Wednesday, 22 October 2014

Campur Tangan Amerika Syarikat Dan Kuasa-kuasa Barat Ke atas Negara Umat Islam

Campur tangan Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa barat yang lain seperti Britain, Perancis dan Russia dalam hal ehwal negara-negara umat Islam di Timur Tengah merupakan perkara asas yang perlu dibincangkan dengan mendalam dalam konteks untuk memahami konflik yang berlaku di Timur Tengah. Kajian atau  perbincangan terhadap konflik di Timur Tengah tanpa membincangkan campur tangan yang dimainkan oleh Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa barat yang lain merupakan satu perbincangan KOSONG dan SIA-SIA. Akar masalah akan gagal difahami dengan benar dan seterusnya penyelesaian konkrit tidak akan berjaya dihasilkan. Inilah yang menjadi punca mengapa setelah puluhan tahun, rantau Timur Tengah tidak pernah sunyi daripada dilanda dengan bermacam-macam konflik berdarah. Ratusan ribu umat Islam yang telah terkorban, namun penyelesaian yang dihasilkan terus gagal membendung konflik yang berlaku, bahkan menjadi semakin tambah meruncing.

Keseriusan campur tangan Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa barat terhadap hal ehwal di Timur Tengah dapat dilihat dengan jelas umpama melihat matahari di siang hari. Misalnya, ketika Arab Spring melanda di beberapa buah negara umat Islam, peranan Amerika dan kuasa-kuasa barat begitu kuat sekali dalam menentukan arah tuju perubahan politik di negara-negara yang terlibat dengan Arab Spring. Ketika pilihanraya President yang pertama diadakan di Mesir selepas kejatuhan Rejim Hosni Mubarak, beberapa orang Pegawai Tinggi Amerika Syarikat termasuklah Setiausaha Negaranya ketika itu, iaitu Hillary Clinton begitu sibuk sekali mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Pemimpin Tertinggi Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata (SCAF) Mesir.

Begitu juga dengan campur tangan  Amerika Syarikat dan Russia dalam kebangkitan rakyat Syria untuk menjatuhkan Rejim Bashar Assad. Amerika Syarikat dan Russia cuba untuk menentukan arah tuju pemerintahan Syria Pasca kejatuhan Rejim Bashar. Bermacam-macam penyelesaian politik yang telah direncanakan oleh Amerika Syarikat dan Russia untuk rakyat Syria. Dengan kata lain, Amerika Syarikat dan Russia telah cuba untuk menentukan bagaimanakah Syria harus ditadbir dan diperintah selepas kejatuhan Rejim Bashar Assad. Walaupun Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa barat yang lain telah berjaya melakukannya yakni menentukan bentuk pentadbiran dan pemerintahan pasca Arab Spring di Tunisia, Libya dan Mesir, namun sehingga kini masih belum berjaya melakukan perkara yang sama di bumi Syria. Maka sebab itu, konflik di Syria yang kini memasuki tahun ke empat sehingga ke hari ini masih belum berakhir (Rujuk : Apakah Perancangan Amerika di Syria selepas Kegagalan Rundingan Geneva II ?).

Perancangan Amerika Syarikat di Timur Tengah seperti Greater Middle East dan New Middle East merupakan ‘Open Secret’ yang jelas menunjukkan betapa besarnya campur tangan yang ingin dilakukan oleh Amerika Syarikat terhadap geopolitik di Timur Tengah. Bahkan bukan itu sahaja,  strategi bagaimana untuk menghadapi kebangkitan umat Islam juga telah dirangka dengan detail oleh agensi perisikan Amerika Syarikat. Ini dapat dilihat daripada hasil kajian yang dijalankan oleh National Security Research Division (RAND) bertajuk Civil Democratic Islam: Partners, Resources, Strategies. Dalam kajian tersebut, umat Islam dikelaskan kepada empat golongan iaitu fundamentalist, tradisionalis, modenis dan sekuler. Pengkelasan tersebut dibuat berdasarkan tahap penerimaan umat Islam terhadap idea dan nilai-nilai dari barat. Seterusnya, merangka strategi bagaimana untuk berhadapan dan berurusan dengan keempat-empat golongan tersebut agar kebangkitan umat Islam dapat dihalang.

Keseriusan campur tangan Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya daripada negara-negara barat dalam hal ehwal negara-negara umat Islam di Timur Tengah kerana mereka mempunyai kepentingan politik dan ekonomi yang sangat besar dan merupakan perkara yang terang lagi bersuluh. Hanya manusia yang cetek pemikirannya atau jenis manusia yang hidup untuk makan sahaja yang tidak mengetahui perkara tersebut (Rujuk : Krisis Iraq : Matlamat dan Strategi Amerika Syarikat  dan Disebalik Serangan Amerika Syarikat Ke atas Iraq dan Syria ).  Bukan lagi rahsia bahawa Amerika Syarikat telah berperanan menjatuhkan para pemimpin arab yang menjadi penghalang kepada agenda Amerika Syarikat dan kemudian menaikkan serta menjaga para pemimpin arab yang setia bertuankan Amerika Syarikat. Maka sebab itu, tidak hairan jika pemimpin negara seperti Arab Saudi, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jordan dan Bahrain dengan mudah di arahkan oleh Amerika Syarikat untuk melakukan tugasan membunuh umat Islam di bumi Syria dan Iraq.

