Tuesday, 5 November 2013

Ancaman COMANGO Terhadap Islam Di Sebalik Perjuangan Hak Asasi Manusia

Penilaian Penggalan Sejagat (Universal Periodic Review, UPR) di Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merupakan proses semakan berkala terhadap rekod Hak Asasi Manusia negara-negara anggota PBB. Semakan pertama terhadap laporan hak asasi di Malaysia telah dilakukan pada tahun 2009. Manakala, semakan pusingan kedua pula telah dilakukan pada 24 Oktober 2013 yang lalu. Pihak yang bertanggungjawab menyediakan laporan rekod hak asasi di Malaysia untuk dibentangkan di Majlis Hak Asasi Manusia PBB ialah Gabungan NGO-NGO Malaysia dalam Proses UPR atau lebih dikenali dengan COMANGO (Coalition of Malaysian NGOs in the UPR Process).

Tuntutan COMANGO terhadap pengiktirafan hak-hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan tuntutan agar murtad diiktiraf sebagai kebebasan beragama adalah bukti terkini bahawa umat Islam dan agama Islam di Malaysia semakin terancam. COMANGO menuntut agar dihapuskan peruntukan-peruntukan sedia ada yang melarang perlakuan LGBT supaya golongan tersebut diberikan hak dan kebebasan sama rata. Manakala, tuntutan agar murtad diitiraf di negara kita dilakukan dengan menuntut agar Malaysia  menandatangani International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR). Di mana, dalam Artikel 18 ICCPR mengandungi klausa the rights of religious freedom (hak kebebasan beragama) yang memberikan seseorang kebebasan untuk memilih agama atau kepercayaan termasuk hak seseorang untuk menukar agama yang dianuti. Tuntutan-tuntutan tersebut sebenarnya adalah manifestasi yang sangat jelas bahawa idea liberalisme dan pluralisme yang berselindung atas nama Hak Asasi Manusia, demokrasi dan kebebasan semakin berkembang di negara kita.

COMANGO yang merupakan gabungan daripada  kira-kira 54 NGO-NGO Hak Asasi yang terdapat di Malaysia termasuklah Sisters In Islam, SUARAM dan  Majlis Peguam berperanan merangka kandungan laporan mengenai hak asasi manusia untuk dikemukakan kepada UPR. Proses semakan oleh UPR ini boleh dijadikan sebagai satu tekanan kepada pihak kerajaan untuk meminda undang-undang yang sedia ada terhadap golongan LGBT dan murtad. Jika tuntutan COMANGO dipenuhi, ianya memberikan impikasi terhadap pengiktirafan orentasi seksual golongan LGBT serta membenarkan perkahwinan sejenis sama ada lelaki dengan lelaki atau perempuan dengan perempuan. Seterusnya jika Malaysia bersetuju menandatangani ICCPR, bermakna gelaja murtad dan penyebaran ajaran sesat diizinkan dari segi undang-undang berlaku secara berleluasa.

Pada proses UPR pusingan kedua bagi negara Malaysia, Pertubuhan-pertubuhan Islam dalam Proses UPR atau dikenali sebagai MuslimUPRo telah hadir sebagai pemerhati bagi pertubuhan masyarakat sivil (NGO) untuk meneliti setiap saranan atau tuntutan di dalam laporan COMANGO. Disamping itu MuslimUPRo juga melakukan penelitian terhadap respons dan persoalan-persoalan yang dikemukakan negara-negara anggota berkaitan rekod HAM Malaysia berdasarkan laporan yang dibentangkan oleh COMANGO. Hasilnya, banyak pendedahan yang telah dilakukan oleh MuslimUPRo terhadap usaha-usaha terancang yang dilakukan oleh COMANGO. Segala pendedahan yang telah dilakukan oleh MuslimUPro mengenai situasi terkini ancaman liberalisme dan pluralisme yang berlaku secara halus dan sistematik terhadap umat Islam di Malaysia haruslah diberikan kredit dan pujian. Pendedahan yang telah dilakukan oleh MuslimUPRo seharusnya membuka mata umat Islam di Malaysia khususnya Parti Politik Islam, NGO-NGO Islam dan pemimpin-pemimpan umat Islam tentang usaha berterusan yang sedang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu untuk menjauhkan ajaran Islam daripada kehidupan umat Islam di Malaysia.

Walaupun pendedahan ini dapat memberikan tekanan terhadap usaha dan matlamat COMANGO, namun harus disedari bahawa mereka sesekali tidak akan berhenti begitu sahaja. Apa yang pasti mereka sentiasa bersikap proaktif untuk mencari jalan bagi merelisasikan matlamat mereka dengan cara yang lebih sistematik dan halus serta menggunakan segala ruang undang-undang yang ada di dalam negara atau undang-undang di peringkat antarabangsa untuk menentang pihak-pihak terutamanya umat Islam yang cuba untuk menghalang matlamat mereka. Pada masa yang sama, harus disedari bahawa usaha memberikan tekanan kepada tuntutan COMANGO tidak dapat menghalang gelaja LGBT dan murtad terus berkembang di Malaysia. Misalnya pada tahun 2009 Expert Group Opinion on Estimation of Most at Risk Populations (MARPs) menganggarkan terdapat seramai 173,000 gay, 50,000 pekerja seks perempuan, 5,000 pekerja seks lelaki dan 5,000 transeksual di Malaysia. Berdasarkan anggaran yang dibuat oleh sebuah NGO yang dikenali sebagai Pink Triangle Foundation terdapat 10,000 Mak Nyah di Malaysia di mana 50.7% adalah Melayu, 27.5% Cina, 7.8% India dan 14% adalah daripada lain-lain kumpulan etnik minoriti.

