Thursday 5 May 2016

Analisis Pilihanraya Negeri Sarawak Ke 11



Sarawak masih merupakan negeri yang menjadi kubu kuat Barisan Nasional di peringkat kerajaan persekutuan mahupun di peringkat kerajaan negeri. Ini terbukti pada PRU 13 yang lepas, di mana Sarawak menjadi penyumbang terbesar kerusi parlimen iaitu sebanyak 25 kerusi daripada 133 kerusi yang dimenangi oleh Barisan Nasional. Manakala pada PRN 10 Sarawak yang diadakan pada tahun 2011, Barisan Nasional yang ketika itu diketuai oleh Tan Sri Abdul Taib Mahmud masih tetap dapat mengekalkan kemenangan dengan majoriti ⅔  walaupun parti-parti pembangkang mempunyai kerjasama yang sangat kuat serta mempunyai banyak modal politik untuk menyerang pentadbiran Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Maka, berdasarkan sejarah pilihan raya dan perkembangan politik semasa Sarawak di bawah pentadbiran Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem ketika ini, Barisan Nasional masih mempunyai peluang yang sangat cerah untuk menang dengan majoriti ⅔ daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRN Sarawak yang bakal diadakan pada 7 Mei nanti.

Sebenarnya bagi Barisan Nasional, PRN Sarawak kali ini bukanlah perjuangan untuk mengekalkan pentadbiran kerajaan Negeri Sarawak dibawah teraju kerajaan Barisan Nasional ataupun untuk menang dengan ⅔ majoriti. Ini kerana, berdasarkan geopolitik dan perkembangan politik semasa negeri Sarawak, Barisan Nasional Sarawak di bawah teraju Tan Sri Adenan Satem tidak mempunyai masalah untuk memenangi sekurang-kurangnya 62 kerusi dalam PRN Sarawak bagi membentuk kerajaan dengan mandat ⅔ majoriti. Apa yang menjadi ujian sebenar bagi Barisan Nasional dalam PRN Sarawak kali ini ialah, pertama, sejauh mana populariti yang dimiliki oleh  Tan Sri Adenan Satem dapat menambat semula hati pengundi-pengundi bandar khususnya masyarakat cina untuk memberi undi kepada Barisan Nasional. Kedua, adakah isu nasional khususnya yang berkaitan dengan pelaksanaan GST dan skandal kewangan yang sedang dihadapi oleh Datuk Seri Najib Razak memberi kesan kepada sokongan rakyat Sarawak terhadap Barisan Nasional.

Selain daripada feel-good faktor yang dimiliki oleh Adenan Satem apabila mengantikan teraju kerajaan negeri Sarawak selama 33 tahun oleh Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri. Pendekatan politik Adenan Satem yang sangat pro kepada kehendak dan tuntutan rakyat Sarawak khususnya dalam soal hak autonomi serta bersifat lebih terbuka dan mesra kepada parti-parti pembangkang di Sarawak telah menyebabkan populariti beliau meningkat naik daripada rating popular 71% pada bulan januari tahun lepas kepada 85% ketika ini. Oleh itu, Barisan Nasional sangat mengharapkan bahkan Adenan Satem sendiri berulang kali menyeru agar pengundi-pengundi Sarawak akan memberikan kemenangan besar kepada Team  Adenan. Bukan kemenangan dengan majoriti ⅔ yang Barisan Nasional dan beliau inginkan, tetapi kemenangan besar dengan memenangi sekurang-kurangnya 70 kerusi dan berlaku peningkatan dalam undi popular daripada 55 peratus pada PRN 2011 kepada peratus yang lebih tinggi. Bahkan, untuk mencapai sasaran tersebut, Adenan Satem sering kali menegaskan bahawa beliau akan dapat menuntut banyak perkara untuk rakyat Sarawak daripada pentadbiran Putrajaya sekiranya beliau mendapat mandat yang besar  dalam PRN kali ini. Jika Team Adenan tidak mencapai sasaran tersebut, hakikatnya beliau telah gagal dan populariti yang dimiliki oleh beliau tidak mencukupi untuk menambat semula hati pengundi-pengundi cina yang tinggal di bandar.