Dengan pengaruh dan kekuatan serta dominasi terhadap semua jenis media, Amerika dengan mudah memomokkan Al-Qaeda dan Taliban untuk menyerang bumi Afganistan pada tahun 2001. Amerika Syarikat dengan sesuka hatinya dapat menggunakan negara umat Islam seperti Pakistan untuk dijadikan pangkalan bagi menghancurkan dan membunuh ratusan ribu umat Islam di Afganistan. Pada tahun 2003 pula, Amerika Syarikat menyerang bumi Iraq dengan dakwaan President Saddam Hussein memiliki senjata pemusnah (WMD). Seluruh media yang dimiliki Amerika Syarikat digerakkan untuk mempropagandakan dengan sehebat-hebatnya dakwaan tersebut. Namun akhirnya, setelah hancur musnah bumi Iraq dan ratusan ribu umat Islam menjadi korban, akhirnya terdedah dakwaan tersebut hanyalah satu penipuan!!!

Apa yang sangat MENJIJIKAN ialah sikap sesetengah umat Islam khususnya para ulama, intelektual dan pemimpin umat Islam memberikan respon positif terhadap kempen yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat untuk melancarkan serangan ke atas bumi Syria dan Iraq dengan alasan untuk memerangi ISIS. Jika kerajaan Australia, Canada, Perancis dan Britain menyokong dan membantu kempen tersebut ianya adalah respon yang normal bagi negara-negara kafir, namun SANGAT PELIK dan MENJIJIKKAN jika negara-negara umat Islam menyokong apatah lagi turut serta dalam Perikatan Kolonial yang diketuai oleh Amerika Syarikat untuk memasuki Iraq dan Syria secara ketenteraan bagi menyerang ISIS.

Sesungguhnya isu ini adalah isu yang serius dan bukanlah perkara yang remeh. Isu ini juga bukanlah suatu yang ringan bahkan ia sesungguhnya amat berat di sisi Allah, RasulNya dan kaum Mukminin. Wujudnya perikatan ini di negeri kaum Muslimin adalah suatu isu yang besar dan keburukannya juga melebar luas! Ia adalah sebuah kejahatan yang besar dan diharamkan oleh Islam berdasarkan sabda Rasulullah SAW :
“Janganlah kalian meminta penerangan(cahaya) dari api kaum Musyrikin”
[HR Baihaqi dari Sunan al-Qubra, dari Anas bin Malik).

‘Api kaum musyrikin’ ini adalah kiasan kepada entiti ketenteraan kaum Musyrikin dalam peperangan. Rasulullah juga bersabda :
“Aku tidak akan sekali-kali meminta bantuan dari golongan Musyrikin”
[HR Muslim dari Aisyah RA].

Kesimpulannya, walau apa pun jua konflik yang berlaku di negera-negara umat Islam seperti yang sedang berlaku di Timur Tengah ketika ini, pertama, perlu disedari bahawa campur tangan kuasa-kuasa asing khususnya Amerika Syarikat dalam hal ehwal negara umat Islam merupakan masalah utama kepada konflik tersebut. Selagi campur tangan Amerika Syarikat tidak dihentikan dan dihapuskan sama sekali, selagi itulah Timur Tengah tidak akan pernah sunyi daripada dilanda konflik. Kedua, masalah yang ditimbulkan oleh ISIS merupakan masalah umat Islam. Umat Islam mestilah menyelesaikannya sendiri tanpa perlu meminta bantuan daripada negara-negara kafir, apatah lagi negara kafir yang GANAS seperti Amerika Syarikat. Ketiga, para ulama umat Islam seharusnya tidak bersikap hipokrit dalam memberikan penjelasan tentang ajaran Islam, beria-ia dalam menjelaskan tentang kesalahan yang dilakukan oleh ISIS tetapi diam seribu bahasa terhadap sokongan dan penyertaan negara-negara umat Islam dalam Perikatan Kolonial yang diketuai oleh Amerika Syarikat. Sedangkan ianya merupakan tindakan yang jelas-jelas haram dan bercanggah dengan ajaran Islam.

 Anda Mungkin Juga Meminati



Monday, 13 October 2014

Apakah Keistimewaan Pembentangan Budget Kepada Rakyat ?




