Monday 31 August 2015

Bersih 4.0 Dan Undi Tidak Percaya

Sangat penting bagi pihak pembangkang khususnya DAP, PKR dan GHB mengambil peluang daripada krisis yang sedang melanda pentadbiran Dato’ Sri Najib untuk mengadakan event besar seperti Himpunan Bersih 4.0. Event sebegini bukan sahaja akan dapat menambahkan sokongan rakyat kepada mereka, tetapi juga akan dapat mengukuhkan lagi kerjasama politik yang sedia terjalin sesama mereka. Selain itu, ianya tentu juga akan dapat mengalihkan tumpuan mereka daripada krisis dalaman yang sedang melanda Pakatan Rakyat kepada isu yang membolehkan mereka untuk saling bekerjasama dan berganding bahu. Dengan kata lain, event seperti Bersih 4.0 sedikit sebanyak akan dapat mengelakkan parti-parti pembangkang daripada disibukkan dengan konflik dalaman yang boleh melemahkan lagi kerjasama politik mereka.

Dalam suasana politik dan ekonomi Malaysia ketika ini, serta isu-isu panas yang melibatkan Dato’ Sri Najib sendiri, hakikatnya adalah benar seperti apa yang telah diperkatakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa ‘Kalau esok pilihanraya, BN akan kalah’. Ini kerana kegagalan pentadbiran Dato Sri Najib menguruskan dengan baik banyak isu penting yang wujud di dalam  negara seperti isu 1MDB, kenaikan harga barang, kejatuhan nilai ringgit serta isu-isu yang melibatkan diri beliau sendiri seperti kes Altantuya, kehidupan mewah Datin Sri Rosmah dan juga wang derma bernilai RM2.6 billion yang dimasukkan dalam akaun peribadi beliau semakin menimbulkan kemarahan dan kebencian rakyat terhadap Barisan Nasional. Situasi ini tentunya akan memberikan kelebihan serta peluang yang lebih cerah kepada parti-parti Pembangkang untuk memenangi pilihanraya pada PRU14 akan datang.

Oleh itu, tentunya parti-parti pembangkang inginkan agar kemarahan dan kebencian rakyat Malaysia terhadap Barisan Nasional berterusan sehingga ke PRU14 akan datang. Maka, bagi parti-parti pembangkang, jika Dato’ Sri Najib berundur sekarang sudah pasti ianya akan dapat mengurangkan kelebihan mereka untuk menggalahkan BN pada PRU14. Apatah lagi jika pemimpin yang dinaikkan bagi menggantikan Dato’ Sri Najib adalah seorang pemimpin yang dapat bertindak tegas terhadap ‘kesalahan’ yang telah dilakukan oleh pentadbiran Dato’ Sri Najib. Ini kerana, tindakan sedemikian akan dapat meredakan kemarahan dan kebencian rakyat terhadap Barisan Nasional dan seterusnya akan dapat mengembalikan kepercayaan rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional.

Maka dengan itu, usul undi tidak percaya yang disuarakan bagi menurunkan Dato’ Sri Najib sebenarnya adalah satu strategi politik yang boleh dilihat daripada dua perspektif yang berbeza. Pertama, bagi Barisan Nasional khususnya UMNO, sama ada usul undi tidak percaya akan dapat menurunkan Najib atau tidak, kedua-duanya sebenarnya akan merugikan UMNO. Ini kerana usul undi tidak percaya terhadap Dato’ Sri Najib akan menambah parahkan lagi perpecahan dalam UMNO. Bukan mudah untuk mencapai satu kesepakatan ahli-ahli Parlimen UMNO yang mewakili 88 kerusi daripada 133 kerusi Parlimen yang dimenangi oleh Barisan Nasional pada PRU13 yang lepas. Realiti sekarang jelas menunjukkan masih ramai ahli-ahli Parlimen UMNO yang begitu kuat mempertahankan Dato’ Sri Najib. Ditambah pula tiada jaminan yang jelas daripada pihak pembangkang bahawa mereka akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Dato’ Sri Najib.

Manakala, dari perspektif pembangkang pula asasnya ialah perpecahan yang berlaku dalam Barisan Nasional serta kekalnya Dato’ Sri Najib sebagai Perdana Menteri sehingga ke PRU14 adalah satu kelebihan kepada mereka. Oleh itu, dari segi strategi politik pihak pembangkang tentunya lebih mengharapkan agar Dato’ Sri Najib akan terus kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia sehingga PRU14. Ini kerana, tanpa perlu menyokong undi tidak percaya tetapi hanya membiarkan orang-orang penting dalam UMNO terus menerus mendesak agar Dato’ Sri Najib berundur sudah cukup untuk menyebabkan UMNO semakin berpecah.

Sebenarnya bagi pihak UMNO cara yang paling ideal untuk menyelesaikan masalah mereka ialah dengan cara Dato’ Sri Najib meletakkan jawatan secara ‘paksa-rela’ tanpa perlu melakukan undi tidak percaya di parlimen. Cara ini bukan sahaja dapat menggelakkan perpecahan menjadi semakin bertambah parah dalam UMNO tetapi juga akan memudahkan penganti Dato’ Sri Najib merangka strategi bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada Barisan Nasional. Inilah sebenarnya yang sedang dilakukan oleh Tun Mahathir dan pemimpin-pemimpin UMNO sependapat dengan beliau.   Cadangan undi tidak percaya yang turut disuarakan oleh Tun Mahathir hanyalah merupakan antara cara yang dilakukan oleh beliau untuk terus memberikan tekanan kepada Dato’ Sri Najib agar meletakkan jawatan secara ‘paksa-rela’.

