Thursday, 10 October 2013

Pemilihan Agung UMNO 2013 : Ke Mana Halatuju Malaysia?

Pemilihan Agung UMNO pada kali ini menggunakan format baru di mana seramai 150000 perwakilan diberikan kuasa untuk memilih Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO. Dalam format lama hanya memperuntukkan 2500 perwakilan sahaja. Pengenalan format baru ini bertujuan: 

1. Meremajakan parti
2. Menjadikan UMNO lebih demokratik
3. Membendung gejala politik wang

Sejauh mana keberkesanan format baru ini dapat mencapai objektifnya? Kita boleh nilai selepas pemilihan berlangsung.

Terdapat beberapa cabaran Pemilihan Agung UMNO 2013 pada kali ini antaranya :

1.    Banyak Pihak Berkepentingan

Sebagai sebuah parti politik yang telah menjadi tulang belakang kepada pemerintahan negara sejak mencapai kemerdekaan sudah pasti ramai mereka yang telah bersama UMNO telah mencapai kejayaan dan kesenangan hidup. Mereka yang telah menikmati kejayaan/kesenangan ini sudah pasti akan berusaha untuk terus mengecapinya. Keadaan ini telah menyebabkan lahirnya banyak pihak yang berkepentingan di dalam UMNO, di mana misi utama perjuangan mereka bukan lagi atas perjuangan parti semata-mata tetapi yang lebih utama ialah atas dasar kepentingan masing-masing. Sangat sukar atau boleh dikatakan mustahil untuk kita pada masa kini mendapati perjuangan ahli-ahli UMNO adalah semata-mata kerana perjuangan parti tanpa tercalit dengan perjuangan yang dipengaruhi oleh kepentingan peribadi. Oleh itu, adalah sesuatu yang tidak menghairankan apabila budaya cantas-mencantas, membeli undi, sabotaj dan lain-lain  wujud begitu subur dalam UMNO sehingga budaya tersebut sudah seperti tidak dapat dibuang lagi.

2.    Tidak Melahirkan Pemimpin Pelapis .

Agak sukar untuk UMNO mencari pahlawan yang berkaliber untuk berhadapan dengan pahlawan dari pihak pembangkan. Sehingga UMNO sering dicabar untuk berdebat dengan pahlawan pihak pembangkang, namun kita dapati cabaran tersebut sering tidak disahut oleh UMNO. Kita juga mendapati kebanyakkan pemimpin-pemimpin UMNO tidak dapat berhujah dengan baik seperti yang ditunjukkan oleh para pemimpin dari pihak pembangkang dalam membawa sesuatu isu. Ada penganalisis politik yang mengatakan perkara ini berpunca kerana secara keseluruhannya UMNO tidak melahirkan pemimpin pelapis tetapi hanya melahirkan pemimpin pelapik. Proses melahirkan kepimpinan pelapik ini berlaku kerana mereka yang telah berada di atas sentiasa berusaha untuk terus menerus berada di atas tampuk pemerintahan. Caranya ialah menyekat atau mencantas mana-mana individu yang kelihatan mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang boleh mengugat mereka. Di samping, menaikkan individu-individu yang mereka boleh jadihkan hanya sebagai pemimpin pelapik yang hanya berfungsi untuk membantu ‘mengetatkan’ kedudukan mereka apabila berada dalam keadaan yang longgar.

3.    Budaya Hipokrasi

Oleh kerana misi utama perjuangan kebanyakkan ahli-ahli UMNO adalah atas kepentingan peribadi dan pemimpin-pemimpin yang dinaikkan adalah bertaraf pemimpin pelapik, maka ianya secara langsung telah menyuburkan budaya hipokrasi dalam UMNO.  Budaya hipokrasi ini telah menyebabkan budaya memberikan  pandangan yang kritis dan membina tidak subur dalam UMNO. Namun yang subur ialah budaya ‘angguk-angguk’, ‘betul-betul’ dan  puji-memuji sehinggakan UMNO tidak dapat memahami kehendak rakyat yang sebenar dan akhirnya gagal dalam merangka pendekatan yang tepat untuk mendekati pelbagai golongan rakyat.