Tidak ada siapa yang dapat menafikan bahawa kos sara hidup yang semakin meningkat dari semasa ke semasa telah memberikan tekanan kepada kebanyakkan rakyat Malaysia ketika ini. Purchasing power atau kuasa beli semakin lama semakin menurun kesan daripada inflasi yang berlaku. Dengan kata lain, setiap ringgit pendapatan semakin lama semakin sedikit barang atau perkhidmatan yang mampu dibeli berbanding sebelumnya. Pada masa yang sama, perubahan corak kehidupan yang semakin moden pula memerlukan banyak perbelanjaan tambahan.



Bukan itu sahaja, untuk mendapatkan rawatan kesihatan dan pendidikan yang berkualiti untuk anak-anak  juga memerlukan perbelanjaan yang cukup tinggi. Maka sebab itu tidak menghairankan jika anak-anak yang telah berjaya dalam pelajaran dan kerjaya ketika ini hanya mampu untuk menampung keperluan diri sendiri atau keperluan anak bini sendiri sahaja, itu pun kadang-kadang tidak mencukupi.  Emak ayah yang sepatutnya dibantu oleh anak-anak, terpaksa berusaha sendiri mencari pendapatan untuk menampung keperluan hidup.

Maka sebab itu, di dalam kemodenan dan kemajuan yang sedang dikecapi ketika ini, sudah menjadi perkara biasa bagi rakyat Malaysia melakukan kerja-kerja sambilan atau berhutang sana sini semata-mata untuk mencari wang tambahan bagi menampung atau memenuhi keperluan kehidupan sehari-hari. Berhutang puluhan ribu untuk melanjutkan pelajaran atau untuk mendirikan rumah tangga juga sudah menjadi sebahagian daripada pilihan yang terpaksa diambil untuk meneruskan kehidupan. Hutang rumah dan hutang kenderaan pula sudah menjadi perkara ‘wajib’ bagi kebanyakkan rakyat Malaysia ketika ini.

Oleh itu, apabila budget dibentangkan oleh Menteri Kewangan, pelbagai golongan masyarakat sama ada daripada golongan rakyat biasa, ahli korporat, ahli politik, dan termasuklah golongan yang buta ilmu ekonomi akan tertunggu-tunggu ‘sesuatu’ daripada peruntukan budget yang diumumkan. Bagi golongan majoriti iaitu rakyat biasa daripada golongan berpendapatan pertengahan dan ke bawah sudah tentu akan meletakkan harapan tinggi menggunung agar ada peruntukan-peruntukan yang akan dapat  membantu menambahkan sumber pendapatan dan juga peruntukan-peruntukan yang dapat memberikan lebih banyak kemudahan bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

Seperti selalunya, setiap kali budget dibentangkan, harapan menggunung tinggi golongan majoriti rakyat biasa tidak pernah dihampakan, bahkan sering kali ada ‘ hadiah - hadiah istimewa’ yang akan diberikan kepada golongan ini. Sama ada sedar atau tidak begitulah skripnya apabila setiap kali budget dibentangkan pada setiap tahun atau ketika budget tambahan dibentangkan, ‘rakyat majoriti yang menjadi keutamaan’.

Namun, seperti yang diterangkan diatas walaupun bermacam-macam peruntukan dan ‘hadiah istimewa’ yang diumumkan setiap kali budget dibentangkan, hakikatnya kehidupan rakyat dari tahun ke tahun semakin bertambah sempit dan menekan. Belanja bulanan selalu tidak cukup (defisit), dapat gaji untuk bayar hutang. Menurut Laporan dan statistik dikeluarkan Jabatan Insolvensi Malaysia secara purata seramai 41 individu yang berumur dibawah 35 tahun  muflis setiap hari akibat kegagalan menjelaskan bebanan hutang. Masalah kewangan yang dihadapi oleh pasangan suami isteri juga merupakan antara faktor utama kepada peningkatan kadar perceraian yang sedang sedang berlaku ketika ini. Tidak kurang juga ibubapa yang telah tua terpaksa dihantar ke rumah orang-orang tua akibat daripada ketidakmampuan anak-anak untuk menjaga mereka. Begitulah realiti yang sedang menimpa kebanyakkan rakyat Malaysia ketika ini walaupun saban tahun ada sahaja peruntukan istimewa yang diberikan setiap kali budget dibentangkan.



Namun begitu, walaupun budget yang diperuntukkan setiap tahun gagal melepaskan majoriti rakyat biasa daripada kesempitan hidup akibat daripada kos sara hidup yang semakin meningkat namun ianya telah berjaya meningkatkan kekayaan golongan minoriti tertentu. Misalnya, pada tahun 2002, jumlah kekayaan 40 orang terkaya di Malaysia hanyalah sebanyak RM41.7 bilion. Jumlah tersebut telah melonjak kepada RM194.86 bilion pada tahun 2013 dan pada Januari 2014 gabungan kekayaan 40 individu paling kaya di Malaysia telah melonjak kepada  RM217.82 bilion. Jumlah tersebut hampir mencapai jumlah budget negara pada tahun 2014 iaitu sebanyak RM264.2 bilion. Dengan kata lain, jumlah kekayaan yang dimiliki oleh hanya 40 orang terkaya di Malaysia hampir mencukupi untuk menampung budget negara selama setahun. Kekayaan mereka dijangka akan terus meningkat dengan kepesatan ekonomi yang sedang dinikmati oleh Malaysia. Itulah realiti sebenar yang harus disedari oleh rakyat Malaysia.

