Tuesday 25 March 2014

Keputusan - Mari Beri Pendapat : Tragedi MH370

Bertama sekali takziah diucapkan kepada keluarga mangsa MH370 diatas berita terbaru mengenai MH370 yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Sudah pasti, sejak daripada pada hari mula MH370 dilaporkan hilang semua pihak mengharapkan agar berita-berita yang bakal diterima adalah berita yang mengembirakan. Namun berita yang sebaliknya telah dilaporkan.

Pada masa yang sama ada banyak persoalan-persoalan besar yang sentiasa berlegar-legar diminda apabila berfikir secara mendalam tentang tragedi ini. Oleh itu, untuk mendepani hari-hari mendatang, kita mesti sentiasa peka dengan apa yang berlaku disekeliling kita. Apatah lagi apabila melibatkan peristiwa-peristiwa yang besar seperti Tragedi MH370.

Sebagai inisiatif untuk memahami tahap kesedaran serta pandangan rakyat Malaysia mengenai sebarang isu yang sedang berlaku di sekeliling samaada dalam dan luar negara. Maka, kajian soalselidik ringkas seperti ini saya jalankan. Insyaallah saya akan kongsikan pendapat atau pandangan saudara/i dalam bentuk penerbitan yang sesuai kepada semua khususnya rakyat Malaysia. Mudah-mudahan ianya akan dapat menyumbangkan sesuatu yang bermanfaat kepada semua.

Mari Beri Pendapat tentang Tragedi MH370. Sila Klik di SINI.

Terima Kasih.

__________________________________________________________________________________

Hasil Kajiselidik yang telah Dijalankan ( 25hb - 28hb Mac 2014). Seramai 34 orang responden yang telah memberikan maklum balas.























Saturday 22 March 2014

PRK DUN Kajang : Siapa yang akan Menang ?


Ada banyak perkara menarik yang boleh diperkatakan tentang Pilihanraya Dewan Undangan Negeri Kajang (PRK DUN Kajang). Daripada bagaimana PRK Kajang tercetus sehinggalah kepada beberapa peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam masa menuju hari pengundian pada 23hb Mac 2014. Apa yang pasti PRK Kajang mempunyai KELASnya yang tersendiri berbanding dengan PRK-PRK yang pernah diadakan dalam sepanjang sejarah pilihanraya di Malaysia. Apa yang lebih menarik ialah PKR Kajang bukan hanya merupakan perebutan untuk memenangi kerusi DUN Kajang, tetapi ianya merupakan titik tolak atau penentu kepada banyak perkara penting dalam landskap politik Malaysia (Baca : PRK Kajang : Kenapa Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat Mesti Menang ).



Selain itu, kedua-dua calon wanita yang bertanding bagi kedua-dua parti adalah merupakan Pimpinan Tertinggi parti masing-masing.  Calon PKR iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah merupakan President parti PKR dan juga merupakan isteri kepada Ketua Pembangkang iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Manakala, calon daripada MAC iaitu Datin Paduka Chew Mei Fun adalah merupakan Naib President parti MCA dan juga merupakan bekas Timbalan Menteri Wanita dan Pembangunan Masyarakat. Oleh kerana keputusan PRK Kajang akan memberikan kesan yang sangat besar kepada masa depan politik bagi kedua-dua pihak sama ada daripada pihak Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat , maka, walaupun PRK Kajang hanyalah di peringkat DUN tetapi bahangnya menyerupai Pilihanraya Umum Malaysia.

