Saturday, 1 March 2014

Kebongkakan Dan Kejahilan Golongan Anti Hadith


Islam merupakan agama terakhir yang diturunkan oleh Allah SWT melalui junjungan besar Nabi Muhammad SAW kepada umat manusia di dunia ini. Tiada lagi rasul yang diutuskan oleh Allah SWT kepada umat manusia selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW kerana baginda adalah penutup segala rasul. Risalah Islam yang disampaikan oleh Baginda SAW telah memansuhkan agama-agama yang telah diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasul-rasul sebelum Baginda.  Allah SWT berfirman :

“Sesungguhnya agama yang diterima di sisi Allah hanyalah Islam” 
[TMQ Ali Imran : 19]

Islam yang diturunkan oleh Allah SWT  dan disampaikan melalui Nabi Muhammad SAW bukan hanya untuk masyarakat arab pada ketika itu tetapi untuk seluruh umat manusia sehinggalah hari kiamat. Semua persoalan tentang kehidupan daripada yang berkaitan dengan bersuci hinggalah bernegara telah disempurnakan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW (Sunnah dan hadith merujuk kepada pengertian yang sama).

“Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu.” [TMQ Al-Maaidah: 3]

“Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras   hukumannya”. [TMQ: Al-Hasyr Ayat: 7]
           
Banyak ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan oleh Allah SWT yang bersifat umum yang kemudiannya dirincikan oleh Sunnah Rasulullah SAW. Misalnya perintah mendirikan solat di dalam Al-Quran diturunkan dalam bentuk yang umum, sunnah Rasulullah SAW yang merincikan tentang tatacara pelaksanaanya serta waktu-waktunya.  

“Dan Kami turunkan kepadamu Al Quran, agar kamu menerangkan pada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkan.” [TMQ: An-Nahl Ayat: 44]

Sebagai seorang muslim kita mesti memahami segala perintah dan larangan Allah SWT yang terkandung di dalam Al-Quran seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT, BUKANNYA kita melaksanakan perintah dan larangan Allah seperti yang ingin kita fahami dan kehendaki. Selain itu, ajaran Islam yang diamalkan oleh generasi awal umat Islam iaitu ketika zaman para sahabat seterusnya zaman para tabi’in, zaman para tabi’-tabi’in sehinggalah ke zaman kita pada hari ini adalah ajaran Islam yang sama, tiada perubahan walau sedikit pun kerana Al-Quran yang menjadi rujukan utama umat Islam akan sentiasa terpelihara kesuciannya sehingga ke hari kiamat. Allah SWT berfirman:

"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Adz-Dzikr (Al-Qur’an), dan Kamilah yang akan menjaganya". [TMQ Al-Hijr : 9]

Antara kemukjizatan Al-Quran adalah dalam konteks gaya bahasanya yang sangat tinggi dan mendalam. Para penyair arab yang hebat pada ketika itu seperti Walid bin Mughirah turut terpegun apabila mendengarkan  keindahan serta ketinggian bahasa Al-Quran. Dengan hanya mendengarkan gaya bahasa yang digunakan oleh Al-Quran, para penyair Arab menyedari Al-Quran bukan karangan Nabi Muhammad atau mana-mana manusia. Begitulah ketinggian gaya bahasa Al-Quran kerana sesungguhnya Al-Quran adalah kalamullah. Maka sebab itu, tidak menghairankan jika  para sahabat yang merupakan bangsa Arab Quraish juga sering kali mempunyai pemahaman yang berbeza terhadap maksud yang disampaikan di dalam Al-Quran walaupun Al-Quran diturunkan dalam bahasa arab yang mereka pertuturkan.

Apabila terdapat sahaja perbezaan pemahaman dikalangan sahabat terhadap maksud yang disampaikan di dalam Al-Quran, mereka terus merujuk kepada Rasulullah SAW untuk mendapatkan pemahaman yang sebenar seperti yang dimaksudkan oleh Allah SWT. Begitulah yang dilakukan oleh para sahabat ketika Rasulullah masih hidup. Dengan kata lain, sunnah Rasulullah SAW memperjelaskan dan merincikan kandungan Al-Quran yang bersifat umum. Para sahabat akan menjadikan sunnah Rasulullah SAW sebagai rujukan dalam sebarang permasalahan yang tidak dijelaskan secara terperinci oleh Al-Quran ataupun apabila terdapat persoalan yang tidak dijelaskan di dalam Al-Quran. Oleh itu, perlu disedari bahawa umat Islam tidak akan dapat untuk memahami segala perintah dan larangan Allah yang terkandung di dalam Al-Quran jika tidak menjadikan sunnah Rasulullah SAW sebagai rujukan untuk memahami Al-Quran. Sunnah juga merupakan sumber hukum terhadap persoalan yang tidak dijelaskan di dalam Al-Quran.

“Dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).” [TQM: An-Najm Ayat:3 - 4]

Oleh itu, adalah sesuatu KEBONGKAKAN dan KEJAHILAN yang amat keterlaluan bagi mana-mana umat Islam yang merasakan dirinya mampu untuk mengamalkan ajaran Islam tanpa perlu merujuk kepada panduan Sunnah Rasulullah SAW. Apatah lagi jika manusia tersebut hanya berkeupayaan memahami Al-Quran dalam bahasa terjemahan dan tidak mempunyai kefakihan dalam cabang-cabang ilmu yang diperlukan untuk memahami maksud ayat-ayat Al-Quran.

Hakikatnya manusia sedemikian adalah manusia yang ingin hidup BEBAS, ikut SESUKA hati tanpa keterikatan dengan hukum-hakam agama kerana merasakan manusia mampu untuk menentukan atau membuat peraturan yang terbaik untuk manusia. Oleh itu, mereka cuba membawa idea/pemikiran yang kononnya menunjukkan mereka adalah manusia yang ‘berfikir’ dengan mempertikaikan perkara-perkara yang sebenarnya hanya menunjukkan KEBONGKAKAN dan KEJAHILAN mereka.


No comments:

Post a Comment