Tuesday 4 August 2015

Kabinet Baru Dato' Sri Najib


Walaupun rombakan kabinet bukan perkara yang asing dalam politik Malaysia dan merupakan hak Perdana Menteri yang dijamin oleh perlembagaan, namun rombakan kali ini tidak dapat lari daripada hakikat bahawa ianya dilakukan ketika kedudukan Dato' Sri Najib sebagai Perdana Menteri berada dalam keadaan yang sangat goyah. Ini ekoran daripada tekanan yang beliau hadapi daripada beberapa isu khususnya yang berkaitan dengan isu 1MDB dan dakwaan penyaluran wang sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi beliau. Dan sama ada ianya berlaku secara kebetulan atau dirancang, pelantikan 4 orang ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) termasuk Pengerusinya iaitu Datuk Nur Jazlan Mohamed ke dalam kabinet yang baru secara tidak langsung telah menyebabkan siasatan yang sedang rancak dijalankan ke atas 1MDB berada dalam keadaan yang tidak menentu.

Menurut Nur Jazlan semua prosiding yang telah diatur termasuk memanggil orang penting dalam isu 1MDB iaitu Bekas CEO 1MDB Datuk Shahrol Halmi dan Presiden 1MDB ketika ini iaitu Arul Kanda Kandasamy untuk menghadap PAC yang dijadualkan pada Ogos akan ditangguhkan sehingga barisan PAC baharu dilantik pada sidang Dewan Rakyat akan datang. Plot cerita isu 1MDB ini mungkin menjadi semakin bertambah rumit untuk didigest oleh pihak atau rakyat biasa yang menyokong atau sekurang-kurangnya berpendirian bahawa isu 1MDB hanyalah satu propaganda atau usaha pihak-pihak tertentu untuk menjatuhkan Dato' Sri Najib. Ini kerana, isu RM2.6 billion dimasukkan ke dalam akaun peribadi Dato' Sri Najib sudah ada beberapa penafian tidak konsisten daripada menteri-menteri Dato' Sri Najib sendiri. Apabila isu itu timbul, dikatakan ianya adalah fitnah, tidak munasabah Dato' Sri Najib berbuat demikian dan macam-macam lagi. Kini, beberapa orang menteri dalam kabinet baru Najib menyatakan pula bahawa tidak salah untuk mana-mana parti politik menerima dana daripada luar dan terdapat peruntukan dalam perlembagaan UMNO yang membenarkan presiden parti mempunyai akaun amanah bagi pihak parti.

Penamatan perkhidmatan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail atas ‘sebab-sebab kesihatan’ ketika beliau sedang mengetuai pasukan petugas khas pelbagai agensi dalam siasatan berkaitan isu penyalahgunaan dana dan 1MDB tentunya menambahkan lagi kerumitan untuk menyimpulkan bahawa isu 1MDB hanya satu propaganda atau mainan persepsi. Setelah bermacam-macam penafian dan pembelaan dilakukan oleh menteri-menteri Dato' Sri Najib, terbaru, pihak SPRM telah mengeluarkan kenyataan bahawa dana sebanyak RM2.6 billion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi  Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah sumbangan penderma, bukannya dari dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB). Ketika berita tersebut hangat diperkatakan, dilaporkan pula bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM iaitu Tan Sri Abu Kassim Mohamed diarahkan untuk bercuti. Berita ini tentunya akan menambahkan lagi kepeningan dan kerisauan rakyat Malaysia memikirkan masa depan negara yang diurus oleh Dato' Sri Najib bersama-sama dengan para menterinya.

Sama ada Dato' Sri Najib dan para menterinya sedar atau tidak, secara keseluruhannya rakyat daripada pelbagai lapisan golongan sebenarnya  sudah semakin hilang keyakinan dan mula memandang rendah terhadap keupayaan dan kredibiliti mereka dalam menguruskan pentadbiran negara. Keadaan ini tentunya boleh sahaja menimbulkan ketidakpercayaan dan rasa tidak hormat rakyat terhadap institusi-institusi kerajaan yang berperanan menjaga ketenteraman dan kestabilan pentadbiran negara. Apabila keadaan ini menjadi semakin bertambah parah dan tidak terkawal, maka ianya boleh mengundang rasa tidak puas hati rakyat terhadap apa sahaja keputusan dan tindak-tanduk yang dilakukan oleh Dato' Sri Najib dan para menterinya. Rasa tidak puas hati rakyat yang tidak terkawal tentunya boleh mencetuskan keadaan negara yang tidak stabil seperti yang pernah berlaku di negara-negara lain seperti Indonesia, Thailand dan di beberapa buah negara Timur Tengah. Rasa tidak tidak puas hati rakyat terhadap pemerintah di negara-negara tersebut akhirnya diterjemahkan dengan kebangkitan menjatuhkan kerajaan dan digantikan dengan kerajaan yang lain.

Namun, setelah beberapa tahun kerajaan baru mentadbir, tiada perubahan yang mengarah kepada kehidupan yang lebih baik di negara-negara tersebut. Ini kerana perkara utama yang menimbulkan telah menimbulkan pelbagai masalah dalam kehidupan tetap tidak berubah walaupun pemerintah/kerajaannya telah berubah. Perkara utama yang dimaksudkan ialah sistem pemerintahan. Perubahan hakiki yang dapat menjamin kehidupan yang lebih baik adalah dengan cara mengantikan segala sistem pemerintahan ciptaan manusia kepada sistem pemerintahan yang diturunkan oleh Allah SWT. (Baca :Perubahan Hakiki Perlu Dilakukan Jika Inginkan Kehidupan Yang Lebih Baik ).



Anda Mungkin Juga Meminati



No comments:

Post a Comment