Bagi pihak Pakatan Rakyat, kemenangan yang mereka inginkan adalah bukan setakat berjaya mempertahankan kerusi DUN Kajang yang telah mereka dimenangi dalam PRU 13 yang lepas, tetapi mereka memerlukan kemenangan dengan majoriti yang lebih besar agar dapat memberikan signal kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya ahli dan penyokong Pakatan Rakyat bahawa Rencana Kajang atau Kajang Move sedang berada pada landasannya. Manakala bagi pihak Barisan Nasional pula, kejayaan dengan hanya dapat mengurangkan majoriti undi yang telah dimenangi oleh Pakatan Rakyat pada PRU 13 merupakan satu kejayaan yang  sudah cukup penting dan berharga. Ini kerana, kejayaan mengurangkan majoriti undi Pakatan Rakyat merupakan satu petunjuk bahawa segala usaha-usaha transformasi yang telah dilakukan oleh Barisan Nasional untuk menarik semula sokongan rakyat telah membuahkan hasil. Selain itu, jika Barisan Nasional mendapat pertambahan undi daripada pengundi cina, maka ianya adalah satu petanda yang positif kepada pucuk pimpinan baharu MCA.  Apatah lagi jika Barisan Nasional berjaya memenangi kerusi DUN Kajang, maka ianya sudah pasti merupakan satu kejayaan yang amat berharga sekali dan sudah pasti akan dijadikan bahan propangada besar-besaran bagi tujuan melemahkan Parti-Parti Pakatan Rakyat  serta untuk mengurangkan sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

Namun, berdasarkan realiti politik semasa adalah satu kejutan yang sangat besar jika Barisan Nasional berjaya memenangi kerusi DUN Kajang dalam PRK kali ini. Ini kerana tiada satu isu/peristiwa yang benar-benar boleh menjadi menjadi trigger untuk undi swing kepada Barisan Nasional. Begitu juga peluang untuk Barisan Nasional mengurangkan majoriti undi Pakatan Rakyat sebenarnya tidak mudah, walaupun tetap masih ada peluang untuk mencapainya.

Berdasarkan persekitaran politik semasa dan tekanan ekonomi yang sedang  dihadapi oleh Malaysia serta beberapa isu yang sedang berlaku di dalam negara, jelas memberikan kelebihan kepada kempen yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat. Isu semasa yang berlaku seperti tempoh pengundian PRK Kajang yang sangat panjang dari masa kerusi DUN diisytiharkan kosong, kehilangan pesawat  MH370, keputusan Mahkamah Rayuan terhadap kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan lain-lain isu khususnya yang berkaitan dengan korupsi dan salah guna kuasa, dapat digunakan daripada pelbagai angle untuk menyerang atau memburukkan kepimpinan negara yang diterajui oleh Barisan Nasional. Dengan kata lain, Pakatan mempunyai peluang yang sangat tinggi untuk mempertahankan kerusi DUN Kajang,  tetapi mereka perlu struggle untuk meningkatkan majoriti undi berbanding PRU yang lepas.

Apa yang perlu difikirkan adalah, apakah jika kemenangan memihak kepada Pakatan Rakyat, maka ianya merupakan satu  kejayaan untuk rakyat mengecapi kehidupan yang lebih baik seperti yang sering digembar-gemburkan????. Atau sebenarnya ianya merupakan satu khayalan atau impian kosong.  Negara pemerintahan Demokrasi mana yang dikategorikan sebagai sebuah negara yang transparent, good governance, bebas rasuah, memiliki badan kehakiman yang adil dan lain-lain lagi untuk dijadikan model??? Amerika Syarikat… ? Britain...? Korea Selatan...? atau Sweeden!? Singapura? Turki?... Negara mana… !!!?

Sedarlah wahai umat Islam,  berhentilah daripada berkhayal untuk mengecapi kehidupan yang sejahtera dan lebih baik dengan sistem Demokrasi. Sesungguhnya tidak ada satu negara pun di dunia ini yang mengecapi kesejahteraan hidup yang hakiki dengan sistem Demokrasi, apatah lagi untuk menerapkan hukum-hakam Allah swt secara kaffah. Lihatlah dengan penuh kejujuran kehidupan rakyat negara-negara Demokrasi yang yang sering dijadikan contoh sebagai negara yang subur amalan  Demokrasinya. Kesejahteraan hidup yang menipu ! Kehidupan yang mengagungkan material dan hedonisme serta kebebasan kebebasan. Kehidupan seperti itukah yang umat Islam dambakan?  