Anda Mungkin Juga Meminati :

Tuesday 4 August 2015

Kabinet Baru Dato' Sri Najib


Walaupun rombakan kabinet bukan perkara yang asing dalam politik Malaysia dan merupakan hak Perdana Menteri yang dijamin oleh perlembagaan, namun rombakan kali ini tidak dapat lari daripada hakikat bahawa ianya dilakukan ketika kedudukan Dato' Sri Najib sebagai Perdana Menteri berada dalam keadaan yang sangat goyah. Ini ekoran daripada tekanan yang beliau hadapi daripada beberapa isu khususnya yang berkaitan dengan isu 1MDB dan dakwaan penyaluran wang sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi beliau. Dan sama ada ianya berlaku secara kebetulan atau dirancang, pelantikan 4 orang ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) termasuk Pengerusinya iaitu Datuk Nur Jazlan Mohamed ke dalam kabinet yang baru secara tidak langsung telah menyebabkan siasatan yang sedang rancak dijalankan ke atas 1MDB berada dalam keadaan yang tidak menentu.

Menurut Nur Jazlan semua prosiding yang telah diatur termasuk memanggil orang penting dalam isu 1MDB iaitu Bekas CEO 1MDB Datuk Shahrol Halmi dan Presiden 1MDB ketika ini iaitu Arul Kanda Kandasamy untuk menghadap PAC yang dijadualkan pada Ogos akan ditangguhkan sehingga barisan PAC baharu dilantik pada sidang Dewan Rakyat akan datang. Plot cerita isu 1MDB ini mungkin menjadi semakin bertambah rumit untuk didigest oleh pihak atau rakyat biasa yang menyokong atau sekurang-kurangnya berpendirian bahawa isu 1MDB hanyalah satu propaganda atau usaha pihak-pihak tertentu untuk menjatuhkan Dato' Sri Najib. Ini kerana, isu RM2.6 billion dimasukkan ke dalam akaun peribadi Dato' Sri Najib sudah ada beberapa penafian tidak konsisten daripada menteri-menteri Dato' Sri Najib sendiri. Apabila isu itu timbul, dikatakan ianya adalah fitnah, tidak munasabah Dato' Sri Najib berbuat demikian dan macam-macam lagi. Kini, beberapa orang menteri dalam kabinet baru Najib menyatakan pula bahawa tidak salah untuk mana-mana parti politik menerima dana daripada luar dan terdapat peruntukan dalam perlembagaan UMNO yang membenarkan presiden parti mempunyai akaun amanah bagi pihak parti.

Penamatan perkhidmatan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail atas ‘sebab-sebab kesihatan’ ketika beliau sedang mengetuai pasukan petugas khas pelbagai agensi dalam siasatan berkaitan isu penyalahgunaan dana dan 1MDB tentunya menambahkan lagi kerumitan untuk menyimpulkan bahawa isu 1MDB hanya satu propaganda atau mainan persepsi. Setelah bermacam-macam penafian dan pembelaan dilakukan oleh menteri-menteri Dato' Sri Najib, terbaru, pihak SPRM telah mengeluarkan kenyataan bahawa dana sebanyak RM2.6 billion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi  Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah sumbangan penderma, bukannya dari dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB). Ketika berita tersebut hangat diperkatakan, dilaporkan pula bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM iaitu Tan Sri Abu Kassim Mohamed diarahkan untuk bercuti. Berita ini tentunya akan menambahkan lagi kepeningan dan kerisauan rakyat Malaysia memikirkan masa depan negara yang diurus oleh Dato' Sri Najib bersama-sama dengan para menterinya.

Sama ada Dato' Sri Najib dan para menterinya sedar atau tidak, secara keseluruhannya rakyat daripada pelbagai lapisan golongan sebenarnya  sudah semakin hilang keyakinan dan mula memandang rendah terhadap keupayaan dan kredibiliti mereka dalam menguruskan pentadbiran negara. Keadaan ini tentunya boleh sahaja menimbulkan ketidakpercayaan dan rasa tidak hormat rakyat terhadap institusi-institusi kerajaan yang berperanan menjaga ketenteraman dan kestabilan pentadbiran negara. Apabila keadaan ini menjadi semakin bertambah parah dan tidak terkawal, maka ianya boleh mengundang rasa tidak puas hati rakyat terhadap apa sahaja keputusan dan tindak-tanduk yang dilakukan oleh Dato' Sri Najib dan para menterinya. Rasa tidak puas hati rakyat yang tidak terkawal tentunya boleh mencetuskan keadaan negara yang tidak stabil seperti yang pernah berlaku di negara-negara lain seperti Indonesia, Thailand dan di beberapa buah negara Timur Tengah. Rasa tidak tidak puas hati rakyat terhadap pemerintah di negara-negara tersebut akhirnya diterjemahkan dengan kebangkitan menjatuhkan kerajaan dan digantikan dengan kerajaan yang lain.

Namun, setelah beberapa tahun kerajaan baru mentadbir, tiada perubahan yang mengarah kepada kehidupan yang lebih baik di negara-negara tersebut. Ini kerana perkara utama yang menimbulkan telah menimbulkan pelbagai masalah dalam kehidupan tetap tidak berubah walaupun pemerintah/kerajaannya telah berubah. Perkara utama yang dimaksudkan ialah sistem pemerintahan. Perubahan hakiki yang dapat menjamin kehidupan yang lebih baik adalah dengan cara mengantikan segala sistem pemerintahan ciptaan manusia kepada sistem pemerintahan yang diturunkan oleh Allah SWT. (Baca :Perubahan Hakiki Perlu Dilakukan Jika Inginkan Kehidupan Yang Lebih Baik ).



Anda Mungkin Juga Meminati