Sarawak masih merupakan negeri yang menjadi kubu
kuat Barisan Nasional di peringkat kerajaan persekutuan mahupun di peringkat
kerajaan negeri. Ini terbukti pada PRU 13 yang lepas, di mana Sarawak menjadi
penyumbang terbesar kerusi parlimen iaitu sebanyak 25 kerusi daripada 133
kerusi yang dimenangi oleh Barisan Nasional. Manakala pada PRN 10 Sarawak yang
diadakan pada tahun 2011, Barisan Nasional yang ketika itu diketuai oleh Tan
Sri Abdul Taib Mahmud masih tetap dapat mengekalkan kemenangan dengan majoriti
⅔ walaupun parti-parti pembangkang mempunyai kerjasama yang sangat kuat
serta mempunyai banyak modal politik untuk menyerang pentadbiran Tan Sri Abdul
Taib Mahmud. Maka, berdasarkan sejarah pilihan raya dan perkembangan politik
semasa Sarawak di bawah pentadbiran Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem ketika
ini, Barisan Nasional masih mempunyai peluang yang sangat cerah untuk menang
dengan majoriti ⅔ daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRN Sarawak
yang bakal diadakan pada 7 Mei nanti.
Sebenarnya bagi Barisan Nasional, PRN Sarawak
kali ini bukanlah perjuangan untuk mengekalkan pentadbiran kerajaan Negeri
Sarawak dibawah teraju kerajaan Barisan Nasional ataupun untuk menang dengan ⅔ majoriti. Ini kerana, berdasarkan geopolitik dan perkembangan politik
semasa negeri Sarawak, Barisan Nasional Sarawak di bawah teraju Tan Sri Adenan
Satem tidak mempunyai masalah untuk memenangi sekurang-kurangnya 62 kerusi
dalam PRN Sarawak bagi membentuk kerajaan dengan mandat ⅔ majoriti. Apa yang
menjadi ujian sebenar bagi Barisan Nasional dalam PRN Sarawak kali ini ialah,
pertama, sejauh mana populariti yang dimiliki oleh Tan Sri Adenan Satem
dapat menambat semula hati pengundi-pengundi bandar khususnya masyarakat cina
untuk memberi undi kepada Barisan Nasional. Kedua, adakah isu nasional
khususnya yang berkaitan dengan pelaksanaan GST dan skandal kewangan yang
sedang dihadapi oleh Datuk Seri Najib Razak memberi kesan kepada sokongan
rakyat Sarawak terhadap Barisan Nasional.
Selain daripada feel-good faktor yang
dimiliki oleh Adenan Satem apabila mengantikan teraju kerajaan negeri Sarawak
selama 33 tahun oleh Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri. Pendekatan
politik Adenan Satem yang sangat pro kepada kehendak dan tuntutan rakyat
Sarawak khususnya dalam soal hak autonomi serta bersifat lebih terbuka dan
mesra kepada parti-parti pembangkang di Sarawak telah menyebabkan populariti
beliau meningkat naik daripada rating popular 71% pada bulan januari tahun
lepas kepada 85% ketika ini. Oleh itu, Barisan Nasional sangat mengharapkan
bahkan Adenan Satem sendiri berulang kali menyeru agar pengundi-pengundi
Sarawak akan memberikan kemenangan besar kepada Team Adenan. Bukan
kemenangan dengan majoriti ⅔ yang Barisan Nasional dan beliau inginkan, tetapi
kemenangan besar dengan memenangi sekurang-kurangnya 70 kerusi dan berlaku
peningkatan dalam undi popular daripada 55 peratus pada PRN 2011 kepada peratus
yang lebih tinggi. Bahkan, untuk mencapai sasaran tersebut, Adenan Satem sering
kali menegaskan bahawa beliau akan dapat menuntut banyak perkara untuk rakyat
Sarawak daripada pentadbiran Putrajaya sekiranya beliau mendapat mandat yang
besar dalam PRN kali ini. Jika Team Adenan tidak mencapai sasaran
tersebut, hakikatnya beliau telah gagal dan populariti yang dimiliki oleh beliau
tidak mencukupi untuk menambat semula hati pengundi-pengundi cina yang tinggal
di bandar.
Barisan Nasional ataupun Team Adenan sebenarnya
tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan dominasi mereka terhadap kerusi yang
terletak di luar bandar. Tetapi yang menjadi masalah utama dan ujian terbesar
kepada kepimpinan Adenan Satem ialah untuk merampas semula kerusi yang berada
di bandar-bandar daripada DAP dan PKR. Dimana sebelum PRN 10 kerusi-kerusi
tersebut secara tradisinya dimiliki oleh komponen Barisan Nasional iaitu SUPP.