Oleh itu, pihak yang mencapai kemenangan sebenar dalam mana-mana pilihanraya Demokrasi termasuklah PRK DUN Kajang adalah musuh-musuh Islam. Ini kerana, musuh-musuh Islam masih berjaya mengkhayalkan umat Islam bahawa sistem Demokrasi adalah sistem yang dapat memberikan kesejahteraan hidup dan dapat digunakan sebagai alat untuk mencapai kemenangan Islam. Sebaliknya pihak yang kalah dalam PRK DUN Kajang adalah umat Islam. Umat Islam kalah kerana lebih menyakini sistem Demokrasi yang dicipta oleh akal manusia berbanding dengan sistem Khilafah yang diturunkan oleh Allah SWT. Umat Islam kalah kerana masih tidak dapat membebaskan pemikiran mereka daripada terus dikuasai dan dipimpin oleh idealisme Demokrasi dalam perjuangan mereka.

Artikel yang berkaitan.

Thursday 20 March 2014

Kehilangan Pesawat MH370 : Pandangan Daripada Aspek Politik

Terdapat dua fakta penting yang menjadi asas untuk memahami misteri kehilangan Pesawat MH370. Pertama, Pesawat MH370 telah menukar laluannya dengan sengaja daripada laluan asalnya dengan cara yang sangat teratur dan terancang serta dapat melepaskan diri daripada dikesan oleh sistem radar. Kedua, sehingga kini, kerajaan Malaysia masih belum dapat menemui pesawat MH370 walaupun usaha pencarian begitu giat dilakukan dengan menggunakan pelbagai jenis teknologi serta usaha pencarian turut dibantu oleh beberapa buah negara termasuklah dua buah negara kuasa besar iaitu Amerika dan China.   



Berdasarkan dua fakta di atas, maka timbul persoalan, siapakah yang berkeupayaan untuk melakukan perkara sedemikian? Iaitu ‘melarikan’ sebuah mesin yang sangat besar serta dilengkapi dengan teknologi canggih yang tidak memungkinkannya putus hubungan dan hilang daripada sistem pemantauan pesawat. Kemudian, berkeupayaan ‘menyembunyikan’ pesawat tersebut daripada dijejaki oleh usaha pencarian berskala antarabangsa yang turut dibantu dengan menggunakan berbagai-bagai jenis teknologi canggih. ( Apa yang dibincangkan dalam penulisan ini adalah perkara atau persoalan yang berkisar dalam lingkaran yang mampu untuk dikuasai oleh manusia ).



Apabila kedua-dua fakta tersebut dikaji dan didalami, maka ianya akan membawa kepada kesimpulan bahawa kehilangan MH370 adalah satu tindakan yang telah dirancang dengan penuh teliti oleh pihak tertentu yang mempunyai keupayaan yang sangat tinggi dan tidak mungkin dilakukan secara bersendirian untuk  tujuan peribadi. Jika boleh dianalogikan adalah umpama membina Bangunan Berkembar KLCC tidak mungkin mampu untuk dibina oleh sebuah syarikat kontaktor berkelas F, tetapi pembinaan pencakar langit seperti Bangunan Berkembar KLCC memerlukan koloborasi beberapa buah syarikat kontraktor besar yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang yang berkaitan serta koloborasi tersebut diurusi oleh pihak pengurusan yang berkeupayaan tinggi.

Oleh yang demikian, sudah pasti, pihak yang terlibat dalam merencanakan kehilangan pesawat MH370 mempunyai agenda yang sangat penting dan berharga untuk diraih. Ini kerana, gerak kerja untuk ‘melarikan’ dan seterusnya ‘menyembunyikan’ Pesawat MH370 bukan kerja yang mudah, tetapi ianya merupakan misi yang sangat berprofil tinggi.

