Thursday, 11 December 2014

Keberadaan ISIS dalam Revolusi Umat Islam Syria

Sebelum kemunculan ISIS dalam revolusi umat Islam Syria, Amerika dan sekutu-sekutunya telah melakukan bermacam-macam konspirasi dan percaturan untuk menentukan hala tuju revolusi umat Islam Syria. Amerika dan sekutu-sekutunya menginginkan agar revolusi umat Islam Syria juga akan berakhir sama seperti revolusi yang berlaku di Tunisia, Libya dan Mesir, iaitu berakhir dengan tertubuhnya sebuah negara Sivil Demokratik. Namun, segala muslihat Amerika dan negara-negara barat yang dibantu oleh agen-agennya yang setia khususnya daripada pemimpin-pemimpin negara seperti Arab Saudi, Qatar, UAE dan Turki tetap tidak berjaya merampas revolusi umat Islam Syria.

Hampir setiap hari media-media antarabangsa termasuklah media di Malaysia membuat liputan mengenai persidangan-persidangan yang diadakan oleh wakil-wakil PBB dan agen-agen Amerika yang setia bagi merencanakan  penyelesaian terhadap revolusi umat Islam Syria. Ketika itu, wakil PBB iaitu Kofi Annan dan Lakhdar Brahimi serta talibarut-talibarut Amerika yang lain begitu sibuk memberikan kenyataan media terhadap setiap perkembangan persidangan yang telah  diadakan. Harapan demi harapan diberikan bahawa mereka sedang berada pada landasan yang betul untuk menyelesaikan revolusi umat Islam Syria. Walhal hakikatnya mereka juga sedar bahawa umat Islam khususnya kumpulan-kumpulan mujahidin yang berperang menentang rejim Bashar Assad tidak pernah memberikan kepercayaan atau mengiktiraf mereka sebagai pihak yang mewakili umat Islam Syria.

Oleh itu, walaupun usaha mereka berjaya untuk menaikkan SNC dan FSA sebagai pihak yang mewakili kebangkitan umat Islam Syria, namun ianya tidak memberikan apa-apa makna kerana SNC dan FSA tetap tidak mendapat sokongan mahupun pengiktirafan daripada kumpulan-kumpulan mujahidin dan umat Islam Syria. Maka sebab itu, sebelum Rundingan Geneva II pusingan kedua diadakan pada bulan Februari 2014,  telah banyak pihak yang  menjangkakan bahawa Rundingan Geneva II pusingan kedua tidak akan berjaya menghasilkan apa-apa kejayaan untuk menyelesaikan revolusi umat Islam Syria. Kegagalan Rundingan Geneva II tidak bererti Amerika dan sekutu-sekutunya akan berhenti berusaha untuk merampas revolusi umat Islam Syria. Amerika dan sekutu-sekutunya sudah tentu akan beralih kepada perancangan yang lain. Apa sekali pun, bagi Amerika revolusi umat Islam Syria tidak boleh berakhir dengan tertegaknya semula Daulah Khilafah seperti yang diinginkan oleh umat Islam Syria.

Sama ada ianya berlaku secara kebetulan atau dirancang, apa yang pasti ketika konspirasi Amerika gagal merampas revolusi umat Islam Syria dengan siri rundingan dan persidangan yang diadakan. ISIS tiba-tiba muncul dengan begitu menggemparkan khususnya di media-media sosial. Bukan hanya di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Walaupun ISIS telah lama wujud di Iraq, namun kewujudannya begitu menyerlah sekali setelah mereka berjaya menguasai Bandar Raqqah. Bandar Raqqah adalah sebuah bandar di Syrian yang berjaya dibebaskan oleh umat Islam Syria daripada Rejim Bashar, bukan ISIS yang membebaskannya. Namun, ketika kumpulan-kumpulan mujahidin lain sedang bertungkus-lumus berperang menentang kekejaman Rejim Bashar bandar-bandar lain, ISIS pula sibuk mempropagandakan ‘Daulah Khilafah’ versi ISIS di bandar Raqqah yang mereka ambil alih daripada umat Islam Syria. Bermacam-macam bentuk propaganda telah dilancarkan di media sosial khsusnya facebook untuk menunjukkan bahawa ISIS telah berjaya menubuhkan Daulah Khilafah di Raqqah.

