Saturday 12 December 2015

Hizbut Tahrir Dan Khilafah




Perjuangan untuk menegakkan semula Khilafah begitu sebati sekali dengan Hizbut Tahrir sehinggakan apabila sebut sahaja Hizbut Tahrir, maka perkara pertama yang akan dikaitkan dengannya ialah Khilafah. Bahkan sesetengah umat Islam yang tidak menyukai atau tidak bersetuju dengan Hizbut Tahrir berpandangan bahawa Hizbut Tahrir hanya inginkan Khilafah, sikit-sikit Khilafah, Khilafah, Khilafah. Begitulah sebatinya Hizbut Tahrir dengan Khilafah.


Sebatinya perjuangan menegakkan semula Khilafah dengan Hizbut Tahrir bukannya hanya berlaku dalam proses satu malam, tetapi ianya berlaku dengan usaha yang konsisten oleh para anggota Hizbut Tahrir memperjuangkan Khilafah sejak tahun 1953 lagi. Walaupun Daulah Khilafah yang telah diasaskan oleh Baginda Rasulullah saw telah membawa kesejahteraan hidup yang hakiki kepada seluruh umat manusia dan telah memberikan sumbangan yang sangat besar kepada tamadun dunia selama 1500 tahun kewujudannya. Namun, penjajah-penjajah barat telah berjaya menghapuskan hampir sama sekali Khilafah dalam diri umat Islam ketika mereka menjajah negeri-negeri umat Islam. Sehinggakan ketika umat Islam di seluruh dunia berjuang untuk membebaskan diri daripada penjajahan barat, umat Islam seperti sudah tidak lagi mengenal Sistem Khilafah.

Usaha memburuk-burukkan Sistem Khilafah oleh penjajah-penjajah barat serta segelintir pemimpin dan ilmuan Islam yang terpesona dengan kemajuan yang dikecapi oleh negara-negara penjajah terus berjalan agar bukan sahaja umat Islam tidak mengenali/memahami Sistem Khilafah tetapi turut membencinya. Maka sebab itu, walaupun telah wujud banyak gerakan Islam di seluruh dunia pasca perang dunia ke-2 yang berjuang atas dasar dan slogan Islam menentang sistem serta cara hidup barat, namun menegakkan semula Sistem Khilafah tiada dalam kamus perjuangan mereka, yang ada ialah Negara Islam/Daulah Islam yang agak kabur bentuknya. Manakala pihak nasionalis yang lebih dominan dalam memperjuangkan kemerdekaan daripada penjajahan barat sangat dipengaruhi oleh ideologi kapitalisme ataupun sosialisme. Maka, apabila golongan nasionalis berjaya menerajui tampuk pemerintahan, mereka bukan sahaja tidak ingin menerapkan sistem pemerintahan yang berasaskan hukum-hakam Islam, bahkan turut mencegahnya dengan keras.

Dalam keadaan umat Islam sudah tidak lagi mengenali Sistem Khilafah dan tampuk pemerintahan negeri-negeri umat Islam diterajui oleh golongan nasionalis yang mengenggam kuat ideologi kapitalisme ataupun sosialisme, Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani tampil dengan menubuhkan Parti Hizbut Tahrir (Parti Pembebasan) pada tahun 1953 untuk memulakan perjuangan menegakkan semula Daulah Khilafah agar kehidupan Islam seperti generasi umat Islam terdahulu dapat dikembalikan semula. Dakwah menyeru umat Islam berjuang untuk menegakkan semula Khilafah yang dimulakan oleh Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani di bumi Palestin telah berkembang satu persatu ke negeri-negeri umat Islam yang lain, khususnya di rantau Arab. Dan  setelah lebih daripada 60 tahun Hizbut Tahrir menempuhi pelbagai cabaran dan ranjau dalam menyeru umat Islam menegakkan semula Khilafah, kini seruan untuk menegakkan semula Khilafah bergema di hampir seluruh negeri-negeri umat Islam, bahkan turut bergema di negara-negara barat termasuklah di Amerika Syarikat dan Britain.

