Sunday 15 March 2015

GST Dan 1MDB : Apa Yang Rakyat Perlu Tahu

Isu pelaksanaan GST dan 1MDB ketika ini merupakan isu yang paling mendapat perhatian rakyat Malaysia. Hampir setiap hari semua media sama ada media cetak yang pro kerajaan mahupun media yang pro pembangkang akan menerbitkan penulisan berkenaan dua isu ini. Berita di kaca TV mahupun di media elektronik yang lain juga turut sama menyiarkan banyak segmen yang berkaitan dua isu tersebut. Dek kerana hangatnya dua isu tersebut, boleh dikatakan rakyat Malaysia yang tidak berminat untuk ambil peduli terhadap isu-isu semasa juga akhirnya secara tidak langsung telah mengetahui atau sekurang-kurangnya terbaca ataupun terdengar serba sedikit mengenai GST dan 1MDB.

Sejak GST diumumkan untuk dilaksanakan secara rasmi bagi menggantikan sistem cukai yang sedia ada, pelbagai jenis maklumat dan fakta sama ada yang menyokong mahupun yang menentang pelaksanaan GST disajikan kepada rakyat. Pihak yang menyokong ataupun bersetuju dengan pelaksanaan GST berusaha meyakinkan rakyat tentang kebaikan pelaksanaan GST, manakala pihak pembangkang pula telah menjadikan isu GST sebagai modal untuk menyerang pentadbiran kerajaan. Bermacam-macam jenis fakta dan maklumat mengenai ketirisan dan kelemahan pentadbiran kerajaan didedahkan kepada rakyat.

Ketika isu GST masih hangat diperbincangkan, timbul pula isu 1MDB. Satu lagi isu yang melibatkan pentadbiran kerajaan yang diketuai oleh Datuk Najib Tun Razak. Nilai urusniaga 1MDB yang terlalu besar dengan pengurusan kewangan yang kurang jelas serta pendedahan mengenai hutang 1MDB yang  mencecah angka billion ringgit telah menyebabkan ramai pihak termasuklah Bekas Perdana Menteri Malaysia yang masih mempunyai pengaruh yang sangat kuat dalam politik Malaysia iaitu Tun Mahathir tampil memberikan respond mengenai 1MDB.

Rakyat biasa tentunya boleh menjadi pening dengan perbezaan penerangan dan maklumat yang disampaikan oleh pihak-pihak yang saling berseteru terhadap isu GST dan 1MDB. Ketika pihak kerajaan memberikan bermacam-macam jenis penerangan tentang kebaikan pelaksanaan GST serta faedah yang akan dinikmati oleh rakyat, pihak pembangkang juga turut melakukan perkara yang sama mengenai keburukan pelaksanaan GST dan ketirisan yang dilakukan oleh pentadbiran kerajaan. Begitu jugalah halnya kepada isu 1MDB, namun fakta dan penerangan yang diberikan lebih menunjukkan 1MDB sedang dilanda dengan masalah yang besar.

Disebalik perbezaan penerangan dan fakta yang didedahkan terhadap dua isu diatas, ada satu perkara yang rakyat biasa tidak memerlukan penerangan mahupun fakta daripada mana-mana pihak, tetapi dapat mengetahui dan merasakannya sendiri. Perkara tersebut ialah KESEMPITAN HIDUP! Hari demi hari rakyat biasa semakin merasakan peritnya untuk menjalani kehidupan akibat daripada masalah-masalah yang timbul daripada hal-hal yang berkaitan dengan pengurusan ekonomi. Secara zahirnya pembangunan semakin bertambah pesat, namun hakikatnya hidup kebanyakkan rakyat biasa menjadi semakin sempit. Segala pendedahan mengenai kelemahan urustadbir negara yang didedahkan khususnya oleh pihak pembangkang dan NGO-NGO yang lain, tidak memberikan apa-apa makna jika penyelesaian yang ditawarkan ialah menukar kerajaan Barisan Nasional dengan kerajaan Pakatan Rakyat. Ini kerana, penyelesaian menukar kerajaan telah sering kali dilakukan di banyak negara.

Indonesia misalnya, pasca Reformasi 1998 menjatuhkan Presiden Suharto tetap sahaja masih gagal memberikan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat Indonesia. Walaupun memiliki sumber alam sangat banyak, namun berjuta-juta rakyatnya terpaksa berhijrah ke negara-negara lain untuk mencari rezeki. Begitu juga dengan perubahan kerajaan di negara kuasa ekonomi nombor satu di Asia, iaitu Jepun. Setelah memerintah selama 54 tahun, Parti Liberal Demokrat akhirnya tumpas kepada parti pembangkang iaitu Parti Demokrat dalam Pilihanraya Umum Jepun tahun 2009.  Namun, Parti Liberal Demokrat berjaya menjadi kerajaan semula selepas kemenangan dalam Pilihanraya Umum tahun 2012. Kerajaan telah bertukar ganti, namun Jepun tetap sahaja kekal sebagai antara negara yang mempunyai kos hidup dan kadar bunuh diri yang tertinggi di dunia.

Contoh perubahan kerajaan yang masih baru dan mendapat liputan yang sangat luas ialah Arab Spring. Setelah para diktator berjaya dijatuhkan dan digantikan dengan pemerintah yang lain, negara-negara arab yang terlibat dalam Arab Spring tetap sahaja sama, tiada perubahan yang lebih baik berlaku. Maka, sebenarnya adalah sesuatu yang tidak memberikan apa-apa makna jika satu demi satu kelemahan pentadbiran kerajaan didedahkan tetapi tidak dapat melihat punca kepada kelemahan tersebut adalah disebabkan oleh sistem yang diterapkan. Tidak ada apa-apa makna jika ketirisan, rasuah, kronisme, salah guna kuasa dan lain-lain sebagainya didedahkan, tetapi hanya melihatnya berpunca daripada urustadbir negara yang tidak telus dan tidak cekap. Walhal sebenarnya, sistem pengurusan ekonomi itulah yang menjadi punca kepada berlakunya pelbagai kerosakan dalam pengurusan ekonomi sehingga menyebabkan kehidupan rakyat secara keseluruhannya menjadi semakin sempit. Jika pembangkang berjaya mengambil alih pentadbiran kerajaan tetapi tetap sahaja menggunakan sistem kapitalis dalam pengurusan ekonomi, hakikatnya tidak akan ada apa-apa perubahan yang lebih baik akan berlaku. Ada banyak negara di dunia selain daripada contoh-contoh negara di atas yang boleh dijadikan sebagai contoh.

Oleh itu, seharusnya segala fakta dan maklumat mengenai kerosakan mahupun kelemahan dalam pentadbiran negara serta kesempitan hidup yang sedang dilalui akan dapat membuka mata umat Islam mengenai bahayanya menerapkan sistem/aturan hidup ciptaan manusia sendiri. Keinsafan haruslah tertanam dalam diri umat Islam bahawa hanya dengan menerapkan sistem hidup yang diturunkan oleh Allah SWT sahaja akan dapat menjamin kehidupan yang lebih baik. Ianya telah pun terbukti sepanjang sejarah kewujudan Daulah Khilafah.

Anda Mungkin Meminati :

No comments:

Post a Comment