Jika diperhalusi dari setiap sudut gerak kerja propaganda ISIS di media-media sosial, ianya sungguh mengkagumkan. Cepat, efektif, konsisten dan terancang. Walaupun dalam keadaan struktur  kepimpinan ISIS yang sangat kabur dan disertai dengan mudah oleh ahli daripada bermacam-macam latarbelakang, namun ISIS mempunyai cyber army yang sangat hebat dan pakar. Bila masa mereka bertlatih, di mana mereka beroperasi dan siapa yang mengkordinasi peperangan mereka di alam cyber, tidak diketahui. Apa yang pasti ISIS sangat berjaya dalam cyber war sehinggakan dalam masa yang singkat ISIS telah menjadi sebutan diseluruh dunia dan dapat mempengaruhi ramai umat Islam untuk menyokong dan menyertai mereka.

Sekali lagi, sama ada ianya kebetulan atau dirancang, fokus utama cyber war ISIS ialah  mempropagandakan Daulah Khilafah versi mereka dan  sibuk melabelkan kumpulan mujahidin-mujahidin yang tidak menyokong mereka sebagai pihak yang tersasar daripada ajaran Islam. Keadaan ini telah menyebabkan penentangan kumpulan-kumpulan mujahidin terhadap rejim Bashar menjadi perlahan dan dilanda dengan pertelingkahan sesama kumpulan-kumpulan mujahdin. Bahkan, dalam masa yang sama banyak kejadian di mana ISIS mensasarkan serangan mereka terhadap kumpulan-kumpulan mujahidin yang menentang Rejim Bashar atas alasan-alasan yang tidak munasabah langsung.

Hari demi hari, ISIS menjadi semakin terkenal dan menjadi sebutan di seluruh dunia. Apatah lagi, apabila cyber army ISIS telah berjaya menghebahkan kepada seluruh dunia tindakan mereka menyembelih dan membunuh orang-orang awan dengan dengan alasan-alasan yang kurang jelas. Sama ada kebetulan atau dirancang ISIS sebenarnya sedang cuba menonjolkan kezaliman dan kebrutalan sebuah negara di bawah pemerintahan Daulah Khilafah yang telah mereka istiharkan.

Walauapapun justifikasi dan pujian yang diberikan oleh anggota-anggota ISIS serta orang-orang yang menyokong perjuangan mereka, apa yang pasti keberadaan ISIS dalam revolusi umat Islam Syria sehingga kini sedikit pun tidak membantu perjuangan umat Islam Syria menjatuhkan rejim Bashar Assad. Sebaliknya keberadaan ISIS telah merumitkan lagi perjuangan menjatuhkan rejim Bashar Assad.

Artikel-artikel Berkaitan :



Saturday, 6 December 2014

Disebalik Kejatuhan Harga Minyak Dunia


Russia merupakan antara Negara yang paling terjejas teruk akibat daripada kejatuhan harga minyak dunia, bahkan ada yang menjangkakan Russia bakal mengalami kemelesetan ekonomi pada tahun 2015. Baru-baru ini, Menteri kewangan Russia mengesahkan bahawa Russia telah kerugian sebanyak USD 140 billion (RM 486.39 billion) setahun ekoran daripada kejatuhan harga minyak dunia. Keadaan ini sudah tentunya akan menjejaskan ekonomi kerajaan Russia kerana ekonomi Russia bergantung sebanyak 25 peratus kepada hasil eksport bahan bakar (tenaga). Manakala separuh daripada budget kerajaan Russia pula datangnya daripada hasil jualan bahan bakarnya. 