Hakikatnya, apabila kita menelusuri lipatan sejarah, memanfaatkan sesuatu peristiwa atau kejadian sering kali digunakan oleh negara-negara penjajah sebagai alasan untuk campurtangan dalam hal ehwal sesebuah negara, ataupun peristiwa tersebut dijadikan alasan untuk melakukan misi tertentu. Sebagai contoh, seseorang yang mempunyai perancangan untuk merompak akan mencipta alasan bahawa kucing peliharannya telah lari ke dalam rumah yang menjadi sasarannya untuk masuk bagi meninjau keadaan rumah tersebut sebelum rompakan dilakukan. Selain itu, sering juga pihak berkepentingan ‘mencederakan diri sendiri’ untuk meraih simpati atau untuk dijadikan alasan bagi melakukan sesuatu agenda tersembunyi.

Sebenarnya, teknik sedemikian tidak pernah pupus malahan sering kali digunakan dalam percaturan politik dunia pada hari ini. Inti pati jalan ceritanya tetap sama, bezanya hanyalah pada jalan ceritanya. Inti pati ceritanya adalah terdapat satu peristiwa/kejadian yang boleh digunakan untuk memberikan tekanan terhadap pihak yang ingin dijadikan mangsa, bagaimana dan apa kejadian tersebut ? Jalan ceritanya boleh berbeza-beza mengikut situasi dan ‘saiz’ tekanan yang ingin diberikan.

Dalam kes kehilangan misteri Pesawat MH370, ada dua pihak yang berkemungkinan menjadi perencana kepada misteri kehilangan pesawat MH370 , iaitu sama ada oleh pihak-pihak tertentu di dalam negara ataupun oleh pihak tertentu daripada luar negara. Jika penelitian diarahkan kepada pihak-pihak tertentu dalam negara, maka sudah pasti ianya menjurus kepada sama ada pihak kerajaan ataupun pihak pembangkang. Apatah lagi kejadian kehilangan secara misteri pesawat MH370 berlaku pada masa negara sedang berhadapan dengan konflik politik yang sangat genting.

Terdapat beberapa keupayaan yang perlu dimiliki untuk menyempurnakan misi rencana kehilangan Pesawat MH370. Antaranya ialah keupayaan untuk mengaccess secara terperinci maklumat-maklumat yang berkaitan, memahami selok-belok dan keupayaan sistem radar yang ada di Malaysia mahupun di beberapa buah negara yang lain, berkeupayaan mengendalikan pesawat tersebut dengan cara yang tertentu, dan yang keempat ialah mempunyai persiapan di mana pesawat tersebut akan ‘disembunyikan’.  Berdasarkan kedudukan pihak pembangkang dan pendedahan yang mereka miliki tiada sebab yang ilmiah untuk menyebabkan mereka mempunyai keupayaan-keupayaan tersebut. Wallahu alam jika ada.

Bagi pihak kerajaan pula, tidak boleh dinafikan bahawa mereka mempunyai keupayaan-keupayaan tersebut. Namun, jika dikaji daripada segenap aspek misalnya, cara bagaimana pihak kerajaan menguruskan atau menangani kehilangan Pesawat MH370, jelas menunjukkan pihak kerajaan tidak bersedia berada dalam keadaan yang tertekan apabila beberapa tindakan yang dibuat oleh pihak kerajaan  dalam menangani krisis ini tidak sepenuhnya berada dalam kawalan dan juga sering dipengaruhi oleh maklumat dan desakan daripada pihak luar. Dengan kata lain, tindakan yang dilakukan oleh pihak kerajaan dalam menangani krisis ini adalah tindakan yang spontan berdasarkan situasi semasa.

