaikan kepada semua pihak walaupun mereka berusaha sedaya mungkin. Seumpama, latihlah seekor ayam di tempat yang serba canggih serta dilatih dengan beberapa jurulatih yang mempunyai kepakaran masing-masing, ayam tersebut tidak akan dapat terbang sama seperti seekor helang. Ini kerana, walaupun seekor ayam mempunyai sayap, namun Allah SWT telah menetapkan hadnya sekadar mempunyai sayap namun tidak boleh terbang seperti seekor helang.

Begitu jugalah dengan akal manusia, walau dia berusaha semaksimum dan menggunakan segala ilmu yang dia ada, sama sekali dia tidak akan mampu untuk menghasilkan ideologi dan peraturan hidup yang akan dapat memberikan kebaikan dan keadilan kepada seluruh manusia.  Oleh itu, umat Islam harus menyedari dan mengisafi bahawa kehidupan manusia yang serba kompleks ini hanya dapat diatur dengan ideologi yang datang daripada pencipta seluruh alam raya ini, iaitu Allah SWT yang Maha Esa.

No comments:

Post a Comment