Sunday, 14 September 2014

Bebannya Menimba Ilmu dan Melanjutkan Pengajian Di Masa Kini


Oleh: Hamzah M. Yunus



Ilmu pengetahuan merupakan sesuatu yang sangat penting dan utama dalam membentuk bukan sahaja peribadi muslim yang sejati malah sebagai insan yang berkualiti untuk membangunkan darjat dan martabat manusia. Allah Al Khaliq s.w.t di dalam firmannya:

“supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.”(TMQ 58:11)

Sistem pendidikan sering dikaitkan dengan kemajuan ekonomi sesebuah Negara. Ahli akademik kontemporer telah melakukan pelbagai kajian hubungan antara pendidikan dan pertumbuhan ekonomi. Menurut Jurges dan Schneider (2004) setiap peningkatan perbelanjaan negara terhadap pendidikan dapat membantu pertumbuhan ekonomi negara secara significant.

Bagi Malaysia pula, R. Ramesh dan Rohana (2009) juga Rahmah dan Doris Padmini (1999) menyatakan sektor pendidikan telah menyumbang ke arah pembangunan modal insan yang berkemampuan membantu negara ini untuk bersaing di peringkat global. Berdasarkan dari kajian yang dilakukan di kesatuan Eropah telah menemukan bahawa setiap satu tahun peningkatan tempoh pendidikan lanjutan atau latihan kemahiran kepada para perkerja dapat menyumbang kepada 45% peningkatan produktiviti tahunan.

Walaupun begitu, usaha pembangunan ekonomi melalui pendidikan ini bukanlah sesuatu yang mudah disaat kita sedang dibelenggu sistem kehidupan kapitalisme dan sekular. Kos pendidikan ketika ini boleh dianggap mahal atau membebankan dari pelajar sekolah sehinggalah ke peringkat lepasan ijazah. Walhal, sepatutnya pendidikan adalah tanggungjawab negara yang perlu disediakan secara percuma (pada peringkat rendah sehingga menengah) dan sebaik mungkin kepada setiap lapisan warganegaranya. Penulisan ini bakal membincangkan permasalahan ini dan solusinya menurut Islam.

Beban kewangan dan pincangnya sektor pendidikan masa kini

Lazim kita dengari keluhan ibubapa yang terbeban apabila musim persekolahan bermula kerana menanggung yuran, buku dan pelbagai lagi kos lain. Perkara yang sama juga menimpa mahasiswa di IPTA atau lebih buruk lagi di IPTS. Ada mahasiswa yang terpaksa mengikat perut malahan bekerja sambilan untuk menampung kos kehidupan dan kos pengajian. Pengajian di peringkat ijazah sarjana muda sains dan teknologi di IPTA secara puratan menelan kos sehingga RM1,500 per semester. Untuk kursus yang sama di IPTS pula puratanya menelan belanja sehingga RM6,000 per semester.

Perkara yang sama juga berlaku di negara-negara maju seperti US dan UK sehingga menjadi rusuhan pelajar pada tahun 2010 (lihat: www.telegraph.co.uk dan www.reuters.com). Kadar yuran pengajian di Universiti California, USA  telah meningkat sehingga melebihi US$10,000 setahun dan universiti ini adalah universiti awam.

Majoriti mahasiswa terpaksa menanggung beban kewangan ini dengan memohon pinjaman PTPTN. Pinjaman ini diwujudkan oleh kerajaan akibat terhadnya sumber kewangan negara untuk menawarkan biasiswa kepada para pelajar. Bukan sahaja pinjaman ini besar jumlahnya (kesan dari kos pengajian yang besar) tetapi seperti pinjaman-pinjaman yang lain, PTPTN datang bersama kos bunga atau riba’ di dalam pelan pembayaran semula. Maka, mahasiswa bukan sahaja terpaksa menanggung hutang yang besar malah terpaksa melakukan dosa besar akibat pinjaman yang berunsur riba’.