Kedua, dari aspek membuat ‘percaturan’ yang melibatkan secara langsung masyarakat antarabangsa adalah sesuatu tindakan yang sangat tidak bijak bagi kerajaan seperti Malaysia. Ini kerana ‘percaturan’ sedemikian hanya akan meletakkan pemerintah yang sedia ada dalam keadaan yang tertekan dan terdedah kepada menunjukkan kelemahan yang boleh mengundang kesangsian masyarakat antarabangsa. Apatah lagi jika dilihat dari aspek motifnya, tidak nampak peristiwa kehilangan Pesawat MH370 memberikan pulangan politik yang menguntungkan pihak pemerintah Malaysia. Sebaliknya, lebih banyak menambahkan masalah yang sedia ada dihadapi oleh pemerintah Malaysia. Kesimpulannya, kehilangan Pesawat MH370 tidak mungkin direncanakan oleh pihak pembangkan mahupun pihak pemerintah.

Oleh itu, apa yang harus dilakukan oleh para pemimpin negara sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pembangkan adalah sikap berhati-hati dan berwaspada terhadap mana-mana negara luar yang berusaha menggunakan/memanfaatkan kehilangan Pesawat MH370  untuk agenda atau misi tersembunyi mereka di tanah air Malaysia. Sikap pemimpin kerajaan mahupun pembangkan yang sama-sama menggunakan kehilangan Pesawat MH370 untuk saling menjatuhkan antara satu sama lain hanya akan lebih mendedahkan Malaysia kepada ancaman luar dan mengheret negara kepada keadaan yang lebih buruk.

Namun, apakan daya itulah sistem politik dan pemerintahan yang digunakan di Malaysia. Sistem yang membawa kepada perpecahan dan saling benci membenci. Ketika negara sedang berhadapan dengan ancaman luar sekalipun, pemimpin-pemimpin negara tetap juga berusaha untuk mencari kelemahan satu sama lain. Pengupayaan kekuatan yang dimiliki oleh kedua-dua pihak lebih banyak digunakan untuk saling menjatuhkan, bukannya untuk saling menguatkan. Tidak hairan, kerana itulah produknya sistem Demokrasi. Bagaimana acuannya, begitulah kuihya.


Anda Juga Mungkin Meminati :

1. Tragedi MH370 : Cabaran Mendatang Bagi Malaysia  
2. Piliharaya-Demokrasi Menurut Politik Mesir 
3. Apakah Perancangan Amerika di Syria selepas Kegagalan Rundingan Geneva II ? 
4. Politik Malaysia : What’s Next?

Monday 10 March 2014

PRK Kajang : Kenapa Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat Mesti Menang

Kehangatan Pilihanraya Kecil (PRK) Kajang semakin terasa apabila tarikh penamaan calon akan  diadakan pada hari ini (11hb Mac 2014). PRK Kajang sudah pasti akan mempersembahkan satu peristiwa politik negara tersendiri kerana PRK Kajang bukan sahaja diadakan atas sebab yang ‘Istimewa’ tetapi juga turut disulami dengan dua peristiwa yang sangat menggemparkan negara.



Peristiwa pertama ialah Ketua Pembangkang iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah diisytiharkan secara  rasmi  sebagai calon Pakatan Rakyat pada PRK Kajang telah hilang kelayakan untuk bertanding merebut kerusi DUN Kajang apabila didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya iaitu Saiful Bukhari Azlan pada enam tahun yang lepas. Sehari selepas itu, negara digemparkan pula dengan kehilangan pesawat MH370 yang melakukan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing,  pesawat tersebut dikatakan hilang dari radar kira-kira dua jam setelah berlepas dari KLIA pada pukul 12.41 pagi menuju ke Beijing.

Walau apapun yang terjadi, sudah pasti fokus parti-parti yang akan bertanding pada PRK Kajang khususnya parti dari Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) tidak akan terjejas. Malahan, dapat dijangkakan kedua-dua peristiwa tersebut akan dijadikan sebagai bahan kempen oleh kedua-dua belah pihak untuk menawan hati pengundi. Pihak mana yang akan mendapat advantage daripada kedua-dua peristiwa tersebut ? Sudah pasti ianya bergantung kepada pihak mana yang dapat menggunakan kedua-dua peristiwa tersebut untuk menunjukkan kelemahan pihak lawan agar kemarahan rakyat terhadap parti lawan dapat dibangkitkan.

