Tuesday 29 April 2014

Isu Hudud Dalam Demokrasi

Melaksanakan hudud dalam perundangan bernegara umat Islam merupakan kewajipan yang telah dijelaskan dengan nas yang qath’ie (muktamad). Kewajipan melaksanakannya adalah sama seperti kewajipan solat, puasa, membayar zakat dan lain-lain lagi. Tidak melaksanakan hudud hukumnya adalah berdosa sama seperti berdosannya meninggalkan kewajipan mendirikan solat, puasa dan membayar zakat.

Namun, perlu difahami bahawa hudud adalah undang-undang yang mesti dilaksanakan dalam bentuk bernegara bukannya secara berkelompok atau per individu. Negaralah yang berkewajipan untuk menerapkannya sebagai sebuah undang-undang negara. Umat Islam pada hari ini harus menyedari bahawa pelaksanaan hukuman hudud secara sempurna seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT tidak  mungkin akan dapat dilaksanakan dalam sebuah pemerintahan yang bukan Islam, hanya dengan sebuah sistem pemerintahan Islam hudud dapat dilaksanakan secara sempurna seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Oleh itu, adalah sesuatu yang tidak menghairankan apabila pada hari in tokoh-tokoh agama termasuk yang berada di Malaysia memberi bermacam-macam justifikasi ‘ilmiah’ mengapa hudud tidak dapat dilaksanakan, kerana asas mereka berfikir atau berhujah adalah bagaimana untuk melaksanakan hudud dalam konteks pemerintahan demokrasi. Sesiapa pun yang mengkaji struktur pemerintahan dan perundangan di Malaysia, sudah pasti akan dapat memahami dengan jelas bahawa, dengan struktur pemerintahan dan perundangan yang sedia ada di Malaysia adalah sesuatu yang mustahil untuk hudud diterapkan secara sempurna sebagai undang-undang negara seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT, sama seperti mereka melihat adalah mustahil untuk menanam buah epal di Dataran Kelantan. Namun, pada masa yang sama, tokoh-tokoh agama tersebut juga mengetahui bahawa melaksanakan hudud adalah merupakan kewajipan yang  sangat jelas di dalam Islam.

Oleh itu, lahirlah bermacam-macam justifikasi ‘licik’ untuk mengkompromikan pelaksanaan hudud yang telah diwajipkan oleh Allah dengan sebuah pemerintahan demokrasi yang tidak memungkinkan terlaksananya penerapan hukuman hudud secara sempurna. Antaranya :

1.     Hudud tidak boleh dibuat kerana keadaan tidak kondusif.

Mereka berhujah bahawa, suasana atau keadaan yang kondusif perlu dipersiapkan sebelum hudud dapat dilaksanakan. Hujahnya adalah berdasarkan ketika tindakan Khalifah Umar Al-Khattab yang tidak menghudud pencuri ketika berlaku musim kemarau. 

Ada banyak persoalan yang perlu dibahaskan daripada hujah tersebut, pertama, apakah ukuran yang digunakan untuk mengukur keadaan atau suasana yang kondusif ? Kedua, sebenarnya undang-undanglah yang mengubah suasana, sama ada menjadi suasana yang baik atau tidak bergantung kepada keberkesanan undang-undang yang diterapkan. Misalnya jika undang-undang di Malaysia memberi pengiktirafan kepada golongan LGBT seperti yang dituntut oleh COMANGO, maka, semakin berleluasalah aktiviti-aktiviti golongan tersebut di Malaysia. Untuk mencegah dan menghapuskan terus golongan tersebut perlu ada undang-undang yang berkesan. Oleh itu, sebenarnya hujah yang menyatakan perlu ada suasana yang kondusif sebelum diterapkan hudud adalah hujah yang berdasarkan khayalan semata, yang tidak ada asas langsung.

Berbalik kepada peristiwa zaman Khalifah Umar Al-Khattab. Perlu difahami dengan jelas bahawa, pertama, pencuri tidak dihudud dalam peristiwa tersebut bermaksud pencuri tersebut  tidak dihukum dengan apa-apa hukum yang lain. Bukannya oleh kerana keadaan tidak kondusif maka pencuri tidak dihudud dan Khalifah Umar menghukum pencuri tersebut dengan hukuman lain. Pencuri tersebut tidak dihudud bermakna dia tidak dikenakan dengan apa-apa hukuman.