Yang lebih menggembirakan ialah apabila semakin banyak gerakan-gerakan Islam serta umat Islam secara umumnya di seluruh dunia yang sudah mengenali dan akhirnya memahami bahawa sistem pemerintahan di dalam Islam adalah Khilafah. Kembalinya Khilafah dalam diri umat Islam tentunya tidak menyenangkan musuh-musuh Islam khususnya negara-negara barat. Apatah lagi membongkar perancangan jahat serta campur tangan negara-negara barat dalam hal ehwal negeri-negeri umat Islam di seluruh dunia merupakan salah satu aktiviti dakwah Hizbut Tahrir yang sangat menonjol.

Hizbut Tahrir seringkali mengeluarkan pandangan serta analisis terhadap setiap isu ataupun konflik yang berlaku di seluruh dunia khususnya isu yang melibatkan negeri-negeri umat Islam. Perkara ini sangat penting untuk mendidik umat Islam supaya mempunyai pemikiran politik yang berskala global agar setiap krisis atau permasalahan yang menimpa umat Islam di seluruh dunia ketika ini dapat cemati dengan lebih mendalam sehingga ke akarnya. Isu konflik Syria sebagai contoh, Hizbut Tahrir berusaha mendidik umat Islam dengan dengan pelbagai kaedah sama ada melalui penulisan, ceramah, dialog, demonstrasi aman, perbincangan secara individu dan sebagainya bahawa konflik Syria yang berlanjutan sehingga kini adalah kerana campurtangan kuasa-kuasa barat khususnya Amerika Syarikat dan Russia yang ingin menentukan kesudahan kebangkitan umat Islam Syria. Begitu juga dengan konflik yang berlaku di Yaman dan di Iraq, ianya terus bergolak sehingga kini adalah kerana campurtangan kuasa-kuasa barat, bukannya kerana pertembungan di antara Sunnah dan Syiah.

Manakala dalam hal ehwal negeri umat Islam, Hizbut Tahrir sering mendidik umat Islam agar  menilai dengan kritis sistem kehidupan yang diterapkan, adakah ianya merupakan sistem kehidupan yang diturunkan oleh Allah SWT atau ianya merupakan sistem kehidupan yang lahir daripada akal manusia sendiri. Pelbagai kerosakan ataupun kemungkaran yang berlaku sama ada  segi politik, ekonomi, pendidikan, kekeluargaan dan sebagainya diangkat untuk dinilai oleh umat Islam agar dapat difahami akar/punca yang menyebabkan berlaku kerosakan tersebut. 

Sebagai contoh dalam isu kenaikan kos sara hidup. Hizbut Tahrir menjelaskan kepada umat Islam khususnya bahawa kenaikan kos sara hidup yang semakin hari semakin menghimpit kehidupan adalah disebabkan oleh sistem ekonomi kapitalis yang digunakan untuk menguruskan ekonomi negara adalah sistem ekonomi yang pincang kerana ianya lahir daripada akal manusia yang bersifat terbatas. Jadi, kenaikan kos sara hidup hanyalah salah satu daripada kerosakan sistemik yang dihasilkan oleh sistem ekonomi kapitalis. Begitu jugalah halnya dalam kemungkaran lain yang berlaku, Hizbut Tahrir mendidik umat Islam agar meneliti dengan mendalam setiap kemungkaran yang berlaku sehingga dapat menyedari bahawa ianya berpunca akibat tidak diterapkan sistem kehidupan Islam. Seterusnya Hizbut Tahrir menanamkan ke dalam pemikiran umat Islam untuk kembali menerapkan sistem-sistem kehidupan Islam dengan cara membentuk atau menegakkan semula sistem pemerintahan Khilafah.

Oleh itu umat Islam di Malaysia khususnya perlu mengamati dengan teliti dan cermat perjuangan serta pemikiran yang dibawa oleh Hizbut Tahrir sebelum membuat sebarang tomahan ataupun usaha untuk menghalang dakwah yang diperjuangkan oleh Hizbut Tahrir.  Ini kerana adalah satu tindakan yang sangat tidak wajar sama sekali bagi umat Islam menghalang usaha-usaha dakwah memperjuangkan tertegaknya semula Khilafah. 

Menghalang usaha untuk tertegaknya semula Khilafah adalah satu tindakan yang sangat buruk dan hina. Sama ada mereka sedari atau tidak, mereka turut sama melakukan perkara yang sedang dilakukan oleh musuh-musuh Islam khususnya negara-negara barat yang sentiasa berusaha menghalang tertegakknya semula Khilafah. Nauzubillah min zalik.....

Anda Mungkin Juga Meminati :