Sunday 4 October 2015

Isu Perkauman Di Malaysia

Perpaduan kaum merupakan salah satu elemen utama dalam pembentukan negara bangsa Malaysia yang ada pada hari ini.  Pelbagai dasar dan undang-undang telah dirangka oleh British bagi membentuk perpaduan kaum sebelum Tanah Melayu (kini di Malaysia) diberikan kemerdekaan. Bahkan British turut menekankan bahawa tampuk pemerintahan Tanah Melayu akan diserahkan kepada mana-mana parti politik yang dapat membentuk dan mengekalkan perpaduan kaum selepas British keluar dari Tanah Melayu.  Komitmen British untuk membentuk perpaduan kaum sebelum kemerdekaan diberikan kepada Tanah Melayu adalah disebabkan oleh British mempunyai banyak kepentingan ekonomi di Tanah Melayu. Walaupun sebenarnya jurang perkauman yang wujud di Tanah Melayu ketika itu adalah kesan daripada dasar Pecah Dan Perintah yang dilaksanakan oleh British sendiri.

Melalui dasar Pecah dan Perintah (Pengasingan penempatan mengikut kegiatan ekonomi) British dengan mudah dapat mengawal orang melayu, cina dan india agar sentiasa patuh atau tidak menentang penjajah British. Ternyata dasar tersebut telah berkesan mengekalkan penjajahan British di Tanah Melayu selama lebih daripada 100 tahun. Namun setelah tamat perang dunia ke-2, sentimen anti penjajahan semakin memuncak di seluruh dunia, negara-negara yang dijajah oleh kuasa-kuasa Barat masing-masing inginkan kemerdekaan, termasuklah Tanah Melayu.

Bagi tujuan menyiapkan Tanah Melayu menjadi sebuah negara yang merdeka sesuai dengan kehendak dan kepentingan British, maka British perlu membentuk satu rupa bangsa yang baharu bagi Tanah Melayu. Asas kepada rupa bangsa yang baru ini ialah kaum cina dan india mesti menjadi sebahagian daripada penduduk Tanah Melayu. Ini kerana ketika itu, kaum cina dan india bukan sahaja merupakan tenaga kerja yang menjadi tulang belakang kepada sektor-sektor ekonomi yang dimiliki oleh British, tetapi turut menjadi penggerak kepada ekonomi Tanah Melayu. Walaupun perancangan asal British untuk membentuk rupa bangsa yang baharu bagi Tanah Melayu yang dikenali sebagai bangsa Malayan Union gagal ekoran daripada penentangan yang hebat daripada orang melayu, namun British tetap berusaha agar kaum cina dan india dapat menjadi sebahagian daripada penduduk Tanah Melayu.

Maka, bermulalah siri rundingan demi rundingan yang dikendalikan British diantara orang melayu dengan golongan imigran (orang cina dan india) bagi mencari titik persetujuan yang dapat diterima oleh semua pihak. Mencari titik persetujuan inilah yang dikenali sebagai Kontrak Sosial  yang menjadi asas atau kerangka kepada rundingan di antara orang melayu dengan golongan imigran. Bagi golongan imigran ketika itu, perkara yang menjadi keutamaan mereka ialah kewarganegaraan, manakala orang melayu pula, keutamaan mereka ialah pembelaan dan hak keistimewaan dari segi pendidikan, ekonomi, jawatan dalam kerajaan dan pemilikan tanah.

Kontrak sosial yang dilakukan oleh generasi terdahulu, tentunya sangat dipengaruhi oleh tuntutan dan keperluan yang lebih utama ketika itu. Namun, generasi muda yang tidak mempunyai keutamaan seperti generasi terdahulu serta lahir dan membesar dalam dunia yang semakin terbuka tentunya sangat sukar untuk memahami dan menerima kontrak sosial yang telah dilakukan oleh generasi terdahulu. Maka sebab itu, generasi muda kaum cina dan india pada hari ini sering kali mempersoalkan dan mempertikaikan dasar atau undang-undang yang menurut mereka tidak adil kepada semua. Manakala orang melayu pula, yang sudah biasa membesar dengan pelbagai keistimewaan dan bantuan sering kali hilang akal untuk menjelaskan dengan bernas apabila keistimewaan yang mereka miliki dipersoalkan. Dalam pada itu, walaupun orang melayu memiliki pelbagai keistimewaan dan sering mendapat pelbagai bantuan daripada pihak kerajaan, namun tetap sahaja kekayaan ekonomi negara masih dikuasai oleh kaum cina khususnya. Diskriminasi pekerjaan terhadap orang melayu dalam sektor-sektor swasta yang dimiliki oleh kaum cina merupakan sesuatu yang diketahui umum.

Melihat kepada realiti ini sebenarnya masalah perkauman akan sentiasa menjadi isu yang akan terus membelenggu rakyat Malaysia. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan mahu pun oleh parti-parti politik serta badan-badan NGO yang lain bagi memupuk semangat perpaduan antara kaum di Malaysia, namun apa yang pasti, isu perpaduan kaum di Malaysia ketika ini berada pada tahap yang semakin membimbangkan. Kenapa? (Baca : Politik Malaysia : Kenapa Begitu Dan Begini ?)

Anda Mungkin Juga Meminati:

No comments:

Post a Comment