Secara anggaran, mahasiswa IPTA bakal menanggung beban hutang PTPTN melebihi RM30,000. Manakala mahasiswa IPTS bakal menanggung hutang pengajian lebih RM150,000. Hutang yang tinggi ini pasti memudaratkan keseimbangan kewangan mereka selepas tamat pengajian kelak. Contohnya seorang graduan kejuruteraan yang memperolehi gaji sebanyak RM2,200 bersih selepas cukai dan EPF terpaksa membayar hutang pengajian sehingga RM250 sebulan. Maka apa yang tinggal untuk mereka belanjakan adalah sangat terhad dan tidak mencukupi.

Perkara ini diburukkan lagi dengan beban kerja yang begitu menindas. Majikan akan memerah segala keringat pekerja mereka melebihi ganjaran yang setimpal. Perkara ini berlaku kerana majikan pada masa kini terpaksa menanggung kos-kos lain yang sepatutnya di tanggung oleh negara. Contohnya kos kesihatan dan kebajikan pekerja.

Pendidikan Yang Melahirkan Modal Insan Yang Korup

Pendidikan yang berkualiti akan melahirkan insan yang juga berkualiti. Namun, kualiti ini perlulah diukur dari aspek pandangan islami yang melihat setiap insan yang lahir hendaklah menjalani kehidupan seharian mereka menurut tuntutan dan larangan hukum syarak. Pendidikan yang berkualiti ini juga akan membentuk insan yang mempunyai ‘syaksiyah islamiyah’ (keperibadian Islam) dan matlamat hidupnya untuk mencari keredhaan Allah dan mencapai kejayaan di dunia dan juga akhirat.

Tetapi dengan sistem pendidikan yang ada hari kini, tuntutan ini hampir atau gagal sama sekali di realisasikan. Ini dapat dilihat daripada sikap dan perlakuan para pelajar dan siswazah yang tidak segan silu melakukan segala bentuk pelanggaran hukum syarak seperti berzina, memukul cikgu, penipuan dan amalan rasuah apabila telah bekerja.

Menurut Syed Azizi (1995) tanggapan terhadap rasuah dan ‘wang pelincir’ dikalangan masyarakat di negara membangun adalah sesuatu yang normal iaitu dapat di terima sebagai kebiasaan. Lebih memeranjatkan, kajian ini lakukan dikalangan para siswazah perniagaan di negara-negara Asia Tenggara (termasuk Malaysia). Maka tidak hairanlah apabila terdapat aduan negatif daripada kalangan para peniaga dan pelabur asing terhadap kegiatan rasuah di negara-negara membangun terutama Asia Tenggara.

Tambahan lagi menurut laporan bancian penipuan 2011 yang dilakukan oleh Ernst & Young (firma perakaunan antarabangsa) di negara-negara Eropah menemui 1 dari 5 (20%) eksekutif mempunyai sikap boleh bertoleransi terhadap kegiatan rasuah untuk mendapatkan projek atau kerja yang boleh menguntungkan syarikat. Manakala 1/4 atau 25% dari kalangan eksekutif menganggap pihak pengurusan syarikat tidak menjalankan perniagaan secara beretika (termasuk menipu dan rasuah). Kajian ini juga menemui 1/3 atau lebih 30% responden menganggap rasuah dan penipuan itu masih lagi berleluasa.

Menurut laporan bancian penipuan 2011 di Singapura yang dilakukan oleh KPMG (firma perakaunan antarabangsa) juga telah menemui perkara yang hampir serupa di Eropah. Kajian ini telah menemui lebih 20% syarikat di Singapura telah mengalami kes penipuan sepanjang 2 tahun yang lepas. 50% daripadanya adalah dikalangan para pekerja sendiri dan 20% dikalangan pihak pengurusan.

Berdasarkan hasil kajian dan bancian ini membuktikan kegagalan polisi atau ekosistem pendidikan kapitalisme sekular ini telah gagal untuk membentuk peribadi manusia yang mulia dan sesuai dengan norma-norma sifat kemanusian apalagi membentuk peribadi muslim sejati.