Sedarlah bahawa apa yang sedang berlaku ini sebenarnya punca utamanya bukanlah kerana disebabkan oleh masalah korupsi dan ketirisan dalam pengurusan dana negara. Penyelesaian terhadap masalah korupsi dan ketirisan semata-mata TANPA mengubah sistem perekonomian yang diterapkan ketika ini, sudah tentu TIDAK akan dapat mengubah keadaan. Ini kerana punca utamanya adalah penerapan atau pelaksanaan Sistem Ekonomi Kapitalis. 

Anda Juga Mungkin Meminati :

Wednesday, 8 October 2014

Disebalik Serangan Amerika Syarikat Ke atas Iraq dan Syria

Perang merupakan antara asas utama dasar luar Amerika Syarikat. Berbanding dengan aktiviti diplomatik, Amerika Syarikat memperuntukkan perbelanjaan yang sangat besar dalam aktiviti yang berkaitan dengan peperangan. Perbelanjaan Amerika dalam aktiviti yang yang berkaitan dengan peperangan  adalah 10 kali ganda berbanding dengan perbelanjaan dalam akitiviti berkaitan hubungan diplomatiknya. Dasar luar Amerika yang berorientasikan perang dilaksanakan atas tiga doktrin iaitu ‘preemptive strike’, ‘ war on terror rhetoric’ dan untuk menjaga kepentingan Amerika Syarikat.



Selain itu, dasar luar Amerika yang berasaskan perang juga dilaksanakan dengan menggunakan beberapa alasan seperti untuk  melindungi negara-negara yang bersekutu dengan Amerika daripada sebarang ancaman, melindungi negara anggota PBB, menegakkan undang-undang antarabangsa dan juga atas alasan untuk melindungi hak asasi manusia. Dengan kata lain Amerika adalah ' Polis Dunia'.

Namun sebenarnya matlamat utama dasar luar yang berasaskan perang dilaksanakan oleh Amerika Syarikat adalah bertujuan untuk menghalang sebarang potensi kebangkitan kuasa lain yang dapat mencabar atau menyayingi  dominasi Amerika sebagai kuasa ‘ Unipolar Super Power’ ketika ini. Maka sebab itu, dalam polisi luar Amerika, slogan ‘peace’ bukan bermaksud tiada perang, sebaliknya ‘peace’ merupakan antara strategi yang diperlukan Amerika untuk menjaga dan mengekalkan kepentingannya dirantau yang dikuasainya. Perang akan tetap diteruskan dengan apa jua cara, walaupun tidak menggunakan tentera Amerika secara langsung. Ini kerana, matlamat Amerika bukannya untuk memenangi peperangan tetapi matlamat sebenarnya adalah untuk mencipta ketidakstabilan agar ianya dapat menghalang daripada  sebarang kebangkitan kuasa baru yang dapat mencabar atau menyayingi Amerika.
  
Oleh itu, walaupun Barack Obama daripada parti Democrats mengambil alih teraju pentadbiran Amerika Syarikat daripada George W. Bush (Parti Republikan) sejak tahun 2009 lagi, tidak ada perubahan dari segi dasar luar Amerika Syarikat yang berkaitan dengan perang. Perubahan yang ada hanyalah dari segi pendekatan atau strategi bagaimana dasar luar tersebut dijalankan. Dibawah pentadbiran Obama, tidak ada pengurangan terhadap budget ketenteraan bahkan budget ketenteraan meningkat sebanyak dua kali ganda. Obama tetap meneruskan legasi kempen pentadbiran Bush ‘ war on terror’ tetapi menggubah pendekatan atau strategi agar matlamat Amerika daripada kempen tersebut dapat dicapai dengan kos yang minimun dan tidak menimbulkan banyak masalah kepada kepentingan Amerika.

Antara strategi yang digunakan oleh pentadbiran Obama ialah meningkatkan serangan menggunakan drone. Semasa pentadbiran Bush, Amerika telah melancarkan serangan menggunakan drone keatas empat buah negara umat Islam iaitu Afghanistan, Iraq, Pakistan dan Yemen. Manakala dibawah pentadbiran Obama serangan menggunakan drone diperluasakan kepada tujuh buah negara umat Islam termasuklah Somalia, Libya dan terbaru Syria. Selain itu, pentadbiran Obama menggunakan pendekatan menggunakan pasukan ketenteraan daripada negara lain untuk menjayakan agenda Amerika Syarikat. Misalnya tentera Pakistan digunakan untuk memerangi Taliban dan tentera negara-negara Afrika digunakan untuk memerangi kebangkitan umat Islam di Somalia. Kini yang terbaru, Amerika telah berjaya menghimpunkan tentera daripada negara-negara umat Islam sendiri  untuk menyerang Iraq dan Syria.



