Wednesday 3 June 2015

Muktamar PAS Ke 61

PAS merupakan sebuah parti Islam yang telah wujud sebelum Malaysia (Tanah Melayu) mencapai kemerdekaan lagi. Sebagai sebuah parti Islam yang tertua dan terbesar di Malaysia, keberadaan PAS dalam politik tanah air begitu signifikan sekali dan mempunyai kemampuan untuk memberikan goncangan kepada politik Malaysia. Walaupun sejak ditubuhkan, PAS telah beberapa kali mengalami peristiwa duka dan telah ramai bekas pimpinan tertinggi PAS yang meninggalkan parti itu, namun PAS tetap utuh sehingga ke hari ini.  Keanggotaannya kini bukan sahaja terdiri daripada mereka yang berpendidikan daripada aliran agama serta orang-orang melayu yang tinggal di kampung-kampung tetapi juga turut dianggotai oleh orang-orang Islam yang tinggal di bandar-bandar malah turut dianggotai oleh ramai golongan profesional.

Secara asasnya, orang Islam yang menyertai PAS tidak kira apa jua latar belakang tentunya adalah kerana PAS adalah sebuah parti Islam yang berjuang untuk mensyariatkan ajaran Islam dalam pemerintahan Malaysia. Bagi mereka yang pernah menyertai usrah PAS atau paling tidak sekurang-kurangnya mendengar ceramah yang disampaikan oleh ustaz-ustaz PAS tentunya faham bagaimana motivasi untuk mensyariatkan ajaran Islam di Malaysia ditanamkan dengan begitu kuat sekali dalam perjuangan PAS. Bahkan tidak dapat dinafikan bahawa sebelum meletusnya media sosial/internet, ramai umat Islam di Malaysia yang mendengar istilah Negara Islam/Darul Islam hasil daripada usaha perjuangan PAS.

Dan sebenarnya, bagi umat Islam tidak kira apa jua latar belakang pendidikan atau pekerjaan, untuk menerima dan memahami tentang kewajipan untuk mensyariatkan hukum-hakam Allah dalam kehidupan khususnya dalam pemerintahan bukanlah perkara yang sukar. Ianya mudah dan sangat masuk akal. Perkara inilah yang menjadi sebab utama ramai umat Islam di Malaysia daripada bermacam-macam jenis latar belakang dan peringkat usia menyerahkan diri untuk berjuang bersama-sama PAS. Demi Islam, mereka yang sanggup mencurahkan segala yang termampu demi untuk melihat syariat Islam dilaksanakan di Malaysia. Hal inilah yang menjadikan PAS berbeza dengan UMNO mahupun PKR.

Sepanjang sejarah perjuangan PAS di Malaysia, laungan untuk mensyariatkan ajaran Islam dalam pemerintahan merupakan satu senjata utama untuk meraih sokongan khususnya daripada umat Islam. Namun, laungan tersebut mula perlahan apabila PAS bergabung dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Nasional (KeADILan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada tahun 1999 membentuk Barisan Alternatif (BA). Namun begitu, hasilnya PAS telah berjaya menawan Negeri Terengganu pada PRU10. Dan apabila PAS bergabung semula bersama DAP dan PKR pada PRU12, ternyata sekali lagi kejayaan diluar jangkaan berjaya dikecapi oleh PAS bersama DAP dan PKR. Lima negeri berjaya ditawan dan Barisan Nasional hilang ⅔ undi di Parlimen.

Kejayaan besar dalam PRU12 ternyata telah memberikan satu motivasi baru dalam perjuangan PAS iaitu MENAWAN PUTRAJAYA! Satu cita-cita yang memerlukan strategi perjuangan yang lebih realistik dan praktikal agar dapat meraih undi daripada rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama. Imej, strategi politik dan isu-isu yang dibawa juga harus sesuai dengan misi MENAWAN PUTRAJAYA. Maka, situasi inilah yang telah menyebabkan golongan profesional dalam PAS lebih menonjol berbanding dengan golongan ulama.

Ini kerana disamping mempunyai kebolehan yang lebih baik untuk bekerjasama dengan pimpinan-pimpinan DAP dan PKR, golongan profesional dalam PAS juga ternyata lebih arif tentang hal-hal yang berkaitan dengan urusan kenegaraan. Peranan mereka ketika itu dalam menentukan hala tuju PAS begitu ketara sekali sehinggakan kelihatannya golongan ulama hanya berperanan untuk ‘mengislamkan’ apajua strategi politik yang dicaturkan oleh golongan profesional. Pada awalnya ianya kelihatan seperti tidak ada apa-apa masalah, walaupun banyak pendirian dan tidak-tanduk politik PAS yang sering dipertikaikan oleh umat Islam khususnya.

Namun, setelah misi menawan Putrajaya pada PRU13 tidak berjaya. Langkah Kajang yang dicaturkan oleh pimpinan PKR ternyata telah membentuk keretakan yang sangat besar dalam hubungan PAS-DAP-PKR. Apa yang paling penting, Langkah Kajang telah memperlihatkan kelonggaran kesetiaan ramai pimpinan PAS khususnya daripada golongan profesional terhadap Presiden parti mereka sendiri. Golongan profesional ini, kelihatannya lebih menyakini dan menyokong strategi politik yang dibawa oleh pimpinan DAP dan PKR berbanding dengan strategi politik yang dibawa oleh Presiden parti mereka sendiri.

Sejak itu, keretakan hubungan diantara golongan profesional dengan golongan ulama dalam PAS menjadi semakin parah. Pertembungan sesama mereka sudah tidak dapat dielakkan lagi dan terus berlanjutan sehinggalah ke Muktamar mereka yang  Ke-61. Percaturan oleh kedua-dua pihak khususnya daripada golongan ulamak untuk membersihkan jawatan tertinggi PAS daripada golongan profesional begitu ketara sekali. Pokok persoalannya, kenapa sampai begitu sekali ??? Adakah dengan cara sedemikian akan dapat memperkuatkan PAS sebagai parti Islam??? Perlu disedari bahawa kelemahan dan pepecahan dalam mana-mana gerakan Islam hanya akan merugikan umat Islam, malah akan memberikan ruang kepada golongan sekular-liberal untuk menjayakan agenda mereka.

Oleh itu diharapkan agar pimpinan baru PAS pasca muktamar dapat melakukan sesuatu yang bijak bagi mengelakkan berlakunya pepecahan dalam PAS. Masing-masing pihak sama ada yang kalah mahupun yang menang dalam merebut jawatan tertinggi perlu sama-sama melakukan muhasabah untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada demi untuk memastikan PAS kekal sebagai parti politik Islam yang kuat dan disegani. 


Artikel Berkaitan :

No comments:

Post a Comment