Punca Masalah dan Penyelesainnya 


Masalah yang melanda mahasiswa tidak terhad kepada beban kewangan pendidikan sahaja malahan meliputi pelbagai permasalahan lain seperti asrama yang terhad, kursus yang tidak relevan dengan industri, akhlak yang rendah dan lain-lain. Segala permasalahan ini sebenarnya berpunca dari polisi pendidikan sesebuah negara kerana polisi ini terkait dengan sistem kenegaraan (politik) atau pengaturan kehidupan iaitu berasaskan ideologi Komunis, Kapitalis atau Islam.

Allah telah memberikan peringatan kepada kita, sistem pengaturan kehidupan ini mestilah berdasarkan Islam. Jika tidak, bersedialah untuk menerima segala ‘bala’ atau kesusahan akibat dari penyelewangan ini (tidak menerapkan Islam). Firman-Nya:

“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.”(TMQ 5:49)

Beban kewangan yang menindas para pelajar dan siswazah ini tidak lain dan tidak bukan terhasil dari sistem kapitalisme yang memandang bahawa pendidikan masakini adalah suatu perniagaan yang boleh menguntungkan negara. Kerana itu tidak hairanlah pada masakini pendidikan itu dikategorikan sebagai industri walhal sebenarnya pendidikan adalah perkhidmatan layanan negara terhadap rakyatnya.

Pendidikan yang diperniagakan ini bakal menjimatkan sebahagian dari pendapatan negara kapitalis (hasil cukai dan bukan cukai) dari menanggung segala kos berkaitan pendidikan. Alasan Polisi ini dibuat bahawa negara sudah tidak mampu menampung kos pendidikan yang meningkat, kerana jika terus memberikan bantuan atau subsidi maka negara akan kehilangan sumber kewangan untuk pembangunan yang lain. Ini sebenarnya adalah alasan yang bersifat ‘escapism’ dari tanggungjawab.

Salah-satu agenda didalam Economic Transformation Program (ETP, Malaysia) adalah mengubah polisi pendidikan sedia ada supaya lebih menguntungkan pihak pendidik swasta dan negara dalam mencapai objektif negara berpendapatan tinggi. Keputusan ini dihasilkan daripada analisa yang menunjukkan bahawa sektor pendidikan menyumbang kepada pada kadar penumbuhan yang tinggi iaitu 6% kepada GDP atau KDNK Negara. Malahan pendidikan awam atau swasta juga adalah penyumbang yang tinggi kepada kesan gandaan pengeluaran (output multiplying-effect) yang terbesar di Malaysia iaitu 2.34 kali gandaan. Maknanya setiap RM1 yang dilaburkan boleh meningkatkan RM2.34 kesan pengeluaran sampingan atau berkaitan kepada sektor-sektor lain. Maka tidak hairanlah jika dianggap pendidikan suatu perniagaan.

Hasilnya, rakyat terjerat dan manfaatnya dinikmati oleh golongan tertentu dan berkemampuan sahaja. Negara juga berpeluang untuk mencipta pendapatan daripada pinjaman berunsurkan riba’ yang mana ia dianggap sebagai keuntungan sambil membantu. Sehingga tahun ini sahaja, jumlah pinjaman PTPTN yang telah diberikan kepada 1.8 juta penuntut IPT hampir RM40billion dan untuk tahun 2011 sahaja RM4 billion telah diluluskan (Mingguan Malaysia 21/8/2011). Bayangkan berapa banyak keuntungan riba’ yang bakal diperolehi oleh negara jika peratus keuntungan mereka adalah 1% setahun atas baki.

Bagi permasalahan akhlak para pelajar yang membimbangkan saat ini pula sebenarnya terkait dengan intipati objektif pendidikan yang digubal. Objektif pendidikan kapitalisme hari ini tidak lebih dari ingin menghasilkan manusia yang bersifat mesin yang dapat membantu kepada pertumbuhan ekonomi negara. Peringkat sekolah hinggalah di IPT, objektifnya adalah untuk mencari ilmu untuk berjaya secara material semata-mata. Para pelajar disogokkan dengan kejayaan dan kemewahan para jurutera, usahawan, doktor dan angkasawan yang berjaya tetapi tiada nilai akhlak yang dapat diselitkan kepada role model tersebut. Persoalan mencipta kejayaan material diagung-agungkan, tetapi kejayaan untuk mendapat redha Allah dan menggapai syurga dilupakan sama sekali.