Perkara penting yang harus difahami dalam kempen peperangan yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat keatas beberapa negara-negara umat Islam ialah - Amerika bukan menginginkan kemenangan, tetapi menginginkan KETIDAKSTABILAN. Oleh itu, menang dalam peperangan di Afghanistan, Iraq dan Syria bukan matlamat utama Amerika Syarikat. Matlamat utama Amerika Syarikat mencetuskan peperangan di ketiga-tiga negara tersebut adalah untuk membentuk KETIDAKSTABILAN dirantau Timur Tengah dan Asia Tengah. KETIDAKSTABILAN di Timur Tengah dan Asia Tengah sangat penting bagi Amerika Syarikat atas dua sebab:

Pertama, Dapat menghalang sebarang potensi kebangkitan kuasa baru, khususnya Kebangkitan Islam yg dapat mencabar Amerika sebagai kuasa dunia.
Kedua, Dapat mengekalkan cengkaman Amerika ke atas negara-negara di Timur Tengah dan Asia Tengah. Ketidakstabilan dijadikan alasan oleh Amerika menghulurkan bantuan ketenteraan untuk menjaga keselamatan negara-negara  di Timur Tengah dan Asia Tengah daripada sebarang ancaman 'Terrorist' dan ‘Extremist’.

Artikel Berkaitan :


Tuesday, 30 September 2014

EIDUL ADHA WAJIB IKUT MAKKAH AL-MUKARRAMAH

Disunting Daripada :www.mykhilafah.com


Kerajaan Malaysia telah menetapkan Hari Raya Korban (Eidul Adha) pada tahun ini jatuh pada hari Ahad 5hb Oktober 2014. Manakala  kerajaan Arab Saudi telah mengumumkan bahawa wukuf atau Hari Arafah (9 Zulhijjah) adalah pada hari Jumaat bersamaan 3hb Oktober 2014, maka hari korban (yaum al-nahr) atau Hari Raya Korban di Makkah adalah pada hari Sabtu 10 Zulhijjah, bersamaan 4hb Oktober 2014.


Perbezaan ini akan mengundang beberapa persoalan kerana ia melibatkan beberapa masalah hukum lain yang terkait dengan ibadah haji. Misalnya, umat Islam disunatkan berpuasa pada Hari Arafah yang jatuhnya pada hari Jumaat (3hb Oktober) Jadi, bilakah sepatutnya umat Islam di Malaysia boleh berpuasa sunat Arafah? Adakah pada hari Jumaat (3hb Oktober) yakni hari ketika jemaah haji sedang wukuf di Arafah, atau pada hari Sabtu (4hb Oktober) sesuai dengan ketetapan pemerintah Malaysia? Sedangkan jika berpuasa pada hari Sabtu (4hb Oktober), masalahnya adalah hari itu bukan lagi hari Arafah, kerana jemaah haji di Makkah pada hari itu  sudah memasuki yaum nahr atau dengan kata lain mereka sedang menyambut Hari Raya Korban. Jadi, sesiapa yang berpuasa pada hari Sabtu bermakna dia berpuasa pada Hari Raya Korban, yakni hari yang diharamkan untuk berpuasa.

Oleh itu, apabila kerajaan Malaysia mengistiharkan Hari Raya Korban jatuh pada hari Ahad (5hb Okt), sedangkan umat Islam ditanah suci Makkah merayakannya pada hari Sabtu (4hb Okt) iaitu sehari selepas wukuf di Arafah (Jumaat, 3hb Okt), maka sebenarnya umat Islam di Malaysia sedang merayakan Hari Raya Korban apa?. Ini kerana hari raya korban sepatutnya dirayakan sehari selepas Jemaah haji wukuf di Arafah. jemaah hari wukuf di Arafah pada hari jumaat (3hb Okt), hari dimana umat Islam disunnatkan berpuasa. Manakalah hari sabtu adalah hari Raya Korban, hari dimana umat Islam diharamkan berpuasa. Jadi, jika Kerajaan Malaysia telah menetapkan bahawa hari Raya Korban jatuh pada hari Ahad, maka umat Islam di Malaysia akan berpuasa sunat pada hari yang diharamkan untuk berpuasa. Macam mana tu ???

