Wednesday, 30 August 2017

Malaysia Menuju PRU14: Bersendirian Atau Bekerjasama ?


Jika pertandingan tiga penjuru terjadi dalam PRU14, ianya sudah pasti akan memberikan sedikit kelebihan kepada Barisan Nasional (BN). Perkara ini merupakan satu hakikat yang memang disedari oleh kedua-dua pihak sama ada pihak Barisan Nasional sebagai parti yang ingin mengekalkan kuasa mahupun pihak pembangkang. Oleh itu, BN yang kini diketuai oleh Dato Seri Najib sudah tentu sangat menginginkan agar pertandingan tiga penjuru benar-benar terjadi dalam PRU14 yang akan datang. Ini kerana, berlakunya pertandingan tiga penjuru merupakan petunjuk bahawa pakatan pembangkang tidak bersatu secara kukuh dan ianya sudah tentu akan memberikan kelebihan kepada BN.


Halangan utama untuk barisan pembangkang membentuk pakatan yang kukuh bagi menghadapi BN dalam PRU14 adalah kerana parti PAS ketika ini tidak berada dalam pakatan yang sama dengan pembangkang. PAS masih lagi mengambil sikap untuk bersendirian, tidak bersama BN dan tidak juga bersama Pakatan Harapan (PH). Namun, PAS juga sedar bahawa bersendirian dalam mengahadapi PRU14 bukanlah strategi yang tepat. Oleh itu, dapat diperhatikan masih ada usaha-usaha yang lakukan oleh kepimpinan PAS untuk menetapkan posisi mereka, sama ada akan bersama BN ataupun PH. Jika PAS berada bersama-sama dengan PH sehingga wujud kesepakatan satu lawan satu di antara  PH dengan BN, maka sudah tentu peluang kemenangan akan berpihak kepada PH.


Oleh itu, Dato Seri Najib dan para pemimpin BN sudah tentu akan berusaha untuk menghalang PAS daripada menyertai atau bekerjasama dengan PH. Namun begitu, BN juga pada hakikatnya tidak ingin PAS bergabung menyertai BN kerana akan menimbulkan masalah besar dari segi pembahagian kerusi dan juga adanya perbezaan ideologi perjuangan. Secara idealnya, BN akan mendapat kelebihan yang besar dalam PRU14 jika PAS kekal dengan pendirian sekarang iaitu bersendirian agar pertembungan tiga penjuru akan terjadi dalam PRU14. Dengan kata lain, BN hanya memerlukan PAS untuk melemahkan barisan pembangkang bukan untuk menguatkan BN.  


Sebelum ini, masih ada usaha yang dilakukan oleh pimpinan PKR untuk mendekati PAS agar kerjasamsa bagi menghadapi PRU14 dapat dilakukan. Namun baru-baru ini, pimpinan PH termasuklah pimpinan PKR akhirnya telah membuat keputusan sebulat suara untuk tidak bekerjasama dengan PAS dan bersedia menghadapi pertandingan tiga penjuru dalamPRU14. Pendirian tersebut terpaksa diambil mungkin kerana pimpinan PH menjangkakan PRU14 sudah semakin hampir dan perlu ada satu halatuju yang jelas bagi mudahkan strategi dapat disusun dengan lebih berkesan. Dengan kata lain, Pakatan Harapan sudah membuat keputusan untuk menghadapi kemungkinan berlakunya pertandingan 3 penjuru diantara 3 pihak yang berpengaruh iaitu BN, PH dan PAS.


Dalam keadaan sedemikian, PAS sudah tentu tidak ingin hanya menjadi pihak yang berperanan sebagai pemecah undi, sebaliknya PAS juga inginkan kemenangan. Namun ianya tentu sahaja  sukar dan mencabar kerana taburan pengundi hampir di setiap kerusi sama ada DUN mahupun Parlimen terdiri daripada pelbagai pengundi yang mempunyai sokongan politik yang berbeza-beza. Maka sebab itu, sejak PRU yang pertama lagi pada tahun 1955, parti yang berjaya meraih menang kebanyakkannya adalah parti yang mengadakan kerjasama dengan parti-parti lain. Berdasarkan rekod sepanjang PRU sebelum ini, PAS  mencapai kemenangan yang lebih baik apabila menjalinkan kerjasama dengan parti-parti lain berbanding bertanding secara bersendirian. Inilah hakikatnya lanskap politik demokrasi di Malaysia yang mesti diakui jika ingin mencapai kemenangan dalam PRU.