Idea ini telah menyerap dan berakar umbi dari para pendidik sehinggalah ibu-bapa yang menjaga para pelajar ini hasil dari penerapan idea oleh tangan-tangan pemerintah yang sekular agen kepada kapitalisme. Maka tidak hairanlah apabila para pelajar yang bakal menjadi modal insan ini tidak segan silu untuk melakukan perbuatan keji dan hina asalkan mereka boleh bermegah-megah dengan kejayaan material yang dikecapi di dunia ini.

Selain itu, pembentukan keperibadian akhlak diserahkan oleh negara secara total kepada ibu-bapa. Jika anak ramaja menjadi mat rempit dan bohsia sekalipun, mereka akan menyalahkan pendidikkan dirumah tanpa melihat kesilapan polisi dan peraturan negara yang mereka ambil dan terapkan ke atas rakyat. Sikap melepaskan tanggungjawap ini memburukkan lagi keadaan pendidikan masa kini.

Penyelesaian kepada isu-isu ini perlu dilihat dari aspek bagaimana peraturan hakiki yang perlu diterapkan sesuai dengan kehendak Allah Maha Pencipta makhlukNya. Lihat sahaja dari perpektif penyediaan pendidikan didalam Islam yang wajib diberikan secara percuma (bukan sekadar yuran) akan dapat menjamin peluang yang luas kepada semua lapisan masyarakat tidak kira muslim atau non-muslim untuk belajar bersama-sama didalam suasana yang berkualiti. Ini secara khusus boleh menghilangkan segala permasalahan penindasan oleh pihak institusi pengajian yang dialami para pelajar masa kini yang berkaitan dengan yuran, buku, penginapan dan lain-lain lagi. Maka tidak kira miskin atau kaya bakal mendapat peluang yang sama untuk belajar. Alangkah indahnya Islam.

Berkaitan dengan akhlak pula, sudah pasti dengan penerapan kurikulum dan penyampaian yang berasaskan Islam bakal membina dan membentuk modal insan yang berkeperibadian mulia mengikut ‘syaksiyah islamiyah’(keperibadian Islam). Ini bukan saja secara langsung dapat menyelesaikan pelbagai gejala masalah sosial yang menimpa, malahan dapat menyelamatkan ekonomi negara dari terus diselewengkan kepada perkara-perkara yang tidak bermanafaat.

Kesimpulan

Sistem pendidikan masa kini yang lahir dari asas ideologi kufur iaitu Kapitalisme dan Sosialisme Komunis telah mewujudkan satu jurang yang sangat besar di dalam pembentukan peribadi manusia. Insan masa kini berjaya di dalam aspek pembangunan material dengan kejayaan-kejayaan yang bersifat keduniaan tetapi jiwa mereka kosong dan kehidupan mereka penuh kehinaan. Mereka gagal meletakkan aspek ruhiyah didalam perbuatan dan perilaku mereka hasil gagalnya pendidikan masa kini untuk mempengaruhi cara berfikir dan tindak-tanduk mereka.

Simpati kita melihat siswazah terpaksa bertungkus-lumus belajar dengan kos yang tinggi dan menindas, tetapi selepas selesai menamatkan pengajian, mereka adalah orang yang sama sebelum menerima pendidikan. Mereka tetap bersifat individualistik, mementingkan material dan memandang akhlak sebagai supplementary dan bukannya elementary. Lebih simpati lagi apa yang mereka jalani di kehidupan masa kini rata-ratanya tidak memberikan mereka kejayaan di akhirat kelak.

Oleh itu hanya Sistem pendidikan Islam sahajalah yang dapat memperbetulkan perkara ini dengan jalan yang benar. Ini kerana hanya Sistem Islam itu sajalah yang sesuai dengan fitrah manusia yang bakal melahirkan cara kehidupan yang harmoni, tenang dan sejahtera. Wallahu’alam.

Hamzah M. Yunus adalah pensyarah perakaunan di salah sebuah universiti awam di Malaysia. Beliau adalah akauntan awam bertauliah dan ahli penuh Association of Chartered Certified Accountants (ACCA, UK).

No comments:

Post a Comment