Wednesday, 19 October 2016

Cabaran Melaksanakan Hudud Dalam Sistem Bukan Khilafah

Hudud merupakan salah satu daripada undang-undang yang diturunkan oleh Allah SWT untuk mengatur kehidupan manusia dimuka bumi ini. Allah SWT menurunkan Islam lengkap dengan peraturan dan juga undang-undang bagi mengatur hubungan manusia dengan Allah SWT, hubungan manusia sesama manusia dan juga hubungan manusia dengan dirinya sendiri. Sebagaimana sifatnya sebuah undang-undang yang berperanan mengatur kehidupan manusia, maka hudud merupakan sebuah undang-undang yang mesti dilaksanakan secara bernegara. Tanpa komitmen daripada pemerintah sesebuah negara hudud tidak akan dapat dilaksanakan secara sempurna.

Sepanjang kewujudan negara Islam yang ditadbir berdasarkan sistem pemerintahan Khilafah, tiada undang-undang lain yang diterapkan dalam pemerintahan melainkan undang-undang Islam termasuklah hudud. Hatta kerajaan-kerajaan Islam yang terletak jauh daripada pusat pemerintahan Khilafah sekalipun seperti kerajaan-kerajaan Islam yang terletak di Nusantara juga menjadikan hudud sebagai salah satu daripada undang-undang negara. Keadaan sedemikian telah berlaku sejak baginda Rasulullah SAW mengasaskan negara Islam yang pertama di Madinah lagi. Apabila Rasulullah SAW berjaya menyebar luaskan ajaran Islam di wilayah-wilayah yang lain, Rasulullah tidak memaksa rakyat di wilayah-wilayah tersebut untuk menganut ajaran Islam, mereka bebas untuk memilih sama ada untuk menganut Islam atau kekal dengan agama asal mereka. Tetapi dari soal peraturan hidup dan undang-undang, Rasulullah tidak memberi mereka pilihan melainkan mesti menerapkan aturan hidup dan undang-undang Islam. Begitu jugalah yang dilakukan oleh para Khalifah sesudah Baginda SAW apabila mereka berjaya membuka wilayah-wilayah yang lain.

Terdapat dalam sirah di mana kaum yahudi yang tinggal di Fadak (Sebuah kota di utara Hijaz, jauhnya kira-kira 2-3 hari perjalanan menaiki unta dari Manidah) telah meminta orang yahudi di Madinah bertanyakan kepada Rasulullah tentang hukuman ke atas seorang yahudi Fadak yang didapati telah berzina. Maka turunlah ayat :

Jika mereka datang kepadamu (untuk meminta keputusan), maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka, atau berpalinglah dari mereka. Jika kamu berpaling dari mereka, maka mereka tidak memberi mudarat kepadamu sedikitpun. Dan jika kamu memutuskan perkara mereka, maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka dengan adil. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil” [TMQ al-Maidah (5):42].

Ayat diatas memberikan pilihan kepada Rasulullah sebagai ketua negara untuk menghukum kesalahan yahudi tersebut dengan hukuman Allah atau membiarkan mereka tanpa dihukum. Ini kerana perlu difahami bahawa yahudi tersebut adalah penduduk Fadak bukannya warga negara Madinah dimana Rasulullah SAW mempunyai kuasa untuk memaksa mereka berhukum dengan hukum Islam. Maka, apabila mereka datang kepada Rasulullah  SAW untuk diadili, Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW supaya mengadili mereka dengan undang-undang Islam. Namun, jika mereka tidak bersetuju, maka Rasulullah SAW berlepas diri daripada mengadili mereka. Berbeza halnya dengan orang yahudi atau non muslim yang menjadi warga negara Madinah, mereka semuanya terikat atau tertakluk dengan undang-undang Islam. Jika mereka yakni orang yahudi atau non muslim yang menjadi penduduk Madinah melakukan kesalahan, maka mereka akan diadili dan dihukum berdasarkan undang-undang Islam seperti orang Islam yang menjadi warga negara Madinah

Begitu juga halnya ketika berlaku kes kecurian semasa musim kemarau melanda semasa zaman pemerintahan Saidina Umar. Beliau tidak menjatuhkan hudud keatas pencuri ketika itu kerana tidak cukup syarat untuk dihudud, bukan kerana beliau menangguhkan hukuman kemudian menggunakan hukuman lain bagi menggantikan hukuman hudud. Ini kerana tiada undang-undang lain yang diterapkan dalam pemerintahan beliau melainkan undang-undang Islam. Hanya undang-undang Islam termasuklah hudud yang menjadi undang-undang negara sepanjang pemerintahan Daulah Khilafah selama 1400 tahun lamanya. Bahkan apabila raja-raja kerajaan yang terletak di Tanah Melayu memeluk Islam, mereka turut menjadikan hudud sebagai salah satu daripada undang-undang negara.

Kerana apa? Sudah tentu kerana ianya merupakan kewajipan sebagai seorang ketua negara. Sebagaimana setiap perbuatan individu muslim terikat dengan hukum syarak, begitu jugalah hakikatnya kewajipan seorang pemimpin negara yang wajib mentadbir dan mengatur kehidupan rakyatnya berdasarkan hukum syarak.

Dan barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir (TMQ al-Maidah [5]: 44).

Dan barang siapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim (TMQ al-Maidah [5]: 45).

Dan barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik (TMQ al-Maidah [5]: 47).

Berdasarkan apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, para sahabat dan para Khalifah seterusnya jelas menunjukkan bagaimana undang-undang Islam dapat diterapkan dengan sempurna apabila memiliki kekuasaan. Dengan kekuasaan yang dimiliki oleh Rasulullah SAW baginda telah melaksanakan segala sistem hidup dan undang-undang Islam yang diperintahkan oleh Allah SWT. Begitu juga apabila Islam disebarkan ke wilayah-wilayah yang lain, dengan kekuasaan yang dimiliki oleh Rasulullah SAW dan para Khalifah seterusnya hukum-hakam Islam terus diterapkan secara menyeluruh. Tiada satu pun wilayah yang dikuasai oleh Islam ditadbir selain daripada berdasarkan hukum-hakam dan undang-undang Islam. Kerana apa? Kerana kekuasaan yang dimiliki oleh umat Islam ketika itu meletakkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai undang-undang tertinggi (Kedaulatan ditangan syarak).

Maka sebab itu umat Islam harus sedar dan insaf bahawa masalah utama yang menyebabkan banyak hukum-hakam yang Islam termasuklah hudud tidak dapat dilaksanakan secara sempurna kerana umat Islam di seluruh dunia ketika ini tidak mempunyai negara atau pemerintahan yang berasaskan kepada Sistem Khilafah. Oleh itu, sudah menjadi seharusnya umat Islam meletakkan keutamaan dalam perjuangan untuk mendapatkan kembali kekuasaan dan meletakkan Al-Quran serta As-Sunnah sebagai undang-undang tertinggi (Kedaulatan ditangan syarak). Ianya bukan sahaja merupakan satu perjuagan yang paling praktikal dalam usaha mendaulatkan hukum-hakam Allah SWT tetapi yang paling utama  ianya merupakan methodologi perjuangan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Memperjuangkan hudud atau hukum-hakam Islam yang lain mengikut cara yang tidak selari dengan apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, bukan sahaja ianya tidak dapat dilaksanakan secara sempurna seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT. Malah yang lebih malang jika umat Islam sendiri yang meletakkan hukum-hakam Allah SWT menjadi bahan untuk ‘direstui’ oleh manusia agar hukum-hakam Allah dapat dilaksanakan.

Anda Mungkin Juga Meminati :



No comments:

Post a Comment