Sunday, 18 October 2015

Perjuangan Menukar Kerajaan Vs Perjuangan Menukar Sistem Pemerintahan

Perjuangan menegakkan semula Daulah Khilafah di negara-negara umat Islam merupakan satu perjuangan untuk mengubah sistem pemerintahan yang sedia ada kepada sistem pemerintahan Islam. Sejak Daulah Khilafah yang diasaskan oleh Rasulullah SAW diruntuhkan oleh Mustafa Kamel Ataturk di Turki dengan bantuan daripada kufar barat pada 1924, tiada satu pun negara-negara umat Islam diseluruh dunia yang ditadbir berasaskan sistem pemerintahan Islam. Perjuangan untuk mengubah sistem pemerintahan yang sedia ada tentunya jauh lebih sukar dan mencabar berbanding dengan perjuangan untuk memperbaiki atau mengambil alih teraju pemerintahan yang sedia ada.

Untuk menanamkan keyakinan umat/rakyat kearah perubahan kerajaan yang sedia ada kepada kerajaan baharu tanpa perlu mengubah sistem pemerintahan seperti yang sedang dilakukan oleh parti-parti pembangkang di Malaysia, sudah cukup sukar dan mencabar. Tentunya untuk meyakinkan dan seterusnya membimbing umat/rakyat kearah perubahan sistem pemerintahan sudah pasti jauh lebih sukar dan mencabar.

Bagi parti-parti pembangkang di Malaysia, nampak dengan jelas mereka berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memberikan keyakinan kepada rakyat Malaysia bahawa mereka mampu dan mempunyai keupayaan untuk mentadbir Malaysia dengan lebih baik berbanding dengan kerajaan Barisan Nasional. Ini dapat dilihat daripada aktiviti-aktiviti politik yang dijalankan oleh mereka. Mereka akan memberikan respond dan penyelesaian daripada perspektif mereka terhadap apa jua isu yang melibatkan negara Malaysia. Walaupun liputan mereka daripada media arus perdana sangat terbatas berbanding dengan pihak kerajaan, namun mereka mempunyai cara yang tersendiri untuk menyalurkan maklumat dengan berkesan kepada keseluruhan rakyat Malaysia sehingga dapat membentuk public opinion yang mampu memberi tekanan kepada pihak parti pemerintah.

Selain itu, parti-parti pembangkang turut mempunyai barisan kepimpinan yang berkaliber serta mempunyai keupayaan yang setanding dengan barisan kepimpinan parti kerajaan yang sedang memerintah. Memiliki ramai barisan kepimpinan yang berkaliber, dihormati serta memiliki kemampuan untuk menguruskan negara merupakan antara perkara asas yang perlu ada bagi mendapatkan keyakinan daripada umat/rakyat. Jika parti-parti pembangkang yang berjuang untuk mengambil alih tampuk pemerintahan telah berjaya melahirkan ramai kepimpinan yang berkaliber seperti yang ada sekarang. Tentunya perjuangan untuk menggantikan sistem pemerintahan harus lebih kehadapan dalam melahirkan barisan kepimpinan yang setanding dengan barisan kepimpinan yang dimiliki oleh parti pemerintah mahupun parti-parti pembangkang.

Walaupun perjuangan untuk mengubah sistem pemerintahan lebih sukar dan mencabar, namun itulah sunnah perjuangan yang telah berjaya ditempuhi oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Berkat bimbingan baginda rasulullah SAW, para sahabat dengan penuh keyakinan tanpa sedikitpun keraguan memberikan dan mengorbankan segala yang dimiliki untuk memenangkan perjuangan Islam yang dibawa oleh rasulullah SAW. Sesungguhnya, liku-liku yang telah ditunjukkan oleh rasulullah SAW dalam perjuangan mendirikan sistem pemerintahan Islam yang pertama di Madinah merupakan panduan yang wajib dicontohi dalam memperjuangkan tertegakknya semula Daulah Khilafah di alaf ini.

Oleh itu, perjuangan mengubah sistem pemerintahan dengan menegakkan semula Daulah Khilafah harus menjadikan Islam sebagai asas perjuangannya, bukan kerana yang lain. Asas inilah yang menjadi tunjang kepada perjuangan menegakkan semula Daulah Khilafah yang melayakkan untuk diberkati dan berikan pertolongan daripada Allah SWT. Menjadikan Islam sebagai asas perjuangan tentunya bukan terletak pada slogan atau seruan semata-mata, tetapi yang paling penting ajaran Islam termanifestasi dalam bagaimana gerakan/parti politik Islam itu berpolitik dan ditadbir. Ini kerana hakikatnya, manusia sangat mudah mengatakan itu dan ini, tetapi tidak semestinya ia melaksanakan apa yang diseru dan diperkatakannya. Maka sebab itu Allah SWT mengingatkan.


"Wahai orang-orang yang beriman, kenapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan." (QS. As-Shaff: 2-3).

Adalah sangat penting kemurnian dan kesucian aktiviti politik serta urustadbir sesebuah gerakan/parti politik Islam dijaga dan dipertahankan agar sentiasa selari dengan ajaran Islam. Tidak boleh sama sekali ianya dicemari atau dikotori dengan aktiviti-aktiviti atau urustadbir yang tidak selari dengan ajaran Islam. Daripada setiap aktiviti politik yang dijalankan, sehingga bagaimana struktur pentadbirannya dibentuk, bagaimana permasalahan dalam parti diselesaikan, semuanya mesti selari dengan tuntutan ajaran Islam. Walaupun sesebuah gerakan/parti politik Islam pada mula bergerak sebagai sebuah kutlah yang kecil dan digerakkan oleh orang-orang yang tidak dikenali, namun dengan menjadikan Islam sebagai panduan dalam aktiviti politik dan urustadbirnya, nescaya ianya akan dapat berkembang dengan subur serta dapat memberikan keyakinan kepada umat/rakyat untuk memberikan sokongan terhadap apa yang diperjuangkannya.

Sebaliknya jika aktiviti politik dan urustadbir gerakan/parti politik Islam dicemari dengan perkara-perkara yang tidak selari dengan ajaran Islam. Nescaya bukan sahaja tidak akan dapat berkembang dengan subur serta mendapat sokongan daripada umat/masyarakat, malahan ianya akan turut meletakkan anggota/ahlinya berada dalam ‘kekeliruan’ sehingga tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Oleh itu, setiap umat Islam yang telah memahami akan kewajipan berjuang bersama-sama gerakan Islam haruslah berusaha bersungguh-sungguh menjaga dan mempertahankan gerakan/parti politik yang disertainya agar sentiasa menjalankan aktiviti politik dan ditadbir berasaskan tuntutan ajaran Islam.

Anda Mungkin Juga Meminati :

No comments:

Post a Comment