Oleh itu kejatuhan harga minyak dunia sangat memberi kesan kepada ekonomi Russia, dimana ekonomi Russia akan mengalami kerugian sebanyak USD 1 billion ( RM3.47 Billion) pada setiap kejatuhan harga minyak sebanyak USD 1 apabila harga minyak dunia kurang daripada harga USD105 setong. Sebenarnya krisis ekonomi yang sedang melanda Russia ketika ini ekoran daripada kejatuhan secara mendadak harga minyak dunia mempunyai kaitan dengan konflik yang sedang berlaku di Ukraine. Ini kerana, Amerika telah beralih menggunakan minyak sebagai senjata untuk melemahkan Russia setelah pendekatan secara politik dan diplomatik gagal untuk menundukkan agenda Russia di negara Ukraine. 


Hubungan erat diantara Amerika Syarikat dengan Arab Saudi yang merupakan pengeluar minyak terbesar dunia, telah memberikan kelebihan kepada Amerika Syarikat menggunakan minyak sebagai senjata untuk menundukkan Russia. Ini dapat dilihat apabila kerajaan Arab Saudi serta merta telah meningkatkan pengeluaran dan menurunkan harga minyaknya sebaik sahaja Setiausaha Negara Amerika Syarikat iaitu John Kerry selesai membuat pertemuan dengan King Abdullah pada bulan September di Jeddah.  

Hasilnya Arab Saudi dapat menurunkan harga minyak sehingga mencapai break-even (Balik Modal / Perbelanjaan = Pendapatan) kurang daripada USD 30 setong dalam belanjawan negaranya, sedangkan break-even pengeluaran minyak Russia pula ialah USD 105 setong. Tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Arab Saudi tersebut telah menyumbang kepada kejatuhan harga minyak di pasaran dunia sehingga ke paras  USD 65.84 setong ( 4/12/14). Situasi ini telah memberikan kesan serta merta kepada kerajaan Russia apabila pentadbiran Presiden Putin terpaksa mengurangkan perbelanjaan pertahanan negaranya. Namun harus difahami bahawa, Russia bukanlah kerajaan kecil atau lemah yang boleh dibuli dengan semudahnya.

Walaupun Russia yang dulu dikenali sebagai Soviet Union telah menjadi lemah selepas tamatnya perang dingin pada tahun 1991, tetapi Russia sehingga hari ini masih kekal sebagai kuasa nombor dua dunia dan merupakan antara negara yang mampu mencabar Amerika dalam pentas politik antarabangsa. Apatah lagi, ketika ini Russia merupakan pengeksport terbesar minyak dan gas ke Kesatuan Eropah, ¼ keperluan gas negara-negara dalam Kesatuan Eropah dibekalkan oleh Kerajaan Russia, dimana 80% daripadanya disalurkan melalui paip merentasi negara Ukraine. 

Oleh itu Russia boleh sahaja bertindak balas memberikan tekanan balik kepada Amerika dan Kesatuan Eropah dengan memotong bekalan minyak dan gas ke Kesatuan Eropah atau menolak pembelian minyak dan gasnya menggunakan USD. Persengketaan dan political game yang dilakukan oleh kedua-dua kuasa besar tersebut iaitu Amerika Syarikat dan Russia adalah untuk menjaga kepentingan masing-masing sahaja, namun negara-negara kecil seperti Malaysia turut tidak terlepas menjadi menjadi mangsa.

Friday, 21 November 2014

KPI Gerakan/Parti Politik Islam

Tiada undang-undang atau sistem hidup yang lebih sempurna untuk mengatur kehidupan manusia melainkan sistem Islam. Sistem Islam yang diturunkan oleh Allah SWT lengkap dalam semua aspek samada dari segi pemerintahan, ekonomi, hubungan luar dan dalam negeri, pendidikan, pergaulan dan sebagainya. Sudah terlalu banyak wacana ilmu dan kajian yang telah dilakukan bagi membuktikan hal tersebut.  Dan tentu sekali tiada pihak yang dapat diharapkan untuk melakukan usaha bagi merealisasikan penerapan sistem Islam yang diturunkan oleh Allah SWT melainkan gerakan/parti politik Islam.