Berbeza dengan realiti pada hari ini, hudud tidak boleh dilaksanakan dengan alasan keadaan tidak kondusif tetapi pencuri dikenakan dengan hukuman yang lain,  iaitu hukuman berdasarkan Common Law. Sepatutnya, jika tokoh agama tersebut benar-benar ingin menggunakan alasan seperti peristiwa zaman Khalifah Umar, maka tokoh agama tersebut perlu menjelaskan kepada pemerintah pada hari ini, jangan dihukum para pencuri kerana keadaan dan suasana sekarang tidak kondusif, bebaskan mereka yakni para pencuri.

Apa yang menghairankan ialah bagaimana peristiwa yang terjadi pada Zaman Khalifah Umar AL-Khattab tersebut dengan mudah-mudah disimpulkan bahawa Khalifah Umar menangguhkan hudud kerana keadaan tidak kondusif ? Walhal, hukuman hudud tidak dijatuhkan kepada pencuri pada masa tersebut kerana tidak memenuhi syarat-syaratnya, sama seperti kaum wanita datang haid, tidak wajib keatas mereka untuk menunaikan kewajipan solat. Bukan bererti kewajipan solat ke atas wanita ditangguhkan. 

Kedua, bagaimana dengan kesalahan-kesalahan hudud yang lain seperti zina, minum arak, murtad dan yang lain-lain, apa pula ukuran kondusif nya ?

2. Hudud tidak dapat dijalankan di Malaysia kerana rakyat Malaysia tidak mengetahui tentang hudud.

Pihak yang perlu mengetahui dengan terperinci tentang segala perkara-perkara yang berkaitan dengan pelaksanaan undang-undang hudud ialah para pemerintah dan hakim serta para ulama/ilmuan Islam. Rakyat biasa cukup sekadar mengetahui  bahawa murtad, zina , mencuri, minum arak itu adalah haram. Apa yang dimaksudkan dengan mengetahui bukannya seseorang itu perlu tahu perkara-perkara yang berkaitan rukun dan syarat potong tangan atau sebat, tetapi cukup sekadar tahu keharaman perbuatan tersebut.

Dalam hal ini, sekali lagi kita lihat sikap hipokrasi dan penolakan secara ‘halus dan ilmiah’ oleh golongan yang mempertahankan pemerintah yang tidak menerapkan hudud dengan alasan ramai rakyat Malaysia tidak mengetahui tentang hudud. Apakah mereka tidak menyedari bahawa kebanyakkan rakyat Malaysia sendiri tidak mengetahui dengan terperinci tentang undang-undang berdasarkan Comman Law yang sedang dilaksanakan dalam kehidupan kita? Namun undang-undang berdasarkan Comman Law tersebut tetap juga dilaksanakan. Bahkan hakikatnya tokoh agama yang membawa hujah sedemikan, juga akan memerlukan khidmat peguam jika mereka terbabit dengan sebarang kes sama ada kes sivil ataupun jenayah, ini sesuatu yang normal dalam mana-mana tamadun manusia.

Dalam sejarah Islam sendiri jelas menunjukkan undang-undang Islam akan terus diterapkan di wilayah-wilayah yang baru dibuka sama ada melalui jihad atau pun tanpa melalui jihad. Tidak timbul soal rakyat dalam wilayah yang baru dibuka perlu mengetahui terlebih dahulu tentang hudud sebelum boleh diterapkan undang-undang hudud. Dapat diperhatikan bahawa tokoh-tokoh agama yang membawa hujah seperti di atas, berhujah dengan cara asal dapat membela pemerintah yang tidak menerapkan hudud tanpa memahami apa yang mereka sendiri perkatakan. Ini kerana mereka berhujah dalam kerangka ingin mempertahankan kemungkaran yang sedang dilakukan oleh pemerintah bukannya dalam kerangka bagaimana pemerintah harus untuk melaksanakan kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Maka sebab itulah keluar bermacam-macam hujah yang tidak konsisten dan tidak kena pada tempatnya. Sedangkan, Islam datang untuk membimbing atau memandu bagaimana untuk kita bertindak atau bertingkah laku. Dengan kata lain, sebelum melakukan sesuatu perkara perlu difahami terlebih dahulu hukum-hakamnya di dalam Islam dan bukannya menggunakan Islam untuk menjustifikasikan segala tindakan yang telah atau sedang dilakukan.