4.    Tekanan Daripada Perkembangan Perjuangan Transformasi Politik Oleh Pihak Pembangkang.

Walaupun pembangkan tidak berjaya menakluki Putrajaya pada pilihanraya ke 13, namun dapat diperhatikan kematangan dan kewibawaan kebanyakkan ahli-ahli politik pihak pembangkan semakin terserlah. Mereka mampu hadir bukan sahaja dengan mengkritik dasar/formula yang diambil oleh pihak kerajaan terhadap sebarang masalah/isu yang menimpa negara tetapi juga mampu memberikan penyelesaian - penyelesaian alternatif yang semakin meyakinkan dan mudah untuk difahami oleh rakyat.


Oleh kerana sehingga hari ini UMNO merupakan peneraju utama dalam pemerintahan negara, maka apa yang menimpa UMNO secara langsung akan memberikan kesan terhadap masa depan negara. Antaranya :

1.    Kepimpinan Negara Akan Diterajui oleh Kepimpinan Pelapik

Berdasarkan cabaran yang sedang dihadapi oleh UMNO sangat sukar untuk UMNO melahirkan generasi kepimpinan yang benar-benar mantap dan mempunyai kemampuan kepimpinan yang tinggi. Jika memang ada mereka yang benar-benar mempunyai kemampuan kepimpinan yang baik, namun cabaran dan realiti terkini dalam UMNO telah mendesak mereka untuk lebih memikirkan ‘survival politic’ mereka berbanding kepentingan perjuangan parti, di mana akhirnya mereka juga akan terbentuk sebagai menjadi kepimpinan pelapik.

2.    Tidak Dapat Memberikan Perancangan Yang 100 Peratus Demi Kepentingan Negara

Oleh kerana wujudnya budaya cantas-mencantas atau tikam dari belakang, maka, walaupun pemilihan telah dibuat namun mereka yang telah menang pasti tidak akan merasa selamat daripada pesaing mereka. Begitu juga mereka yang telah kalah atau mereka yang tidak boleh menunggu dengan lebih lama lagi untuk menduduki kerusi yang diidamkan, pasti akan sentiasa berusaha mengintai peluang untuk menduduki kerusi yang diidamkan. Hal ini sudah pasti akan menyebabkan tumpuan 100 peratus kepada perancangan negara tidak dapat dilakukan.

3.    Negara Akan Terjerumus Ke dalam 1001 Macam Masalah

Apabila negara dipimpin oleh mereka yang tidak berkemampuan dan tidak 100 peratus menumpuhkan terhadap pentadbiran negara maka sudah pasti 1001 macam masalah akan menimpa. Ibarat menyerahkan sebuah syarikat perniagaan kepada mereka yang tidak mampu dan tidak tahu tentang perniagaan. Kesannya perniagaan bukan sahaja tidak berkembang, malah hutang akan turut bertambah yang boleh membawa kepada kebangkrapan. Bahkan, perniagaan tersebut mungkin akan diambil alih oleh pihak lain. Begitu juga halnya dengan pentadbiran negara. Pihak yang akan terkena secara langsung kesannya sudah pasti adalah rakyat, kehidupan semakin sempit, keselamatan semakin tidak terjamin dan bermacam-macam lagi.

Rumusan

Pada pandangan penulis sangat sukar atau boleh dikatakan tidak mungkin untuk UMNO mampu untuk bangkit semula. Ini kerana, cabaran atau masalah yang sedang menimpa UMNO seolah-olah sudah tidak dapat diselesaikan lagi. Jika ada penyelesaian terbaik yang dapat difikirkan sekali pun, ianya pasti tidak dapat dilaksanakan kerana ianya tentu memerlukan pengorbanan yang sangat tinggi terutamanya daripada pemimpin-pemimpin utama dalam UMNO, pengorbanan terutamanya dari segi kedudukan dan  kepentingan. Sanggupkah pemimpin-pemimpin utama ini lakukan?

Kerajaan perpaduan terutamanya dengan PAS mungkin merupakan satu-satunya alternatif yang dapat dilakukan untuk menjadikan UMNO terus relevant dalam politik Malaysia. Sejauh mana ianya dapat direalisasikan, ianya bergantung sejauh mana keberkesanan sentiment melayu dimainkan.

1 comment:

  1. Kepimpinan pelapik boleh wujud dalam mana-mana parti atau pertubuhan sekalipun hatta dalam parti Islam apabila ada nafsiyyah individu dalam parti tidak bersandar pd Islam

    ReplyDelete