Namun persoalannya ialah sejauh manakah gerakan/parti politik Islam yang ada di Malaysia ketika ini telah berjaya menjalankan tanggungjawab bagi merealisasikan hal tersebut? Bagi menjawab persoalan ini, maka perlu ada satu Key Performance Indicators  (KPI) yang khusus untuk dijadikan kayu ukur agar penilaian dapat dilakukan dengan betul. Tanpa adanya KPI, sudah tentu penilaian tidak akan dapat dilakukan dengan betul, bahkan boleh menghasilkan penilaian yang bertaraf syok sendiri kerana tidak mempunyai kayu ukur yang jelas dan tepat. Kesannya akan menyebabkan gerakan/parti politik Islam berada dalam keadaan yang tidak mempunyai halatuju yang jelas.

Oleh itu, penilaian dengan menggunakan KPI yang khusus sangat penting untuk memastikan agar gerakan/parti politik Islam sentiasa berada pada halatuju yang selari dengan matlamat perjuangannya. Selain itu, KPI juga dapat berperanan sebagai alert system agar gerakan/parti politik Islam sentiasa alert dengan kondisi semasanya. Umpama fungsi instrument panel/indikasi di dashboard dalam sebuah sebuah kenderaan. Instrument panel kenderaan akan memberikan isyarat tertentu apabila temperature naik, pintu tidak tertutup rapat, minyak tinggal sedikit dan sebagainya. Dengan adanya isyarat tersebut, maka pemandu kenderaan tahu apa yang perlu dilakukan apabila isyarat tertentu diberikan. Bayangkan jika tiada isyarat sedemikian, sudah tentu pemandu akan memandu dalam keadaan syok sendiri tanpa mengetahui situasi sebenar yang sedang berlaku kepada kenderaannya. Begitulah pentingnya KPI agar dapat berperanan sebagai instrument panel dalam sebuah gerakan/parti politik Islam.



Antara KPI yang perlu dinilai ialah, pertama sejauh mana idealisme perjuangan gerakan/parti Islam memberikan kesan kepada umat/masyarakat. Hal ini dapat dinilai berdasarkan sejauh mana gerakan/parti Islam dapat mempengaruhi serta membimbing pemikiran dan perasaan masyarakat terhadap setiap isu penting yang sedang berlaku di dalam negara mahupun isu yang sedang di peringkat antarabangsa. Gerakan/parti Islam yang berjaya ialah gerakan/parti politik Islam  yang dapat mempengaruhi serta membimbing pemikiran dan perasaan umat terhadap isu yang timbul berdasarkan idealisme perjuangannya.



Oleh itu, prasyarat yang utama untuk mencapai KPI tersebut ialah gerakan/parti Islam mestilah memberikan respon berdasarkan kapasiti sebuah gerakan/parti Islam terhadap setiap isu penting yang sedang dibincangkan oleh umat/masyarakat dengan melontarkan pandangan dan hujah berdasarkan idealisme yang diperjuangkan.

Kedua, keupayaan kepimpinan gerakan/parti Islam untuk melaksanakan segala sistem-sistem hidup sama ada dari segi pemerintahan, ekonomi, hubungan luar dan dalam negeri, pendidikan, pergaulan dan sebagainya. Dengan kata lain, kepimpinan gerakan/parti Islam bukan setakat memahami dengan jelas sistem yang akan diterapkan tetapi juga berkeupayaan untuk menerajui pelaksanaan sistem tersebut. Oleh itu, pembinaan untuk melahirkan kepimpinan yang bertaraf nasional mesti berlaku dengan serius dan subur dalam gerakan/parti Islam.