Barisan Nasional ataupun Team Adenan sebenarnya tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan dominasi mereka terhadap kerusi yang terletak di luar bandar. Tetapi yang menjadi masalah utama dan ujian terbesar kepada kepimpinan Adenan Satem ialah untuk merampas semula kerusi yang berada di bandar-bandar daripada DAP dan PKR. Dimana sebelum PRN 10 kerusi-kerusi tersebut secara tradisinya dimiliki oleh komponen Barisan Nasional iaitu SUPP. Pada PRN 10 Sarawak yang lepas DAP dan PKR telah berjaya memenangi 15 kerusi yang majoritinya ialah pengundi Cina yang tinggal di bandar.

Manakala bagi Datuk Seri Najib Razak, beliau harus membuktikan bahawa isu 1MDB, derma RM 2.6 billion serta pelaksanaan GST oleh pentadbiran beliau tidak menjejaskan sokongan rakyat Sarawak terhadap Kerajaan Barisan Nasional yang kini diterajui oleh beliau. Kesungguhan Najib untuk membuktikan hal tersebut sangat terserlah dengan kunjungan rasmi ke negeri Sarawak yang bukan sahaja sudah melebihi 50 kali, tetapi kunjungan beliau sering kali di sertai dengan ‘hadiah istimewa’ untuk rakyat Sarawak. Ini kerana, jika Barisan Nasional tidak memenangi jumlah kerusi yang disasarkan dan terdapat penurunan undi popular khususnya di kawasan luar bandar yang menjadi fixed deposit kepada Barisan Nasional, maka ianya merupakan satu petunjuk yang sangat jelas bahawa isu pelaksanaan GST dan skandal kewangan yang sedang dihadapi oleh Najib sudah menjadi parah yang serius terhadap  Barisan Nasional. Jika rakyat Sarawak yang majoritinya masih lagi tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman boleh terkesan dengan isu nasional dan skandal kewangan yang sedang dihadapi oleh Najib sehingga menjejaskan sokongan terhadap Barisan Nasional, maka sudah tentu kesannya terhadap rakyat Malaysia yang berada di semenajung jauh lebih kuat.

Bagi parti-parti pembangkang pula, populariti yang dimiliki oleh Adenan Satem dan perbalahan yang berlaku dalam parti-parti pembangkang sedikit sebanyak menjejaskan peluang mereka untuk menambahkan bilangan kerusi yang mereka menangi pada PRN 10 yang lepas. Tambahan pula, pada PRN 10 parti-parti pembangkang mempunyai modal politik yang sangat berkesan iaitu menyerang dan membongkar segala kelemahan selama lebih 30 tahun pentadbiran Abdul Taib Mahmud. Namun pada PRN kali ini, mereka tidak mempunyai modal politik yang banyak untuk menyerang pentadbiran Adenan Satem, sebaliknya mereka menggunakan kelemahan pentadbiran kerajaan persekutuan oleh Najib untuk menyerang calon-calon Barisan Nasional. Selain itu, parti pembangkang khususnya DAP cuba memenangi pemikiran pengundi-pengundi Sarawak khususnya masyarakat cina dengan idea check and balance. Bagi DAP, dengan adanya barisan pembangkang yang kuat dalam kerajaan negeri Sarawak, maka check and balance dapat dilakukan dengan berkesan bagi memastikan kerajaan negeri sentiasa menjaga hak dan kebajikan rakyat Sarawak.

Disamping itu, perpecahan SUPP sehingga terbentuknya parti serpihannya iaitu UPP memberikan sedikit kelebihan kepada DAP dan PKR untuk mempertahankan kerusi-kerusi di kawasan majoriti cina yang mereka menangi pada PRN 10. Perbalahan di antara SUPP dan UPP tidak dapat diselesaikan sehinggalah ke saat-saat hari hari penamaan calon, memaksa  Adenan Satem menggunakan kaedah melantik calon langsung Barisan Nasional di kerusi yang menjadi rebutan antara SUPP dan UPP bagi meredakan keadaan.  Walaupun kaedah tersebut berkesan mengelakkan SUPP dan UPP bertanding di kerusi yang sama agar tumpuan sepenuhnya dapat dilakukan untuk mengalahkan calon DAP ataupun PKR, namun unsur undi protes dan sabotaj tetap menjadi halangan terbesar untuk Barisan Nasional memenangi kerusi di kawasan majoriti pengundi cina.

Manakala bagi Parti PAS dan AMANAH, mereka harus menerima hakikat bahawa landskap demokrasi di bumi kenyalang bukan untuk mereka.

Anda Mungkin Juga Meminati :