Oleh sebab itu, mana-mana parti politik yang bercita-cita untuk memegang tampuk pemerintahan tidak boleh berkeras atau bertegas dengan prinsip perjuangan parti masing-masing, mesti ada sikap tolak ansur dan membuat keputusan bersama-sama secara konsensus. Sikap sedemikianlah yang selama ini diamalkan dalam BN dan begitu jugalah apa yang sedang diamalkan dalam PH ketika ini. Parti Amanah Negara (PAN) walaupun terdiri daripada ramai pemimpinya yang mempunyai latar belakang sebagai pejuang Islam, namun mereka harus mengikut rentak perjuangan yang di persetujui secara bersama-sama oleh PKR, DAP dan PBBM. Oleh itu, mereka tidak mempunyai pilihan lain melainkan perlu mengkompromikan Islam yang ingin mereka perjuangkan dengan perjuangan yang dibawah oleh PKR, DAP dan PBBM.


Maka, bagi PAS, pilihan yang ada adalah sama ada berjuang secara bersendirian atau berkejasama dengan parti-parti yang lain bergantung kepada risiko mana yang ingin diambil. Jika bertanding secara bersendirian, risikonya adalah akan kalah dikebanyakkan kerusi yang telah dimenangi sebelum ini bahkan cengkaman ke atas negeri Kelantan juga berisiko untuk terlepas. Sebaliknya, menjalinkan kerjasama dengan parti-parti politik lain, maka mesti bersedia untuk bertolak ansur dengan prinsip perjuangan. Itu sahajalah pilihan yang ada dalam lanskap politik pilihanraya-demokrasi di Malaysia.


Anda Mungkin Juga Meminati :

Wednesday, 23 August 2017

BREXIT : Hadiah Untuk Warga United Kingdom ?


Keputusan United Kingdom (UK) untuk keluar daripada Kesatuan Eropah(EU) pada Mac 2019 adalah hasil daripada keputusan pungutan suara yang telah dijalankan pada tahun 2016. Hasil pungutan suara tersebut mendapati majoriti warganegara UK iaitu kira-kira 52% telah memilih untuk meninggalkan EU, satu keputusan yang dianggap memeranjatkan bagi banyak pihak. Apatah lagi, pihak yang berkempen agar UK perlu kekal dalam EU adalah perdana Menteri Britain sendiri iaitu David Cameron. Manakala pihak yang mengetuai kempen agar UK keluar dari EU adalah Boris Johnson yang juga merupakan agggota Parti Konservatif pimpinan David Cameron. Namun, kempen untuk UK keluar dari EU telah di semarakkan oleh  Nigel Farage yang merupakan ketua parti  UK Independence Party (UKIP). Gerak kerja kempen Nigel Farage sebenarnya yang telah memberikan sumbangan besar kepada kejayaan UK keluar daripada EU.


Keputusan untuk UK keluar daripada EU yang kini dikenali sebagai Brexit telah membuka perbincangan yang sangat luas di negara-negara eropah khususnya di dalam UK sendiri. Tidak terkecuali juga kepada negara-negara lain termasuklah Malaysia. Fokus utama perbincangan tentulah kepada perkara yang berkaitan dengan kesan Brexit kepada UK, EU dan seterusnya kepada-negara lain. Ini kerana EU yang terdiri daripada 28 buah negara Eropah merupakan satu kerjasama ekonomi yang sangat komprehensif mempunyai pengaruh yang sangat signifikan dalam pentas politik dan ekonomi dunia. Jadi, sebarang perubahan yang berlaku ke atas EU tentunya secara tidak langsung akan turut memberi kesan kepada kebanyakkan negara lain.



Pungutan suara (Referendum) sama ada UK kekal (Remain) atau  keluar (Leave) dari EU diadakan kerana ianya merupakan salah satu janji pilihan raya oleh Parti Kenservatif yang diketuai oleh David Cammeron. Dalam piliharaya umum 2015 David Cameron telah memberikan janji kepada warga UK bahawa satu referundum mengenai kedudukan UK dalam EU akan diadakan sekiranya parti konservatif menang dalam piliharaya umum. Janji tersebut dijadikan bahan untuk meraih undi kerana pada ketika itu, rata-rata warga UK kurang senang dengan keadaan di mana UK terpaksa menanggung banyak beban daripada anggota EU yang sedang dilanda masalah akibat krisis ekonomi.

Krisis ekonomi yang bermula pada tahun 2008 telah menjejaskan ekonomi kebanyakkan negara anggota EU. Ini menyebabkan ramai yang telah migrate ke negara EU yang lain khususnya UK bagi mencari pekerjaan. UK tidak boleh menghalang  atau menutup sempadannya daripada kemasukkan imigran daripada anggota EU kerana ianya merupakan salah satu persetujuan yang termaktub dalam Perlembagaan EU. Kemasukkan beramai-ramai golongan imigran dari negara anggota EU ke UK bukan sahaja menjejaskan peluang pekerjaan warga UK, tetapi juga kerajaan UK terpaksa menanggung perbelanjaan yang tinggi bagi menjaga kebajikan golongan imigran anggota negara EU yang telah bekerja dan menetap di UK.






