Sunday 6 July 2014

Piliharaya-Demokrasi Menurut Politik Mesir

Arab Spring yang tercetus pada penghujung tahun 2010 telah berjaya menjatuhkan satu persatu pemerintahan rejim di beberapa buah negara Arab termasuklah Mesir. Rejim Hosni Mubarak yang telah memerintah Mesir selama lebih daripada 30 tahun telah berjaya dijatuhkan dengan kebangkitan Arab Spring rakyat Mesir. Selepas Rejim Hosni Mubarak dijatuhkan maka bermulalah perubahan  pembentukan pemerintahan di Mesir kearah negara Sivil Demokratik. Perubahan tersebut disambut dengan seribu harapan agar ianya menjadi menjadi titik tolak kepada kebangkitan semula kuasa Islam. Ruang pilihanraya-demokrasi yang terhidang daripada perubahan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya oleh gerakan-gerakan Islam yang ada di Mesir termasuklah Ikhwanul Muslimin.



Walaupun majoritinya rakyat Mesir beragama Islam namun, pemikiran sekular-liberal telah menjadi asas berfikir sebahagian besar umat Islam di Mesir. Pemikiran sekular-liberal telah menjadikan mereka sangat takjub dengan idea-idea kemajuan dan kebebasan dibawa oleh masyarakat barat, sehinggakan mereka menolak pemikiran dan peraturan hidup yang datangnya daripada ajaran Islam. Selain itu, terdapat juga penganut agama lain di Mesir seperti Kristian Koptik yang walaupun bilangannya hanyalah 5 peratus daripada keseluruhan penduduk Mesir, namun hak dan masa depan mereka pasca kejatuhan Rejim Hosni Mubarak sering mendapat liputan yang sangat luas daripada media-media antarabangsa. Oleh itu, segala tuntutan dan kebimbangan masa depan mereka juga perlu diambil perhatian yang serious oleh parti-parti politik yang bertanding dalam pilihanraya pasca kejatuhan rejim Hosni Mubarak.

Begitulah cabarannya yang perlu dihadapi oleh mana-mana parti politik yang ingin menyertai pilihanraya-demokrasi yang terhidang pasca kejatuhan Rejim Hosni Mubarak. Iaitu perlu memberikan harapan sebagai sebuah parti politik yang dapat memenuhi tuntutan yang dikehendaki oleh kebanyakkan rakyat Mesir. Selain itu, pihak yang paling penting untuk diperolehi ‘keredaannya’ jika ingin menerajui pemerintahan Mesir ialah Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (Supreme Council of the Armed Forces, SCAF). Walaupun SCAF bukan pemerintah, namun kekuasaan pemerintahan Mesir berada ditangan pihak SCAF. Kemenangan dalam pilihanraya Mesir tidak akan memberikan apa-apa makna tanpa sokongan daripada pihak SCAF.

Hakikatnya SCAF berada dalam kawalan Amerika Syarikat. Keakraban dan pengaruh Amerika Syarikat ke atas SCAF merupakan hambatan terbesar perlu dihadapi oleh Freedom & Justice Party (FJP) - Parti yang diasaskan oleh Ikhwanul Muslimin untuk menyertai pilihanraya Mesir - selepas memenangi Pilihanraya Presiden Mesir. Semasa proses menuju pilihanraya Presiden Mesir untuk diadakan, beberapa pertemuan telah diadakan diantara Field Marshal Hussein Tantawi yang mengetuai SCAF ketika itu dengan pentadbiran Amerika Syarikat khususnya dengan Setiausaha Amerika Syarikat pada ketika itu iaitu Hillary Clinton. Pertemuan yang menjurus kepada membincangkan tentang proses transisi politik Mesir.



Apabila Dr Morsi berjaya menjadi Presiden Mesir, tidak banyak perkara yang dapat beliau lakukan kerana hakikatnya kekuasaan pemerintahan Mesir berada ditangan pihak SCAF. Walaupun Dr Morsi telah menggantikan Field Marshal Hussein Tantawi dengan Jeneral Abdul Fattah As-Sisi, namun ianya tidak sedikit pun dapat mengurangkan cengkaman SCAF terhadap kekuasaan pemerintahan Mesir. Keterbatasan kuasa pemerintahan yang dipegang oleh Presiden Morsi menyebabkan beliau tidak dapat mengatasi banyak masalah yang timbul semasa pemerintahannya. Satu demi satu kekecohan telah timbul yang akhirnya membawa kepada pengulingannya oleh Jeneral Abdul Fattah As-Sisi.


Penggulingan Presiden Morsi secara nyata melanggar prinsip demokrasi, namun selepas penggulingan tersebut berlaku, satu lagi pilihanraya Presiden Mesir diadakan juga atas nama demokrasi. Antara calon popular adalah Jeneral Abdul Fattah As-Sisi yang telah mengetuai pengulingan Presiden Morsi. Ketika diwawancara dengan sebuah stesen televisyen Mesir, Jeneral Abdul Fattah As-Sisi telah bersumpah untuk menamatkan hayat gerakan Ikhwanul Muslimin sekiranya beliau dilantik sebagai Presiden baru Mesir dalam pilihan raya yang akan diadakan. Setelah pilihanraya Mesir berlangsung, seperti yang telah dijangka Abdel Fattah al-Sisi telah mencapai kemenangan besar dengan memperolehi 96.9 peratus undi daripada 47.45 peratus yang keluar mengundi. Dengan kata lain, kemenangan Jeneral Abdul Fattah As-Sisi dalam piliharaya sebagai Presiden Mesir yang baru adalah berdasarkan jumlah sokongan kurang daripada  50 peratus rakyat Mesir.

Dari sudut lain, dapat lihat bahawa  penyertaan Ikwanul Muslimin dalam pilihanraya-demokrasi Mesir bukan sahaja telah banyak mendesak mereka untuk berkompromi dalam prinsip perjuangan demi untuk mendapatkan sokongan daripada rakyat Mesir yang beragam bentuk pemikirannya. Malahan mereka juga terpaksa melakukan dasar-dasar yang sangat ‘pelik’ seperti mengekalkan Perjanjian Camp David dengan pihak Israel  demi untuk  mendapatkan kepercayaan pihak SCAF dan kuasa-kuasa besar terutamanya Amerika Syarikat. Tindakan-tindakan tersebut telah mengikis  kredibiliti Ikhwanul Muslimin sebagai sebuah Parti Islam. Namun, ianya sedikit pun tidak mendatangkan rasa ‘terima kasih’ daripada pihak SCAF dan kuasa-kuasa besar khususnya Amerika Syarikat. Malahan, mereka bertindak untuk menghapuskan secara total perjuangan Ikhwanul Muslimin di bumi Mesir.


Semoga apa yang telah menimpa Ikhwanul Muslimin di Mesir dan parti-parti Islam lain seperti FIS di Algeria dan REFAH di Turki akan dapat memberikan pengajaran kepada Parti Islam yang ada bahawa pilihanraya-demokrasi hanyalah kemenangan yang bersifat fatamorgana untuk Islam.

“Tidak selayaknya seorang mukmin itu dipatuk ular dari lubang yang sama dua kali”
[HR Bukhari & Muslim].

Ya Allah! berikanlah perlindungan kepada saudara-saudara seaqidah kami dibumi Mesir daripada kezaliman Abdul Fattah As-Sisi. Dan berikanlah petunjuk dan kekuatan kepada pejuang-pejuang Ikhwanul Muslimin di Tanah al-Kinanah (Mesir) dalam memperjuangkan agamaMu dengan manhaj yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Ameen.

No comments:

Post a Comment