Bagi pihak yang tengelam timbul - tengelam timbul dalam memperjuangkan hudud, harus memuhasabah diri tentang bagaimana hudud dapat dilaksanakan secara sempurna seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT. Ini kerana, hudud adalah salah satu daripada undang-undang di dalam Islam, undang-undang lain seperti takzir dan qisas juga wajib diperjuangkan sama seperti hudud. Apa yang perlu difikirkan ialah jika diandaikan seperti sebuah tiang, sistem perundangan Islam (hudud, qisas, takzir) adalah salah satu tiang-tiang yang mesti ditegakkan bersama-sama dengan tiang-tiang yang lain seperti sistem ekonomi, sistem pendidikan, sistem pergaulan dan lain-lain lagi.

Uniknya sistem-sistem tersebut, ianya tiada yang lebih tinggi atau lebih rendah berbanding dengan yang lain tetapi ianya saling mengukuhkan antara satu dengan yang lain. Mengabaikan salah satu daripadanya akan mencacatkan atau merosakkan keseluruhan sistem Islam. Maka, sistem Islam itu harus ditegakkan secara keseluruhan tanpa memilih-milihnya mengikut kehendak hawa nafsu dengan alasan sistem Islam harus ditegakkan secara bertahap-tahap (taddaruj) Baca : Tadarruj: Dalih untuk menuruti hawa nafsu

Akhir sekali, tiang-tiang tersebut hanya dapat ditegakkan pada tapak yang telah ditetapkan oleh Allah iaitu Negara Islam. Tanpa Negara Islam, hudud dan sistem-sistem Islam yang lain tidak akan dapat ditegakkan secara sempurna. Oleh itu, laksanakanlah kewajipan menegakkan segala sistem yang telah diperintahkan oleh Allah SWT dengan menegakkan semula Negara Islam yang telah diruntuhkan pada 3 Mac 1924.


Artikel Berkaitan


Monday 28 April 2014

Pandangan Terhadap Isu Semasa

Tajuk : Pandangan Terhadap Isu Semasa
Tempoh Kajian : 11 - 18 April 2014
Bilangan Responden : 61 Orang
Kaedah Kajian : Soalselidik atas talian

Hasil Kajian











Perbandingan pandangan terhadap isu yang dibangkitkan antara responden yang menyertai Parti Politik/Jemaah dengan responden yang tidak menyertai mana-mana Parti Politik/Jemaah.








Saturday 26 April 2014

Lawatan Obama Ke Malaysia : Umat Islam Mampu Menolaknya, Jika…..




Persoalan penting yang perlu dirungkai terlebih dahulu untuk memahami secara menyeluruh mengenai lawatan Presiden Amerika Syarikat iaitu Barack Obama ke Malaysia ialah : Adakah Kerajaan Amerika Syarikat yang lebih memerlukan Malaysia atau Kerajaan Malaysia yang sebenarnya lebih memerlukan Amerika Syarikat ?

Jika dilihat dari aspek ekonomi, Amerika Syarikat merupakan rakan dagang kelima terbesar bagi Malaysia. Jumlah dagangan Malaysia dengan Amerika Syarikat dari tahun 2011 hingga 2013 adalah sekitar US$ 40 billion, walaupun merosot sedikit pada tahun 2012 kesan kegawatan ekonomi yang dialami oleh Amerika Syarikat. Hubungan dagang antara Malaysia dengan Amerika Syarikat memihak kepada Malaysia, dimana jumlah eksport Malaysia ke Amerika Syarikat adalah lebih besar berbanding dengan jumlah eksport Amerika Syarikat ke Malaysia.  Amerika Syarikat juga merupakan pelabur asing terbesar di Malaysia dengan nilai pelaburan melebihi US$10 dan menawarkan kira - kira 150 000 peluang pekerjaan kepada pasaran buruh Malaysia khususnya dalam sektor perkilangan, perbankan serta sektor minyak dan gas. Oleh itu, jika Amerika Syarikat mengalami masalah kemerosotan ekonomi, ianya akan turut memberikan kesan secara langsung kepada ekonomi Malaysia.