Berdasarkan analisis pungutan suara yang telah dilakukan, secara umumnya golongan muda dan golongan tua mempunyai aspirasi yang jelas berbeza. Golongan muda yang kebanyakkannya menetap di kota London menginginkan agar UK kekal dalam UE, sebaliknya golongan tua majoritinya terkesan dengan semangat nasionalisme yang di semarakkan oleh kumpulan yang berkempen agar UK keluar dari EU. Slogan seperti ‘I want my country back’ telah berjaya  meniupkan semangat nasionalisme yang menunjukkan seolah-olah UK telah terjajah dalam EU.

Jika dilihat secara keseluruhan, UK sebenarnya mendapat banyak manfaat dalam EU dari segi kebebasan rakyatnya memasuki mana-mana negara EU untuk pelbagai tujuan seperti bekerja, melancong, bahkan menetap. Begitu juga dari segi peluang perdagangan, ianya memberikan banyak manfaat kepada UK, apatah lagi UK merupakan negara maju  yang mempunyai pengaruh yang sangat kuat dalam menentukan halatujuh EU.


Namun ternyata tiupan semangat nasionalisme berjaya menafikan aspirasi golongan muda warga UK yang lebih melihat jauh kehadapan berbanding golongan tua. Akhirnya, keputusan telah dilakukan, dimana UK akan keluar daripada EU, satu keputusan yang tidak boleh lagi ditarik balik. Oleh itu Perdana Menteri UK  yang baharu, Theresa Mary May telah melakukan langkah yang perlu iaitu mengadakan Pilihanraya Umum UK 2017.

Pilihanyara umum tersebut diadakan dengan harapan Parti Konservatif pimpinan Theresa Mary May akan mendapat kemenangan yang besar bagi membentuk kerajaan pemerintah yang kuat. Kerajaan yang kuat sangat penting dalam proses pemerintah UK melakukan rundingan kearah keluarnya UK dari EU. Namun, sekali lagi, keputusan pilihanraya tidak seperti yang diharapkan apabila Parti Konservatif pimpinan Theresa Mary May mengalami kekalahan yang lebih teruk. Ada analisis yang mengatakan, kekalahan tersebut berpunca daripada undi protes oleh golongan muda yang kecewa dengan Brexit.

Keadaan ini menyebabkan UK ketika ini berada dalam detik-detik yang sukar.

Anda Mungkin Juga Meminati

Monday, 14 August 2017

MALAYSIA MENUJU PRU14: Bila Pru14 Akan Diadakan?

Berdasarkan Perlembagaan Malaysia, mandat Barisan Nasional yang diketuai oleh Dato Seri Najib sebagai Kerajaan Persekutuan hanya akan berakhir pada bulan Jun 2018. Manakala PRU14 perlu diadakan dalam masa 60 hari selepas Parlimen bubar secara sendirinya. Oleh itu, secara teknikalnya PRU14 boleh diheret sehingga ke bulan Ogos 2018. Namun, perkara sedemikian belum pernah terjadi dalam sepanjang proses PRU di Malaysia sejak mencapai kemerdekaan. Sudah menjadi amalan kepada Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan Persekutuan akan mengistiharkan pembubaran parlimen lebih awal bagi membuka laluan kepada PRU diadakan. Ini kerana, perlembagaan juga memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk berbuat demikian.

Kelebihan ini sudah tentu akan digunakan dengan sebaiknya oleh Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen pada masa yang dirasakan akan memberikan kelebihan kepada partinya untuk memenangi semula PRU. Ini menyebabkan PRU dalam politik Malaysia menjadi ‘unik’ dengan terdapatnya unsur-unsur surprise dan suspense yang disulami dengan bermacam-macam gosip mengenai bilakah PRU akan diadakan. Namun secara umumnya pihak-pihak yang berkepentingan khususnya parti pembangkang akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan maklumat bagi mengetahui jarak waktu PRU diadakan. Mereka tentu sahaja akan sentiasa memantau gerak kerja agensi yang berkaitan khususnya SPR kerana daripada situ petunjuk PRU dapat diketahui.

Sebagai parti pemerintah yang ingin mengekalkan tampuk pemerintahan, sudah tentu Dato Seri Najib akan memilih untuk diadakan PRU pada masa potensi kemenangan berpihak kepadanya. Dalam konteks pilihanraya demokrasi, potensi kemenangan banyak bergantung kepada kekuatan parti politik membawa isu yang dapat menawan hati para pengundi. Tidak kira dimana pun pilihanraya demokrasi diadakan termasuklah di negara -negara maju yang menjadi contoh amalan demokrasi seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan negara-negara eropah yang lain, senjata utama yang akan dijadikan isu dalam kempen ialah menyerang kelemahan pihak lawan. 