Tanpa adanya pembinaan sedemikian, bagaimana mungkin gerakan/parti Islam dapat berhadapan dengan percaturan dan perang pemikiran yang dilakukan oleh pihak lawan. Selain itu, kewujudan barisan kepimpinan gerakan/parti Islam yang bertaraf nasional sudah tentu akan dapat membantu menanamkan keyakinan kepada umat/masyarakat terhadap idealisme yang diperjuangkan.

Ketiga, keupayaan untuk menggerakkan umat/masyarakat secara massa untuk menjayakan agenda yang diperjuangkan. KPI ini sangat bergantung kepada prestasi pada KPI pertama dan kedua. Tanpa prestasi yang baik pada KPI pertama dan kedua, tidak mungkin KPI ini akan dapat dipenuhi. Dapat menggerakkan umat secara massa berdasarkan idealisme yang diperjuangkan merupakan satu kekuatan yang sangat besar bagi gerakan/parti politik Islam untuk mencapai matlamat yang diperjuangkan. Gerakan/parti politik Islam harus melakukan gerak kerja yang betul serta dipandu dengan ideologi Islam untuk memenuhi KPI ini.

Semoga dengan adanya KPI dalam gerak kerja gerakan/parti politik Islam akan dapat menjadikan gerakan/parti politik Islam yang ada di Malaysia bergerak dan berkembang dengan halatuju yang jelas ke arah matlamat yang diperjuangkan.


Anda Juga Mungkin Meminati




Sunday, 16 November 2014

Pemikiran Yang Merosakkan Umat Islam

Pemikiran atau fahaman seperti liberalisme, sekularisme, pluralisme, feminisme dan lain-lain yang semisalnya adalah pemikiran yang lahir daripada masyarakat barat berdasarkan pandangan hidup yang tertentu. Pemikiran liberalisme misalnya lahir berdasarkan pandangan hidup bahawa MANUSIA BERHAK MENENTUKAN APA YANG TERBAIK UNTUK DIRINYA SERTA MENOLAK SEBARANG PEMAKSAAN OLEH MANA-MANA AGAMA/IDEOLOGI KEATAS MANUSIA. Oleh itu, membebaskan diri daripada sebarang keterikatan dengan norma hidup masyarakat atau ajaran agama/ideologi adalah unsur kebebasan  intelektual yang  sangat penting dalam fahaman liberalisme. Bahkan ianya dianggap sebagai tindakan manusia berakal dan progresif serta merupakan unsur penting untuk mencapai kemajuan.

Lahirnya pemikiran liberalisme, sekularisme dan lain-lain semisalnya dalam tamadun barat merupakan perkara yang wajar akibat daripada kemunduran sedang mereka alami ketika itu. Masyarakat barat ketika era kemunduran mereka (Zaman Dark Ages)  mengalami kemunduran hampir dalam seluruh aspek kehidupan sama ada dari segi sains dan teknologi, pendidikan, ekonomi dan sebagainya. Hal ini terjadi kerana segala pemikiran mahupun keputusan pemerintahan negara dikawal dan dikongkong sepenuhnya oleh para ahli agama/golongan gereja. Golongan gereja yang mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan pihak istana telah bersama-sama mempergunakan ajaran agama kristian untuk mengongkong kehidupan masyarakat barat demi kepentingan mereka. Begitulah keadaan kehidupan masyarakat barat selama lebih kurang seribu tahun lamanya.

Apabila zaman pencerahan (renaissance) berlaku akibat daripada perkembangan intelektual di barat, maka lahirlah pemikiran-pemikiran seperti liberalisme, sekularisme, pluralisme, feminisme dan lain-lain yang semisalnya. Dengan berpaksikan pemikiran tersebut golongan cerdik pandai barat telah bangkit mempertikaikan manipulasi ajaran agama kristian oleh golongan gereja yang dikatakan menjadi penghalang kepada kemajuan dan kebebasan intelektual manusia. Selain itu, perkembangan intelektual dalam masyarakat barat juga telah membangkitkan perjuangan untuk menentang pemerintahan secara beraja (monarki) kerana dianggap sebagai sistem yang bersifat autokrasi dan penghalang kepada  pembentukan pemerintahan yang kuat.

