Pada dasarnya, untuk membuat pindaan terhadap rang undang-undang
yang sedia ada merupakan perkara biasa dan sering dilakukan dalam pentadbiran
negara demokrasi seperti Malaysia. Secara prinsipnya, rang undang-undang sedia
ada perlu dipinda agar ia terus relevan dengan keadaan dan perkembangan semasa.
Akta 355 misalnya telah mengalami beberapa kali pindaan sejak mula dikanunkan
pada tahun 1965 yang pada ketika itu dikenali sebagai Akta Mahkamah Syariah (Bidang
Kuasa Jenayah) 1965. Hukuman maksimum yang diperuntukkan oleh akta tersebut
ketika itu ialah denda RM1000 dan penjara 6 bulan.
Pindaan pertama terhadap
Akta 355 telah dilakukan pada tahun 1984 dengan memberikan kuasa yang lebih
tinggi kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman maksimum sehingga 3
tahun penjara, RM5000 denda dan 6 kali sebatan. Akta tersebut kemudiannya
dipinda sekali lagi pada tahun 1989 untuk diperluaskan penggunaannya ke Sabah
dan Sarawak. Selepas itu, tiada lagi pindaan dilakukan untuk meningkatkan
hukuman maksimum yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah. Ini bermakna
sudah lebih dari 30 tahun hukuman ‘Formula 356’ menjadi hukuman maksimum bagi
‘jenayah syariah’ di Malaysia.
Oleh
itu, satu perkara yang wajar bagi pihak tertentu khususnya golongan akademik
dan para pengamal undang-undang Syariah mengorak langkah bagi meningkatkan
bidang kuasa Mahkamah Syariah agar dapat menjatuhkan hukuman yang lebih berat
terhadap ‘penjenayah syariah’ di Malaysia. Hal ini demikian kerana, ramai
pihak berpendapat bahawa hukuman ‘356’ terlalu ringan dan sudah tidak
berkesan lagi untuk menakutkan umat Islam di Malaysia daripada melakukan
jenayah syariah. Maka, pindaan terhadap
Akta 355 perlu dilakukan bagi meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah yang sedia
ada. Usaha ke arah untuk meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah di Malaysia telah
pun dilakukan secara serius oleh Jawatankuasa Teknikal yang ditubuhkan pada tahun
2014. Antara langkah awal yang perlu dilakukan oleh Jawatankuasa Teknikal bagi
menjayakan usaha tersebut ialah menggesa agar Akta 355 dipinda.
Selari
dengan banyak pindaan yang dilakukan terhadap akta-akta yang lain termasuklah pindaan terhadap Akta 355 sebelum ini, Jawatankuasa Teknikal
mencadangkan agar usul pindaan terhadap Akta 355 dibawa oleh wakil daripada
pihak kerajaan. Hal ini demikian kerana, ia sudah menjadi amalan biasa dalam
pentadbiran di Malaysia bahawa semua pindaan yang ingin dilakukan akan
diusulkan oleh pihak kerajaan yang memerintah. Tidak pernah terjadi sebelum ini
usul persendirian daripada pihak pembangkang dibenarkan untuk dibentangkan di
parlimen, malah jauh sekali untuk diluluskan. Selain itu, sebarang pindaan
terhadap akta yang sedia ada sekurang-kurangnya perlu mendapat sokongan/undi
majoriti mudah di dewan rakyat sebelum diluluskan. Jadi, secara tidak langsung
hanya parti yang menjadi kerajaan sahaja memiliki kelebihan tersebut, tidak
pada parti pembangkang. Apatah lagi proses membawa sebarang usul untuk dibentangkan
di parlimen bagi meminda mana-mana akta yang sedia ada dikawal sepenuhnya oleh
menteri daripada parti yang memerintah.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa perlembagaan Malaysia
memberi ruang kepada semua ahli parlimen parti pembangkang untuk membawa private
bill (usul persendirian). Namun, ia perlu melalui dua proses di atas, iaitu
diberi laluan oleh menteri parti pemerintah yang menyelia perjalanan parlimen
dan mendapat sokongan sekurang-kurangnya majoriti mudah daripada ahli-ahli
parlimen. Oleh sebab itu, sepanjang sejarah Malaysia belum pernah ada usul
persendirian daripada pihak pembangkang dibenarkan untuk dibentangkan apatah
lagi untuk diluluskan.
