Sunday, 20 October 2013

Umat Islam Di Malaysia WAJIB Mempertahankan Kalimah Allah

Berdasarkan panduan Al-Quran dan As Sunnah jelas menunjukkan bahawa orang-orang bukan Islam dibenarkan menggunakan kalimah Allah. Namun harus difahami dengan jelas bahawa penggunaan kalimah Allah oleh orang-orang bukan Islam seperti yang dinyatakan dalam sirah Rasulullah SAW adalah merujuk kepada Allah yang Esa. Sebenarnya, penggunaan kalimah Allah dalam beberapa peristiwa oleh orang Arab jahiliyyah merujuk kepada Allah yang Esa seperti yang kita fahami dan bukan merujuk kepada berhala Al-Latta dan Al-Uzza. Begitu juga ketika Rasulullah SAW mencabar orang-orang Kristian bermubahalah ataupun bersumpah laknat, pengunaan kalimah Allah dalam peristiwa tersebut adalah merujuk kepada Allah yang Esa, bukan yang lain. Penggunaan seperti ini dibenarkan oleh Islam.

Namun penggunaan kalimah Allah oleh akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly tidak merujuk kepada Allah yang Esa, sebaliknya merupakan terjemahan kepada perkataan God yang digunakan dalam kitab mereka. God yang berasaskan kepada konsep Holy Trinity. Maka apabila mereka menggunakan kalimah Allah, ianya  merujuk kepada Holy Trinity bukan Allah yang Esa. Jika sesetengah umat Islam bersetuju atau membenarkan kalimah Allah digunakan oleh akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly bermakna mereka membenarkan kalimah Allah disamakan dengan konsep Holy Trinity. Ini  bukanlah perkara yang main-main atau boleh diambil mudah. Allah SWT berfirman dalam Al - Quran.

“Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata, ‘Bahawasanya Allah adalah salah satu dari yang tiga (trinity)’. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa. Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang-orang yang kafir di antara mereka akan ditimpa seksaan yang pedih”  [TMQ Al Maidah (5):73].

Terdapat segelintir Ilmuan dan tokoh politik yang beragama Islam nampak seperti tidak menghalang (bersetuju/tidak kisah) pengunaan kalimah Allah oleh akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly. Ini disebabkan kerana ilmuan dan tokoh politik tersebut hanya membahaskan persoalan secara umum ‘ Adakah orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah atau tidak?’ Jika hanya persoalan ini yang dibahaskan, maka sudah pasti  jawapannya boleh berdasarkan hukum syarak. Namun, harus dijelaskan juga penggunaan yang bagaimana orang bukan Islam dibenarkan menggunakan kalimah Allah. Adakah orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah mengikut sesuka hati mereka? Persoalan-persoalan seperti ini seharusnya dibincangkan dengan lebih terperinci agar jawapan yang benar terhadap specifik waqi’ (fakta/realiti) yang sedang berlaku dapat diperolehi.

Ternyata apabila perbahasan secara khusus kes penggunaan kalimah Allah oleh akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly, didapati bahawa penggunaan kalimah Allah yang mereka gunakan secara jelas adalah merujuk kepada konsep Holy Trinity. Sepatutnya ilmuan dan tokoh politik tersebut lebih sensitif dalam memahami waqi’ (fakta/realiti) yang berlaku dalam membincangkan isu penggunaan kalimah Allah oleh akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly, bukan hanya membincangkannya dalam bentuk yang umum, sehingga akhirnya umat Islam menjadi keliru dan secara tidak langsung bersetuju/redha jika kalimah Allah di samakan dengan konsep Holy Trinity.

Oleh yang demikian, para pemimpin dan ilmuan Islam mesti dengan lebih tegas mempertahankan agar kalimah Allah tidak digunakan dalam akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly. Pada masa yang sama, mereka harus bertindak dengan lebih serius dalam menghadapi segala bentuk dakwah dan gerak kerja yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu untuk memurtadkan umat Islam di Malaysia.


No comments:

Post a Comment