Tidak dapat dinafikan bahawa pembentukan sebuah kerajaan yang kuat dan kemajuan lahiriah yang dikecapi oleh masyarakat barat pada ketika ini adalah kesan langsung daripada perkembangan intelektual yang telah melahirkan pemikiran-pemikiran seperti yang disebutkan diatas. Maka atas sebab itu,  ramai umat Islam ketika ini yang telah terpengaruh dengan pemikiran-pemikiran barat seperti yang disebutkan diatas apabila bercakap tentang kemunduran dan kelemahan yang dihadapi oleh umat Islam ketika ini. Bahkan sudah semakin ramai umat Islam termasuklah di Malaysia yang secara indirect(tidak langsung) mula mempertikaikan ajaran Islam dengan cara yang sangat halus. Misalnya mereka mempersoalkan tentang methodology keilmuan Islam yang berasaskan kepada ijtihad dan panduan yang telah gariskan oleh ulama-ulama silam.

Menurut mereka Islam perlu ditafsirkan semula berdasarkan perubahan dan perkembangan semasa, tidak boleh lagi terikat dengan panduan dan penafsiran yang diberikan oleh ulama-ulama silam. Ini kerana, mereka berhujah bahawa panduan dan penafsiran oleh ulama-ulama silam adalah bersesuaian untuk zaman mereka, bukan untuk zaman sekarang. Bagi umat Islam yang kurang memahami tentang methodology keilmuan Islam khususnya golongan bijak pandai daripada golongan muda mudi sudah tentu dengan mudah terpengaruh dengan idea tersebut. Walhal, idea tersebut merupakan cara untuk membuka ruang agar ajaran Islam dapat difahami dan ditafsirkan secara liberal, yang akhirnya terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar. Hakikatnya pelbagai cabang ilmu yang telah diasaskan oleh para ulama silam merupakan khazanah ilmuan yang sangat penting untuk membimbing umat Islam dalam memahami dan melaksanakan ajaran Islam seperti yang diturunkan oleh Allah melalui Rasulullah SAW.

Sebenarnya apa yang paling penting untuk umat Islam fahami dan sedari ialah kemunduran dan kelemahan yang dihadapi oleh umat Islam ketika ini adalah  kerana umat Islam tidak menerapkan ajaran Islam secara keseluruhan dalam kehidupan. Umat Islam sama sekali tidak memerlukan pemikiran dan tidak perlu mencontohi pengalaman yang telah dilalui oleh barat untuk bangkit daripada kemunduran. Apatah lagi kemajuan yang sedang dikecapi oleh barat ketika ini merupakan kemajuan yang sangat mengerikan dan menakutkan. Ini kerana di sebalik kemajuan yang sedang mereka kecapi, masyarakat mereka menjadi semakin rosak dan semakin kosong dengan nilai-nilai hidup kemanusian. 
Umat Islam mesti meyakini dengan sepenuh hati bahawa Islam adalah ajaran wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT lengkap dari segenap aspek pemikiran (fikrah) mahupun tatacara pelaksanaannya (tariqah). Umat Islam hanya perlu mengkaji dan memahaminya kemudian berusaha untuk menerapkkan seluruh kandungan ajaran Islam dalam kehidupan. Inilah yang menjadi kunci kepada kegemilangan umat Islam suatu ketika dahulu, yakni Islam diterapkan secara keseluruhan dalam segenap aspek kehidupan. 

