Ketidaktentuan
politik yang sedang dihadapi oleh Malaysia ketika ini hakikatnya telah
bermula sejak Barisan Nasional (BN)
kehilangan majoriti 2/3 kerusi parlimen pada PRU12 tahun 2008. Walaupun BN yang ketika itu dipimpin oleh Tun
Abdullah Ahmad Badawi dapat mengekalkan teraju
pimpinan kerajaan persekutuan, namun dengan hanya majoriti mudah, malah 5 buah negeri telah jatuh ke tangan pembangkang.
Tsunami politik tersebut ternyata telah mengubah landskap politik Malaysia. Apatah lagi kerusi
parlimen dan dewan undangan negeri di pusat utama kegiatan ekonomi Malaysia iaitu greater
Klang Valley majoritinya telah dikuasai oleh parti pembangkang. Sejak itu, tiada lagi dominasi dan kawalan
yang kukuh oleh pihak kerajaan terhadap
pergolakan politik tanahair. Masing-masing, sama ada kerajaan mahupun pihak pembangkang mempunyai pengaruh dan keupayaan
yang hampir setara. Keadaan sedemikian berterusan
dan kemuncaknya ialah apabila parti (Perikatan/Barisan National) yang telah memerintah sejak negara mencapai kemerdekaan
akhirnya tumbang dalam PRU14 pada tahun 2018.
Ketidakstabilan
politik terus berlanjutan sehinggalah berlaku sekali lagi perubahan kerajaan
setelah dua tahun PRU14 diadakan dengan terbentuknya kerajaan Perikatan
National (PN) hasil daripada kerjasama politik beberapa parti yang membentuk
gabungan dengan majoriti kerusi parlimen yang sangat kecil. Pertukaran kerajaan
tersebut dengan cara ‘political game’ telah memburukkan lagi
ketidaktentuan politik yang telah sedia terjadi. Ini kerana kerajaan PN bukan
sahaja hanya memiliki majoriti yang sangat kecil, tetapi stuktur kepimpinannya
sangat rapuh kerana parti Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Bersatu mempunyai
bilangan kerusi yang jauh lebih kecil berbanding dengan parti-parti lain
khususnya UMNO. Struktur sedemikian tentu sahaja meletakkan kerusi Perdana
Menteri yang diduduki oleh Tan Sri Muhyidin Yasin sentiasa bergoyang dan sering
diancam untuk dijatuhkan. Keadaan sedemikian menyebabkan percaturan politik
sentiasa menghambat kerajaan PN yang bila-bila masa sahaja boleh ditumpang jika
beberapa ahli parlimen menarik sokongan mereka terhadap Tan Sri Muhyiddin
Yassin.
Jika
ditelusuri kepada titik mula berlakunya perubahan lanskap politik Malaysia pada
PRU12, didapati bahawa antara faktor penting yang membantu parti pembangkang
(Pakatan Rakyat) berjaya menafikan penguasaan majoriti 2/3 BN di parlimen dan
berjaya menawan 5 buah negeri ialah peranan yang disumbangkan oleh media
alternatif. Media alternatif seperti blog, laman web, forum siber ketika itu
merupakan sumber maklumat baharu yang memberikan kebebasan kepada penyampainya
menyalurkan maklumat berdasarkan naratif yang mereka ingin sampaikan. Jentera
parti pembangkang ternyata telah berjaya memanfaatkan dengan baik media
alternatif semasa kempen PRU12. Manakala pihak kerajaan masih selesa mengunakan
media arus perdana yang didominasi oleh mereka sebagai medium menyampaikan
maklumat kepada masyarakat umum.
Sebelum
adanya media alternatif, medium yang menjadi sumber maklumat utama rakyat ialah
media arus perdana yang terdiri daripada media cetak seperti akhbar, majalah
dan buku; dan media elektronik khususnya radio dan televisyen. Sejak sekian
lama, BN selaku parti pemerintah mempunyai kelebihan yang sangat basar untuk mengawal
dan membentuk persepsi rakyat terhadap sesuatu isu. Bagi pihak pembangkang,
sebelum adanya media alternatif tentunya sangat sukar bagi mereka untuk
menyaingi propanganda daripada pihak kerajaan.