Memang terdapat perbezaan pendapat dalam menentukan 1 Ramadhan dan 1 Syawal dikalangan para ulama. Namun tidak ada perbezaan pendapat dikalangan ulama (Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali) dalam menentukan awal Zulhijjah, ianya WAJIB berdasarkan rukyah penduduk Makkah. Umat Islam seluruh dunia wajib mengikuti rukyah penduduk Makkah, tidak boleh melakukan rukyah sendiri.

Oleh sebab itu, kaum Muslimin dalam sejarahnya senantiasa menyambut Hari Raya Korban pada hari yang sama. Fakta ini dapat dilihat sejak masa Rasulullah SAW lagi dan dilanjutkan pada masa Khulafa’ al-Rasyidin seterusnya Khilafah Bani Umayyah, Abbasiyyah dan Uthmaniyyah.   Sesungguhnya kewajipan kaum Muslimin untuk menyambut Hari Raya Korban ini secara bersama-sama (serentak) telah ditunjukkan oleh banyak nas syarak. Antaranya ialah:

(1) Hadis A’isyah RA, ia berkata, Rasulullah SAW bersabda,

“Eidul Fitri adalah hari orang-orang (kaum Muslimin) berbuka (selesai Ramadhan) dan Eidul Adha adalah hari orang-orang (kaum Muslimin) menyembelih korban” [HR al-Tirmizi – lihat Imam Syaukani, Nailul Authar, Beirut: Dar Ibn Hazm, 2000, hlm 697, hadis No. 1305].

Imam al-Tirmizi juga meriwayatkan hadis yang serupa dari Abu Hurairah RA dengan lafaz:

“Bulan puasa adalah bulan mereka (kaum Muslimin) berpuasa. Eidul Fitri adalah hari mereka berbuka. Eidul Adha adalah hari mereka menyembelih korban” [Nailul Authar, hlm 697 hadis No. 1306].

Imam al-Tirmizi seterusnya berkata, “Sebahagian ahlul ‘ilmi (ulama) menafsirkan hadis ini dengan menyatakan, ‘Sesungguhnya makna puasa dan Eidul Fitri ini adalah yang dilakukan bersama jemaah (keseluruhan masyarakat Islam) dan sebahagian besar manusia”.

Hadis di atas secara jelas menunjukkan kewajipan berpuasa Ramadhan, ber-Eidul Fitri dan ber-Eidul Adha bersama-sama orang ramai, iaitu maksudnya bersama kaum Muslimin keseluruhannya dan langsung tidak timbul soal batas sempadan negara.

(2) Dari Husain Ibn al-Harits al-Jadali, ia berkata:

“Sesungguhnya Amir (Wali) Makkah pernah berkhutbah dan berkata, ‘Rasulullah SAW mengamanahkan kepada kami untuk melaksanakan manasik haji berdasarkan rukyah. Jika kami tidak dapat merukyah tetapi ada dua saksi adil yang berjaya merukyah, maka kami melaksanakan manasik haji berdasarkan kesaksian keduanya” [HR Abu Daud dan al-Daruquthni].

Imam al-Daruquthni berkata, “Isnadnya bersambung (muttasil) dan sahih” [Lihat Imam Syaukani, Nailul Authar hlm 841 hadis No. 1629]. Hadis ini dengan jelas menunjukkan bahawa penentuan hari Arafah dan hari-hari pelaksanaan manasik haji, telah dilaksanakan pada saat adanya Daulah Islamiyyah dengan ketetapan rukyah oleh pihak Wali Makkah atau penduduk Makkah. Hal ini berlandaskan perintah Nabi SAW kepada Amir (Wali) Makkah untuk menetapkan hari dimulainya manasik haji berdasarkan rukyah. Di samping itu, Rasulullah SAW juga telah menetapkan bahawa pelaksanaan manasik haji (seperti wukuf di Arafah, tawaf ifadhah, bermalam di Muzdalifah, melempar jamrah dan sebagainya) harus ditetapkan berdasarkan rukyah penduduk Makkah sendiri, bukan berdasarkan rukyah penduduk Madinah, penduduk Najd atau penduduk negeri-negeri Islam lainnya.

(3) Dari Abu Hurairah ra, ia berkata:

“Sesungguhnya Rasulullah SAW telah melarang puasa pada Hari Arafah, di Arafah” [HR Abu Daud, An Nasa’i – lihat Imam Syaukani, Nailul Authar hlm 875, hadis No. 1709].

Berdasarkan hadis ini, Imam al-Syafi’i berkata, “Di sunatkan berpuasa pada Hari Arafah (9 Zulhijjah) bagi mereka yang bukan jemaah haji”. Hadis di atas merupakan dalil yang jelas dan terang mengenai kewajiban merayakan Hari Raya Korban pada hari yang sama atas seluruh kaum Muslimin. Sebab, jika disyari’atkan berpuasa bagi selain jemaah haji pada Hari Arafah, maka ini bermakna, puasa sunat bagi kaum Muslimin (selain jemaah haji) juga akan berlaku pada hari yang sama. Jadi, apabila hari Arafah telah ditetapkan oleh pemerintah Makkah pada hari Jumaat 3 Oktober, maka inilah harinya (3 Oktober) untuk umat Islam diseluruh dunia (selain jemaah haji) untuk menunaikan puasa sunat Arafah.