Kaedah sebegini iaitu membuktikan kelemahan-kelemahan pihak lawan berdasarkan peristiwa yang sedang berlaku adalah sesuatu yang ‘wajib’ untuk memenangi pilihanraya dalam sistem Demokrasi. Dalam pilihanraya Demokrasi, peluang untuk menang semakin tinggi jika kelemahan pihak lawan dapat dibongkarkan sebanyak-banyaknya agar kemarahan serta kebencian rakyat terhadap parti lawan dapat dimarakkan dengan sebesar-besarnya.

Setakat ini hanya dua individu yang disahkan akan bertanding untuk merebut kerusi DUN Kajang iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku President Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Datin Paduka Chew Mei Fun yang merupakan Naib Presiden  Malaysian Chinese Association (MCA). Dua orang lagi calon yang telah mengumumkan untuk bertanding iaitu bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim dan Presiden Gerakan Reformasi Rakyat (Reformis), Ramlan Abu Bakar membuat keputusan menarik diri daripada bertanding setelah Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail diumumkan sebagai calon PKR bagi menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah hilang kelayakan untuk bertanding. Walau apapun, siapa yang akan bertanding dalam PRK Kajang akan terjawab selepas tarikh penamaan calon dibuka pada hari ini.

Pihak yang bertanding sudah pasti akan merangka strategi yang semaksimumnya untuk memenangi PRK ini kerana pertaruhannya sangat besar khususnya di pihak kepimpinan PKR. Mereka yakni PKR tidak boleh kalah, kerana kekalahan sudah pasti akan memberikan tamparan sangat besar kepada keutuhan kepimpinan mereka dan  akan membuka ruang yang sangat besar kepada parti lawan khususnya BN untuk terus melakukan serangan bagi melemahkan parti PKR. Bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim pula, kekalahan dalam PRK Kajang akan menjadi titik tolak kepada titik noktah usaha beliau untuk menakluki Putrajaya.  Oleh itu, PKR tidak mempunyai pilihan lain kecuali mesti menang. Apatah lagi PRK Kajang diadakan hasil daripada percaturan mereka sendiri. Parti PAS dan DAP yang juga merupakan parti komponen Pakatan Rakyat tidak punya pilihan lain kecuali mesti membantu calon PKR memenangi semula kerusi DUN Kajang.

BN juga sudah pasti akan menginginkan kemenangan atau sekurang-kurangnya mengurangkan majoriti undi yang telah dimenangi oleh PKR pada PRU 13 yang lepas. PRK Kajang juga sebenarnya turut menjadi ukuran kepada penerimaan masyarakat cina terhadap kepimpinan baru MCA yang kini diketuai oleh Dato’ Sri Liow Tiong Lai. Kemenangan atau peningkatan sokongan pengundi cina bermakna MCA masih relevan dalam politik Malaysia, jika sebaliknya, maka, itu adalah petunjuk bahawa MCA sudah tidak begitu penting lagi bagi masyarakat cina dan segala usaha yang telah dilakukan oleh MCA untuk menarik semula sokongan pengundi cina tidak berhasil. Bagi Datuk Seri Najib Tun Razak pula, kekalahan bermaksud beliau harus bersedia untuk turun daripada kerusi Pengerusi Barisan Nasional dan juga kerusi Perdana Menteri. Begitulah BESARNYA pertaruhan dalam Pilihanraya Kecil Kajang ini.

Oleh itu, kita akan bakal menyaksikan satu persembahan Kematangan Demokrasi (Baca : PRK DUN KAJANG (N25) : Akan Menjadi Saksi Kematangan Demokrasi Di Malaysia )yang luar biasa dalam PRK Kajang bermula hari ini sehinggalah ke tarikh pengundian pada 23 Mac 2014.