Namun,
setelah internet ataupun teknologi maklumat berkembang maju, persaingan
penyebaran maklumat telah berubah dengan sangat drastik. Perkembangan internet
telah membuka ruang yang sangat luas kepada pihak pembangkang untuk menyaingi
sebaran maklumat oleh pihak kerajaan kepada masyarakat umum khususnya yang
tinggal dikawasan bandar. Tambahan pula, defisit keyakinan rakyat terhadap
media arus perdana menyebabkan informasi yang disampaikan melalui media
alternatif menjadi seolah-olah maklumat rahsia yang tepat dan benar. Maka
dengan itu, informasi yang disampaikan oleh media alternatif dengan mudah
mempegaruhi pemikiran rakyat yang menerimanya. Antara kajian kes yang boleh
digunakan untuk menunjukkan keberkesanan maklumat/berita/infomasi yang
disampaikan melalui media alternatif dalam menawan pemikiran masyarakat umum
semasa PRU12 ialah kemenangan kerusi parlimen oleh seorang calon muda yang
tidak dikenali.
Kemenangannya
adalah dengan bermodalkan kempen tentang rakaman video perbualan seorang peguam
kanan dengan orang penting kerajaan yang dirakamnya. Begitu juga dengan
beberapa orang calon muda pihak pembangkang yang telah menang dengan
memanfaatkan media alternatif khususnya blog dan forum siber untuk menjalurkan
maklumat kepada para pengundi. Bukan itu sahaja, mereka turut berjaya
menggunakan media alternatif bagi mendapatkan dana pilihanraya daripada orang
ramai.
Ledakan
industri teknologi maklumat yang sangat pesat telah menyebabkan perang
propaganda, perang pemikiran, perang persepsi dan semisalnya menjadi sangat
dominan dalam mempengaruhi pandangan atau cara berfikir masyarakat umum ketika
ini. Kuasa viral misalnya telah menjadi satu faktor yang sangat berkesan mempengaruhi
persepsi orang ramai terhadap isu yang diviralkan bahkan sampai ke tahap mampu
mempengaruhi polisi negara. Jika diamati secara rasional, sering berlaku isu
yang diviralkan hakikatnya adalah isu kecil, namun sering kali elemen emosi disampaikan
secara berlebih-lebihan sehingga isu yang kecil dilihat sebagai isu yang sangat
besar dan memerlukan perhatian yang tinggi daripada pihak-pihak tertentu.
Akhirnya,
banyak resources telah dibazirkan kerana terpaksa melayan perkara
sedemikian. Apa yang paling membimbangkan ialah metodologi dalam menentukan
kebenaran dan keutamaan kini banyak dipengaruhi oleh persepsi atau propaganda
yang dibina oleh teknologi maklumat. Dengan kata lain, pihak mana yang lebih
kehadapan dan bijak memanfaatkan teknologi maklumat, maka merekalah yang
mempunyai kelebihan untuk memimpin emosi dan pemikiran masyarakat umum.
Cara
berfikir masyarakat kini yang sangat mudah dipengaruhi oleh maklumat atau
berita yang mereka perolehi khususnya daripada sosial media menambahkan lagi
kesengitan perang menawan emosi dan pemikiran rakyat yang boleh berubah-ubah
berdasarkan maklumat atau berita yang mereka terima. Dengan kecanggihan
teknologi maklumat, bermacam-macam cara boleh dilakukan ketika ini untuk
menawan pemikiran orang ramai agar dapat dipimpin berdasarkan narratif yang diinginkan.
Seperti yang telah dijelaskan diatas, kebenaran atau pendustaan boleh
ditentukan oleh pihak yang lebih kehadapan dan berjaya menanfaatkan kelebihan
yang ada pada teknologi maklumat. Dengan kata lain, pihak tertentu dapat
menentukan kebenaran atau pendustaan sesuatu isu dengan kuasa yang ada pada
teknologi maklumat dengan membina naratif yang mereka inginkan. Apatah lagi
jika pihak tersebut adalah sesebuah negara yang mempuyai resources yang
banyak serta memiliki kepakaran yang tinggi dalam teknologi maklumat. Tentu
sekali mereka mempunyai kelebihan dalam mengawal dan menawan pemikiran
masyarakat umum seperti yang mereka kehendaki.
Inilah
realiti hari ini yang mesti disedari, khususnya oleh umat Islam agar tidak
menjadi mangsa yang mudah ditawan pemikirannya. Islam mendidik umatnya agar
mempunyai sikap yang tidak suka pada khabar angin, mengata orang lain, membuka
aib, adu domba dan sebagainya. Sikap sedemikian merupakan benteng penting yang
dapat menjadi pelindung agar pemikiran tidak mudah ditawan berdasarkan naratif
yang dibina oleh pihak-pihak tertentu. Selain itu, jati diri sebagai seorang
muslim yang sentiasa berwaspada terhadap maklumat atau berita yang disebarkan
dapat menjahuhinya daripada terjerumus dalam kancah fitnah yang sangat
berleluasa ketika ini.