Langsung tidak timbul soal perbezaan hari/waktu di antara Arab Saudi dan Malaysia, mahupun lain-lain negara di dunia. Malaysia hanya berbeza 5 jam sahaja dengan Arab Saudi. Bagaimanakah perbezaan 5 jam ini tiba-tiba menyebabkan hari Arafah atau Hari Raya Korban menjadi berbeza lebih dari sehari (24 jam)? Justeru, benar-benar menyalahi nas sekiranya umat Islam di Malaysia berpuasa sunat pada hari Sabtu (4 Oktober) kerena ketika itu merupakan hari penyembelihan korban di Makkah atau dengan kata lain Hari Raya Korban. Sesungguhnya berpuasa pada Hari Raya Korban adalah perbuatan yang jelas-jelas diharamkan oleh Rasulullah.

Terdapat sebahagian daripada kaum Muslimin yang membolehkan perbezaan Hari Raya Korban beristidlal (menyandarkan dalil) dengan hadis:

“Berpuasalah kalian apabila melihat (rukyah) hilal, dan berbukalah kalian (ber-Eidul Fitri) apabila melihat hilal. Dan jika mendung/awan menghalang (pandangan) kalian, maka perkirakanlah”.

Beristidlal dengan hadis ini untuk membolehkan perbezaan hari raya (termasuk Hari Raya Korban) di antara negeri-negeri umat Islam dan untuk membolehkan penggunaan kaedah hisab adalah istidlal yang sangat keliru. Kekeliruannya dapat ditinjau dari beberapa aspek:

Pertama; Hadis tersebut tidak menyentuh Hari Raya Korban baik secara langsung mahupun tidak langsung. Hadis itu hanya menjelaskan tentang Eidul Fitri, bukannya Eidul Adha (Hari Raya Korban). Maka dari itu, tidaklah tepat beristidlal dengan hadis tersebut untuk membolehkan perbezaan Hari Raya Korban berdasarkan perbezaan mathla’ (tempat terbit hilal), di antara negeri-negeri umat Islam.

Kedua; Hadis tersebut telah menetapkan awal puasa Ramadhan dan Eidul Fitri berdasarkan rukyatul hilal, bukan berdasarkan kaedah hisab. Pada hadis tersebut tak terdapat sedikit pun dalalah (pemahaman) yang membolehkan kaedah hisab untuk menetapkan awal bulan Ramadhan dan hari raya Eidul Fitri. Ada pun perkataan Nabi yang berbunyi, “...jika mendung/awan menghalang (pandangan) kalian, maka perkirakanlah” maksudnya bukanlah perkiraan berdasarkan kaedah hisab, tetapi bermaksud sempurnakan bilangan (bulan) Sya’ban atau Ramadhan kepada 30 hari, (bila hilal tidak kelihatan). Jadi, adalah teramat keliru jika menggunakan hadis ini dan menetapkan tarikh Hari Raya Korban berdasarkan kaedah hisab.

Ketiga; Andaikata kita terima bahawa hadis tersebut juga berlaku untuk Hari Raya Korban dengan jalan Qiyas (padahal Qiyas tidak berlaku dalam hal ibadah yang bersifat tauqifiyah) maka hadis tersebut justeru akan bertentangan dengan hadis dari Husain Ibn al-Harits al-Jadali di atas, yang bersifat khusus untuk Eidul Adha dan manasik haji. Dalam hadis penetapan Ramadhan dan Eidul Fitri, Rasulullah SAW memberi autoriti kepada mana-mana orang Islam di seluruh dunia untuk melihat hilal. Manakala dalam hadis penetapan Hari Raya Korban, Nabi SAW hanya memberikan autoriti kepada kaum Muslimin/Amir/Wali Makkah untuk menetapkan rukyah bagi bulan Zulhijjah dan untuk menetapkan waktu manasik haji khusus, berdasarkan rukyah penduduk Makkah (bukan rukyah kaum Muslimin di negeri-negeri yang lain).

Walaupun Rasulullah telah membuat ketetapan tentang hari Hari Raya Korban bagi seluruh kaum Muslimin berdasarkan rukyah penduduk Makkah, malangnya sebahagian besar kaum Muslimin hari ini lebih mengikut ‘ketetapan’ yang dibuat oleh pemerintah negara masing-masing yang justeru bertentangan dengan apa yang Rasulullah telah tetapkan. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah membuat ketetapan Hari Raya Korban berdasarkan wahyu dan hal ini telah menyatukan kaum Muslimin di seluruh dunia.