Pada PRN 10 Sarawak yang lepas DAP dan PKR telah berjaya memenangi 15 kerusi
yang majoritinya ialah pengundi Cina yang tinggal di bandar.
Manakala bagi Datuk Seri Najib Razak, beliau
harus membuktikan bahawa isu 1MDB, derma RM 2.6 billion serta pelaksanaan GST
oleh pentadbiran beliau tidak menjejaskan sokongan rakyat Sarawak terhadap
Kerajaan Barisan Nasional yang kini diterajui oleh beliau. Kesungguhan Najib
untuk membuktikan hal tersebut sangat terserlah dengan kunjungan rasmi ke
negeri Sarawak yang bukan sahaja sudah melebihi 50 kali, tetapi kunjungan
beliau sering kali di sertai dengan ‘hadiah istimewa’ untuk rakyat Sarawak. Ini
kerana, jika Barisan Nasional tidak memenangi jumlah kerusi yang disasarkan dan
terdapat penurunan undi popular khususnya di kawasan luar bandar yang menjadi fixed
deposit kepada Barisan Nasional, maka ianya merupakan satu petunjuk yang
sangat jelas bahawa isu pelaksanaan GST dan skandal kewangan yang sedang
dihadapi oleh Najib sudah menjadi parah yang serius terhadap Barisan
Nasional. Jika rakyat Sarawak yang majoritinya masih lagi tinggal di kawasan
luar bandar dan pedalaman boleh terkesan dengan isu nasional dan skandal
kewangan yang sedang dihadapi oleh Najib sehingga menjejaskan sokongan terhadap
Barisan Nasional, maka sudah tentu kesannya terhadap rakyat Malaysia yang
berada di semenajung jauh lebih kuat.
Bagi parti-parti pembangkang pula, populariti
yang dimiliki oleh Adenan Satem dan perbalahan yang berlaku dalam parti-parti
pembangkang sedikit sebanyak menjejaskan peluang mereka untuk menambahkan
bilangan kerusi yang mereka menangi pada PRN 10 yang lepas. Tambahan pula, pada
PRN 10 parti-parti pembangkang mempunyai modal politik yang sangat berkesan
iaitu menyerang dan membongkar segala kelemahan selama lebih 30 tahun
pentadbiran Abdul Taib Mahmud. Namun pada PRN kali ini, mereka tidak mempunyai
modal politik yang banyak untuk menyerang pentadbiran Adenan Satem, sebaliknya
mereka menggunakan kelemahan pentadbiran kerajaan persekutuan oleh Najib untuk
menyerang calon-calon Barisan Nasional. Selain itu, parti pembangkang khususnya
DAP cuba memenangi pemikiran pengundi-pengundi Sarawak khususnya masyarakat
cina dengan idea check and balance. Bagi DAP, dengan adanya barisan
pembangkang yang kuat dalam kerajaan negeri Sarawak, maka check and balance dapat
dilakukan dengan berkesan bagi memastikan kerajaan negeri sentiasa menjaga hak
dan kebajikan rakyat Sarawak.
Disamping itu, perpecahan SUPP sehingga
terbentuknya parti serpihannya iaitu UPP memberikan sedikit kelebihan kepada
DAP dan PKR untuk mempertahankan kerusi-kerusi di kawasan majoriti cina yang
mereka menangi pada PRN 10. Perbalahan di antara SUPP dan UPP tidak dapat
diselesaikan sehinggalah ke saat-saat hari hari penamaan calon, memaksa Adenan
Satem menggunakan kaedah melantik calon langsung Barisan Nasional di kerusi
yang menjadi rebutan antara SUPP dan UPP bagi meredakan keadaan. Walaupun
kaedah tersebut berkesan mengelakkan SUPP dan UPP bertanding di kerusi yang
sama agar tumpuan sepenuhnya dapat dilakukan untuk mengalahkan calon DAP
ataupun PKR, namun unsur undi protes dan sabotaj tetap menjadi halangan
terbesar untuk Barisan Nasional memenangi kerusi di kawasan majoriti pengundi
cina.
Manakala bagi Parti PAS dan AMANAH, mereka harus
menerima hakikat bahawa landskap demokrasi di bumi kenyalang bukan untuk
mereka.
Anda Mungkin Juga Meminati :
No comments:
Post a Comment