Anda Juga Mungkin Meminati

1. Teras Perjuangan Gerakan Islam  
2.Kebongkakan Dan Kejahilan Golongan Anti Hadith  
3.Hudud : Landasan untuk Diterapkan Secara Sempurna 

 

Monday, 10 November 2014

Teras Perjuangan Gerakan Islam

Selepas runtuhnya Daulah Khilafah Turki Uthmaniyyah di Turki pada 3 Mac 1924, telah muncul banyak gerakan Islam di seluruh dunia umat Islam yang berjuang bagi mengembalikan semula sistem politik/pemerintahan Islam. Mengembalikan/menegakkan semula sistem pemerintahan Islam berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah dalam bentuk bernegara merupakan TERAS UTAMA perjuangan hampir keseluruhan gerakan Islam yang ditubuhkan. Teras perjuangan tersebut sudah tentunya lahir daripada kefahaman dan kesedaran tentang kewajipan perlunya kehidupan manusia diurus dan ditadbir berdasarkan hukum-hakam Allah SWT. Dan, tanpa adanya sistem pemerintahan atau Negara Islam, hukum-hakam Allah SWT tidak akan dapat diterapkan dan dilaksanakan secara kaffah seperti mana yang telah diterapkan dan dilaksanakan oleh baginda Nabi Muhammad SAW dan Khulafah ar-Rasyidun.

Walaupun terdapat banyak  gerakan Islam yang telah ditubuhkan, namun kesemuanya tetap berkongsi teras perjuangan yang sama iaitu mengembalikan semula sistem politik/pemerintahan Islam. Penubuhan gerakan TANPA menjadikan perjuangan mengembalikan semula sistem politik/pemerintahan Islam sebagai teras utama dalam perjuangan, maka, gerakan tersebut tidak layak untuk dipanggil sebagai gerakan Islam. Maka sebab itu, istilah Daulah Islam, Daulah Khilafah atau Negara Islam merupakan istilah yang sangat sinonim dengan mana-mana gerakan Islam, bahkan ianya merupakan identiti yang utama dan terpenting bagi gerakan Islam. Hilangnya identiti tersebut bermakna hilangnya teras utama perjuangan gerakan Islam tersebut.

Jika dilihat daripada sejarah, Ikhwanul Muslimin merupakan antara gerakan Islam yang terawal ditubuhkan selepas keruntuhan Pemerintahan Khilafah Turki Uthmaniyah. Ikhwanul Muslimin yang diasaskan oleh Hassan Al-Banna pada tahun 1928 di Mesir telah melakukan usaha-usaha awal untuk mengembalikan semula pemerintahan Islam dengan menegakkan semula Daulah Islam atau Daulah Khilafah. Pelbagai cabaran dan liku-liku perjuangan yang telah dilalui oleh Ikhwanul Muslimin dalam perjuangan mereka untuk menegakkan semula Daulah Islam atau Daulah Khilafah. Tidak dapat dinafikan juga bahawa gerakan  Islam yang ada di Malaysia pada hari ini seperti ISMA, IKRAM dan PAS mendapat suntikan perjuangan daripada idealisme Ikhwanul Muslimin.

Maka sebab itu, sebelum berlakunya KECELARUAN IDENTITI  dikalangan gerakan Islam, istilah  Negara Islam  atau Darul Islam merupakan istilah yang sering berkumandang di mana-mana sahaja gerakan Islam beraktiviti. Inilah yang menjadi perbezaan yang sangat menonjol diantara gerakan Islam dengan gerakan/parti sekuler yang berasaskan perjuangan mendapatkan kebebasan, keadilan sosial ataupun kepentingan bangsa. Namun, perbezaan tersebut kini nampaknya semakin lama semakin hilang, bahkan sudah seperti tidak nampak lagi perbezaannya. Apa yang lebih menyedihkan ialah apabila terdapat tokoh-tokoh utama dalam gerakan/parti politik Islam seperti sudah hilang keyakinan terhadap TERAS UTAMA yang diperjuangkan selama ini. Tokoh-tokoh ini lebih cenderung dan yakin dengan manhaj perjuangan yang ditempuhi oleh pejuang hak asasi manusia dan gerakan sosialis demokrat.