Dari segi hubungan keselamatan, Malaysia dan Amerika Syarikat sebenarnya mempunyai hubungan ketenteraan yang sangat baik dan akrab. Latihan ketenteraan bersama telah dilakukan sejak tahun 60-an lagi dan diperkukuhkan dengan penambahan lebih banyak lawatan kapal, lawatan kakitangan, lawatan orang kenamaan, persidangan anjuran bersama, latihan dua hala serta pelbagai perkongsian kepakaran.

Keakraban kerjasama ketenteraan Malaysia dengan Amerika Syarikat boleh dilihat dengan adanya Pejabat Kerjasama Pertahanan (Office of Defence Cooperation, ODC) yang berperanan menguruskan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan soal kerjasama keselamatan/ketenteraan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat.

Antara peranan yang dimainkan oleh ODC ialah mengurus dan menyokong Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi pemerolehan peralatan, perkhidmatan dan latihan pertahanan daripada Amerika Syarikat. Penjualan Ketenteraan Asing terbesar dan teraktif yang dilakukan oleh ODC adalah program yang dinamakan dengan F/A-18 “Hornet”. Dibawah program ini kerajaan Malaysia telah menandatangani perjanjian dengan Syarikat Boeing Aerospace Amerika Syarikat untuk pembelian pesawat F/A-18D Hornet ‘Multi Role All Weather Aircraft’ pada tahun 1993 dan 4 buah pesawat tempur tersebut telah selamat tiba di Malaysia pada tahun 1997 yang berperanan menjaga keselamatan ruang udara Malaysia.


Selain itu, setiap tahun ODC menyelaras dan menyokong lebih kurang 14 hingga 16 latihan dua hala dan pelbagai hala antara Tentera Amerika Syarikat dengan Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia dengan tujuan menggalakkan kebolehoperasian dan kerjasama.  Antara latihan-latihan tersebut adalah CARAT (Cooperation Afloat Readiness and Training), Cope Taufan, Keris Strike, Air Warrior, dan Latihan Pertukaran Bersama. Disamping itu, seramai lebih kurang 70 orang kakitangan Kementerian Pertahanan Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia dihantar setiap tahun untuk mengambil bahagian dalam persidangan dan seminar yang dianjurkan oleh Amerika Syarikat.


Sebenarnya ada banyak lagi fakta-fakta yang boleh dirungkaikan berkaitan dengan hubungan antara Malaysia dan Amerika Syarikat.  Fakta-fakta tersebut perlu diketahui agar situasi/reality sebenar sesuatu isu seperti kedatangan Obama ke Malaysia dapat difahami dengan jelas. Fakta-fakta sedemikian juga akan dapat untuk membantu bagi memahami disebalik tindak-tanduk yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin negara terutamanya para pemimpin umat Islam terhadap setiap isu yang berlaku.

Hakikatnya walaupun penjajahan secara fizikal tidak lagi berlaku seperti era kolonialisme barat, namun kuasa-kuasa barat khususnya Amerika Syarikat terus mencengkam negara-negara kecil seperti Malaysia dengan dua perkara iaitu ekonomi dan kerjasama keselamatan/ketenteraan.   Dengan kemajuan sains dan teknologi serta kekuatan kewangan/modal yang dimiliki oleh Amerika Syarikat, ianya telah digunakan sebagai senjata yang cukup berkesan untuk meletakkan ekonomi Malaysia terpaksa sentiasa bergantung hayat kepada Amerika untuk terus hidup. Negara seperti Malaysia terpaksa sentiasa menagih belas kasihan dan ehsan daripada kemajuan sains dan teknologi serta kekuatan kewangan yang dimiliki oleh Amerika Syarikat untuk melangsungkan kehidupan ekonomi Malaysia. Hal ini sudah pasti akan menyebabkan Malaysia untuk sentiasa berusaha sebaik mungkin  menjaga hubungan baiknya dengan Amerika Syarikat agar belas kasihan dan ehsan Amerika sentiasa tercurah kepada Malaysia. 