Selain itu, sentiman wujudnya ancaman juga merupakan salah satu senjata yang sangat berkesan memberikan potensi kemenangan. Di barat, golongan imigran khususnya umat Islam sering dijadikan sebagai kelompok yang dipropagandakan memberikan ancaman kepada rakyat kehidupan masyarakat barat bagi mendapatkan undi daripada majoriti rakyat tempatan. Begitu juga dengan setiap kali PRU diadakan di India, kemarahan dan kebencian masyarakat hindu terhadap umat Islam sering di kobarkan bagi mendapatkan sokongan pengundi-pengundi hindu yang merupakan golongan majoriti di India.

Berdasarkan realiti semasa, banyak isu yang sedang berlaku dalam negara khususnya yang berkaitan dengan skandal 1MDB yang telah mencipta banyak isu hiliran seperti peningkatan hutang negara, kemasukkan pelaburan berskala besar dari negara China serta wujudnya persepsi yang kuat campurtangan politik terhadap institusi-institusi penting negara telah memberikan disadvantage kepada pentadbiran Dato Seri Najib.  Perkara ini tentu sahaja telah menyempitkan potensi kemenangan bagi Barisan Nasional pimpinan Dato Seri Najib. Selain itu, mencipta persengketaan dengan pemimpin yang sangat berpengalaman dan berpengaruh di negeri Sabah iaitu Dato Seri Shafie Apdal merupakan satu kesilapan besar. Pengaruh dan pengalaman yang dimiliki oleh Dato Seri Shafie Apdal terhadap selok belok politik di Sabah telah menjadikan Sabah bukan lagi negeri  yang menjadi fixed deposit kepada Barisan Nasional.

Jika sebelum ini, Barisan Nasional boleh memberikan fokus yang banyak untuk menawan negeri-negeri di semenanjung kerana tidak perlu memberikan komitmen yang tinggi untuk mengekalkan cengkamannya terhadap Sabah. Kini keadaannya telah berubah dengan adanya gelombang politik baru yang dibawah oleh Parti Warisan pimpinan Dato Seri Shafie Apdal. Satu lagi cabaran baru yang menyempitkan lagi potensi kemenangan Barisan Nasional. Dalam masa yang sama, krisis yang menimpa organisasi yang sangat dekat dengan orang melayu iaitu FELDA telah membuka peluang kepada Parti Bersatu Pribumi meluaskan pengaruhnya ke dalam FELDA yang selama ini menjadi kubuh kuat UMNO.

Memang dapat dilihat dengan jelas bahawa Dato Seri Najib berusaha dengan bersungguh-sungguh melakukan bermacam-macam perkara agar Barisan Nasional dapat memenangi PRU14. Boleh dikatakan susuk tubuh Dato Seri Najib sentiasa ada di mana-mana, tanpa mengira siang atau malam, ada sahaja program atau aktiviti yang dihadiri beliau. Kesungguhan Dato Seri Najib berkerja siang dan malam, berkejar ke sana ke sini tentu sahaja kerana beliau sedar, beliau tidak boleh kalah dalam PRU14. Ada banyak konsekuensi yang tidak baik akan menimpa dirinya jika beliau hilang kuasa sebagai Perdana Menteri Malaysia. Beliau tidak mempunyai pilihan lain selain perlu kekal sebagai Perdana Menteri.

Berdasarkan perkembangan semasa, melambat-lambatkan PRU14 sebenarnya lebih banyak menguntungkan pihak pembangkang yang kini diketuai oleh Tun Mahadhir. Masa yang ada bukan sahaja dapat digunakan oleh pembangkang termasuklah gelombang politik baru di Sabah terus menerus menyerang pentadbiran Dato Seri Najib, tetapi juga telah memberi masa kepada parti-parti pembangkang mengukuhkan kesatuan mereka. Sebaliknya, semakin banyak pula kelemahan Barisan Nasional khususnya oleh pimpinan UMNO yang di perlihatkan kepada rakyat Malaysia. Persoalannya, jika demikian keadaannya mengapa Dato Seri Najib tidak membubarkan parlimen lebih awal?.

Apa yang pasti Dato Seri Najib hanya akan memberi ruang kepada PRU14 diadakan jika beliau merasakan beliau dapat mengekalkan kuasa sebagai Perdana Menteri Malaysia. Dato Seri Najib tentu sahaja akan menggunakan apa sahaja peluang atau cara agar beliau kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia. Itulah keutamaan beliau, kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Anda Mungkin Meminati :