Sunday 3 January 2016

Politik Malaysia 2016 : What's Next

Tidak ada mana-mana parti politik di Malaysia yang dapat menerajui kerajaan persekutuan tanpa perlu bekerjasama atau bergabung dengan parti politik yang lain. Bahkan bukan itu sahaja, kerjasama atau gabungan dalam satu komponen parti politik mesti merangkumi parti yang mewakili daripada berbilang kaum dan agama. Dengan kata lain, untuk menjadi kerajaan yang dapat memerintah Malaysia, kerajaan tersebut mestilah sebuah kerajaan yang dibentuk dengan rupa paras yang menunjukkan kemajmukkan rakyat Malaysia. Selain daripada itu, parti yang menjadi komponen utama dalam kerjasama atau gabungan tersebut mestilah parti yang mewakili orang melayu islam. Ini kerana orang melayu merupakan bangsa majoriti di Malaysia, tambahan pula, banyak institusi penting dan peruntukan undang-undang dalam perlembagaan Malaysia dibina berpaksikan kepada kepentingan melayu Islam. Inilah realiti yang menjadi teras kepada perjalanan politik demokrasi di Malaysia sehingga ke hari ini.

Oleh itu, jika parti-parti pembangkang khususnya PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) ingin mengambil-alih tampuk pemerintahan kerajaan persekutuan daripada Barisan Nasional, mereka tidak mempunyai pilihan lain selain daripada perlu membentuk gabungan atau pakatan yang berteraskan kepada realiti yang disebutkan di atas. Ketika PAS masih bersama dalam Pakatan Rakyat, PAS dapat berperanan sebagai parti yang mewakili orang melayu Islam dan juga sebagai komponen utama dalam Pakatan Rakyat. Tidak bagi PKR kerana  walaupun PKR mempunyai ramai pemimpin-pemimpin utama daripada orang melayu Islam, namun ianya tidak ‘solid’ mewakili orang melayu Islam sama seperti PAS ataupun UMNO.

Jika kerjasama politik di antara PAS, PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat dapat diteruskan sehingga ke PRU14, tentunya mereka mempunyai peluang yang sangat cerah untuk mengambil-alih tampuk pemerintahan kerajaan persekutuan daripada Barisan Nasional. Tambahan pula, komponen utama dalam Barisan Nasional iaitu UMNO sedang dilanda krisis dalam yang sangat parah serta bukan sahaja mengalami kemerosotan populariti yang sangat teruk tetapi juga beberapa pemimpin utama dalam UMNO termasuk Presidennya iaitu Dato’ Sri Najib sering menjadi bahan jenaka dan sindiran rakyat Malaysia. Apa sahaja yang mereka perkataan atau lakukan sering serba tak kena di mata kebanyakkan rakyat Malaysia.

Namun, krisis yang melanda Pakatan Rakyat khususnya persengketaan yang timbul di antara PAS dan DAP telah menjejaskan peluang Pakatan Rakyat untuk mengekalkan momentum bagi menawan pentadbiran kerajaan persekutuan pada PRU14 yang akan datang. Persengketaan di antara PAS dengan DAP bukan sahaja berakhir dengan pembubaran Pakatan Rakyat, tetapi juga telah menyebabkan PAS mengalami perpecahan apabila ramai bekas pemimpin tertingginya yang keluar parti dan menubuhkan parti baru iaitu Parti Amanah Negara (AMANAH). Dengan kerjasama politik baru di antara DAP, PKR dan AMANAH dalam Pakatan Harapan, AMANAH tentunya akan berusaha untuk  mengukuhkan kedudukan mereka dengan cara membawa masuk ahli-ahli PAS menyertai parti AMANAH agar dapat menjadi sebuah parti melayu islam yang dapat mengambil alih peranan yang dimainkan oleh parti PAS sebelum Pakatan Rakyat dibubarkan.

Berdasarkan perkembangan politik semasa, walaupun UMNO masih lagi berada dalam momentum penurunan popularity, namun Pakatan Harapan yang baru dibentuk menggantikan Pakatan Rakyat juga masih belum cukup kuat untuk menumbangkan Barisan Nasional pada PRU yang akan datang. Ini kerana, AMANAH masih terlalu mentah untuk  sampai ke prestasi yang dapat menggantikan peranan PAS. Jika AMANAH berjaya sampai ke tahap mampu untuk mengambil alih peranan PAS, sudah pasti Pakatan Harapan akan menjadi sebuah kerjasama politik yang sangat kuat untuk menumbangkan Barisan Nasional dalam PRU akan datang. Oleh itu, akan dapat dijangkakan bahwa dalam menuju PRU akan datang AMANAH akan lebih agresif dan berterus-terang dalam usaha untuk mengambil alih peranan PAS.

Di pihak PAS pula, sudah tentu tidak akan berdiam diri dengan manuver politik AMANAH kerana bertambah kuatnya AMANAH bermakna PAS akan menjadi sebuah parti/gerakan islam yang lemah. PAS tentunya akan berusaha mempertahankan kedudukannya ketika ini daripada diambil alih oleh Parti Amanah Negara. PAS sudah menyatakan dengan jelas bahawa mereka akan tetap bertanding disemua kerusi yang mereka pernah bertanding sebelum ini, termasuklah dikesemua kerusi DUN dan Parlimen yang kini disandang oleh ahli-ahli AMANAH. Seperti yang dinyatakan dengan tegas oleh Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Mustafa Ali, bahawa PAS tidak akan berganjak walaupun terpaksa menyaksikan pertandingan tiga penjuru. Perlu difahami juga bahawa PKR masih sangat memerlukan sokongan dan kerjasama politik daripada PAS khususnya untuk mempertahankan kerajaan negeri Selangor. Maka sebenarnya bukan mudah bagi AMANAH untuk mencabar jentera dan pengaruh yang dimiliki oleh PAS. Walaubagaimanapun, jika pertembungan di antara PAS dengan Amanah Negara benar-benar berlaku, maka umat Islam di Malaysia bakal disajikan dengan bermacam-macam pendedahan dan hujah-hujah yang akan menambahkan lagi banyak kekeliruan terhadap perjuangan gerakan-gerakan Islam di Malaysia.

Dalam pada itu, di pihak UMNO yang kini masih lagi diketuai oleh Dato’ Najib tentunya akan berusaha melakukan apa sahaja untuk kekal sebagai Presiden UMNO dan juga sebagai Perdana Menteri Malaysia. Dato Najib sudah berkali-kali secara berterus terang menyatakan akan mempertahankan kedudukannya dan sesekali tidak akan tunduk dengan sebarang desakan untuknya berundur. Kedudukan Dato’ Najib sebagai Preisden UMNO nampaknya terlalu sukar untuk digugat kerana memiliki ramai pemimpin-pemimpin UMNO yang ‘sanggup berkorban’ serta mempunyai ‘kesetiaan’ yang sangat tinggi terhadap  Dato’ Najib. Namun untuk kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia, undi rakyat Malaysia pada PRU yang akan menentukannya.

Berdasarkan populariti UMNO yang masih lagi berada dalam momentum merosot serta semakin hilang keyakinan daripada rakyat dan ahli-ahlinya sendiri, maka peluang untuk kekal sebagai Perdana Menteri selepas PRU14 adalah sangat tipis. Kerjasama UMNO dengan PAS yang digembar-gemburkan ketika ini sebenarnya sedikitpun tidak dapat memulihkan kemerosotan populariti yang sedang dialami oleh UMNO, tetapi ianya boleh dilihat lebih kepada strategi UMNO untuk menghalang terbentuknya Pakatan Pembangkang yang kuat. Hakikatnya, pembangkang akan menjadi sangat kuat untuk menumpaskan Barisan Nasional pada PRU14 jika PAS menjalinkan kerjasama politik dengan DAP dan PKR.

Walau apapun situasi politik yang sedang berlaku ketika ini, harus difahami bahawa dinamika politik bergerak dengan sangat pantas. Ada macam-macam perkara boleh berlaku yang dapat mengubah senario politik semasa dalam menuju PRU14.

Anda Mungkin Juga Meninati :