Angka-angka seperti ini sudah pasti sungguh menakutkan bagi umat Islam. Jika tiada tindakan yang efektif dan konkrit daripada umat Islam tentu angka-angka tersebut akan terus meningkat dan tidak mustahil usaha yang diperjuangkan oleh COMANGO akhirnya akan terealisasi.
Oleh itu, beberapa langkah proaktif harus dilakukan oleh seluruh NGO-NGO dan Parti Politik yang ada di Malaysia khususnya yang bergabung di dalam MuslimUPRo. Antaranya:

Pertama, membentuk kesedaran secara intektual bukannya secara emosional kepada keseluruhan umat Islam mengenai isu ini. Ini boleh dilakukan dengan beberapa cara terutamanya melalui siri ceramah atau dialog dengan cara yang lebih menyeluruh dengan penglibatan lebih ramai wakil-wakil daripada NGO-NGO Islam serta wakil-wakil daripada pemimpin-pemimpin politik Islam.  Maka, untuk itu disarankan agar MuslimUPRo bertindak proaktif sebagai penganjur untuk mengerakkan usaha tersebut
.
Kedua, melakukan kajian secara menyeluruh dan terperinci terhadap gelaja LGBT dan murtad yang sedang berlaku di Malaysia. Kajian haruslah merangkumi:
  1. Statistik LGBT dan murtad di Malaysia
  2. Punca kepada gejala LGBT dan Murtad
  3. Keberkesanan Undang-undang yang sedia ada untuk mencegah berlakunya LGBT dan Murtad.

Kajian tersebut boleh dilakukan secara berasingan atau bersama-sama antara NGO-NGO Islam. Oleh itu, penyertaan daripada NGO-NGO Islam haruslah digalakkan dan dialu-alukan. Kemudian hasil kajian tersebut perlu dibentangkan dalam satu majlis yang dihadiri oleh NGO-NGO Islam yang terlibat.

Ketiga, menyedari hakikat bahawa Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR) adalah senjata halus yang digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk memerangi umat Islam. Antara Intelektual yang terlibat membuat draf UDHR ialah seorang Kristian Katolik Lebanon yang bernama Charles Habib Malik. Beliau juga merupakan intelektual penting disebalik penubuhan Miltia Kristian Phalangist yang telah melakukan pembunuhan kejam secara beramai-ramai umat Islam Palestin di Sabra dan Chatila pada tahun 1982. Umat Islam sama sekali tidak boleh meletakkan harapan walau sedikit pun bahawa UDHR merupakan platform yang dapat digunakan untuk menjaga dan membela hak umat Islam. 

Musuh-musuh Islam di Barat sering menggunakan UDHR sebagai senjata untuk menyerang dan menghina agama Islam. Lebih menyedihkan dan membimbangkan apabila terdapat juga sebilangan umat Islam termasuklah di Malaysia menggunakan definasi Hak Asasi Manusia Barat dan UDHR untuk menyerang dan menyelewengkan kefahaman ajaran Islam. Ternyata idea dan hujah yang mereka bawa selari dengan tuntutan yang diperjungakan oleh COMANGO. Sebenarnya, apa yang paling utama ialah umat Islam mestilah meyakini dengan sepenuh hati dan memanifestasikannya dalam perbuatan tentang peringatan Allah SWT mengenai hati budi orang-orang kafir terhadap umat Islam. Allah SWT berfirman.

"Sekali-kali tidak akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehinggalah kamu mengikut jalan-jalan hidup mereka." (TMQ : Al Baqarah: 120)

Keempat, menginsafi bahawa segala musibah serta serangan secara fizikal dan pemikiran yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam terhadap umat Islam adalah kerana umat Islam di Malaysia dan umat Islam di seluruh dunia umumnya tidak menjadikan wahyu Allah SWT yang diturunkan melalui Al-Quran dan As Sunnah sebagai aturan hidup secara keseluruhannya. Oleh itu, NGO-NGO Islam perlu ada Misi dan Visi yang jelas untuk memperjuangkan pelaksanaan secara keseluruhan perintah dan larangan Allah yang terdapat di dalam Al-Quran dan As Sunnah seperti yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah dan Khalifah-khalifah sesudah baginda.


Umat Islam harus memandang dengan sangat serius tentang usaha penyebaran idea liberalisme dan pluralisme yang semakin menular di negara kita. NGO-NGO atau Jemaah-jemaah Islam harus berperanan seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT sebagai penjaga urusan umat Islam, bukannya hidup dan berjuang di dalam dunianya sendiri tanpa mengambil tahu dan berperanan aktif dalam menyelesaikan dan mengurusi masalah umat Islam seperti yang diperintah oleh Allah SWT.




2 comments:

  1. Di tangan saya ada dokumen tersebut, daripada 54 pertubuhan itu hanya 12 sahaja yang berdaftar.

    Dakwaan mereka menwakili rakyat Malaysia, kononnya sebenarnya mereka idealist yang diwakili oleh minoriti sedangkan ramai rakyat malaysia tidak setuju dengan apa yang diwar-warkan. :D

    ReplyDelete
  2. di mana ye klw kita nak lihat laporan comango ni?

    ReplyDelete