Oleh itu, mereka melihat kemunduran dan  kelemahan yang menimpa umat Islam ketika ini bukan berpunca kerana hukum-hakam Allah SWT tidak diterapkan secara sempurna dalam bentuk bernegara. Tetapi dilihat berpunca daripada urustadbir negara dan ekonomi yang tidak betul dan cekap. Dengan kata lain, sistem sekuler yang diterapkan ketika ini bukanlah punca kepada kemunduran dan  kelemahan yang menimpa umat Islam, tetapi ianya berpunca daripada kelemahan manusia dalam melaksanakan sistem tersebut. Maka, yang perlu ditukar atau diganti menurut mereka adalah manusianya bukan sistemnya.  

Inilah realiti yang sedang melanda kebanyakkan gerakan Islam di seluruh dunia ketika ini termasuklah di Malaysia. Seruan perjuangan dan pendirian mereka terhadap sesuatu isu sudah tidak ada bezanya dengan seruan dan pendirian yang lahir daripada gerakan/parti sekuler. Mereka sering kali mempunyai pendirian dan seruan yang sama dengan gerakan/parti sekuler. Mereka juga mempunyai ketakjuban yang sama terhadap ‘kemajuan’ dan ‘kemakmuran’ ekonomi yang dikecapi oleh negara-negara seperti Sweden, Denmark dan negara-negara Eropah yang lain.

Apa yang lebih dikesali ialah apabila kegagalan Parti Islam seperti Ennahda di Tunisia, Ikhwanul Muslimin di Mesir dan PAS di Malaysia  mencapai kemenangan seperti yang diharapkan dalam proses demokrasi, dilihat berpunca daripada sikap atau pendirian gerakan/parti Islam yang kurang inclusive dengan masyarakat yang berbilang latar belakang dan kepercayaan.  Parti Islam dikatakan gagal menarik sokongan daripada rakyat secara majoriti kerana Parti Islam masih lagi tidak terbuka sepenuhnya untuk menerima kepelbagaian fahaman dan pendirian dalam masyarakat. Bagi sesetengah ilmuan dan pemimpin gerakan Islam, keterbukaan sepenuhnya untuk menerima kepelbagaian fahaman dan pendirian dalam masyarakat merupakan pra syarat yang paling penting untuk mencapai kemenangan dalam demokrasi, tanpa pra syarat tersebut, maka tiada sama depan untuk gerakan/parti Islam untuk mencapai kemenangan. 

Wahai pejuang-pejuang Islam yang ikhlas berjuang semata-mata kerana Allah! Jangan sesekali terpedaya dengan pandangan sedemikian kerana ianya merupakan racun yang sangat berbisa. Muhasabah dan ambillah pengajaran dengan apa yang telah kalian dan gerakan Islam telah lalui di negara-negara umat Islam yang lain. Ketahuilah demokrasi merupakan satu perangkap yang sangat halus untuk memesongkan matlamat perjuangan kalian. Bukti apa lagi yang kalian perlukan untuk menerima hakikat tersebut sedangkan kalian sendiri boleh merasakan dan melihatnya dengan jelas sekali???

Sesungguhnya baginda Muhammad SAW telah yang merupakan suri tauladan yang terbaik telah menunjukkan jalan bagaimana untuk menegakkan semula Daulah Islam atau Daulah Khilafah yang merupakan TERAS perjuangan kalian.  



Ayuh! semua gerakan/jemaah/parti politik Islam yang ada di Malaysia kita sama-sama memperjuangkan untuk terterapnya hukum-hakam Allah secara kaffah dalam bentuk bernegara dengan menegakkan semula Daulah Islam atau Daulah Khilafah berdasarkan manhaj yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Allah SWT berfirman :

“Sesungguhnya telah ada  pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang-orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Kiamat dan dia banyak menyebut Allah” [TMQ   al-Ahzab (33): 21].


Anda Mungkin Juga Meminati :