Tuesday, 24 December 2013

Perebutan Menjadi Kelompok Yang Benar.... Akhirnya Umat Islam Menjadi Keliru

Perdebatan untuk menunjukkan sesuatu kelompok merupakan kelompok yang tersasar daripada ajaran agama Islam semakin hangat di Malaysia sehingga mencetuskan perang mulut dalam media antara Menteri dengan Pegawai Agama Kementerian Dalam Negeri (KDN). Sebenarnya, usaha-usaha sesetengah pihak memburuk-burukan kelompok lain  telah pun berlaku sejak sekian lama. Mereka menghasilkan penulisan dan berceramah dari masjid ke masjid semata-mata untuk kononnya menyampaikan kepada umat Islam tentang kesalahan bahkan sampai menyesatkan kelompok lain.  

Mereka begitu confident dan bersemangat membuktikan pihak lain tersasar daripada ajaran Islam dan mengingatkan kepada umat Islam tentang bahayanya kelompok-kelompok yang tidak sehaluan dengan mereka . Al-Quran, hadis dan kitab-kitab ulama silam dikaji dan disarah secara selective agar dapat disusun serta ditafsirkan supaya dapat digunakan untuk  membuktikan mana-mana kelompok yang mereka inginkan buktikan telah tersasar daripada ajaran Islam.

Walhal apa yang diperhatikan, banyak hujah atau bukti  yang mereka  utarakan menggunakan Al-Quran, hadis dan kitab-kitab ulama silam banyaknya dipengaruhi oleh unsur kecenderungan untuk membuktikan kesalahan kelompok yang ingin mereka sesatkan. Kitab-kitab atau penulisan daripada kelompok yang ingin mereka sesatkan ditafsir dengan sesuka hati agar selari dengan kecenderungan mereka untuk menyesatkan kelompok tersebut. Penafsiran yang begitu kuat didorongi oleh kecenderungan akhirnya menghasilkan penafsiran yang pelik-pelik dan melampau-lampau yang hakikatnya bukanlah kefahaman atau amalan kelompok yang ingin mereka sesatkan. Tetapi itu adalah penafsiran mereka sendiri yang memandai-mandai.

Jadi, sebenarnya, apa yang mereka lakukan adalah umpama mereka berimaginasi menghasilkan watak jahat seperti yang mereka kehendaki kemudian diterangkan watak jahat yang mereka imaginasikan tersebut sebagai kelompok yang sangat berbahaya kepada umat Islam. Tindakan atau cara sebegini jelas sekali bercanggah dengan disiplin keilmuan di dalam Islam.

Lagi memburukkan keadaan apabila terdapat juga kelompok lain yang ingin menunjukkan bahawa merekalah golongan yang paling benar dan merupakan golongan yang akan masuk surga dengan cara membuktikan kelompok lain yang tidak sealiran mereka merupakan kelompok yang tersasar daripada ajaran Islam. Mereka juga dengan tegas dan bersungguh-sungguh membuktikan kelompok lain termasuk kelompok yang menyesatkan mereka merupakan kelompok yang telah terasar daripada ajaran Islam. Caranya juga tetap sama menghukum kelompok yang tidak sealiran dengan mereka berdasarkan kecenderungan dan penafsiran.

Kemudian, masing-masing kelompok pula menjawab setiap tuduhan yang dilemparkan kepada mereka untuk membuktikan tuduhan yang dilemparkan kepada mereka adalah fitnah semata-mata. Akhirnya timbul pula medan yang baru iaitu, medan menjawab fitnah. Dalam medan ini, satu persatu, fitnah yang dilemparkan dijawab dengan teliti dengan hujah-hujah yang ilmiah yang akhirnya meletakkan umat berada dalam keadaan kekeliruan untuk membezakan golongan mana yang benar.

Medan menjawab fitnah yang akhirnya menimbulkan kekeliruan dikalangan umat Islam pada hari ini tidak akan berlaku sekiranya budaya memburuk-burukan kelompok lain tidak dilakukan. Apatah lagi, budaya tersebut didorongi dengan kecenderungan dan penafsiran sesuka hati semata-mata untuk memburukkan atau menyalahkan kelompok lain. Keadaan sebegini hakikatnya telah menyebabkan umat Islam semakin berpecah dan juga menyebabkan sebahagian umat Islam hilang kepercayaan atau keyakinan kepada mana-mana kelompok atau jemaah Islam.

Apa yang lebih merisaukan ialah, perbalahan seperti ini telah menyebabkan banyak permasalahan yang sedang menimpa umat Islam tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Permasalahan seperti gejala sosial yang semakin meruncing, isu murtad, penularan fahaman liberal dan yang paling utama ialah kehidupan umat Islam yang tidak diatur dengan aturan Islam dalam seluruh aspek kehidupan seperti yang diperintahkan oleh Allah tidak diberikan perhatian yang  serius.

No comments:

Post a Comment