Cengkaman terhadap ekonomi sesebuah negara boleh terlepas jika tidak disertai sekali dengan cengkaman terhadap keselamatan/kekuatan ketenteraan. Cengkaman terhadap keselamatanlah yang akan menjamin cengkaman terhadap ekonomi sesebuah negara akan dapat diteruskan. Oleh yang demikian, kita boleh dapati di mana-mana pelusuk dunia Amerika mempunyai cengkaman ataupun pengaruh yang cukup kuat terhadap soal keselamatan/ketenteraan sesebuah negara termasuklah Malaysia. Negara seperti Jepun dan Korea Selatan yang mempunyai ekonomi yang cukup kuat, namun kedua-duanya tetap sahaja berada dibawah pengaruh dan telunjuk Amerika kerana keselamatan/ketenteraan kedua-dua negara tersebut berada dibawah cengkaman Amerika.

Oleh yang demikian, hakikatnya kebanyakkan negara yang ada di dunia termasuklah Malaysia masih lagi dijajah dalam bentuk penjajahan moden. Umat Islam boleh mengamalkan ajaran Islam tetapi dalam batas-batas yang ditetapkan oleh Undang-undang dan Nilai-nilai Antarabangsa. Umat Islam boleh mengamalkan ajaran Islam yang terkandung di dalam Al-Quran dan As Sunnah tetapi mesti tidak bertentangan dengan Undang-undang dan Nilai-nilai Antarabangsa. Umat Islam boleh memperjuangkan hak dan kebebasan mereka tetapi mestilah berdasarkan lunas-lunas yang ditetapkan oleh Undang-undang Antarabangsa yang berada dibawah PBB. PBB yang menjadi kuda tunggang Amerika Syarikat untuk terus mencengkam negara-negara lain termasuklah negara-negara umat Islam.

Satu-satunya jalan keluar yang ada pada umat Islam untuk membebaskan diri daripada cengkaman Amerika yang merupakan musuh utama dan pembunuh ratusan ribu umat Islam ialah umat Islam perlu kembali kepada Identiti Islam dengan cara mengembalikan semula kehidupan Islam. Kehidupan Islam yang merangkumi semua aspek yang dilaksanakan dalam bentuk bernegara. Islam mempunyai caranya tersendiri bagaimana untuk menguruskan ekonomi dan soal keselamatan yang bukan hanya bebas daripada cengkaman kuasa-kuasa asing seperti Amerika Syarikat, tetapi juga akan mampu mencabar dan seterusnya mengalahkan kekuatan ekonomi dan ketenteraan yang dimiliki oleh Amerika. Cabaran utama untuk umat Islam kembali kepada kehidupan Islam ialah membebaskan pemikiran umat Islam daripada Mentaliti Hamba (Baca : Misi Perang Pemikiran untuk Membebaskan ‘Mentaliti Hamba’). Mentaliti Hamba yang mencengkam pemikiran umat Islamlah yang menyebabkan umat Islam sendiri tidak yakin dengan keupayaan dan kemampuan ajaran Islam untuk menguruskan seluruh aspek kehidupan dalam bentuk bernegara.

Oleh itu, kedatangan Barack Obama selaku President negara yang menjadi musuh utama umat Islam ke negara-negara umat Islam termasuklah Malaysia dapat ditolak jika umat Islam kembali kepada Identiti Islam berdasarkan cara hidup Islam dalam bentuk bernegara. Tolak Obama dengan cara mengembalikan semula cara hidup Islam di bawah naungan Daulah Khilafah.