Justeru itu, apabila para menteri daripada UMNO
selaku kerajaan memberi laluan dan sokongan kepada parti PAS selaku parti pembangkang
membawa usul persendirian bagi meminda Akta 355 tentunya menimbulkan banyak
persoalan. Ditambah pula wujudnya tuntutan percaturan politik yang sangat crucial
di antara parti-parti politik di Malaysia menuju ke PRU14. Masing-masing
mempunyai agenda dan matlamat politik yang sangat penting untuk dicapai dalam
PRU14 nanti.
Dalam
hal ini, umat Islam seharusnya melihat persoalan mengenai isu pindaan Akta 355 dengan
skop yang lebih luas agar umat Islam tidak diberikan harapan palsu dan turut
diheret ke dalam perbalahan yang tidak jelas hujung pangkalnya kerana perbezaan
sudut pandang terhadap perkara yang sama iaitu pindaan Akta 355. Ada pihak yang
melihat bahawa pindaan terhadap Akta 355 adalah roadmap ke arah
terlaksananya hudud, maka siapa yang menentangnya sama seperti menentang hukum
hudud. Sebaliknya ada pula pihak yang melihat bahawa Akta 355 tiada kena mengena
dengan hukum hudud, ia hanyalah pindaan biasa terhadap akta yang
sedia ada.
sedia ada.
Sebenarnya, perbezaan sudut
pandang tersebut timbul disebabkan oleh rekaan (design) struktur
undang-undang tertinggi Malaysia iaitu Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan
Persekutuan yang direka oleh Suruhanjaya Lord Reid telah meletakkan asas-asas
yang kukuh dalam Perlembagaan Persekutuan bagi menjamin keluhuran dan
kelangsungan undang-undang ciptaan British sebelum Tanah Melayu diberikan
kemerdekaan. Oleh itu, sebarang penggubalan undang-undang baharu atau pindaan
terhadap undang-undang yang sedia ada, ia tidak boleh keluar daripada asas-asas
yang kukuh dalam Perlembagaan Persekutuan bagi menjamin keluhuran dan
kelangsungan undang-undang ciptaan British sebelum Tanah Melayu diberikan
kemerdekaan.
Dengan kata lain, apa jua niat murni
umat Islam seperti ingin menjadikan hukum hudud sebagai undang-undang negara,
maka ia perlu mengikuti panduan yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Reid.
Sebarang perbezaan pendapat atau pertelingkahan yang timbul dalam usaha untuk
menerapkan hudud harus dikembalikan kepada kitab yang telah ditinggalkan
oleh Suruhanjaya Reid iaitu Perlembagaan Persekutuan.
Suruhanjaya
Reid juga telah meletakkan asas bahawa mana-mana undang-undang yang ingin digubal
atau dipinda, maka ia perlu melalui proses perdebatan di kalangan ahli-ahli
parlimen sebelum diluluskan. Setiap ahli parlimen sama ada orang Islam atau
non-muslim berhak untuk mempersoalkan atau mempertikaikan mana-mana
undang-undang yang ingin digubal atau dipinda. Seterusnya, pindaan tersebut
perlu mendapat persetujuan daripada ahli-ahli parlimen sebelum ia diluluskan.
Inilah hakikat yang harus disedari dan difahami dengan jelas apabila hukum Allah
SWT seperti Hudud ingin diterapkan mengikut manhaj demokrasi.
Jalan yang benar untuk menerapkan hukum Hudud dan juga hukum-hukum
Allah SWT yang lain akan dapat dilaksanakan secara sempurna jika dua elemen
iaitu Kekuasaan Di Tangan Umat (as-Sulthan li al-Ummat) dan Kedaulatan
Di Tangan Syarak (as-Siyadah li asy-Syar’i) berjaya dijadikan teras
dalam pentadbiran sesebuah negara. Sesungguhnya, tiada bentuk sistem
pemerintahan yang dapat mewujudkan kedua-dua elemen tersebut melainkan Sistem
Pemerintahan Khilafah.
Artikel Ini Diterbitkan Dalam Buletin Khairu Ummah Keluaran Feb 2017.
Anta Mungkin Juga Meminati :