Anda Juga Mungkin Meminati :


Saturday, 27 September 2014

Masa Depan Pakatan Rakyat Dalam Politik Malaysia



Kerjasama politik diantara Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Nasional (KeADILan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) bermula ketika Pilihan Raya Umum ke 10 (PRU10) diadakan pada tahun 1999, setahun selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Kerjasama politik keempat-empat parti tersebut ketika itu dikenali sebagai Barisan Alternatif (BA) yang bermatlamatkan untuk mengurangkan majoriti Barisan Nasional dalam Pilihanraya.  Hasilnya pada PRU10, BA telah berjaya meningkatkan  jumlah kerusi mereka dalam Parlimen dan Negeri Terengganu berjaya ditawan oleh PAS.

Walaupun BA telah berjaya menempah kejayaan yang memberangsangkan dalam PRU10, namun DAP telah menarik daripada BA ekoran daripada tidak bersetuju dengan Negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Oleh itu, ketika PRU11 diadakan pada tahun 2004, DAP dan BA (PAS dan PKR) berada dalam haluan masing-masing menentang Barisan Nasional. Barisan Nasional yang ketika itu diterajui oleh Perdana Menteri baharu iaitu Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi (Pak Lah) sedang berada dikemuncak kerjaya politiknya setelah lebih kurang setahun menggantikan Tun Dr Mahathir bin Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia. Dua situasi tersebut telah memberikan advantage yang sangat besar kepada kejayaan cemerlang Barisan Nasional dalam PRU11.

Selain berjaya merampas semula negeri Terengganu daripada PAS, Barisan Nasional juga telah telah menempah kejayaan yang sangat besar dengan memenangi 198 kerusi parlimen berbanding hanya 20 kerusi oleh pihak pembangkan dan satu kerusi oleh calon bebas. Kejayaan tersebut merupakan majoriti terbesar yang pernah dimenangi oleh Barisan Nasional sejak PRU5 pada tahun 1978. Namun, kegagalan pentadbiran Pak Lah dalam menguruskan kejayaan yang telah mereka perolehi dalam PRU11, plus bersikap arrogant dalam memperkenalkan dasar baharu dan dalam mengambil pendekatan ketika menangani isu yang timbul, akhirnya telah menimbulkan kemarahan dan kebencian yang sangat mendalam dikalangan rakyat termasuklah pemimpin dan penyokong Barisan Nasional sendiri.

Faktor tersebut dan kemunculan semula Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam barisan parti pembangkang serta keberkesanan media alternatif ketika itu dalam menyebarluaskan pandangan dan idelisme pihak pembangkan telah memberikan kejayaan yang sangat luar biasa kepada parti pembangkang dalam PRU12. Barisan Nasional bukan hanya kehilangan ⅔ majoriti di Parlimen tetapi turut kehilangan 4 buah negeri termasuklah negeri yang paling kaya di Malaysia iaitu Negeri Selangor. Kejayaan luar biasa dalam PRU12 telah memberikan semangat dan harapan baru kepada parti pembangkang khususnya PKR, DAP dan PAS untuk memulakan misi menawan Putrajaya. Bagi menjayakan misi tersebut, maka, dibentuklah satu kerjasama politik diantara PKR-PAS-DAP dengan nama baharu iaitu Pakatan Rakyat. Bagi PAS kerjasama politik atau tahaluf siyasi tersebut merupakan satu pendekatan Siyasah syar’iyyah untuk mencapai cita-cita politik mereka.

Umum mengetahui bahawa ketiga-tiga parti yang berada dalam Pakatan Rakyat mempunyai ideologi dan matlamat perjuangan yang berbeza-beza. PAS adalah sebuah Parti Islam, PKR (Gabungan Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia/Parti Sosialis Rakyat Malaysia)  pula merupakan Parti Sekular-Pragmatik dan DAP adalah parti Sekular-Sosialis (Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Muktamar PAS KE-60). Bahkan, PAS-PKR-DAP lebih tahu dan sangat faham tentang perbezaan yang wujud semasa mereka.

Walaupun berbeza ideologi, namun mereka dapat bekerjasama sebagai satu pasukan kerana musuh politik mereka adalah sama iaitu Barisan Nasional. Inilah kekuatan utama yang mengikat PAS, DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat. Bagi PAS, PKR dan DAP, kerjasama politik/tahaluf siyasi yang membentuk Pakatan Rakyat, merupakan formula politik terbaik yang mesti dijaga dan dipertahankan dengan sebaik mungkin agar kerajaan Barisan Nasional dapat ditumbangkan dalam Pilihanraya. 

Anda Juga Mungkin Meminati
1. Politik Malaysia : What’s Next?  
2. Ancaman COMANGO Terhadap Islam Di Sebalik Perjuangan Hak Asasi Manusia 
3. Apakah Perancangan Amerika di Syria selepas Kegagalan Rundingan Geneva II ?