Anda Juga Mungkin Meminati :

1. Politik Malaysia : What’s Next?  
2. Ancaman COMANGO Terhadap Islam Di Sebalik Perjuangan Hak Asasi Manusia

Saturday 19 April 2014

Pelaksanaan Hukum Hudud Di Malaysia : Cabaran Dari Segi Undang-undang



Terdapat beberapa buah negara-negara umat Islam yang telah atau pun pernah melaksanakan undang-undang hudud sama ada pelaksanaannya secara menyeluruh dalam sebuah negara seperti Arab Saudi, Pakistan, Sudan dan Iran ataupun pelaksanaannya hanya di beberapa buah negeri sahaja seperti negara Nigeria. Manakala kerajaan Brunei baru sahaja muncul sebagai negara pertama di Asia Timur yang melaksanakan hukum hudud. Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar'iah yang merangkumi pelaksanaan hukum hudud dan qisas di Brunei telah diwartakan pada 22 Oktober 2013 dan penguatkuasaannya akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dari Mei 2014.

Berdasarkan negara-negara yang disebutkan di atas, Malaysia mempunyai kesamaan sistem pemerintahan yang diamalkan oleh negara Nigeria iaitu Pemerintahan Persekutuan yang memperuntukkan bidang kuasa Kerajaan Pusat dan bidang kuasa Kerajaan Negeri. Dalam Pemerintahan Persekutuan yang diamalkan di Malaysia, undang-undang tertinggi adalah Perlembagaan Persekutuan, dimana Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara dan sebarang undang-undang yang tidak seiring dengannya adalah tidak sah. 

Oleh itu, walaupun hukum hudud dipentuntukan dalam undang-undang Islam yang berada dibawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, namun sebarang undang-undang yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri adalah terhad sebatas peruntukan yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tersebut mestilah konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan bidang kuasa yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, undang-undang hudud yang tertakluk dalam Undang-undang Syariah adalah berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri melalui Dewan Undangan Negeri. Dengan kata lain, undang-undang hudud yang ingin dilaksanakan di Malaysia bukannya di peringkat Kerajaan Persekutuan tetapi pelaksanaanya adalah hanya boleh dilakukan  diperingkat kerajaan Negeri sahaja. Jika kesemua ahli-ahli Parlimen yang beragama Islam bergabung dan berjaya membentuk Kerajaan Pusat dengan majoriti ⅔ sekalipun, hudud tidak boleh diterapkan di peringkat Kerajaan Pusat (Dilaksanakan secara menyeluruh di kesemua negeri yang ada di Malaysia) kerana tiada peruntukan Undang-undang Syariah yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada Kerajaan Pusat, ianya hanya diberikan kepada Kerajaan Negeri sahaja. Kuasa majoriti yang dimiliki di peringkat Kerajaan Pusat hanya boleh digunakan untuk meminda undang-undang yang bagi memberikan kuasa yang mencukupi kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan undang-undang Syariah termasuklah hukum hudud.

Oleh yang demikian, hasrat Kerajaan Negeri Kelantan berdasarkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 untuk melaksanakan hukum hudud yang dilakukan melalui saluran demokrasi adalah dibenarkan dalam Perlembagaan Persekutuan jika ianya hanya dilaksanakan di negeri Kelantan dan hanya terikat kepada orang Islam sahaja. Namun, sebelum ianya dapat dilaksanakan terdapat pindaan yang perlu dilakukan di dalam Perlembagaan Persekutuan bagi meluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang kini hanya berkuasa sebatas menjatuhkan hukuman dengan had tidak melebihi 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan atau 6 kali sebatan. Pindaan yang perlu dilakukan ialah dengan memperuntukkan kuasa yang lebih luas kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan hukuman hudud. Pindaan tersebut perlu dilakukan di Dewan Rakyat dengan sokongan ⅔ undi daripada penggubal undang-undang iaitu ahli-ahli Parlimen.

Maka sebab itulah walaupun Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Kelantan sejak tahun 1993 lagi namun hukum hudud tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan di Negeri Kelantan kerana kekangan peruntukan undang-undang yang sedia ada di dalam Perlembagaan Persekutuan. Pengerusi Jawatakuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 yang juga merupakan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyatakan persediaan untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan terhad kepada soal infrastruktur sahaja, sebaliknya masih banyak yang perlu dilakukan dalam soal perundangan.

Artikel Berkaitan: